Thursday, 27 December 2007

Jawab "Tag"

Kepada Butaseni, ini jawapan kepada tag awak. Semoga gembira membacanya ...

1. Name a person who made you laugh last night. – Lat. Ketika membaca buku kartunnya Kampung Boy.

2. What were you doing at 0800? - hidang makanan untuk kucing.
3. What were you doing 30 minutes ago? – makan popadum.
4. What happened to you in 2006? - mencipta blog BR.

5. What was the last thing you said out loud? – Auww!!! Kerana terlanggar bucu meja. Sakitnya!

6. How many beverages did you have today? – satu. Nescafe bodypartner untuk sarapan.

7. What colour is your hairbrush? – krim.
8. What was the last thing you paid for? – bil telefon bimbit.
9. Where were you last night? – kat rumah.

10. What colour is your front door? – coklat (rumah), putih laici (pejabat).

11. Where do you keep your change? - dalam dompet kecik.
12. What’s the weather look like today? - pagi mendung, tengahari panas, petang redup.

13. What’s the best ice-cream flavour? – vanilla.
14. What excites you? – bebunga segar.
15. Do you want to cut your hair? – bila perlu.

16. Are you over the age of 25? – ya.
17. Do you talk a lot? - kadang, bergantung pada topik dan teman bicara.

18. Do you watch the O.C.? – maaf, O.C. tu apa?
19. Do you know anyone named Steven? – Cat Steven (kenal nama jer)
20. Do you make up your own words? - ya.
21. Are you a jealous person? – cemburu bertempat.

22. Name a friend whose name starts with the letter ‘A’ – Aisyah.
23. Name a friend whose name starts with the letter ‘K’ - Kate.
24. Who’s the first person in your received call list? – Makcik tukang urut.

25. What does the last text messaging you received today? - ok, tq.
26. Do you chew on your straw? – tidak.
27. Do you have curly hair? – tidak.

28. Where’s the next place you’re going to? – Kota Singa kerana tugas.

29. Who’s the rudest person in your life? – guru perempuan yang menampar saya tanpa sebab ketika usia 7 tahun. Kesannya dalam.

30. What was the last thing you ate? – popadum.
31. Will you get married in the future? – Que sera sera.
32. What’s the best movie you’ve seen in the past 2 weeks? - tak tengok wayang. Sibuk. Wayang kat TV pun tak sempat tengok.

33. Is there anyone you like right now? – Guru saya. Beliau contoh peranan.

34. When was the last time you did the dishes? – petang tadi, selepas makan malam.

35. Are you currently depressed? – mental ya. Emosi stabil.
36. Did you cry today? – Ya. Ketika berdoa selepas solat Subuh.

37. Why did you answer and post this? – kerana awak, kerana kasih sayang sesama manusia, kerana menghargai persahabatan walau hanya maya.

38. Tag 5 people who would do this survey – maaf, saya tidak tag sesiapa.

Yahooooooooooooo ... selesai!!! :-D

Mawar Putih Untuk Mama saya tujukan istimewa untuk awak. Mendengar lagu ini kadang mengingatkan saya kepada kekantoian awak kerana menghayati lagu ini di dalam kelas ;-)

Oh, nah ... ikhlas, dua tangkai mawar putih untuk awak [bayangkan sajalah :-))], dan jangan lupa syurga itu ada di telapak kaki ibu.

Salam.

Thursday, 20 December 2007

Korban

Umat yang senang bermuafakat adalah umat yang sepakat. Sepakat bermuafakat membawa berkat. Begitulah ciri-ciri ummah yang gemilang. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk menampilkan ciri-ciri demikian di dalam diri setiap umat Muhammad.

Segalanya bermula dengan sikap kita. Semuanya di tangan generasi muda.

Andai kita mengakui Allah SWT telah menganugerahkan manusia itu dengan sebaik-baik akal berbanding makhluk lain ciptaanNya, maka kita harus berani memulakan langkah, membantu untuk menampilkan generasi Islam yang berintelek tinggi dan bersahsiah positif serta berdaya saing hebat. Satu generasi yang mampu dan pintar menjadi pembimbing generasi umat Muhammad seterusnya.

Usah berkhabar gah hanya menggumam kata-kata, tasdikkan dalam perlakuan!

Kita harus berkorban segenap jiwa raga kita untuk menjadi contoh peranan terbaik kepada anak-anak muda terutama golongan kanak-kanak. Tampilkan nilai-nilai murni kemanusiaan dalam pergaulan untuk mereka teladani - jujur, berkasih sayang, tidak prejudis, bertolak-ansur, bertimbang rasa, saling menghormati dan memahami. Demikian ciri-ciri afdal dalam Islam yang mampu mewujudkan keharmonian sejagat.

Kita perlu mengubah sikap dan pemikiran.

Mengubah sikap dan pemikiran adalah satu pengorbanan yang tidak ternilai apa tah lagi andai perubahan itu menjurus kepada redha kita kepada Khaliq dengan menanam pandangan dan menganggap bahawa generasi muda itu adalah matlamat bersama kita yang wajar dibimbing tanpa mengira latar belakang demi mewujudkan ummah Islam yang berketerampilan hebat dari segi fizikal, rohani, emosi, dan mental. Terimalah mereka dengan tangan terbuka dan dada yang lapang. Anggaplah mereka sebagai harta paling berharga yang perlu diasuh, dididik, dan digilap sebaik mungkin agar bersinar ciri-ciri Islam tulen dalam diri mereka. Semoga penampilan sebegini menjadi kekaguman dan ikutan insan lain di alam saujana ini.

Pengorbanan kita hari ini adalah tunggak keharmonian ummah masa hadapan.


Salam Aidiladha.

Tuesday, 4 December 2007

Untuk Mikail

Lewat petang semalam ...


"Bila agaknya dapat kita berjumpa lagi?" Tanya Mikail.

"Hari-hari boleh jumpa kalau mahu."

"Huh?" Mikail mengerutkan muka.

"Jumpa di alam siber. Messenger kan ada?"

Mikail ketawa kecil tapi anak matanya memancarkan cahaya suram.

Saya menghulurkan sebuah buku untuknya. "Seperti yang kamu mahu."

Matanya bersinar bak berlian.

Ketika bas perlahan-lahan bergerak meninggalkan KL Sentral, buku Etiquettes of Life in Islam (Mohammad Yusuf Islahi) diangkatnya separas bahu manakala tangan kirinya melambai-lambai saya.

Ada redup di wajahnya yang sukar ditakrifkan.

Mikail
Nich


Salam.

Friday, 30 November 2007

Chanel No. 5

Seusai kembara raya. Di lapangan terbang.

Penat membaca. Memerhati fi'il manusia juga meletihkan, apa tah lagi kala mata begitu bermanja-manja mengajak diri untuk lena. Namun manakan enak sebuah lena itu andai berbantalkan dinding sekeras batu, lalu pelantar benak mencatur fikir kemudian menjentik mata agar membeliak.

Tiba-tiba terpercik rasa mahu ke kedai nun di kanan sana. Kedai itu? Kedai yang memeningkan!. Aneh, sepasang kaki beralaskan sandal lusuh berwarna coklat bukan main ligat mengajak hati untuk ke sana. "Ayuh, ayuhlah!" Bentak kaki meminta-minta. Entah bila kaki itu melangkah, tahu-tahu kaki itu sudah pun berdiri di sebelah kanan seorang jejaka.

Sambil-sambil melihat apa yang terhidang, sepasang ekor mata pandai-pandai saja menyisip hala melirik jejaka di sebelah. Sepatunya tampak hebat, rona mahagony berkilat. Berseluar koboi dan berkemeja lengan pendek coklat muda, berjalur putih. Ooh, casual smart yang bergaya!. Rambutnya hitam lurus mencecah bahu. Wajahnya? Entah bagaimana kerana kelopak mata yang melirik-lirik itu tidak semena-mena menguyu dan kepala rasa berpusing-pusing.

Jejaka itu sibuk memilih-milih. Mengangkat kotak kemudian melihat tulisan (dan membaca barangkali) kemudian meletakkannya kembali di atas rak. Sejurus dia mengambil botol penguji dan menyembur di pergelangan tangannya. Ada haruman singgah di rongga hidung, dan zam-zam ala-kazam saya kembali segar!

"Saya tahu, Chanel No. 5 kegemaran kamu." Hei, dia menyapa saya!
Saya terpempan.
"Betul tak?" Dia tersenyum. Oh, hati bergelombang melihat wajah semanis itu!

"Betulkan?"
Mata saya membesar. Mulut terkunci. Saya tidak tahu bagaimana dia tahu.

Entah bila ketika jejaka itu beredar kemudian kembali dengan sebuah beg kecil. "Untuk kamu, dan semoga bergembira." Senyuman manisnya masih terukir di bibir. Saya melihat kandungan beg. Chanel No. 5! Saya terpinga.

Laungan memanggil penumpang ke pesawat berkumandang, dan dia mohon izin untuk berlalu. Saya kembali bersandar pada dinding kaca dan cuba mengenang kembali detik-detik itu. Dia bernama, tapi entah mana tinggalnya dan kerjanya entah apa. Saya cuma berharap dia gembira kerana saya juga gembira menerima pemberiannya itu walau saya tidak memakai winyak wangi.

Mata dipejam. Madah Guru mengiang-giang di telinga ... "sesungguhnya Allah SWT amat suka kepada hambaNya yang menggembirakan hambaNya yang lain."

Salam.

Sunday, 25 November 2007

Santai

Aduuh, satu jam merangkak dalam kesesakan lalu lintas amatlah menguji kesabaran! Ditambah pula dengan kawan yang duduk di sebelah tidak habis-habis mengomel tentang lumpur di kuala yang ronanya akhir-akhir ini kerap berubah di hujung minggu ... aah, cukup meloyakan! Sudah-sudahlah tu ... kan lebih baik berdoa supaya perjalanan kita selamat pergi dan balik! Pinta saya. Dia akur.

Syukur, selamat semuanya.

Yeay, setelah hasrat kecundang Julai lepas, akhirnya saya menonton Devian Dogma! Semalam.

Wow, beliau dan anak-anak buahnya memang hebat! Terima kasih mementaskan satu persembahan teater yang cukup berakal dan punya kesatupaduan yang mantap! Syabas dan tahniah! Saya suka, suka sangat :-)

O-la-la, hari ini mahu bersantai di kedai buku pula!. Barangkali GUiT (Growing Up in Trengganu) yang ditempah Isnin lalu sedang menanti saya.

Oh, enaknya sekali-sekala bersantai begini!
Tanpa gangguan orang minyak :-)).
Ahamdulillah.

Salam.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kemas kini 09/12/2007:
Salin dan tampal komen sendiri dari blog Pegawai Khalwat. Terima kasih Bro PK.


bunga rampai said...

Hahaha ... jadi rusa? Nanti masa Krismas semua pakat nyanyi Jingle Bells ka? :-D

Salam,

Skrip yang baik, arahan yang bagus, komitmen yang tinggi para pelakon dan tenaga kerja menjadikan DD satu persembahan yang berjiwa.

Kombinasi unsur-unsur moden dengan budaya/tradisi silam, ditambah dengan unsur-unsur lucu dalam dialog menjadikan DD sangat istimewa. Andai punya peruntukan yang lebih baik untuk jelajah satu Malaysia, saya rasa DD mampu memupuk minat khalayak untuk menonton teater.

Cuma satu babak yang saya rasa agak membosankan(saya) iaitu babak debat kata antara Surti dengan Tejo. Kalau diselitkan dengan dialog lucu, saya rasa lebih meriah.

Akhir cerita adalah klimaks yang menyentak penonton. Saya sendiri ternganga dengan kejutan itu! Betapa DD telah menyekat kepuasan penonton untuk sampai ke puncak. Tapi di sinilah keistimewaan DD yang mampu mengheret penonton untuk berfikir!

Banyak unsur-unsur didaktik yang diketengahkan oleh DD menjadikan DD bukan saja menghibur malah mendidik penonton. Syabas!

Oh, saya kagum aksi-aksi 'belasah' tu!

Saya tunggu projek Bakawale seterusnya.
29/11/07 09:05

Tuesday, 20 November 2007

John Datang Lagi

“Hi Sis, I’m coming home!” Demikian teks pesanan ringkas John yang saya terima hari Jumaat lalu. Adeii, desis hati. BerSis-Sis pula kali ini dan hey, bila pula tanah airku ini menjadi rumahnya?

Kali ini John tidak membawa Inez, tetapi memperkenalkan Mikail kepada saya. John amat terkejut kerana saya dan Mikail saling mengenali, dan pertemuan yang tidak diduga petang semalam amat menggembirakan saya. Mikail warga sebuah negara Scandinavia yang menjalankan latihan di kedutaan negaranya di KL, dan akan menamatkan tugasannya pada penghujung bulan ini.

John dan Mikail masing-masing punya citarasa tersendiri meminati tanah air ini.

John telah jatuh hati dengan kepimpinan PiEm. "Negara Islam lain wajar mencontohi pemerintahannya ... bla,bla,bla ... dan saya tahu pilihanraya akan berlangsung bulan Februari depan ... bla,bla,bla ... sebelum kenaikan minyak pada bulan Mac ... bla,bla,bla ..."

Mikail seorang siswa tahun akhir jurusan Sains Politik, dan sudah enam bulan berada di KL. Dia bakal bergelar Diplomat suatu hari nanti. "Sudah tentu saya akan merindui pasembor, tapi saya takkan kembali ke sini sebagai seorang Diplomat. Hanya sebagai pelancong. Saya benci dengan senario politik di sini. Kasihan parti pemerintah terutama amnu ... bla,bla,bla ..."

