Monday, 12 March 2012

Mengingati Rini

Sunyi malam ini membangkitkan ingatan kepada Rini, budak perempuan penjual kuih di rumah pangsa Permai di pinggir kota. Dua minggu sudah dia tidak ke kelas. Minggu lepas juga tidak ke kelas. Pagi semalam dia ada di kelas tetapi datangnya lewat setengah jam. Di dalam kelas Rini asyik menguap. Kadang-kadang dia menguap besar-besar tanpa menutup mulutnya lalu menampakkan sebatang gigi atasnya yang rongak berwarna coklat, dan nafas yang menderu keluar dari mulutnya membawa bau yang sangat hamis. Bau itu membuatkan murid-murid lain menjauhkan diri darinya. Letih dan mengantuk sangat agaknya dia sehinggakan apa yang ditanya dijawab dengan pandangan lesu lagi kosong, sekosong halaman bukunya yang tidak bertulis apa-apa pun.

Rini membantu ibunya, bukan sahaja menjual kuih malah membuat kuih. Setiap hari selepas solat Subuh Rini berada di dapur untuk melenyek pisang kemudian membuat adunan untuk cucur kodok yang bakal digoreng oleh ibunya yang bangun lebih awal untuk menggoreng  keledek dan membuat sandwich.

Misi menjual kuih bermula pada jam 6.30 pagi di tingkat tiga. "Kuih! Kuih!" Teriak Rini di sepanjang koridor di tingkat tiga itu. Kemudian dia beraleh ke tingkat empat, lima, enam, dan ada kalanya hingga ke tingkat sepuluh. Habis atau tidak kuih jualannya, tepat jam 7.00 pagi Rini bergegas balik ke rumah. Rini hanya ada 20 minit untuk bersiap dan bersarapan sebelum dihantar ke sekolah bersama adiknya yang berumur 8 tahun dengan membonceng motorsikal ibunya.

Masa untuk menjaja kuih dipanjangkan pada hari Ahad yang kadang-kadang melewati jam 9.00 pagi iaitu waktu yang sama bermulanya kelas bimbingan. Ibu Rini sedar akan hal ini dan berjanji tidak akan membebani Rini pada tahun hadapan iaitu tahun Rini menduduki pepriksaan UPSR. Apakan daya kata ibu Rini, seorang ibu tunggal, tahun ini dia memerlukan wang sampingan untuk melunaskan hutang-hutang ayah Rini yang kini tinggal di pusat serenti.


Salam.

Tuesday, 6 March 2012

Nilai sehelai busana

Untuk membeli sehelai blaus pun bukan main payah lagi. Bukannya tidak ada. Ada berlambak sebenarnya. Berpuluh fesyen dan berpuluh jenama pula tu! Malangnya tidak ada sehelai pun yang berkenan di hati kerana ada sahaja sesuatu tentang blaus itu yang kurang enak pada pandangan mata. Ada yang labuhnya dah molek benar tetapi lengannya hanya sampai ke siku. Ada yang segalanya okey tetapi potongannya pula macam sarung nangka. Lagi aneh, kebanyakan busana trend terkini kainnya nipis yang sesuai juga dijadikan tirai atau kelambu.

Pusing punya pusing mencari blaus, akhirnya aiskrim McD juga yang lumayan dilayan. Sejuknya melegakan ruang fikir dan enaknya mengundang ingatan kepada kata-kata berikut:

"Man in the early times was almost naked, and as his intellect evolved he started wearing clothes. What I am today and what I'm wearing represents the highest level of thought and civilisation that man has achieved, and not regressive. It's the removal of clothes again that is regressive back to ancient times."

Demikian jawapan Tawakul Karman, salah seorang pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2011, apabila beliau ditanya mengenai hijab yang dipakainya oleh para wartawan yang berpendapat pakaiannya itu tidak setaraf dengan tahap intelek dan pendidikannya.


OneU,
4/3/2012

Salam.