Friday, 18 December 2009

Edelweiss

Pastinya di sana musim tengkujuh, tulis Edelweiss dalam warkahnya semalam. Di sini dinginnya sudah mulai menyucuk tulang. Pokok-pokok juga semakin bertelanjang dan tidak lama lagi mereka akan tidur berselimutkan salji. Aah, musim berubah lagi untuk kesekian kali, cuma apa yang diharapkan dari salji yang gugur pada musim ini ialah salji itu tidak berupaya membekukan janji-janji hati yang telah dirapi kemas selama empat musim lalu.

Sungguh, warkahnya kali ini amat berlainan dari yang lepas-lepas. Namun dalam ketegasan nada tulisannya, masih ada kelembutan bicara yang telah menamukan rasa dengan kenangan ...

Edelweiss, Edelweiss. Kepingin sekali menyelongkar apa yang bersembunyi di sebalik namanya. Namun sejuk angin bandar Tampere pada penghujung musim panas ketika itu seolah-olah telah mendinginkan kemahuan untuk berbual-bual dengannya sehinggalah pada suatu sore.

Dia ketawa. Semua sangkaan yang diberi salah katanya. Dia bukan berasal dari Austria, tidak juga Switzerland. Namanya bukan kerana lagu Edelweiss dari filem The Sound of Music walau ibunya menggemari filem itu. Dia anak kelahiran kota Helsinki dan bermukim seketika di Tampere hingga tamat kuliah sarjananya. Nama Edelweiss adalah pilihan neneknya yang sangat menyukai bunga edelweiss yang juga digelar The Immortal Flower. Kata neneknya: edelweiss bunga yang unik, putih kecil molek; walau wanginya tidak semerbak, daya tahannya tinggi walau dalam cuaca yang melampau. Neneknya mahu Edelweiss mewarisi ciri-ciri bunga edelweiss.

edelweiss (Jerman): edel = mulia, weiss = putih


Bukan senang menjadi seperti edelweiss, kata Edelweiss. Seorang Edelweiss hanya anggun pada nama namun hakikatnya hati suram dan lompang; naluri berkerawang; jiwa meronta mencari sesuatu yang entah apa. Dia bertanya, “Bagaimana mengisi kekosongan ini?”

.
.
.

Seperti yang sudah diatur sedemikian rupa, musim pun pergi lagi. Bunga edelweiss masih tumbuh melata bumi, dan Edelweiss masih terus mengisi ruang lompang di hatinya dengan menghayati ciri-ciri dan kehidupan edelweiss. Apa pun musim yang telah pergi, nyata musim-musim itu telah berjaya menyerikan hati dan menerbitkan rasa kasih kepada sesuatu yang dicarinya itu. Bersandarkan rasa kasih itu, dia melakukan satu pengorbanan - Edelweiss bakal bernama Nur Edelweiss pada musim bunga akan datang. Pilihan dan keputusannya ini mendapat restu daripada neneknya. Subhanallah.


Salam Ma'al Hijrah 1431.

*imej dari google

Wednesday, 11 November 2009

Angin Timur : Angin Barat

Bertemankan hembusan angin yang masuk ke ruang tamu pada petang yang juga dihiasi renyai hujan sesungguhnya amat mendamaikan rasa. Apa tah lagi goreng pisang panas dan sekole Nescafe yang sedia ada di sisi dapat saja mengilhamkan beraneka macam angan-angan dan impian di kamar fikir. Namun sudah direncanakan lebih awal, apa pun cuaca petang ini, bab terakhir novel East Wind : West Wind (Pearl S.Buck) mesti dibaca hingga ke penghujungnya. Walaupun ini kali kedua membacanya, novel ini seperti juga beberapa novel sejarah dan kembara James A. Michener dan novel-novel jiwa Paulo Coelho tidak pernah membosankan walau diulang baca dua tiga kali.

Pertama kali membaca East Wind : West Wind pada usia remaja sesungguhnya telah menyemarakkan keinginan mengembara merentas benua dan budaya untuk mencari diri dan mengenal Tuhan melalui KalamNya yang berbagai bentuk, gaya, dan ragam.

Cool is the autumn wind,
Clear is the autumn moon.
The dead leaves fall and scatter again;
A raven, frost smitten, starts from the tree.
Where are you beloved?
Shall I meet you once more?
Ah ... my heart weeps tonight –
I am alone!