John meminta lagi sekole teh tarik. Oh, dia kini suka teh tarik!

Sebelum berpisah, saya bertanya John sejak bila beliau menjadikan Malaysia sebagai rumahnya. “My second home. Only recently. Small office home office." Jawabnya.

Oh begitu, bisik hati saya. Berkole-kolelah teh tarik bakal dihirupnya sambil-sambil menulis atau mengedit berita-berita yang akan dihantar ke ibu pejabatnya nanti.

Sepanjang perjalanan menuju ke kedai buku untuk mencari dan pasti akan membeli buku GUiT (Growing Up in Trengganu), benak saya ligat mencerna, menapis dan menangkis intipati perbualan kami sebentar tadi. Saya menjadi resah. Untuk menghilangkan keresahan, saya cuba membayangkan pasembor. Aah, terliur ...

Yeay, malamnya makan pasembor! Dan buat seketika saya lupa tentang John dan Mikail.


Salam.

Saturday, 17 November 2007

Angin dan Surat

Demikian, dalam rentang waktu yang mengampai berjuta warna lukisan alam, ada saja angin yang bertiup melepaskan dendam lalu mengubah warna lukisan itu. Hidup ini memang aneh kadang-kadang. Yang kita tidak mahu, datangnya bergolek. Yang kita harapkan, menjadi tidak.

Semalam ...

Alahai, entah kenapa tiba-tiba mesin basuh itu anginnya berubah dari otomatik menjadi tidak otomatik! Kemudian, entah bila masa hosnya pecah. Sepasang mata yang tidak percaya hanya mampu membeliak dan lidah beku seketika melihat air mencurah-curah membanjiri dapur. Huh, apa lagi pagi semalam op bersihlah jawabnya! Aduuhh, sakit pinggang!

Tayar kereta pula. Entah kenapa kedua-dua tayar sebelah kiri asyik tidak berangin. Pagi semalam masukkan angin, tengaharinya kempis. Kemudian masukkan angin lagi. Eh, eh, petangnya kempis lagi! Maka terpaksalah memaksa diri ke kedai tayar. Periksa punya periksa, aiseyymann ... bila masa pulak paku terpaku pada tayar tu?!

Aduuh, kucing Si Rampai pula sudah dua hari tidak mahu makan malam. Angin apa pulak ni? Terkena angin cinta kot! Barangkali kerana sudah dua hari seekor kucing putih bertompok coklat itu tidak datang menjengoknya petang-petang, maka dia merindu dan tak lalu makan! Hmm, kalau dimandikan esok, barangkali mandi tak basah!

Begitulah kehidupan ini, bak angin. Bertiupnya entah bila. Kadang hembusannya mulus dalam tenang, ada kalanya kesat dan hingar. Ada waktu-waktunya dalam diam, angin sudi membawa warkah ...


Bang Lope,

Terlirih senyuman lebar bak kembang teratai kala melihat suratmu. Terpanah jua jiwa kala membacanya, dan nadi cinta bergetar ghairah membayangkan lukisan alam, kembali meneliti waktu-waktu indah itu. Seperti ujar saya kepada Bro Keng (yang sudah mengubah sikap): "Kenangan silam sering menggamit rasa, lebih-lebih lagi di lembah menghijau begitu. Kenangan diimbau mengundang rindu, berasa mahu saja kembali ke detik-detik itu."

Ke mana lagi unjurnya cinta kita kalau tidak kepada alam ini Bang Lope. Langit dan bumi, siang dan malam, angin dan hujan. Petir dan guruh, bukit dan gunung, flora dan fauna, laut dan sungai. Demikian hadiah Alam, berpasang-pasangan dan saling mengasihi untuk kita renung cinta mereka, cinta yang membawa tafakur pada hati-hati yang tahu dan faham erti cinta sejati.

Aduhai. Seusai membaca, setitis dua air tumpah dan diam di birai mata. Namun jauh di relung hati, titis-titis air merecup lalu melampiaskan rindu di perdu jiwa. Merindu saujana Alam.

Salam buat Bang Lope. Moga dalam damai, senang, dan tenang di mana jua.

Rampai


Salam.

Saturday, 10 November 2007

Oh, budak-budak itu!

Rabu, 7 November 2007, 2.30 petang ...

Restoran McD The Mall dipenuhi pelanggan. Luar biasa ramainya. Pelanggan juga luar biasa. Lelaki berbaju Melayu, dan ada yang berkemeja batik. Perempuan berbaju kurung. Mereka kelihatan hebat-hebat belaka.

Saya lapar. Mencari tempat. Ada. Berkongsi dengan seorang kakak dengan dua orang anaknya. Perempuan 10 tahun dan adik lelakinya 7 tahun.

Alhamdulillah, makan Fish-O-Fillet sambil pasang telinga mendengar perbualan kakak anak-beranak itu.

Anak P: "Bu, itu wanita-wanita amnu ya?"
Ibu: "Ya."

Anak P: "Bu, kenapa wanita-wanita amnu tu gemok-gemok?"
Ibu: "Sihat kut."

Anak P: "Diaorang pun kaya Bu."
Ibu: "Ibu tak tahu."

Anak P: "Kaya Bu! Tengoklah rantai, gelang, dan cincin diaorang tu ... besar-besar dan kilat-kilat!"
Anak L: "A'ah, kayakan Kak? Tapi kenapa uniform diaorang macam tu Bu?"
Ibu: (Mengerutkan muka). "Macam mana?"

Anak L: "Warna KFC!" (Ketawa kuat bersama kakaknya. Pelanggan sekeliling memerhati mereka)
Ibu: "Heh, makan!"

Saya tersenyum lebar.

Si Ibu tersipu-sipu memandang saya, "Maaf."
"Budak-budak pun boleh jadi pemerhati yang baik kak."


Salam.

Saturday, 3 November 2007

Dari Kota ke Lembah Hijau

Mahu saja saya sihir masa itu (bak kata Loppiess) agar berhenti seketika memberi ruang kepada ghairah yang menggebu untuk melukis rindu di teratak ini. Namun saya ini, alahai, asyik-asyik tugasan dan asyik-asyik berjalan.

Bang Lope,

Bingkisan salammu sudah bersambut, dan terima kasih atas tegar ingatan itu pada kawan-kawan di alam maya. Usah terkejut kerana memanggilmu Bang Lope. Aneh, tanah runtuh itu yang memberi ilham untuk tidak berLoppiess-Loppiess lagi.

Pagi itu hujan renyai Bang Lope. Jalan Kundasang - Tinompok diselimuti kabus tebal. Kasihan Kinabalu yang tidak berupaya menonjolkan kegagahannya, walhal senja semalam pantulan rona lembayung di birai langit yang singgah di wajahnya cukup melapang dada dan meredup hati. Manakala putih air yang meluncur deras melalui alur dari puncak gunung telah memugarkan mata saya yang kuyu keletihan! Lampu dari Panalaban pula bak sebutir bintang besar yang memancar di langit. Indahnya alam saujana!

Dingin angin Kundasang menembusi jumper tebal saya, memicit-micit urat-urat yang sudah dua hari membendung lesu kerana meredah hutan Poring yang berkolam air panas itu. Kononnya mahu ke pertapaan kelawar, tapi tak kesampaian dek hujan yang tiba-tiba mencurah-curah tanpa amaran. Lencun jadinya kami, dan eeekk ... ada dua ekor pacat sedap-sedap menjamu selera di kaki saya!

Renyai bertukar lebat. Kilat bagaikan kilau pedang samurai. Guruh berdentum. Tiba-tiba pemandu teksi menekan brek. Empat orang penumpang tersentak, dan anak mata bergalau kemudian terjojol seperti mata ikan mabong 'pabila melihat jalan raya di depan dalam sekelip mata mendirikan kubu, dan tanah berbatu kelikir dari bukit di sebelah kiri jalan berlumba-lumba turun meninggikan kubu itu. Aduuh, remuk hati melihat pepohon subur itu rebah satu per satu, tergolek ke bawah kemudian tertimbus. Agaknya cacing-cacing, cengkerik, anak-anak burung dalam sarangnya, rerama, tupai-tupai, mengkarung, dan hidupan lain yang berkampung di bukit itu berteriakan meminta tolong ...

... kami terpempan, membungkam. Leeh pemandu teksi itu lantas menelefon JKR untuk membuat aduan. Leeh kata kami harus menunggu beberapa jam hingga jalan itu dibaiki. Saya melihat jam tangan ... alahai, pasti terlepas pesawat pulang KL!

Sedih, bukit itu semakin rata dan gondol permukaannya. Sekonyong-konyong perkataan busana melintas di hati. Busana alam runtuh Bang Lope! Itu baru satu, entah berapa dan apa lagi busana alam bakal lenyap di mana-mana dek amarah hujan yang menggila seperti itu.

Entah-entah Hujan tersangat marah lantas mengamuk begitu melihat busana hari raya yang semakin ranggi. Manis-manis dan anggun-anggun perempuan-perempuan yang memakainya, menjadi perhatian para lelaki yang selera makan ketupatnya sama lahap dengan selera mata mengintai-ngintai yang terselindung di sebalik kain organza atau renda tipis yang menutupi fesyen berkemban itu. Sesekali pandangan mereka melunak pada gerak kaki yang menyusun langkah menguak belahan kain lalu menghidang rendang betis yang menggetar jantung!

Aduuh Bang Lope, busana hati manusia rapuh sekali! Betapa manusia itu dalam kegembiraan Syawal mudah saja lupa pada ikrar Ramadhan dan janji Layla. Wallahu'alam.

Empat puluh minit berlalu. Hujan reda namun kelibat JKR belum tiba. "Bodoh bah itu JKR, betul-betul Jangan Kerja Rajin!" Rungut Leeh berkali-kali. Barangkali kasihankan kami, Leeh mencadangkan agar kami berpatah ke belakang mengikut Jalan Ranau-Tambunan-Kota Kinabalu. Kami mengikut saja walau jaraknya lebih jauh dan tambangnya lebih mahal. Tak mengapa asalkan tidak ketinggalan pesawat, kata kami.

Aiseyymaann ... tiba di lapangan terbang kami menggigit jari. Penerbangan ditangguh satu jam. Huh, penerbangan Mana Ada Sistem!

Begitulah Bang Lope kembara raya saya di bawah bayu. Dari kota ke lembah gunung. Antara ranggi kota dan redup lembah menghijau, nyata busana alam dan busana insan diancam oleh busana mata hati manusia yang semakin tipis perisainya. Saya menjadi takut.

Saya masih ingatkan Ghafur, sudahkah beliau mendapat lesen scuba diving?

Mohon maaf Bang Lope, zahir dan batin. Selamat Hari Raya.


Salam.

Friday, 12 October 2007

Kad Raya Berpantun Cinta

Seronok tak terperi 'pabila menerima kad raya pertama dalam hidup ini. Berbunga-bunga rasa hati kala menatap kad putih yang dihiasi bintang-bintang keemasan dan kuntuman-kuntuman anggerek putih mengelilingi sebuah masjid. Salam Lebaran, Maaf Zahir dan Batin. Demikian ungkapan di muka depan.

Namun ucapan di dalamnya membuat saya ketawa, kemudian rasa geram menjentik hati. "Nanti kamu Along!" ...

dua tiga kucing berlari
manakan sama si kucing biru
dua tiga cinta di hati
manakan sama cintaku padamu

'Pagi raya nanti Along mahu jadi orang pertama beraya di rumah Rampai.'


Sungguh, Along tetamu pertama kami pada pagi raya itu! "Along, kalau betul cinta, kenapa tak bawa kuih raya untuk Rampai?" Gertak saya. Dua pupu saya itu hanya tersengeh.

Itu dulu-dulu ketika kami masih lagi budak-budak. Darjah enam. Kini, walau pun tidak lagi menjadi tetamu pertama, Along tetap berkunjung pada Hari Raya dan tidak pernah lupa membawa sebalang kuih raya untuk saya.

Kenangan juga mendidik manusia untuk berkasih sayang.


Ikhlas daripada saya untuk semua kawan-kawan ...

"Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin"


Salam Aidilfitri 1428

Saturday, 6 October 2007

Redha

Baju yang hilang barangkali bukan untuk saya. Barangkali ada orang lain yang berhak memakainya. Semoga rasa kasih yang ditakhtakan untuk kain itu dapat dirasa oleh si pemakainya. Semoga dia bergembira memakai baju itu pada Hari Raya nanti, dan gembira itu membungakan bahagia di hatinya. Mudah-mudahan juga semerbak harum bahagia itu mewangikan insan-insan lain di sekelilingnya.

Aneh sungguh hidup ini kadang-kadang. Anehnya perangai manusia. Kita kehilangan sesuatu yang sangat istimewa lalu kita bersungguh-sungguh mencarinya, kemudian kita bernostalgia tentangnya sambil memapah sejuta duka di hati. Sering nostalgia itu memenuhi kamar hati dan pelantar benak, lantas duka menjadi derita.

Aduh, gementar hati pada kehilangan sesuatu yang istimewa tapi tidak gementar pada ujian Allah! Betapa bernostalgia pada yang istimewa itu lebih mustahak dikenang-kenang, duka dan derita itu lebih penting diingat-ingat sehingga ruang untuk mengenang dan mengingati Khaliq tinggal hanya sekelumit. Kita menjadi lalai. Lupa pada syukur. Lupa pada redha.

