Wednesday, 9 January 2008

Hijrah Seraut Wajah

Hati diterjah resah sebaik saja melihat wajah-wajah cengkung yang tidak bermaya itu. Ada mata-mata yang layu mengantuk dengan mulut terlopong, dan beberapa wajah bermuram durja bagaikan ada sesuatu yang menghambat hati. Tidak kurang yang berkelip-kelip matanya tanpa cahaya. Ah, diam sungguh mereka sehinggakan ucapan selamat saya dibalas dengan suara moyok, membuat kepala saya terkulai dengan senyuman malas memandang mereka. Alahai, permulaan musim yang menggugat janji sekeping hati!

Apalah yang diharapkan sangat daripada budak-budak itu. Kurang makan, kurang rajin, tidak yakin, tiada motivasi diri. Ada yang batuk-batuk tanpa menutup mulut. Ada yang sekejap-sekejap mengesat hingus dengan hujung lengan baju. Aduhai, sungguh tak sedap mata memandang! Lengoh benak memikirkan.

Hidup segan mati tak mahu. Begitulah raut wajah anak-anak itu. Namun jauh di dasar hati, ada syukur mengusap rasa kerana kehadiran mereka berteraskan pengorbanan ibu bapa mereka yang mahu menghidupkan kalbu anak-anak itu dengan ilmu pengetahuan. Pengorbanan mereka itu juga bak penyusun nafas dan penyegar jiwa seorang abdi kerdil yang sering tercungap kalut dalam larian hidup yang terlalu pantas ini. Alhamdulillah.

Maha mengetahui DIA yang telah menghadiahkan Korban untuk manusia renungi. Andai dihayati dengan sabar dan tulus, Korban itu redha mengangkat tabir Hijrah lalu mengetuk pintu hati, kemudian menjemput diri mengabdi syukur kepadaNya.

Musim-musim yang bertandang bakal merubah bentuk wajah anak-anak seumpama itu di mana jua mereka berteduh. Biarlah perubahan itu berbimbing agar mereka tidak tergelincir dari landasan pemikiran yang berakal. Semoga kehadiran abdi-abdiNya dalam kehidupan mereka dapat membantu mewujudkan wajah-wajah yang beriman. Wallahu’alam.

Ikhlas.

Beramallah di negeri yang tiada ganjaran, supaya mendapat ganjaran di negeri yang tiada amal. Demikian madah Mursyid yang memetik ungkapan sahabat beliau.


*06/01/2008
Pinggir Kota


Salam Maal Hijrah 1429

Saturday, 5 January 2008

Apa yang nak dihairankan?

Petang semalam, saya di belakang dua orang teman dalam perjalanan menuju kereta ...


A: Hairan, En. Mat dapat sponsor untuk renovate rumah barunya.

B: (Diam)

A: Beribu ringgit juga masjid sedekah kat En. Mat tu.

B: Aku juga hairan, aku minta sponsor untuk beli jersey team bolasepak remaja pun tak bagi.

A: Lagi menghairankan, Mazni bagi tau aku … minta 300 ringgit untuk tampung sedikit perbelanjaan kembara remaja selama tiga hari bulan lepas pun tak dapat!

B: Nampaknya kita kena jadi AJK masjid dan renovate rumah barulah dapat sponsor.

A dan B: Hahahaha!!!


*04/01/2008
Jalan Duta, KL



Salam.