Demikian petikan puisi dari novel tersebut. Begitulah curahan rasa insan yang intim dengan rasa alaminya. Cinta boleh saja membuat jiwa kalut dan hati bergelandangan, dan membikin degup jantung sering tidak keruan. Namun dalam keindahan dan taklukan cinta, manusia sering terperangkap dalam debat emosi dan akalnya sehingggakan ada waktu-waktunya debat itu menjadi penggoda diri yang sukar diingkari lantas garis pemisah antara emosi dengan akal lenyap ditelan oleh nafsu Syaitan.

Cinta adalah ujianNya ke atas tahap keimanan manusia yang tersembunyi di dalamnya ujian kebahagiaan dan musibah. Gagal ujian kebahagiaan menjadikan manusia lupa diri manakala gagal ujian musibah menjadikan manusia berputus asa. Titik tolak menuju kejayaan kedua-duanya ialah sabar dan redha. Itulah alat digunapakai untuk mencapai kejayaan iman duniawi dan ukhrawi.

* Deru angin semakin lantang. Mata pula semakin deras membaca. Goreng pisang sudah lama dihabiskan dan tegukan terakhir Nescafe menandakan selesailah novel East Wind : West Wind dibaca. Buku ditutup kemudian mata dipejamkan sambil benak cuba-cuba membayangkan apa yang berlaku di luar sana tatkala angin sudah mulai beraksi bangga: pepohon bergoyangan; keruing beterbangan entah ke mana; spora-spora terlepas tanpa rela; dan ibu burung pulang ke sarang melindungi anak-anaknya. Daun-daun dan bunga-bunga pun turut berguguran berserakan di atas tanah. Aduhai, rapuhnya kehidupan ini!

Kehidupan ini tidaklah serapuh yang kita fikirkan kerana Dia telah memberi ruang kepada setiap manusia untuk membuat pilihan sama ada mahu atau tidak mahu meneguhkan kehidupannya. Tuhan telah membuka seluas-luas pintu perubahan untuk manusia berubah, terpulanglah kepada manusia sama ada mahu berubah atau tidak. Tidak sia-sia Dia menganugerahkan akal kepada manusia kerana dengan akal manusia dapat berfikir untuk membuat perbezaan dan memilih yang terbaik untuk kebaikan dirinya juga.

Mengimbau kembali cerita seorang Ustaz tentang pengalamannya semasa kecil di kampung mengenai datuknya yang bersolat sunat dua rakaat setiap kali selepas berkebun - apabila ditanya solat sunat apa dan mengapa? Jawabnya: “Solat Sunat Taubat. Entah-entah ada cacing yang mati terkena cangkul Atuk, atau barangkali Atuk juga telah mengganggu rumah hidupan dalam tanah termasuklah akar-akar pokok yang terputus akibat cangkulan Atuk. Atuk meminta keampunan Tuhan. Kita manusia sebenarnya selalu sangat mengotorkan baju sendiri, maka kita kenalah pula sentiasa rajin membasuh sendiri kotoran itu dengan ikhlas dan redha. Ingatlah, Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.

** Di luar kilat memanah dan guruh berdentum sambut bersambut. Angin mengganas. Sejurus hujan mencurah-curah melanda bumi. Suasana tiba-tiba menjadi suram. Oh, sangat mengecutkan hati!

Tanyalah Tuhan mengapa angin mengganas dan hujan meruntuhkan bukit.

Pinggir Kota,
7/11/2009



Salam.

Monday, 2 November 2009

Anugerah








Hidup dan kehidupan ini adalah satu anugerah yang paling berharga buat manusia kerana didalamnya ada puluhan juta lagi hadiah berharga yang Dia telah sediakan untuk kita.

*hutan Kinabalu,
September 2009.



Salam.

Sunday, 25 October 2009

50 sen

Di sebuah rumah terbuka di pinggir kota.

Budak-budak 'tu lepas makan minum masih lagi tidak beredar. Suruh makan lagi tapi semua kata 'dah kenyang.

Fira membawa keluar sampul-sampul kecil berwarna hijau. Budak-budak enam orang 'tu menguntum senyuman.

Fira memberi setiap orang satu sampul. Budak-budak 'tu tersengeh-sengeh kemudian meminta diri.

Di luar rumah kedengaran beberapa suara lantang, "Alaa, lima posen je? Baik tak yah bagi!"

Berkerut wajah saya memandang Fira. Dia memahaminya.

"Sekadar yang mampu kak ... dari duit biasiswa. Saya menunaikan niat kalau dapat tawaran sambung belajar." Demikian penjelasan Fira, siswi sarjana kejuruteraan. Dia dari keluarga berpendapatan rendah.