Cita dan duka seiringan dalam perjalanan mencari redha Tuhan, segalanya hanya ujian jiwa di sepanjang denai menuju insan mukmin. Demikian ujar Mursyid. Orang yang berakal membiarkan saja nostalgia itu bermukim dalam tenteram dan digunakan sebagai senjata memperelokkan budi pekerti. Alangkah baiknya waktu-waktu bernostalgia itu dihabiskan untuk berfikir-fikir mencari letak diri, mencari aib diri. Tahu aib diri adalah gerbang utama menuju redhaNya.

Pada hari-hari terakhir bulan Ramadhan ini, marilah kita sama-sama mencari redha Khaliq. Saratkan hari-hari dan malam-malam kita dengan ibadah dalam menuju puncak Ramadhan, malam Lailatul Qadar ...

moga tidurmu lena
bangunmu damai
harimu tenang
dan
biarlah waktu celikmu itu mencari di mana waktu matimu

~ Bunga Rampai


Salam.

Monday, 1 October 2007

Baju Raya Yang Hilang

Petang semalam.

Girang nian rasa hati menuju ke kedai jahit itu untuk mengambil baju yang ditempah enam minggu sudah. Sehelai baju kurung, baju raya.

Tukang jahit ke hulu hilir mencari baju itu yang berlatarkan rona krim dan bercorak rangkaian dedaun kecil-kecil berwarna pucuk pisang. Tudung sedondonnya sudah pun dibeli seminggu lepas.

Tukang jahit itu kemudian dibantu oleh dua orang pembantunya mencari baju itu di celah-celah berpuluh baju beraneka fesyen yang berderetan pada rak. Mata saya terkebil-kebil memerhati mereka yang bagaikan meredah sebuah hutan simpan sambil mulut tidak henti-henti mencari letak kesilapan.

Hasilnya hampa setelah dua puluh minit berlalu. Saya kecewa. Dalam nada kesal, tukang jahit membayar ganti-rugi.

Ya, baju raya ada di mana-mana dan banyak pilihan. Namun rasa kasih yang ditakhtakan untuk baju yang hilang itu sukar ditandingi, apa tah lagi corak kain sedemikian sudah lama diimpikan dan impian itu termakbul dalam satu kembara saya tahun ini.

Alahai ...

Salam.

Saturday, 22 September 2007

Jihad Ramadhan

Secubit cili, secangkir madu pembuka selera bersahur atau berbuka :)

Awas, bingkisan ini sangat panjang!

Petikan komen Blackpurple (BP), dalam entri ini:

Alhamdulillah, BR diberi kekuatan untuk menegur tepi kain orang yang koyak dengan kata-kata. Agaknya, kalaulah saya yang berada di tempat BR, mungkin saya tak mampu…….Mungkin cuma mampu menahan sebal dan bengkak di dalam dada sambil mencari kesempatan mencuri-curi pandang di sebalik celah kain yang koyak itu agaknya. :)

Kasihan emak dan ayah pasangan itu....


...

Salam BP,

Komen BP itu adalah pencetus bingkisan ini. Atas izinNya. Alhamdulillah.

Dunia kita semakin berantakan. Fi'il manusia secanggih binatang. Juadah di jagat nyata dan maya sama sedapnya mencabar, mengangkat dan merobek nafsu kehidupan manusia. Umat Muhammad pula semakin galak melalak-lalak dengan mata terbelalak mencari keseronokan sehingga alpa diri. Ada yang bercakaran sesama sendiri. Siang dan malam tiada bezanya. Ringgit dan sen menjadi habuan utama memuaskan kehendak nafsu menggila untuk keselesaan duniawi. Tidak apa kalau maruah diri, bangsa dan agama dilelong asalkan diri dinobatkan sebagai yang cemerlang, gemilang, dan terbilang!

Manusia juga sudah lupa pada tanah yang menjadi tapak mereka berpijak, menumpang teduhan langit Tuhan – menanti sinar suria menghangat hari, menunggu titis hujan menyubur bumi hijau. Namun syukur manusia kepada anugerah Tuhan itu sekadar di hujung lidah, mudah terkulai dan gugur. Maka syukur menjadi cukur perkasa yang gah membotakkan segala yang terhampar mengindahi jagat ini. 'Pabila taufan melanda badai mengganas, ombak mengaum samudera menggila, dan tanah menjadi lumpur, manusia hanya mampu meraung dan menangis! Tidak sempat pun menggigit jari!

Keseimbangan hidup semakin lenyap ditelan jerebu alam sekitar buatan manusia itu sendiri. Jalan pintas itulah pilihan utama yang sering membutakan mata hati sehinggakan jalan tengah yang sederhana itu tiada dalam pandangan lantas tergelincir jauh ke kanan atau ke kiri. Silap haribulan, terhumban ke dalam gaung yang dalam!

Ya, kasihan sungguh pasangan itu yang tahu tapi tidak faham sari makna puasa. Kasihan emak dan ayah mereka juga yang sudah tentu bermati-matian mengatakan yang anak mereka itu baik, menurut perintah, dan beradab. Maka itu, anak-anak dilepaskan tanpa sangsi.

Orang yang kainnya koyak di tepi perlu ditegur. Barangkali koyak itu tidak kenampakan olehnya. Mungkin baru terkoyak tanpa sedarnya. Barangkali juga koyak itu dalam sedarnya tapi sengaja tidak dipedulikan. Jangan biarkan koyak itu membesar hingga mededahkan aurat si pemakainya. Seeloknya dijahit segera. Walau hanya dengan jahitan jelujur, itu sudah memadai untuk sementara waktu. Hulurkan doa moga jahitan itu nanti dikuatkannya.

Hidup kita bagaikan aur dengan tebing - bahu-membahu. Umpama irama dan lagu - seiring jalan. Cubit peha kanan, peha kiri pun terasa sakitnya. Setiap kita adalah kakak, abang, makcik atau pakcik yang perlu menegur dan menasihati insan lain. Malahan andai kita ini berpangkat adik atau anak sekali pun, ada waktu-waktunya kita wajar menegur yang lebih berusia sekiranya tindak-tanduknya melanggar perintah agama.

Bertanyalah kepada diri siapa kita? Apakah jurus kita? Mahukah kita melihat kehancuran sewenangnya berlaku di depan mata sedangkan kita berujar sakan dan merayu sendu agar Dia mencintai kita? Di mana cinta kita untuk Dia? Apa nanti jawapan kita di alam baqa kala ditanya apakah yang telah kita lakukan dengan umur kita, masa kita, harta kita, ilmu kita?

sanggupkah melihat kehancuran
sedang kita tuju keamanan?
sanggupkah menentang kebenaran
sedang kita dalam keimanan?


Kita menuding jari salahkan itu dan ini. Jangan lupa tuding jari itu ke arah diri sendiri. Salahkanlah diri kita andai kita membiarkan maksiat berleluasa di depan mata membiarkan yang hak menjadi batil dan sebaliknya, lalu memberi undangan kepada persekitaran yang menghancurkan ummah. Salahkan diri kita andai kelak kita dirompak, ahli keluarga diculik, dirogol, dibunuh! Ketika itu penyesalan tidak lagi berguna! Kenapa tidak dibanteras kala ini?

BP, saya yakin kita mampu merubah keadaan. Kita tak perlulah tunggu Tok-Tok Menteri itu menggubal undang-undang untuk membolehkan orang awam menegur insan lain. Mereka itu orang-orang yang berhormat lagi terhormat yang sibuk sekali. Kalau tidak bertaichi dalam lemari, mereka bisa saja bergelek-gelek di mana-mana! Undang-undang sebegitu sudah pun termaktub di dalam Quran dan Sunnah. Tidak perlu berhad-had hari untuk menyampaikan amanahNya dan pesan Baginda.

Belum cuba belum tahu. Kekuatan kadang-kadang datangnya tanpa diduga. Kita hanya perlu keyakinan bahawa Dia yang memberi kekuatan itu, dan kita perlu menyempurnakan tanggungjawab kerana kasih kita kepadaNya. InsyaAllah, Dia akan menjaga kita dan kita sendiri akan kagum dengan apa yang telah kita lakukan itu. Maha Kuasa Allah.

Kita mulakan dengan teguran, selebihnya urusan Allah SWT untuk membuka hati orang yang ditegur itu.

Namun tidak dinafikan ada waktu-waktunya kita gagal menyempurnakan tanggungjawab itu, dan melalui detik-detik pedih menghancur hati kerana dimarah dan dimaki hamun dengan kata-kata kesat kerana tindakan menegur perangai biadap seseorang. Usah pandang sipi rentetan peristiwa sebegitu. Renung dalam-dalam. Kesedihan itu sebenarnya adalah pembuka jalan kepada satu kekuatan lain iaitu keupayaan menilai buruk baik diri, serta pencetus jiwa murni dalam perjalanan menuju insan kamil. InsyaAllah.

Lihatlah sekeliling. Di mana kita? Ke mana arah tanah air kita? Kita harus bangun dan sedarkan dan wajakan mata hati. Kita dalam permulaan era Dajjal! Dajjal akan datang dengan dakyah yang lebih halus menawarkan meterial, pengubatan, sihir dan pelbagai lagi sehinggakan menjadi bodoh sekiranya seseorang itu tidak menerima tawaran Dajjal itu. Ya, kita manusia sering saja lemah dan bisa tersungkur, tapi usah tinggalkan diri dan keadaan. Mohon padaNya kekuatan kerana jihad kita kini adalah jihad pemikiran, mental dan emosi. Yang malas akan terpulas, yang lelah akan rebah! Justeru, usah berlengah-lengah. Jangan membungkam. Usah termenung-menung tapi merenung-renung. Jagat kita semakin usang, kembara kita bertambah gersang. Pugarkan! Segarkan! Berinya jiwa!

Terima kasih atas komen BP itu, saya amat menghargainya. Satu tanggungjawab telah BP lunaskan. Semoga BP, teman-teman yang lain termasuk saya, diberiNya kekuatan jitu untuk menyempurnakan tanggungjawab menyerlahkan umat Muhammad sebagai umat yang mulia, sekali gus memberikan sinar kepada jagat yang semakin suram ini. Amin.

Wassalam,
BR

"Allahu Rabbi, Allahu Rabbi. Sesungguhnya taufikku semata-mata dariMu. KepadaMu aku bertawakal dan kepadaMu aku kembali"

Salam.

Tuesday, 18 September 2007

Jiwa Ramadhan

Ada ketika-ketikanya Dia bagaikan tidak peduli. Ada waktu-waktunya Dia seakan menjauh. Lalu hati hadir untuk berkalam-kalam menyiar rindu kepadaNya. Moga Dia mendengar.

Rasa jiwa siapalah yang tahu. Mungkin senang, damai dan tenang. Barangkali juga tersenyum rawan, girang berluka. Menangis untuk apa, merindu kepada siapa. Hanya Dia yang tahu. Namun tidak dinafikan, di kejauhan sana ada insan-insan yang sama merasa keluh resah jiwa itu. Maka kalam hati pun bersambut, dan madah dikait lalu atas izinNya terhamparlah renda puisi seindah rona pelangi seharum cempaka yang mengalas sanubari merentang purnama Ramadhan.

Luahan rasa dalam entri ini dan ini telah digubah menjadi sajak-sajak indah oleh Kingbinjai. Hayati ...


Di Ambang Ramadhan

di ambang Ramadhan
ada kaki yang kecundang
melintasi qalbi
mencari mutiara hati
tersembunyi di dalam kolam yang keruh
jemput si undan singgahnya tiada
memanggil kedidi terbang menjauh

sepekan sudah waktu bertemankan sunyi
merimbun duka mengait syair terpinggir
mengharap rahmat titis air langit
menangis, renyai berderai harapkan
sudahnya terik mendung bertamu enggan
pula bayu membisu

kian hari hati merekah gersang
dalam diam relung hati rajuk berbisik
kata pujuk mana dirujuk, di situ pulang hampa
diam saja bermuram durja
melangut di antara malam
mencari hilang penglipur lara

tafakur jua dalam akur
dulu lupa, kini kembali
pada sejdah usang itu jua
tersambut titis kesal airmata


Mencari Nur Qalbi

suluh bagai bersungguh mahu
cari mana sembunyi
di antara satu ruang cahaya
bertompokan di dalam gelap
cari di mana, redhaNya

begini lagaknya, malam semarak
berarak gelita menutup seroja
putih kelopaknya kering
kian, merasa waktu memamahnya
bakal punahkah ini kala menuju
ketenangan

sudahlah, sunyi meluka nurani
melompang puri sanubari
tercalar sehalus rambut
membuka luka jiwa
tuhan, singkapkan sekali lagi
indah cinta nur qalbi
riasan kalbu hingga bisa
terbang mengawan segala rewan


Puncak Kembara Ramadhan

adakah bintang tersipu malu
saat aku merenungnya
asyik, setiap malam?

apakah mereka berbisik
sama sendiri
lihat, dia lagi, merenung kita

di hatiku juga bintang,
ada sebutir mutiara
cahayanya amat payah kudakap

maka itu,
aku teroka Ramadhan ini
menuju puncak kembara

mahukah kalian menemaniku?
menerangi doa
menghampari sujud
menadah titis-titis keinsafan
dalam sepuluh malam yang terakhir

...

Terima kasih King. Semoga Allah SWT terus memberimu rasa dan ilham untuk berkarya dan mencipta sajak-sajak indah bermakna dan bermanfaat untuk dihayati oleh insan lain.

Salam.

Cuit-Cuit Puasa

Sedang mahu menyeberang jalan ke arah perhentian teksi, ah, mata ini terpandang pula dua sejoli sedang berenak-enak duduk rapat-rapat di perhentian teksi itu. Mujurlah saya memakai kaca mata hitam.

Duduk di sebelah dua sejoli itu menunggu teksi cukup merimaskan. Eeehh, mata ini lagi mahu saja jeling-jeling mereka itu! Adeh, mereka ramas-ramas tanganlah pulak! Eh eh, kepala si perempuan terlentok di bahu teman lelakinya! Oh oh, si lelaki itu memeluk bahu teman wanitanya itu! Sungguh tak sopan!


"Dik, selamat pengantin baru." Saya.
Perempuan itu, matanya terbeliak. Dia cepat-cepat meleraikan genggaman tangan dan si lelaki melepaskan pelukan. Mereka tersipu-sipu lalu merenggangkan jarak. "Eh, belum kahwin lagilah kak ... kawan jer!" Ujar si gadis.

"Oh!" Saya senyum. "Bulan Ramadhan Dik, tak baik macam ni."
"Saya tak puasa Kak, tak boleh puasa."
"Kamu pun tak puasa?" Tanya saya kepada si lelaki.
"Puasa."


Saya pun berbual dengan mereka. Tak lama. Teksi tiba dan si gadis menaiki teksi meninggalkan temannya. Saya berbual lagi dengan lelaki itu. Pun tak lama. Sebuah motorsikal Kris tiba dan dia mohon izin untuk pergi.

Semoga Dia terus menyayangi mereka dan memberi petunjuk menuju jalan yang diredhaiNya.

Salam.

Wednesday, 12 September 2007

Yang Pergi dan Yang Kembali

winduuuu! Begitulah ucapan Rian sebaik saja melihat saya. Senyumannya meleret dan hati saya tentu saja berbunga-bunga melihat seri wajahnya yang menyambut kedatangan saya itu.

Seperti pertemuan yang sudah-sudah, waktu-waktu kami dihabiskan dengan bermain tangga ular atau saidina. Saya selalu menang, yeayy! Kalau saya kalah, dendanya ... alahai, menyiram pokok-pokok bunganya. Sungguh tak aci rungut saya kerana andai dia yang kalah ... dendanya hanya membuat minuman untuk saya.

Selebihnya masa-masa kami dihabiskan dengan membelek-belek buku dan majalah. Rian gemar sekali mendengar cerita-cerita rakyat dan saya akan bercerita untuknya. Tidak sampai pun sepuluh minit bercerita, dia pasti terlena! Kadang-kadang terfikir juga, entah-entah cerita itu atau barangkali cara saya bercerita amat membosankannya menyebabkan lenanya diiringi dengkuran yang sayup-sayup bagaikan deru angin petang yang longlai.

Entah mengapa pada pertemuan yang lalu kala dia lena begitu, benak ini rajin benar mengimbau-imbau masa lampau ketika kami mula-mula bertemu. Pada awalnya, saya tidaklah menyukainya kerana dia suka marah-marah ... ini tak kena itu tak betul! Emosinya terlalu panas. Entah juga apa yang merapatkan kami. Barangkali permainan tangga ular atau saidina, mungkin juga cerita rakyat itu.

Masa tetap berlalu. Untuk mengucapkan selamat tinggal adalah sesuatu yang payah untuk saya suarakan kerana saat-saat meninggalkannya adalah masa yang paling tidak disukainya. Masam wajahnya semasam belimbimg buluh. "Bi-ila lagi nak dataaang, bi-ila, bi-ila, bi-ila?" Dia bertanya bertalu-talu. Saya membujuk dalam pilu.

Kali terakhir kami bertemu pada awal bulan Julai yang lalu. Rencananya kami akan berjumpa lagi beberapa hari sebelum puasa bermula, dan sejak minggu lepas saya sudah merencana untuk bertemunya petang hari ini.

Alahai. Lain yang dicita lain yang datang. Tengahari semalam. Belum pun sempat jari menekan angka, telefon berdering minta dijawab. Saya tersentak amat mendengar khabar itu. Aduhai! Tidak ada apa-apa yang dapat saya lakukan kecuali menangis dan memanjatkan doa.

Rian telah pergi menemuiNya terlebih dahulu. Inna lillahi wainna ilaihi rajiuun. Al-Fatihah. Semoga rohnya damai, dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang mulia di sisiNya.

...

Sungguh adil Masa itu berputar.

Ada yang kembali ... RamadhanNYA. Alhamdulillah.

...

Kepada semua teman bloggers, saya memohon maaf sekiranya ada yang terguris perasaan di atas kekasaran bahasa dan kata-kata saya selama ini. Selamat menyambut bulan Ramadhan yang mulia. Selamat berpuasa. Semoga hidayahNya pada bulan ini melimpah ruah untuk kita semua. Semoga juga ibadah kita lebih sempurna, lebih diberkati dan dirahmatiNya. Amin.

Salam Ramadhan 1428.

Tuesday, 4 September 2007

Berisi

Dua minggu lalu ...
Kawan A: Aduuh, lama tak jumpa! ... Eh, nampak berisilah sekarang!
Saya: Ye ke?

Fikir-fikir: corak baju kut buat nampak berisi.


Sabtu lepas ...
Kawan B: Aiyaya, long time no see! ... Hmm, you look a bit berisilah!.
Saya: Err, really?

Fikir-fikir: warna baju kut yang buat nampak berisi.


Semalam. Jarum penunjuk pada alat penimbang berat badan menunjukkan angka telah menaik [?] kg berbanding 3 bulan sudah.

Fikir-fikir: penimbang tu rosak kut!

Tiba-tiba terfikir: Aiseyymaaaann ... patut ler pinggang seluar koboi agak-agak mengecil gitu!

Salam.

Thursday, 30 August 2007

Lagu Cinta


31 Ogos 2007

Bersenang-senanglah kita pada tarikh ini. Hari Kemerdekaan.

Maka itu saya mahu menyanyi lagu cinta. Seroja. Lagu yang menggamit kenangan zaman kanak-kanak, mencari upih pinang bersama kawan-kawan kemudian menaiki upih itu menggelonsor turun bukit sambil menjerit-jerit. Aah, seronoknya jadi budak kampung! Merdeka sekali pada usia itu.

Ini, lagu cinta untuk kalian juga.

Namun jangan lupa, hari sesudah 31 Ogos itu adalah hari pertama menuju usia 51 tahun kemerdekaan. Kita semakin tua.

Pada hari-hari mendatang, andai kalian terserempak seseorang yang memakai lencana bertulis "Saya Anti Rasuah," pastikan si pemakainya tidak berlagak "Saya Nanti Rasuah."

Tegakkan kebenaran. Itu tanggungjawab. Itulah erti merdeka.

Kemerdekaan hanya bermakna apabila kita berani melafazkan yang benar itu adalah benar, dan yang salah itu tetap salah.

Salam Merdeka!

_____________________________________________________


02 September 2007

O la la !!! Masih dalam mood Merdeka?

Tak sangka ada hadiah kemerdekaan untuk saya, maka bertambah meriahlah lagu cinta dengan kehadiran kartun Zunar di atas. Terima kasih Bro Keng.

Ke sini jika kalian mahu melihat Jalur Gemilang versi 50 tahun Kemerdekaan.

2.55 pm
Salam.

Wednesday, 22 August 2007

Gelek Menuju 50

Ooh, geleknya bukan main. Hampir sama gelek Si Emas Ayu itu! Maka bersorak-sorailah para penonton. Seronok. Terkhayal. Dia terus bergelek. Labuci-labuci di pinggang, pinggul, dan dadanya pun bergoyang-goyang. Ya, dia hebat! Geleknya macam gelek veteran. Tapi dia masih budak, 5 tahun. Barangkali dia pelajar Akademi Gelek, sebab itu geleknya menjadi.

Ooh, gelek mereka bertiga bukan main. Sehebat gelek Si Ratu Gelek itu. Maka bersorak-sorailah para penonton. Seronok. Terkhayal. Terliur. Mereka terus bergelek. Labuci-labuci di pinggang, pinggul, dan dada mereka pun bergoyang-goyang. Ya, mereka sangat hebat! Gelek mereka bak gelek padang pasir. Mereka gadis pingitan. Barangkali mereka bekas pelajar Akademi Gelek, sebab itu gelek mereka menggerudi.

Ooh, geleknya bukan main. Walau tanpa labuci yang bergoyang-goyang di pinggang, di pinggul, dan di dada, dia tetap disorak-sorai para penonton. Seronok. Terkhayal. Terlupa diri. Ya, dia pun hebat walau geleknya gelek lelaki berusia mencecah 50!
Barangkali dia juga pernah belajar di Akademi Gelek, sebab itu geleknya mengiurkan.

Ooh, pengacara itu pun bergelek sama kemudian bertanya, "Nak lagi tak?" Maka gamatlah penonton, "NAAAAK!!!!!" Itu suara-suara 99.9% penonton Melayu.

Alahai ... Aduhai ...

Di manakah kita pada usia 50 ini, oh tanah airku?

Rupa-rupanya boneka-boneka di atas sana itu boneka ajaib yang teramat pandai bergelek!...

... dan sebahagian daripada kita di bawah sini, juga suka menjadi boneka ajaib yang pandai bergelek dan tidak apa kalau digelek sekali pun!

Salam.

Thursday, 16 August 2007

Lecka Lecka

Ahad, 12 Ogos 2007

"Kak, rindu ... dah lama tak makan aiskrim. Jom, saya belanja!"
"Alhamdulillah."

...

"Aikk, sorang je? Geng lain mana?"
"Tak bawa kak, pasal kali ini sesi P and C ."
Amboi, cilik-cilik pun pandai ber P & C!
"Nak makan kat mana kak?"
"Kat mana pun okey, akak ikut taukey jer."
"Jom, Lecka Lecka!"

Uiikk, sungguhlah dia banyak duit!

Si Cilik Remaja semakin ayu dengan hanya subang sepasang, rambut berwarna hitam diikat kemas. Tiada gincu, tanpa pembayang mata. Memakai seluar koboi ditutupi blaus berwarna krim menutupi pinggul.

"Kak, saya dah baling boyfriend saya."
"Baling kat mana ... kat Kedah?" Ketawa kecil.
"Isy, akak ni ... saya serius!"
"Oh, okey. Sebab apa?"
"Nak studylah. Nak score SPM."

Namun di sebalik keceriaannya, dia masih mengharapkan kasih ibunya datang pada waktu-waktu dia memerlukan belaian. Kalau boleh katanya lagi, dia kepingin selalu melihat ayahnya makan bersama keluarga di rumah.

"Tambah kak?"

O la la, sekali-sekala perlu jadi nakal ... dua scoop aiskrim mana cukup, apa lagi Lecka Lecka dan dibelanja pulak tu. Leka jadinya!

...

**Lecka Lecka = Italian gelato (ice cream)
Bahan asas: susu, susu soya, air
99.6% bebas lemak susu (aiskrim biasa)
99.9% bebas lemak susu (aiskrim buah-buahan segar)
25 jenis/perisa

Salam.

Friday, 10 August 2007

Moriko

Katanya, dia mahu bunuh diri kerana keterlanjurannya itu. Saya kata, menyesal tidak berguna, yang lebih berguna ialah untuk terus hidup walau apa pun yang telah berlaku.

Katanya, kalaulah saya berada di tempatnya, barangkali saya juga akan mematikan hidup. Saya kata tidak kerana kehidupan ini terlalu indah untuk dimusnahkan begitu sahaja tanpa perjuangan. Berpantang maut sebelum ajal!

Tanyanya, tidak malukah saya menghadapi orang ramai andai saya dalam keadaan sepertinya. Jawab saya, kalau kita tidak malu melakukan sesuatu yang nyata diluar kehendak agama dan norma-norma kehidupan yang beradab, kenapa mesti kita malu setelah berlaku biadab kepada diri sendiri - tebalkan muka, hadapi kenyataan, dan baiki diri.

Dia menangis teresak-esak. Moriko.

Katanya, satu nyawa akan hidup dan satu nyawa lagi dia korbankan. Balas saya, selama ini dia memperjuangkan hak kemanusiaan, kenapa pula dia sendiri tidak memberikan hak sewajarnya untuk seseorang yang berhak untuk hidup.

Tanyanya, apa yang perlu dia lakukan. Nasihat saya, teruskan saja kehidupan walau perit kerana barangkali itulah balasan kepada kebiadapan diri sendiri. Siapa tahu yang terbaik untuk dia ialah memberi hak kepada yang berhak.

Moriko menangis lagi. Kali ini lebih kuat, dan saya memeluknya erat-erat. Ujar saya, belajar saja dari kesilapan pertama itu. Usah ulangi kerana mengulangi kesilapan yang sama adalah satu jenayah kepada diri sendiri.

Setelah puas menangis dia menongkat dagu, lama-lama. Kemudian mengukir senyuman manis. Katanya, dia akan pulang dan membina hidup baru bersama anaknya yang bakal lahir.

Kata saya, bunga sakura tetap saja tersenyum wangi menerima kepulangannya nanti. Katanya, semoga Gunung Fuji juga masih lagi sudi menyambut renungannya setiap pagi.

Salam.

Saturday, 14 July 2007

Janji

I.
Demikian setianya janji yang bermukim damai di jambangan hati, menanti dalam tenang lamaran sang purnama mengambang. Pada hati yang utuh berjanji, tiadalah aral segarang badai pun yang bisa menghancurkan janji itu. Tidak juga ombak mengganas mampu memamah sebuah janji nan seteguh waja. Janji adalah amanah, dilunaskan atas nama cinta Khaliq.