"50 sen. Jangan nilaikan harga luarannya tapi nilaikan harga yang tersembunyi." Kata Fira lagi dengan senyuman.


Salam.

Wednesday, 21 October 2009

Bening Rindu

Bondanya kehairanan melihat dia menyediakan baju raya seawal pagi itu, sehari sebelum Hari Raya. Tidak ada apa yang perlu dianehkan katanya kerana begitulah mahunya hati yang tidak sabar menunggu kedatangan Hari Lebaran.

Dua puluh empat jam menanti kehadiran Syawal terlalu lama dirasakannya, dan rindu kepada alunan takbir raya semakin membadai rasa. Diam-diam dia ke laman rumah mengajak sepasang matanya bercerita tentang kebeningan rindu itu kepada bunga-bunga yang berkembang, kepada kupu-kupu yang sana sini bersimpang-siur, kepada kumbang-kumbang yang menyeri bunga. Kasturi, kuini, dan rumpunan serai juga tahu tentang cerita rindunya itu yang mulai melupuh hati!

Malam pun tiba dan gema suara takbir raya yang berkumandang sayup-sayup melerai rindunya. Hatinya bagaikan terlepas ke awang-awangan kala menghayati nikmat takbir yang meredup segenap jiwanya hingga ke lubuk atma yang paling dalam, dan seni rasa itu mengairkan matanya. Alangkah takbir itu menjadi halwa rasanya yang paling manis malam itu sehingga ke saat fajar menyingsing, dan tenanglah jua rindu yang mengombak jiwa seusai bersujud kepadaNya.

Tenang-tenang gelombang rindu rupa-rupanya pantas menyusun fikir dan merapi hatinya agar tidak terpempan dengan kehadiran Kak Aisa yang dirinduinya yang sudah empat tahun berturut-turut berhari raya di daerah seberang. Demikianlah anehnya kehidupan ini yang kadang-kadang penuh dengan kejutan: yang dijemput tidak datang, ada pula yang datang walau tidak berjemput.

Terlebih aneh lagi kata Kak Aisa ialah apabila hawa nafsu mengongkong hati dan menjadi raja kepada setiap pergerakan dan perlakuan manusia. Kehidupan dunia yang sememangnya sarat dengan hiburan bertambah sendat dengan kelalaian apabila kemewahan menjadi sembahan manusia. Begitulah Abang Ji yang menghambakan diri kepada wang, harta benda, pangkat dan kuasa yang akhirnya kemewahan itu memakan dirinya sendiri. Abang Ji juga sudah dua kali diserang angin ahmar. Air mata Kak Aisa menitis. Dia yang mendengar terbungkam seketika.

Dia sengaja menyendiri di bawah pohon kuini untuk melayan rasa. Sambil memerhati ayam-ayam yang sedang mengais-ngais tanah, dia mengenang-ngenang perbualannya dengan Kak Aisa di perkarangan masjid sebentar tadi. Sejurus, ayam-ayam yang semakin rancak mengais-ngais lari bertempiaran apabila kucing bondanya tiba-tiba menerkam ke arah mereka. Dia tersentak. Aah, kasihan ayam! Barangakali mereka sedang mencari jarum emas Sang Helang yang hilang. Desis hatinya. Bukan senang mencari jarum emas, apa tah lagi kepada manusia yang mencari ketulan emas untuk di bawa pulang ke alam baqa.

Dia merenung jauh, cuba untuk menilai harga sebuah iman. Manusia sesungguhnya merangkak jatuh bangun di bumi luas milikNya ini. Mudah-mudahan payah sukar yang dilalui dalam kehidupan fana ini mendewasakan akal dan memantapkan iman setiap Muslim yang berusaha untuk berjalan di jalan yang lurus. Kesukaran yang dilalui itu sebenarnya tidaklah seberapa berbanding ujian keimanan para sahabat sewaktu Islam mulai berkembang di peringkat awal dulu. Mereka mempertaruhkan nyawa masing-masing untuk harga sebuah iman. Begitulah yang difikirkannya.

"Berlama-lama di luar tu buat apa Rampai?" Pertanyaan bondanya dijawab dengan senyuman.

Di atas meja sudah terhidang aneka sajian. Kesyukuran dan keriangan menjamu selera telah meminggirkan ingatannya tentang rentetan peristiwa yang ditempohinya sejak pagi semalam.