Namun janji Khaliq lebih perkasa. Taufan bagiNya hanyalah usikan naluri dan gelombang itu sekadar menguis-nguis rasa. 'Pabila mahuNya berkata “jadilah”, maka tanpa curiga janji itu hanya tinggal ungkapan yang terkulai di pinggir bibir.

II.
Aduhai, longlai jua sekujur tubuh ini dan hati kecewa tidak terperi! Hanya kerana pembentangan tugasan ditunda ke petangnya, janji hati untuk membawa diri ke Tanjung terpaksa dibatalkan. Sabar dan redha jua.

Mengimbau kembali yang telah berlaku dan berlalu, apa jua yang dikalamNya untuk saya maka itulah yang terbaik untuk saya jalani. Wallahu'alam.

Kereta teman saya telah ditimpa kemalangan dalam perjalanan ke utara. Kawan sebelah pemandu (yang sepatutnya saya jika mengikut rencana asal) mengalami kejangan otot akibat terjerut tali pinggang keledar ketika kereta tidak sempat dibrek, lalu melanggar kereta di hadapan yang melakukan brek kecemasan. Ranap bonet kereta teman itu. Otot kawan yang kejang masih belum pulih sepenuhnya hingga kini.

Kepada keluarga Bakawalee dan Klan Genderangnya, walau tidak berkesempatan menghadirkan diri, kalian tetap hadir dalam hati saya kala Devian Dogma berpencak di atas pentas.

III.
Aah, janggal sungguh berada di sidang minum-minum kopi itu yang lebih banyak berlipur-lipur berdongeng tentang emas berlian. Tentang tebal nipis gelang dan rantai leher, juga tentang sofa Itali dan pakaian dalam Rahsia Victoria.

Selalunya begitulah, berasa janggal sekali kerana mereka wanita-wanita hebat anggun bergelaran itu dan ini. Sepatu dari Milan, baju dari London. Tempah busana Bernard Chandran. Bergincu Shiseido, berselendang renda Perancis. Antara Cleo dan Cosmopolitan -Impiana dan Jelita, tersisip Mangga dan Hai!

Saya berada di kalangan mereka bukanlah menyibuk-nyibuk sebenarnya. Sekadar menunaikan janji untuk menemani kawan saya yang kerjanya kadang-kadang menjaga tepi sarung perempuan anggun sebegitu. Pada suatu hari, selesai entah berapa cawan kopi hitam Brazil yang diminumnya, maka terkeluar dari mulutnya mengatakan saya ini gemar akan segala macam sajak. Wah, sejak itu mereka bukan main lagi mahukan saya mendeklamasikan sajak. Saya kata saya tidak pandai, saya sekadar tahu sedikit-sedikit baca sajak.

Sejujurnya setelah dua kali bersama mereka, saya naik rimas dan tidak tahu lagi sajak apa yang perlu saya sampaikan untuk mereka. Saya mahu menarik diri.

Tiba-tiba suatu malam sedang saya merenung bintang yang cahayanya menyimbah-myimbah benak, saya teringatkan sesuatu. Lalu berujarlah hati bahawa setiap kita perlu berani membuat pertimbangan kepada sebuah kehidupan yang fana ini, yang denainya entah panjangnya berapa hasta dan berapa relung pula luasnya. Hatta selagi nafas gah dihela, usahlah melangut-langut mensiakan setiap detik masa yang dilalui. Hidupkan jiwa dan pugarkan kembali kesedaran dan nilai semula harga diri dan tanggungjawab kepada agama dan ummah.

Siapa-siapa juga kita ini wajarlah berjanji kepada diri sendiri kerana Dia, kerana kita hambaNya. Usah alpa, bukankah sejak dalam rahim ibu lagi manusia sudah berjanji kepadaNya bahawa sepanjang hidup ini kita akan sentiasa bertaat dan berbakti kepadaNya? Berjanjilah untuk tampil ke hadapan menyirna gelap serta menyuluh terang bersandarkan upaya yang termampu oleh jiwa raga.

Janji diungkap untuk disimpul, mati atau tidak simpulan itu terpulang kepada pengungkapnya. Rasa yang tergetar dalam kalbu adalah hasil santapan mata, dinilai oleh akal, diperiksa oleh hati. Menyempurnakan janji setia padaNya adalah penyingkap restuNya dunia dan akhirat.

Oh oh, hampir terlupa pada sajak untuk mereka itu. Saya sambung ...

Sejujurnya setelah dua kali bersama mereka, saya naik rimas dan tidak tahu lagi sajak apa yang perlu saya sampaikan untuk mereka. Namun bintang itu memberi ilham lalu hari minggu lepas saya membaca sajak AJ yang berikut untuk mereka.

naakt
anak-anak kami selalunya
dengan rela tidak sengaja
membuka kutang
membuka celana
telanjang sebelum
cukup matang


beschaamd
kurang ajar sungguh perempuan
perempuan yang berbaju ketat
sendat sambil menutup kepala
dan mendakwa menutup aurat

mahu rasanya berdiri di depan mereka
membuka zip seluar
dan tunjukkan

ini! ini! ini aurat!
hanya nampak apabila dibuka!


Ruang itu menjadi hening. Tiada tepuk sorai seperti selalunya yang membuat saya tunduk silu. Mereka terpaku. Eh, eh … mereka merenung saya dalam-dalam. Selang seminit mereka saling berpandangan. Diam.

Mata kawan saya menyinga, semerah saga memerhati saya. Saya selamba.

“Itu sajak apa?” Tanya seorang yang rona rambutnya bak warna kulit pinang ranum.

Jawab saya, "Sajak-Sajak Suci."

Pak AJ, sajak-sajak nukilan Pak AJ mampu menjadikan saya seorang yang berani! Terima kasih untuk itu. Moga dalam damai dan tenang, di mana jua berada.

IV.
Saya akan meninggalkan teratak sepi ini untuk beberapa waktu. Kala bila saya akan pulang, tidaklah saya berani berjanji.

dalam rentang waktu yang berdebu
tersisip kartu aneh mendayu-dayu
andai purnama tiada retak seribu
teratak kujelang bersama kasihnya bayu


Tiba-tiba saya teringat Loppies dan Bro ZZ.

Moga kalian teman bloggers dalam dakapan hidayahNya selalu.

Salam.

Wednesday, 4 July 2007

Ingin Terbang Ke Tanjung

Kepingin sekali menjadi seperti burung helang itu yang sayup-sayup terbangnya mengepak-ngepak sayap, membawa khabar kasih untuk orang di seberang sana, jauh-jauh ke angkasa raya lalu menyelit antara awan-gemawan nan putih di langit membiru. Aaahh, tentunya nyaman sekali!

Ke mana?


Menunaikan hasrat hati yang dipendam kira-kira dua belas purnama lamanya. Sesuatu yang hampir saja digapai tahun sudah namun terhalang di tengah jalan. Juga untuk meraikan cinta Alam yang telah membujuk gundah sekeping hati ini. Alhamdulillah.

Namun dalam kalut waktu yang tersimpul erat begini, entah mampukah diri merungkai simpulan itu. Walau menjadi tuan kepada masa, barangkali saya juga perlu menjadi pencuri masa!

Sejujurnya, kepingin sekali terbang ke Tanjung untuk Devian Dogma.

Selepas itu, kalau punya masa lagi, elok juga rasanya makan angin meninjau-ninjau nama-nama jalan di Tanjung sebelum ditukar kepada nama yang lebih glokal.

Salam.

Friday, 29 June 2007

dia Dalam Kenangan

Selepas pertemuan terakhir itu dia menyepi seperti yang sudah-sudah juga, dan saya akur benar dengan fi'ilnya yang aneh itu. Kunjungnya janganlah dinanti, perginya relakan saja. Usah jua merindu-rindu.

Namun keagungan-NYA yang Maha Kamil mengatasi segala kesempurnaan insan. Siapakan bisa menghalang layangan warkah itu yang tibanya tanpa diduga, menggirang nian sekeping hati.

dia kembali, dia kembali! Namun ...

... dia kembali hanya untuk menitip salam perpisahan diiringi seuntai doa sewangi jambangan mawar putih - "Semoga setiap detik nafas yang kamu hela itu ada kasih-NYA bertakhta di sanubari."

Betapa tercalar jua naluri ini. Dari getar suara kalamnya, saya tahu ada guritan pedih di hatinya. Aduhai.

Balas saya - "Selamat tinggal bukan untuk selamanya. Ada waktu-waktu kamu singgah dalam doa saya. Ada ketika-ketikanya saya hadir dalam doa kamu."

Begitulah berakhirnya kisah kami.

Barangkali itulah janji Masa kepada sekalung persahabatan yang berenda mulus dengan benang-benang kasih-NYA yang berwarna pelangi. Pesan-NYA barangkali - "Renda secantik itu jadikan hamparan denai menuju mahligai-KU."

Aduhai. Luka itu tetap saja pedih dan hati menangis menahan sakit. Namun parut luka tidak semestinya berbekas.

Pada kalbu yang disemai cinta Alam, luka itu menyubur pohon hati untuk merendangkan rasa insaf yang bakal mendampingkan jiwa pada Khaliq.

dia dalam kenangan.

Salam.

Monday, 25 June 2007

Ah, mata ini ...

Manakan bisa menutup mata kala menjalankan tugas. Apa tah lagi andai tugasan itu bertempat di beberapa buah kompleks membeli-belah dan taman-taman rekreasi di sekitar ibu kota. Macam berhibur-hiburlah pula saya selama empat hari itu. Aduuh, mata ini pun satu juga, payah benar untuk tidak melihat mereka! Anak-anak muda itu saya kira sedang ... entah apa perkataan yang paling sesuai ya ... membeli-belah, bersantai, bersiar-siar, berpeleseran, atau berkeliaran?

Perangai anak-anak muda itu sungguh merobek hati saya, tapi barangkali tanggapan saya itu salah. Maka untuk memujuk luka itu dan mahu benak berfikiran yang baik-baik saja, saya pun memakai kaca mata hitam dan berbisik manja kepada hati ...

Barangkali sudah menjadi trend masa kini untuk berkahwin muda, dan direstui oleh ayahanda bonda. Barangkali juga pengantin baru mahu berjimat-cermat lalu berbulan madu saja di tanah air. Oh, keghairahan mereka bercanda asmara sukar dibendung, bermesra-mesraan dan bercumbu-cumbuan di mana-mana! Di kompleks membeli-belah. Di taman-taman rekreasi.

Entahlah, empat hari itu amat menggusar rasa dan menggangu tumpuan tugasan. Sebak nian, dan hati membujuk mohon dihibur.

Lalu saya bersantai mencuci mata di sini. Betapa saya terhibur sekali sehinggakan air mata menitis membasahi pipi, menyuci hati, dan mengangkat cinta untuk-Nya. Terima kasih Pak AJ. Moga Tuhan memberimu damai dan tenang, sentiasa.

Salam.

Tuesday, 19 June 2007

Lelaki Pakai Subang

Apalah yang nak dihairankan pada lelaki yang masuk ke salon kecantikan untuk mendapatkan rawatan facial. Tidak juga menghairankan kalau lelaki menggunakan produk penjagaan kulit yang lengkap seperti orang perempuan. Itu keperluan asas saya kira untuk menjaga kulit wajah agar penampilan lebih segak.

Saya juga tidak hairan andai ada lelaki yang gemar memakai kemeja berbunga-bunga, atau menggalas beg yang bercorak agak feminin. Itu fesyen, kata mereka.

Apa yang menghairankan saya ialah lelaki yang memakai subang di telinga. Tak cukup satu, dipakainya dua atau tiga. Paling hebat yang pernah saya lihat ialah dua cuping telinga dipenuhi subang beraneka bentuk, warna, dan gaya. Fikir saya, barangkali dia sudah kehabisan tempat untuk menyimpan subang-subangnya, maka disimpan saja di cuping telinga. Barangkali juga cuping telinga itu tidak cukup, lalu dipakai di hidung, di bibir, di hujung lidah, dan di pusat.

Lagi menghairankan saya ialah apabila si pemakai subang itu ialah seorang lelaki yang sudah setengah abad umurnya! Astaghfirullah al'azim...

Rata-rata lelaki yang pernah ditanya berkata memakai subang itu meyakinkan diri, mengikut fesyen, dan kelihatan cantik. Cantik?

Cuma yang tidak menghairankan saya ialah kalau lelaki yang memakai subang itu adalah lelaki India kerana memakai subang yang dipanggil kadukkan merupakan adat dan tradisi yang dilaksanakan ketika kanak-kanak lelaki mencapai usia baligh. Tradisi ini disempurnakan dalam upacara bertindik penuh adat istiadat dengan segala jampi serapahnya. Budaya ini juga dijalankan untuk kanak-kanak perempuan di mana subangnya dipanggil toodu.

Menurut kepercayaan kaum India, manusia yang tidak ada cacat-celanya mudah terkena sihir. Oleh itu, bertindik dan memakai subang melambangkan 'kecacatan' dan tidaklah mudah terkena sihir.

Sudah tentu lelaki Melayu memakai subang bukan kerana alasan yang sama seperti kaum India itu. Alasan yang utama ialah fesyen.

Rupanya kebanyakan kita ini suka menjadi hamba kepada fesyen hingga lupa kepada batas-batas dan sempadan tata-susila berfesyen!

Salam.

Sunday, 17 June 2007

Pesan Bapa

Setiap hari adalah Hari Mama.
Setiap hari adalah Hari Bapa.