Entah bayu apa yang datang menyapa, atau barangkali keenakan kuih makmur itu telah membangkitkan ingatannya kepada seseorang. Baginya tiada kata-kata, puisi, lukisan, atau irama yang dapat mentafsir rasa takzimnya kepada insan ini. Kepadanya insan ini umpama gerbang yang berhiaskan bunga-bunga anggerik, teratai, mawar, dan daisi yang melampiaskan keindahan dan haruman sewangi lavender dan bunga rampai - haruman dan keindahan yang mudah-mudahan menemaninya hingga bermukim di sebuah negeri yang kekal.

Salam. Eid Mubarak. Eid yang membawa rahmat yang perlu direbuti. Barakah yang terada yang perlu dituntuti. Semoga ibadah Ramadhan menampakkan kepada sirr yang tersembunyi. Maaf zahir bathin.

Demikian salam lebaran titipan insan itu telah mendetik bening rindu di relung hatinya, lalu dalam tenang, rasa rindu itu disulamnya menjadi bunga-bunga doa.

"Wahai Tuhan, jadikanlah dia dari kalangan orang-orang yang Engkau kehendaki, yang baik amal ibadah dan kebajikannya."

1 Syawal 1430H
20.09.2009



Salam.

Monday, 12 October 2009

Rendang, serbat, dan baulu

Sudah dua kali saya berhujung minggu tanpa sibuk-sibuk memikirkan tentang makanan kerana saya sibuk makan-makan di rumah terbuka Hari Raya. Dari makan tengahari hinggalah makan malam, segalanya diurus oleh rumah terbuka! Molek sungguh Raya sebulan!

Petang tadi saya ke majlis rumah terbuka yang meriah dan gamat dengan para tetamu berdarah muda! Rata-rata perbualan berputar mengenai gempa bumi di tanah seberang dan tentang orang-orang seberang yang mahu mengganyang rakyat Melaya dengan buluh runcing! “Seribu lima ratus orang you ... tak risau ke?” Tanya kawan yang seusai bertanya tiba-tiba tersedak dan terbatuk-batuk. Aiseymaaan, serbat yang diminum untuk melegakan batuknya juga tersembur keluar apabila tiba-tiba dia terbatuk lagi. Kurang pasti pula mengapa begitu jadinya dia. Barangkali dia jadi gementar membayangkan sebuah pertempuran bersenjatakan buluh runcing, atau barangkali juga rendang ayam yang dimakannya tersekat seketika di tekak.

Saya sebenarnya lebih gusar melihat orang Melayu mengganyang orang Melayu sendiri. Lihatlah, dengan muka tebal yang tidak berapa kebal, Melayu tanpa segan silu saling menuduh, bersumpah seranah dan memaki hamun sesama sendiri seolah-olah lontaran kata-kata dan perlakuan mereka itu diperhati oleh anak-anak patung yang kaku tidak bernyawa. Demikianlah yang bergelar pemimpin Melayu mewariskan ciri-ciri kepimpinan kepada generasi muda; dan dalam diam pertelingkahan sesama Melayu semakin mencetuskan gempa bangsa!

Melayu tidak peduli kepada gempa bumi kerana Tanah Melaya punya gunung-ganang yang tidak akan meledakkan api dan menumpahkan lahar. Melayu tidak mahu berfikir tentang gempa, sama ada gempa bumi yang memusnahkan kehidupan atau gempa bangsa yang melenyapkan identiti. Melayu pedulinya lebih kepada kehebatan kerisnya dan laungan bangga “tidak Melayu hilang di dunia!” Alangkah kehebatan keris mampu menikam kesedaran Melayu, dan gema laungan itu bisa mengubur keinsafan orang Melayu sendiri.

“Tak risau ke? ... seribu lima ratus orang you!” Kawan tadi bertanya lagi. Batuknya sudah lega.

“Tak.” Jawab saya selamba. Dia mengerutkan muka. Saya menghirup teh-o suam kemudian mengunyah baulu. Hmmm ... manis lemak dan gebu baulu menenang rasa!


Salam.

Friday, 18 September 2009

Suatu Pagi Hari Raya

Pada suatu pagi Hari Raya, ketika itu si Rampai dalam usia awal remaja.

Setelah siap berpakaian baru, Mamanya berkata: "Berbaju baru saja tidak lengkap tanpa akhlak yang mulia. Tunjukkan contoh yang baik dari diri kita kepada orang lain. Islam itu indah dalam perbuatan dan perkataan."

Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin.


Salam Aidilfitri.

Tuesday, 15 September 2009

Apakah rasanya?

Air Soya Romantika

Air Tembikai Bulan Madu

Nasi Campur Poco Poco

Roti John Bagak

Mee Dangdut

Kuih Lapis Pelangi

Kuih Pelita Kasih


Sudah ke beberapa pasar Ramadhan di sekitar pinggir kota untuk meninjau suasananya, dan petang semalam merupakan tugasan yang terakhir. Untungnya mata, sambil-sambil bertugas sambil-sambil pula ia mengintai nama-nama makanan yang dijual. Hati tercuit dengan beberapa nama yang unik seperti di atas. Entah apakah rasanya juadah-juadah itu. Saya membeli Nasi Campur Poco Poco dengan harapan selepas memakannya saya pandai menari poco poco.

Ada apa dengan Roti John Bagak? Saya sendiri tidak tahu kerana saya hanya melihat nama itu tergantung di sebuah gerai sedangkan saya berada di dalam kereta yang sedang bergerak meninggalkan pasar Ramadhan.

Jauh di lubuk hati saya kagum dan memuji keberanian peniaga-peniaga itu berfikir di luar kotak fikir mereka dan mencipta nama-nama yang unik itu. Nilai dagangnya biarlah pembeli yang menentukan.

Barangkali saya juga perlu mencipta sesuatu. Nasi Bunga Rampai dan pengat BR.


Salam.

Friday, 11 September 2009

Ilham Ramadhan: musafir malam

Dua puluh malam yang sudah berlalu datangnya hanya bersimpuh di serambi qalbi, sekadar bersyair sunyi merai liku-liku hati yang sepi. Entah ke mana hilangnya keampuhan diri. Ke mana hanyutnya janji-janji hati mahu bermusafir malam.

Bermusafir malam hanyalah lontaran madah yang tidak berbirai dan lenyap kala iftar, dimamah bersama sajian juadah yang menggalau mata lalu makan minum pun tidak berkira. Tahu-tahu duduknya tidak berbangkit!

Sungguh, kata-kata Imam Asy-Shafi’i rahimUllah sering tidak diteladani: “Saya tidak kenyang-kenyang sejak umur 16 tahun kerana kenyang itu memberatkan badan, mengeraskan hati, menghilangkan kecerdasan, menarik (menyebabkan) tidur dan melemahkan orang yang kenyang dari ibadah.”

Aduhai, layu nian hati yang menyaksi sedang waktu pulangnya hayat sudah menghampiri!

“Wahai Tuhan ... walau usia sudah tidak seberapa, kudrat sudah tidak seupaya, dan kemampuan sudah tidak seada, aku mohon limpah izinMu Ya Rabb untuk memberikan kekuatan rohani dan jasmani agar hambaMu yang kerdil lagi hina ini sekali lagi dapat bermusafir malam pada malam-malam terakhir Ramadhan yang penuh hikmat ini. Izinkan aku, izinkan aku, izinkan aku Ya Rabb. Laa hawla wala quwwata ilaa bilahil aliyil'azim.”

Musafir malam insan nan fakir
Qalbinya mengemis sirr
Layla yang bertabir.



Salam.

Thursday, 3 September 2009

Ramping

Petang semalam, satu jam sebelum berbuka.

"Haih? Betul ke penimbang nih? Puasa dah 12 hari!"

Jarum alat penimbang dibetul-betulkannya kemudian dia naik semula ke atas penimbang itu.

"Adoiii, ya ampuuunnn ... naik sekilo!"

"Hahaha! ... raya nanti, baju raya yang dua pasang tu pun tak muat!"

"Sempat ke ramping ... lagi dua minggu nih?"

"Mengunyah tak berenti dari buka sampai sahur, pastu siang pula tak sah kalau tak tido. 'Cam mana nak ramping? Bila pula nak timbang hati tu? ... Hehehe!"


Salam.

Friday, 21 August 2009

Tentang Jeanny

Tulisan tentang Jeanny Di Ambang Ramadhan.

Awal pagi tadi, di laman rumah banyak daun-daun terbaring berserakan di atas tanah. Barangkali tangkainya sudah reput untuk terus berpaut gagah pada rantingnya lalu gugurlah mereka. Mungkin juga rantingnya rapuh tidak berdaya lagi memegang dedaun lantas pohon pun menggugurkannya. Dalam apa jua keadaan, pastinya ada puputan angin yang melepaskan dedaun itu, dan tanpa tangisan dedaun dengan rela gugurlah ke tanah. Redha sungguh mereka! Reputnya daun menjadi baja dan khasiat baja kembali kepada pokok untuk meghasilkan daun yang baru.