~ Bacalah buku kerana buku adalah kawah ilmu yang dapat membantu memasakkkan kehidupan manusia.

~ Mengembaralah kerana kembara akan menimbulkan rasa kekaguman terhadap kebesaran Tuhan. Rasa kagum membawa diri untuk berfikir. Berfikir membuka ruang untuk mencari ilmu.

~ Nilai wanita terletak pada keberaniannya memikul tanggungjawab dan mencintai hidup.

~ Pakaian melambangkan kesopanan wanita dan mewakili bangsa yang berbudaya dan berhemah mulia.

~ Seorang bapa adalah pemimpin keluarga menuju syurga Illahi.


Selamat menyambut Hari Bapa kepada semua teman blogger yang bergelar bapa, dan selamat Hari Bapa juga kepada bapa-bapa teman blogger :)

Salam.

Friday, 15 June 2007

"Saya lelaki malang."

Khamis 14 Jun 2007, 12.30 tengahari ...

Bersama hanya untuk memandang seraut wajahnya yang suram bukanlah sesuatu yang enak dirasa. Seenaknya bertamu ialah 'pabila ada bicara tentang bintang-bintang di langit, atau pelangi tengahari, atau titis-titis air, atau tentang sebutir mutiara itu. Namun begitulah selalunya, dia mahu bertemu hanya untuk melontar rasa asam garam dan manis pahit kehidupannya.

"Apa lagi kali ini?"
"Dia mahu saya tinggalkan dia." Suram wajahnya menjadi kusam.
"Bagus, teruskan." Ujar saya. Dia menjegilkan mata.
"Saya tidak sanggup."
"Tapi sanggup dipermainkan dan diperbodohkan?"
"Kasihan pada Lia dan Aman."
"Dia cuma ibu pada nama, tanggungjawab ibu kamu yang pikul."

Aduuh, siapalah saya ini untuk berungkap-ungkap begitu kepadanya yang lebih berpendidikan tinggi! Namun barangkali kerana tali kekeluargaan dan persahabatan yang tersimpul kuat sejak kecil lagi menjadikan kami dua orang sahabat yang saling memahami, maka saya petah saja mengaju-ajukan suara lantang yang barangkali kurang lunak didengarnya.

Begitu sekali kehidupannya yang tidak pernah bahagia walau mahligai terbina atas nama cinta dan kejujuran mahu mengangkat mertabat seorang perempuan dari lembah yang kotor ke taman indah yang dikerumuni rampai sari semerbak harum, lalu dibelai-belai dan diteduhi selangit kasih hanya untuk yang tersayang.

"Apa harus saya buat?" Tanyanya dalam murung wajah yang menggusarkan saya.
"Tunaikan apa mahunya."
Dia mengeluh panjang-panjang.
"Hei, ramai lagi perempuan yang anggun-anggun di luar sana untuk menjadi ibu kepada Lia dan Aman!"
Matanya berkaca-kaca.
"Aduuh, untuk apa bersedih? Kan sudah diusaha untuk mengubah keadaan?"
"Saya lelaki malang."

Lebih malang lagi maruahnya sebagai lelaki saya kira, andai dia tidak melepaskan perempuannya itu. Bertambah-tambah malang andai berterus-terusan menjulang kasih yang tidak berbalas. Dia perlu membuat keputusan.

Akur, membuat keputusan bukan calang-calang sukarnya, amat berat untuk dilaksanakan dalam kehidupan yang fana ini. Kadang-kadang keputusan itu berdaya menghancurkan diri sendiri dan bisa saja menggurit berkeping-keping hati yang lain.

Pada jiwa-jiwa yang mengagungkan Rabbulalamin, keputusan yang berlandaskan cinta kepadaNYA, walau perit untuk dipapah, bakal membungakan cinta yang lebih wangi dan bermakna untuk sebuah kehidupan yang lumayan di dunia dan akhirat. Wallahu'alam.

Addin, moga Dia melapangkan hatimu untuk satu keputusan yang kamu redha dan diredhaiNYA.

Salam.

Wednesday, 13 June 2007

Mahendran dan Khairil

Rupanya Mahendran yang baru 4 bulan menjadi anak didik saya itu adalah abang kandung Tilla yang mulutnya becok sekali dan cukup suka jaga tepi kain orang.

Mahendran berkarektor introvert. Suaranya langsung tidak keluar apabila diajukan soalan, kalau bersuara pun macam bunyi ayam yang tidak cukup makan gayanya! Dia cuma bersuara sedikit kuat apabila diacah-acah oleh Khairil yang duduk di belakangnya. Budak Khairil ini pun satu juga, nakalnya bukan main lagi dan saya agak kecewa dengan pencapaiannya walau sudah 2 tahun di bawah bimbingan saya.

Mahendran dan Tilla datangnya dari keluarga 11 orang dan tinggal di rumah pangsa dua bilik. Ibu, bapa, datuk, dan 8 orang adik beradiknya tinggal sebumbung. Tilla di Darjah 5, Mahendran di Tingkatan 1. Kakak sulung mereka Yugini menjadi murid saya dua tahun lepas ketika di Tingkatan 5. Hasil usahanya yang gigih, BM yang sering gagal dulunya berubah menjadi kredit 5 di dalam SPM. Dia juga mendapat 1A, dan 5 kredit yang lain. Sekarang dia di Tingkatan 6 dan bercita-cita untuk ke menara gading, dan menjadi guru.

Mahendran bersama seorang lagi adiknya diserahkan kepada rumah anak yatim ketika masing-masing berumur 8 dan 7 tahun. Bapa mereka kerjanya pemandu lori. Ibu mereka tukang sapu di sebuah pasar raya. Apabila rumah anak yatim itu ditutup, Mahendran dan adiknya kembali ke pangkuan keluarga awal tahun ini. Mahendran ini kemahuan belajarnya cukup kuat dan dia rajin. Dalam masa 4 bulan sudah ada peningkatan dalam pelajarannya.

Akan tetapi budak Khairil itu, alahai, tak berubah-ubah sikapnya. Dia mempunyai 6 orang adik beradik. Dia yang sulung. Bapanya pemandu lori manakala ibunya pekerja kilang. Saya pening. Sudahlah mengganggu-ganggu orang lain, dia jarang sekali menyiapkan kerja dalam kelas! Sudah dinasihati, sudah ditegur. Sungguh keras kepala! Lain yang disuruh, lain yang dibuat.

Remaja mestilah membincangkan perkara yang keburukan. Remaja mestilah menjalankan aktiviti bersama rakan sebaya. Kalau kita tak tahu rakan sebaya kita akan mengajar kita. Kalau di sekolah mengadakan menghadiri motivasi remaja. Di motivasi cikgu akan mengajar remaja tentang pelajaran. Cikgu akan beritahu kepada remaja apa-apa yang keluar di peperiksaan. Remaja mestilah belajar pelajaran yang diajar oleh cikgu mata pelajaran.

Saya ketawa kecil semasa memeriksa karangannya itu mengenai "rakan sebaya dapat membantu dalam proses pembentukan disiplin remaja." Kalian juga ketawakah? Barangkali. Wah, kalau begitu kita sendiri mentertawakan orang Melayu!

Oh, itu cerita Khairil yang mewakili cerita Aqilah, Idah, dan Nasrul.

Akan tetapi cerita Nuratiqah sudah berakhir buat seketika ini. Dia tidak lagi menjadi anak murid saya, walhal peperiksaan UPSR sudah semakin hampir. Bapanya garang tapi tidak melarangnya untuk menghadiri kelas. Kata ibunya, Nuratiqah tiada kemahuan untuk belajar lagi. Saya sedih. Saya masih memujuknya.

Salam.

Tuesday, 12 June 2007

Tanpa Undangan

Petang semalam jam 5.55 ...

Sudah menjadi budaya perempuan itu memeriksa tayar sebelum memandu. Semua kelihatan baik lantas dia pun memandu sambil mendengar lagu keroncong Rindu. Dia damai dan tenang kala itu.

Tiga minit berlalu dan ketenangannya terganggu. Entah kenapa keretanya menjadi lemah. Pedal minyak dan pedal gear ditekan-tekan silih berganti namun kereta semakin tidak siuman. Antara mahu dengan tidak, dia pun memandu dengan gear dua kerana itu yang paling selesa. Tiba-tiba ada bunyi aneh entah dari mana datangnya. Keroncong diperlahankan dan telinganya ghairah mencari-cari bunyi itu.

Bunyi krook, krook, krook semakin nyata datang dari arah belakang sebelah kiri kereta. Dia melihat cermin sisi kiri tapi tidak ada apa-apa yang aneh di belakang.

Sejurus krooook, kroook semakin kuat. Dia menoleh ke belakang. Asap?!!! Dia menjerit dalam hati. Cemas.

Kereta dipandu ke tepi. Keroncong ditutup kemudian dia keluar melihat apa yang berasap.

Matanya terbeliak. Aiseyymann, tayar pecah? Hari itu baru ditukar baru. Bunga masih cantik. Dia beristighfar beberapa kali.

Dia segera menelefon AAM. Seusai menelefon dia mendongak. Sekali lagi matanya terbeliak.

Seekor gagak hitam melayah-layah melintas di hadapannya ...

Salam.

Friday, 8 June 2007

Gagak Hitam, Kucing Hitam

Entah apa yang tersirat apabila seekor gagak hitam melintas di hadapan saya seawal 8 pagi tadi. Saya tersenyum lebar. Bukan melihat gagak itu, tapi teringatkan kandungan satu e-mel daripada seorang yang bergelar guru berpangkat abang kepada saya yang menyentuh tentang kucing hitam dan gagak hitam. Katanya kalau gagak hitam atau kucing hitam melintas di hadapan, barangkali boleh saja dijadikan ilham melukis cerita ala-ala Harry Potter!

Aah, tepat sekali! Ilham pun datang lalu terlukis jua cerita, namun kisahnya sekadar ala-ala Si Bunga Rampai...

Barangkali gagak hitam itu punya kesaktian yang aneh-aneh membuat saya sepanjang pagi walau tidak sibuk, culas pun tidak, alahai ... ada sesuatu yang tidak kena. Saya rasa begitulah.

Barangkali saya telah melukai hati seseorang, barangkali beberapa orang. Di mana-mana. Alahai, resah nian!

Saya tahu luka itu adalah luka saya juga. Dan saya berasa amat terluka. Entah mengapa ya. Kini saya mencari denai menghijau dan tasik nan jernih untuk melipur-lipur hati. Hujung minggu, atas izin Masa jua.

Sungguh, gagak itu sakti sekali. Barangkali. Tiba-tiba denai dan tasik itu terpampang di ruang benak. Saya tahu kini di denai mana ada damai, di tasik mana ada tenang. Di sana ada tafakur dalam santai.

Aah, lamanya tiba hari minggu itu ...

Barangkali andai seekor kucing hitam tiba-tiba melompat di hadapan saya, itu tandanya saya sudah menghancurkan hati seseorang, atau beberapa orang. Barangkali. Kerana seperti gagak hitam, kucing hitam juga membawa pesan Alam (Walaupun warna hitam, usah sirnakan. Renung dengan mata hati, ada kemurnian di dalamnya).

Moga ada maaf Khaliq untuk saya.

Salam.

Saturday, 26 May 2007

Cinta dan Rindu

Selingkar kisah perca kenangan, kadang meredup rasa. Meneduh dalam diam. Mengutuh dalam sabar. Kebetulan hari ini genap dua tahun ia berlalu ...

Jejaka itu muncul kala saya dalam damai hati dan pugar mata menyantap judul buku-buku yang tersusun kemas di atas rak itu. Saya menjeling dengan ekor mata. Dia tampak santai berpakaian seluar koboi dan kemeja T merah hati tanpa kolar. Parasnya entah bagaimana.

Saya beralih ke sudut lain, dia menurut. Saya mengusik-ngusik buku-buku di atas rak. Dia tercegat sambil berpeluk tubuh. Membaca judul buku agaknya, fikir saya.

Tiada yang menarik di sudut itu lalu saya menyusun langkah ke sudut kiri. Dia mengekori, dan tingkahnya itu membuat saya merapi hati yang mula bergelombang. Dalam resah rasa yang menggebu, saya menarik keluar sebuah buku yang judulnya cukup mempesona.

"Engkau tidak bisa merindukan orang yang berlalu
jika yang engkau rindukan tidak merindukanmu."


Saya terpempan dengan lontaran bait itu. Buku di tangan terjatuh ke atas lantai. Dia mengambilnya dan bersama senyuman agak nakal di bibir, dia menghulurkan buku itu kepada saya. "Muka surat sebelas." Ujarnya.

Sukar sekali mengatur nafas kala itu dan dalam denyut nadi yang bertebaran, saya membuka muka surat sebelas. Mata saya terbeliak. Sungguh, bait itu terpampang jelas di hadapan mata!

"Muka surat 235," ujarnya lagi. Dalam kalut rasa yang sukar dipujuk dan dalam ketar jari-jemari yang dingin, saya menyelak halaman itu.

"Helaan nafas orang jatuh cinta yang bertubi-tubi
penanda derita cinta yang terpendam di relung hati
detak-detak cinta menghentak dinding sanubari
menghela nafas panjang untuk mengusir tabir hati."

Aduhai, betapa indahnya ungkapan itu membuat saya merenung wajahnya. Dia menunduk. Saya terpinga-pinga. Sejurus dia mengangkat kepala. "Bukan kata-kata saya, ada di halaman itu, bacalah," pintanya. Saya mencari ungkapan itu. Ya, ada di halaman itu!

"Selamat membaca, assalamualaikum." Dia merenung lembut dan dalam renungan itu ada kilau yang memancar. Saya tertunduk. Sejurus saya mengangkat kepala hanya untuk melihat senyumannya dan susun langkahnya meninggalkan saya.

Saya bergegas mengejarnya. Sekurang-kurangnya saya membalas salamnya, bisik hati kecil.

Aaahh, dia tiada! Saya bertafakur seketika dan di kejauhan rasa saya bingkiskan salam dan doa untuknya. Siapa-siapa juga dia itu.

Sambil menunggu giliran di kaunter bayaran, saya sudah mula membaca buku itu: Cinta & Rindu (Menurut AlQuran dan AlSunnah) - Ibnu Qayyim Al Jauziyyah (terjemahan).


Salam.

Wednesday, 23 May 2007

Yang Sudah Berlalu

Dalam lembaran hari yang dilepaskan, ada helaian rasa yang bisa saja menjadi perca kenangan. Mengimbau dalam senyuman, menderai tawa, dan ada waktu-waktunya mendesah nubari lalu rindu bersimpuh jua di relung hati. Itulah kehidupan yang indah - ada kala enaknya tiada, sering dihampari kejutan, dan dugaan ...

Ahad pagi, sedang saya membayar harga nasi lemak di gerai itu. Aduuuhh! Bagaimana ya telefon saya boleh tercampak ke dalam bekas berisi penuh sambal nasi lemak itu? Mujurlah bersarung, jadi, telefon itu masih berfungsi. Mujur juga Mak Jah sudah lama saya kenal, dan dia hanya mentertawakan saya.

Ahad tengahari, sesudah mengisi petrol. Eh, eh! Tiba-tiba alat penggera kereta menjerit-jerit, hingar sungguh! Semua mata memandang saya. Ooh, malunya! Mujurlah ada seorang jejaka yang baik hati meredakan jeritan itu.

Ahad petang. Chef Rampai kepingin sekali membuat kek Orange Chiffon kegemarannya. Aiseymaaann, apa hal ni? Kek yang sepatutnya lembut gebu bagaikan sponge menjadi keras dan berkerak. Ha ha ha ...

Hari Isnin, saya sepatutnya menghantar tugasan jam 5 petang. Entah bagaimana minit-minit terakhir saya perasan ada kesilapan teknikal, maka saya meminta tangguh barang sehari lagi. Ooh, saya diberi amaran terakhir. Saya menggigit jari!

Semalam. Dari mana datangnya seekor rama-rama itu saya pun tidak tahu. Tiba-tiba saja muncul mengekori saya kala berjalan ke arah bangunan itu. Hinggap sana hinggap sini. Eh, rimasnya saya! Mahu saja saya menangkap rama-rama yang berwarna hitam berjalur kuning itu dan mematah-matahkan sayapnya agar tidak dapat terbang lagi dan tidak mengganggu perjalanan saya. Huh, sungguh tidak berperikehaiwanan saya ini! Mujurlah saya teringatkan sesuatu. Ya, rama-rama juga membawa pesan, walau ada ketikanya ia bisa saja merenggut rasa, bisik kalbu. Lantas, saya hanya mengibas-ngibas rama-rama itu agar tidak terlalu rapat pada saya.

Begitulah tiga hari yang sudah berlalu. Entah apa pula yang bakal bertandang hari ini, esok, dan hari-hari seterusnya. Dijemput atau tidak, segalanya akur saja diharung walau dalam kelabu mega, atau hujan tengahari, atau hangat suria. Lewat dinihari, sebutir bintang itu tetap saja setia menanti, teman bicara dan bersyair khair selagi jiwa itu mengalunkan nafas. Alhamdulillah dan selawat ke atas Baginda.

Moga hari-hari kalian dalam damai dan tenang :)

Salam.

Friday, 18 May 2007

Terhiris

Begitulah. Apa yang dihidang oleh media, itulah yang ditelan. Apa yang dilihat oleh mata, itulah yang dijadikan bahan hujahan. Mereka percaya.

Kata kawan saya Susan kepada John, "Islam di tanah air saya ini semakin liberal."

Saya cuba menelan air liur.

Inez teman John, "Ya, perempuan-perempuan kamu berani ke hadapan memperjuangkan hak wanita. Anak-anak muda juga pandai bergaul dan ranggi sekali berfesyen."

Susan, "Saya bangga dengan pembangunan negara saya. Dan John, kamu juga perlu menemuramah mufti yang liberal itu, juga seorang lagi mufti yang konservatif."

Oohh, air liur itu tersekat ditekak.

John wartawan dari sebelah timur Eropah itu berpaling kepada saya, "Pastinya kamu juga menyokong kumpulan kakak-kakak seIslam kamu yang hebat itu."

Duh, pahit sungguh air liur yang ditelan itu!

Saya, "Bla, bla, bla ..."

Untuk beberapa ketika kami bersoal-jawab. Entah siapa yang menang.

Saya cuma tahu hati saya amat terhiris, luka. Pedih, kerana tanggapan sipi mereka tentang agama saya. Bersedih jua mengenangkan tanah air ini, dan sebahagian kita yang masih lagi leka berfantasi sampai ke langit sepuluh. Sanggup membiarkan diri menjadi boneka yang tempang kaki, dan ditertawakan!

Sudah dua hari saya memujuk rasa untuk melupakan sidang itu. Aduhai, payah sekali...

Salam.

Monday, 14 May 2007

53F

25 April 2007 ...

Setiba dalam pesawat. Alahai, kenapa pulak perempuan mat salleh itu berada di tempat duduk saya? Bersama senyuman saya memberitahunya bahawa tempat duduk itu adalah kepunyaan saya.

Tanpa senyuman, sepasang mata bundar madam yang gempal itu meneliti saya dari kepala hingga ke kaki. Panahan anak matanya yang berwarna hijau amat menggerunkan. Gincunya merah saga. Rambutnya kemas terikat di belakang dengan reben hitam, besar. Pakaiannya suit hijau tua dengan kemeja putih bergaris kuning. Dia kelihatan amat elit dan macam VIP.

Saya memohon lagi kepadanya untuk memberikan tempat duduk itu kepada saya. Ya, meminta ihsan kerana saya mahu duduk di tepi tingkap.

Eh, eh, dia memandang ke luar tingkap pula, dan dalam pesawat sudah berlaku kesesakan lalu lintas.

Sejurus pramugari tiba dan saya membuat aduan.

Dengan muka masam semasam belimbing buluh, madam itu bangkit beralih tempat. Dia mengangkat beg tangannya. Wow, CK! Dia duduk di sebelah saya. Saya duduk di tepi tingkap.

“Terrorist!” Tiba-tiba tercetus perkataan ini daripada mulutnya.

Saya membeliakkan mata. “I beg your pardon?”

Dia mengomel-omel sendirian, entah bahasa apa.

“You are.” Ujar saya lembut kemudian menghadiahkannya sekuntum senyuman.

Gilirinnya membeliakkan mata, dan sepanjang penerbangan dia berdengkur.

Saya melihat-lihat nombor tempat duduk pada keratan boarding pass - 53F.

Alhamdulillah. Yeaayy, saya dapat melihat awan! :)

Salam.

Monday, 7 May 2007

Merpati


Apakah yang kalian suka tentang sekawan burung merpati di dalam gambar di atas itu? Gambar itu saya rakam ketika kembara saya baru-baru ini.

Saya gemar melihat mereka bergerak, melangkah sana-sini. Kaki yang kecil comel itu melangkah pendek-pendek, gedik-gedik. Saya pandang kaki saya. Wah, panjang sekali dan pastinya saya lebih hebat melangkah berbanding burung-burung itu! Hebatkah?

Sukar sekali membayangkan apakah yang bakal dihadapi apabila kaki itu diunjurkan selangkah ke hadapan. Barangkali unjuran itu bakal membawa kaki itu terus berlari tanpa henti hingga ke destinasi. Barangkali kaki itu hanya mampu menyusun sepuluh langkah dan tiba-tiba terhenti. Barangkali juga langkah itu berpatah ke belakang. Barangkali ke kanan atau ke kiri.

Ada kalanya kaki itu tergelincir. Kadang tidak mampupun bergerak.

Bersama langkah itu kita bawa ilmu pengetahuan yang ada pada kita, keturunan dan salasilah keluarga, kekuatan tubuh badan, kecantikan/ketampanan, harta benda, pengaruh dan kuasa kita. Bersama langkah itu juga kita bawa batin kita - ada rasa kasih, sayang, benci, iri hati, dengki, marah, dendam, sombong.

Dalam apa juga keadaan langkah itu, sedar atau tidak, kita sebenarnya melangkah sambil membawa ego kita!


Riak, sombong diri, pemarah, takkabur merupakan beberapa jenis penyakit jiwa yang disebabkan oleh ego yang tidak dikawal. Awas, ego yang tidak dikawal bukan sahaja mengganggu keseimbangan emosi dan mental, malah membinasakan diri sendiri dan bisa saja membawa bencana kepada ummah. Bagaimana pula ego kita terhadap Allah SWT?

Oh, saya tidak berpanjang-panjang bercerita mengenai ego itu. Andai kalian mahu tahu lebih lanjut, carilah ilmu tentang ego itu di mana-mana. Jangan tidak, rugi!

Merpati-merpati itu lagi. Kepingin sekali melihat gelagat merpati dua sejoli, namun tiada. Mereka sering sahaja berkawan-kawan, mencari makan kemudian terbang. Barangkali mereka belum bersedia, atau darah belum panas untuk berjoli-joli.

Aah, darah panas ... tentu saja kepunyaan orang muda!

Darah orang muda yang mengalir kencang sememangnya manis dan panas! Bergemuruh cair apabila teruja, menyirap hangat apabila digertak. Ombak geloranya sukar direda. Mencari pelabuhan untuk melabuh sauh. Enak jika berteman, kekasih barangkali - teman untuk bicara meluah rasa di bawah sinar rembulan. Rindu merindu. Selaut kasih dihampar, dialah segalanya! Eh, eh, ke situ pula saya .

Darah muda andai tidak dikawal, aliran darah berserakan entah ke mana-mana tiada hala tuju. Nah, fikirkan di alur mana harus dialir darah muda itu agar bermukim kental dan bermanfaat untuk sebuah alam dan sekalian penghuninya.

Setiap anak muda punya tanggungjawab yang dapat menyumbang kepada pembangunan rohani, dalam menyatukan ummah.

Ayuh anak-anak muda kita sekatakan rasa, gumpalkan tenaga, mantapkan jiwa - kita bantu ummah tuju pembangunan rohani yang jitu. Inilah masa menyumbang kasih menghulur bakti, ketika usia masih muda berdarah panas! Hulurkan salam kenal, unjurkan tenaga, bantu mana yang perlu untuk membaikpulih rohani dan jagat yang semakin rapuh ini.

Sekali-sekala kongsilah masa, tenaga, dan kasih kita di sini, atau di sini, atau ini, dan ini. Banyak lagi sebenarnya. Ia membuka ruang yang lebih besar untuk ikatan silatulrahim, meluaskan pengalaman dan menambah pengetahuan. Menimbulkan rasa kagum dan cinta kepada Allah SWT dan RasulNya. Mulakanlah sesuatu ...

... paling mudah, mulakan di masjid. Fikir-fikirkanlah :-)


Salam.

Thursday, 3 May 2007

Hello!

Awal pagi itu, sementara menunggu ketibaan ERL di KL Sentral ...

... Saya tahu benar nada dering itu - Mozart 40.

Lalu lelaki India yang berperut boroi itu, berkemeja T putih, cepat-cepat berdiri dan menyeluk saku seluar koboinya. Aah, mengapa ya sukar benar? 'Pabila nada dering berhenti dia masih lagi bertungkus lumus cuba mengeluarkan telefon itu. Akhirnya berjaya dan Mozart 40 berkumandang lagi.

"Hello! Bla - bla - bla - (dalam bahasa Tamil) ..." Duh, suaranya macam guna mikrofon!

Tiba-tiba, "Apa daa, kalau you berani mari datang jumpa saya la! You ka betul atau saya ka yang tipu...pigi la you!"

Dalam ERL menuju KLIA ...

... Wah, Dealova!
Itulah nada dering telefon dalam genggaman perempuan bergaya itu yang duduk di hadapan saya.

"Elloooo ... " Bukan main manja lagi!

"On the way ... tak lupa ... mestilah rindu ... alaa, tak lama ... nanti I call, don't worry ... okey, you take care too sayang ..."

Ooh, dia sedang sarat bercinta!

Di KLIA, sementara menunggu panggilan untuk naik pesawat ...

... Saya tidak kenal nada dering telefon lelaki mat salleh yang tinggi lampai berkot biru tua itu, agak ganjil pada pendengaran saya.

Dia: "Lo! Lo! Lo! ..." Kemudian dengan wajah kecewa dia menutup telefon itu.
Sejurus kemudian: "Lo! Lo! Lo! ... " Dia kecewa lagi.
Kemudian: "Lo! Lo! Lo! ..."

Dia membuka briefcasenya lalu membaling telefon itu ke dalam. Tutup briefcase. Dia kemudian menumbuk briefcase itu dua kali.

Dalam pesawat ...

... Saya yang lapar sudah bersedia untuk meminta mee goreng sebagaimana yang tertulis dalam menu. Pramugara itu yang seiras Hritik Roshan tiba dengan senyuman yang cukup manis di bibirnya, "Hello ... " dan bertanya saya mahu makan apa. Saya kata mee goreng.

Pramugara itu pun mencari-cari dalam trolinya, kemudian: "Really sorry, mee gorang is not available."

Saya, sambil mencemikkan muka: "No mee goreng?"

Pramugara itu: "Yes, mee gorang ... eeelek!"


~~~~~~~~~~


Hello kalian! :-)


Salam.

Thursday, 5 April 2007

Rotan!

Hairan sungguh saya budak-budak itu, alaa ... anak-anak saya tu! 'Pabila saya menjegilkan mata dan meninggikan suara, mereka akan tersenyum-senyum sambil menjeling-jeling pada saya, kemudian berbisik-bisik antara satu sama lain. Geram!

Entah berapa kali sudah dijelaskan makna perkataan itu dan mereka berkata, "Faham!" dengan suara yang lantang dan yakin, tetapi ada juga yang tidak faham.

Dalam geram itu saya ketawa juga apabila memeriksa buku latihan mereka. Siapa yang tidak akan ketawa, bacalah ayat mereka di bawah ini. Apabila saya menerangkan kepada mereka maksud ayat itu, mereka juga akan ketawa dan kelas akan gamat!

tersepit = Ah Chong makan menggunakan tersepit kayu.

menggelupur = saya makan sambil menggelupur.

digolekkan = ibu dan bayi itu digolekkan di atas katil selepas bersalin.

Wah, mereka ini bukan boleh diberi muka manis banyak-banyak! Apabila suasana tenang kembali, mereka membuat latihan sambil lewa. Maka untuk pertama kalinya minggu lepas saya berkata, "Minggu hadapan kita ada kawan baru."

"Siapa?" Tanya Tilla yang mulut becok suka menyibuk.

"Rotan!"

Satu kelas terdiam. Mereka membeliakkan mata dan mulut terlopong.

Saya hanya senyum.

Salam.

Friday, 9 March 2007

Si Cilik Remaja ll

Terima kasih kepada teman bloggers yang meninggalkan komen untuk entri saya yang terdahulu, Si Cilik Remaja. Saya amat menghargainya. Kalian sebenarnya telah membuka ruang untuk saya meluahkan rasa hati. Luahan rasa bermula dengan petikan komen di bawah yang saya kira mewakili semua komen yang telah diberi.

Dari sudut lain, mereka sebenarnya mencari kasih sayang. Malahan dengan aiskrim sudah timbul keseronokan. Perlu ditunjuk ajar dengan penuh hikmah ~ Ku Keng.

Cilik-cilik Si Cilik Remaja, dia juga manusia biasa yang punya hati, ada rasa, membendung hasrat, mahu berbicara manja, kepingin sekujur tubuh diusap belai dengan tangan-tangan lembut penuh kasih dan sayang. Si Cilik Remaja mahukan perhatian. Lumrah kejadian manusia di peringkat ini dengan jiwa yang berdarah panas, berombak ghairah - ini bukanlah satu perkara pelik. Cuma, ianya akan menjadi aneh apabila segala rasa dalaman itu dengan enak saja disalurkan tidak mengikut adab, lantas bukan sahaja remaja itu menzalimi dirinya sendiri malah menzalimi ibu bapanya, keluarga, kawan-kawan, dan ummah.

Lihatlah betapa mudahnya mempengaruhi remaja yang terumbang-ambing dengan perhitungan yang masih terapung-apung - hanya dengan pelawaan untuk makan aiskrim, lentur akar hati lantas menurut saja kehendak itu . Apa lagi andai diajak tengok wayang, makan angin, tengok konsert - pasti melonjak seronoknya tidak terperi! Bayangkan apa yang bakal berlaku andai yang mengajak itu punya niat jahat, alahai ... kesan dan kesalnya juga tidak terperi!

Apa pun keterlanjuran yang telah dilakukan oleh para remaja, saya kira ruang masih lebar dan panjang untuk membawa mereka ke jalan yang lebih berfaedah, dan siapa-siapa juga kita ini wajarlah menjadi sahabat mereka sekali gus berperanan sebagai pembimbing.

Bukan semua remaja bermasalah datang dari keluarga yang berantakan, bukan semua remaja mahu berada dalam kabut kepincangan peribadi. Ada remaja bermasalah berlatarkan keluarga yang berhemah, ada remaja pincang kerana desakan dan tekanan hidup.

Sambil-sambil kita menuding jari ke sana-sini, jangan lupa tudingkan jari itu ke arah diri sendiri. Sambil-sambil kita mengeluh mengenang nasib para remaja yang tergelincir jalan, binalah denai lurus dan terang untuk mereka lalui, moga mereka lebih menghargai kehidupan yang fana ini. Tunaikan amanat Allah Subhana Wata'ala yang dipertanggungjawabkan kepada kita.

Setiap kita punya tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah Subhana Wata'ala untuk membantu insan lain. Kita bagaikan kepingan jigsaw puzzle, saling melengkapi untuk sebuah kehidupan yang lebih bermakna di dunia dan akhirat. Mengabaikan amanah ini bermakna kita turut membantu menghancurkan ummah, sekali gus mengabaikan persediaan jawapan yang bakal ditanya di akhirat nanti.

Remaja sering keluh resah mengharapkan belaian suara manja penuh kasih, sentuhan tangan mengusap-ngusap sayang - itulah santapan rohani yang ulung dalam pembentukan jiwa remaja yang berketerampilan hebat, juga perisai utama untuk menepis dan menangkis noda-noda hitam yang menceroboh diri! Jiwa nan gersang kasih sayang juga adalah perangkap utama remaja mencari perhatian dan keyakinan di luar norma kehidupan dan adab-adab agama.

Sambil-sambil makan aiskrim, sambil-sambillah berseloroh dan berbicara santai a-la hip-hop remaja, dan dalam sambil-sambilan itu selitkan pengisian mata hati yang boleh membawa mereka berfikir. Bina titian persahabatan, panjang-panjangkan titian itu sehingga kukuh. Remaja sebenarnya memerlukan seseorang yang mahu mendengar segala gelodak lahar jiwa mereka.

Andai mereka ketandusan perhatian dan kasih sayang keluarga, apa salahnya kita unjurkan sedikit kasih kita untuk mereka rasa, apa salahnya hulurkan secebis sayang kita untuk mereka jiwai. Kongsilah sekelumit masa kita bersama mereka. Kasihani dan sayangi mereka sebagaimana sifat Allah yang Maha Mengasihani dan Maha Menyayangi semua hamba-NYA.

Ya, sambil-sambil makan aiskrim a-la hip-hop Si Cilik Remaja, sedar tidak sedar antara suapan dan ungkapan, barangkali ada ilmu yang terselit. Siapa tahu. Fikir dan renung.

Sesungguhnya zaman berubah, era berbeza namun kita jangan alpa, janji Tuhan tidak pernah berubah walau berapa kurun pun berlalu.

Kalam Allah jelas, dan Sunnah Nabi nyata.
Tugas kita menasihati dan membimbing seadanya, selebihnya DIA uruskan.


Aduhai aiskrim ...

aiskrim sundae McD dengan topping coklat memang sedap!

Aiskrim Malaysia pun sama hebat, itu ... yang ada asam boi ;)


Salam.

Monday, 5 March 2007

Si Cilik Remaja

Remaja-remaja itu, 17 atau 16 tahun barangkali. Cantik dan manis. Gebu dan mulus. Ranggi dan hip-hop. Cuping telinga bersubang tiga empat. Rambut bersinar dwiwarna. Fesyen pakaian yang ala-ala tidak cukup kain.

Gamat sungguh remaja- remaja itu. Ketawa terkekeh-kekeh.

1: "Eh, ngko kawin jelah!"
2: "Aa'aah, dah suka sama suka."
3: "Dah kawin pon, nikah je blom."
4: "Cayalah, gimme faiv!"

Dan mereka ketawa lagi, penuh segerabak. Macam tren itu mereka yang punya.

Dia yang duduk berhadapan mereka mengeluh. Tersimbah jua nestapa pada hati yang sedia duka.

Di luar tren ...

"Adik semua nak ke mana?" Dia bertanya. Senyum.
"Tak tahu!" Mereka terkekeh-kekeh lagi.
"Takkan tak tahu, kat depan tu kan jalan besar?" Dia senyum lagi.
Mereka saling memandang. Pucat lesi.
"Jom, layan aiskrim kat McD, nak?" Dia senyum lebar.

Di restoran McD. Masa sekelumit itu menjadi saksi bisu kepada kisah jiwa remaja yang tidak berakar tunjang, pucuk rapuh di hujung ranting.

Telefon bimbitnya berdering. "Makan aiskrim," ujarnya sambil ketawa kecil kepada insan di hujung talian. Kepada remaja-remaja itu dia mohon berlalu.

"Kak, bila boleh makan aiskrim lagi?" Remaja-remaja itu meminta kepastian.


Salam.

Friday, 2 March 2007

RM200.00 ???

Petang, di sebuah simpang empat. Kereta perempuan itu ditahan Polis Trafik bermotosikal. Perempuan itu menurunkan cermin, "Assalamualaikum."

"Kad Pengenalan dan Lesen." Pinta pegawai itu yang sedang memegang sebuah buku.
Akur, perempuan itu menyerahkan dokumen.

Pegawai itu dengan kumisnya menjunam di tepi bibir meneliti dokumen. Kemudian melihat cukai jalan, kemudian mengelilingi kereta, kemudian memeriksa setiap tayar dengan tangan (sentuh-sentuh) dan kaki (sepak-sepak), kemudian mengintai-ngintai isi kereta, kemudian meminta perempuan itu membuka but kereta. Akur juga.

"Cari pasal." Bisik hati perempuan itu sambil membuka pintu but luas-luas. Mata pegawai itu liar memeriksa kandungan. Ada fail buruk, ada surat khabar lama, ada kasut sukan, ada sekampit kecil Friskies, ada sebuah beg galas kecil ... "Buka," pintanya. Akur lagi.

"Memang cari pasal." Dengus hati perempuan itu sambil mengeluarkan isi kandungan. Ada kemeja T, ada stokin, ada dua buah buku, ada satu bar kecil Cadbury Black Forest.

"Tayar kereta ... bunga dah habis." Pegawai itu.
"Oh?" Perempuan itu kehairanan.
"Merbahaya, boleh menyebabkan kemalangan."
"Terima kasih, nanti saya tukar."
"Saya perlu keluarkan saman sebagai peringatan."
"Eh, itu pun nak saman?"
"RM200.00"
"HAA??"
"Ermm, RM100.00 tanpa bil saman."
"Oh, mesra rakyat?"
"Memudahkan kerja awak dan saya."
"Keluarkan saman 200."
"50 tanpa saman." Pegawai itu. Senyum.
"Keluarkan saman 200." Perempuan itu. Tegas.
"Jangan lupa cek tayar itu." Pegawai itu berlalu pergi tanpa mengeluarkan saman.


Salam.

Saturday, 24 February 2007

Hobi Saya

Dan saya pun ketawa membaca tajuk itu. Seperti tajuk karangan murid darjah empat sajakan? Tapi saya suka, kelihatan comel sekali.

Tiba-tiba saya ada hobi baru. Mengumpul lagu-lagu lama yang irama dan senikatanya saya suka. Apa-apa saja lagu, tak kisahlah muziknya apa asalkan mendamai rasa jiwa raga.

Amboi, Si Bunga Rampai itu mengalih ke muzik pula? Rockkah dia? Ha ha ha!!

Saya tahu bintang-bintang itu mentertawakan saya. Pedulikan.

DIA mencipta bunyi. Jadi kita seharusnya tidak mengabaikan bunyi. Tidakkah kalian kepingin meneroka alam bunyi?

Hidup seharian kita pun dikerumuni bunyi. Bunyi angin bertiup, bunyi hujan turun, guruh dan petir, bunyi haiwan. Bunyi benda jatuh, pinggan pecah, bola yang ditendang pun mengeluarkan bunyi. Ada bunyi yang mendamaikan, ada yang memeningkan, ada juga mengelirukan. Suara kita pun bunyi. Aah, kagumnya saya pada ciptaan-NYA itu!

Papan kekunci ini pun mengeluarkan bunyi ... tuk tuk tuk ... perasan tak, tekanan yang berbeza pada setiap aksara menghasilkan bunyi berlainan? Kalau kalian kreatif, bunyi yang keluar dari papan kekunci itu pun bisa saja dijadikan muzik latar sebuah lagu. Kalau tak percaya tanyalah pakar muzik!

Satu ketika tahun lepas di ibu kota ada satu persembahan yang dinamakan Stomp mempersembahkan muzik hasil bunyi objek-objek seperti penyapu, tin kosong, botol, penutup tong sampah, dan entah apa-apa lagi. Dan 'pabila dipalu-palu, ditampar-tampar, di hentak-hentak maka terbitlah bunyi yang dijadikan irama. Saya kagum. Dan saya juga kagum sekali dengan segala macam bunyi yang dikeluarkan oleh alat-alat muzik tradisional dan moden.

Saya serius dengan hobi saya ini.

El Condor Pasa, satu lagu lama kegemaran saya. Nah, dengar lagunya dalam petikan gitar yang sangat klasik!

Oh ya, saya juga membuat koleksi lagu-lagu keroncong. Terkenang-kenang, Bengawan Solo ...

Ha ha ha!! Si Rampai mendengar lagu keroncong?

Isy, isy, isy ... menyibuk sungguh bintang-bintang itu! Pedulikan.

Saya serius.


Salam.