Daun reput menjadi baja. Manusia reput menjadi apa? Saya menyoal diri tanpa mencari jawapannya kerana tiba-tiba Jeanny menyelinap masuk ke dalam fikiran.

Kasihan Jeanny, loose jean yang lusuh itu sukar untuk dilepaskan pergi. Bagaimana mungkin kerana bertahun-tahun sudah dia berkhidmat untuk tuannya, dan selalunya Jeanny ditemani kemeja lusuh ketika tuannya bersantai atau mengembara. Kadang-kadang ditemani baju a-la Punjabi untuk tugasan yang sedikit formal. Kekadang dipadani blaus atau kemeja wanita untuk tugasan yang lebih formal. Sesekali kemeja T longgar mencecah lutut menjadi pilihan yang membuat tuannya tersenyum lebar kerana sekali imbas ... oh oh, dia bagaikan seorang rapper gayanya!

Jeanny pernah tidak disenangi. Dia dikata tidak sesuai untuk dijadikan busana perempuan apa lagi seorang Muslimah! Juga tidak patut dipakai ketika berusrah dan ke masjid serta surau. Bermacam-macam lagilah pandangan itu dan ini yang mampu saja membinasakan hajat berukhuwah.

Pandangan saya, kita janganlah menjadi terlalu jumud dalam perlakuan kita kerana sebagai orang Islam kita seharusnya mampu membawa kemuliaan Islam kepada manusia lain merentasi benua dan budaya dengan menunjukkan akhlak yang mulia.

Akhlak mulia adalah busana paling cantik untuk setiap Muslim namun datangnya tidak bergolek. Manusia perlu berusaha untuk mendapatkannya melalui ilmu dan amal, dan Dia amat suka kepada orang-orang yang sentiasa membaiki diri dan mencari ilmuNya lalu mengamalkannya. Usah berlengah, ayuh ... Ramadhan adalah waktu paling sesuai untuk memulakan usaha membina akhlak mulia. Semoga Tuhan memberkati usaha kita.

*Kepada kalian teman blogger, saya memohon maaf zahir dan bathin di atas apa jua kesilapan saya kepada kalian, dan maaf zahir dan bathin saya hulurkan buat kalian juga. Selamat menyambut Ramadhan dan selamat berpuasa, selamat menyambut Hari Merdeka, selamat Hari Raya Aidilfitri.


Salam.

Wednesday, 19 August 2009

Jemputan Kahwin

Dia sudah 2 tahun bertunang namun cinta di hatinya jauh. Masa menjadi saksi kepada kesetiaannya yang padu merimbun kuntuman kasih, dan dunia siber dijadikan titian untuk melerai rindu. Cabaran dan dugaan bak tiupan angin - kadang sepoinya menenangkan dan ada kala taufannya menjadikan dia tidak keruan.

Nah, tiba jua waktu cinta hadir di depan mata untuk disentuh! Madah bukan lagi bunga-bunga aksara yang disusun di wajah maya tapi madah bertandak gemersik bunyinya menobat cinta yang sedia wangi.

Tepat jam 12 tengahari tadi ...


Rampai: Alhamdulillah. Akhirnya akan bersatu!

Nina: Jemputan peribadi ni. Majlis bulan Oktober ... kad nanti kirim.

Rampai: Majlisnya nanti tema apa?

Nina: Boleh jadi ... tema H1N1.

Rampai: Weii, biar benar!?

Nina: (ketawa kecil) Gurau!


Si Rampai mahu juga menyambut ketawa kecil Nina itu namun bayangan para jemputan hadir dengan memakai topeng muka menghalangnya untuk ketawa. Alahai.


Salam.

Monday, 10 August 2009

Masa

Gates, who sought to drive a vision of a computer on every desk and in every home, said the information technology revolution had been "hugely beneficial" but added: "All these tools of tech waste our time if we're not careful." (petikan berita AFP 2009)


Usah risaukan tentang apa yang belum kita lakukan kerana waktu yang mendatang bukan kita yang mengawalnya. Usah risaukan tentang apa yang sudah kita lakukan kerana kita tidak akan mampu mengubahnya. Cukup baik jika kita punya niat untuk lakukan yang terbaik sewaktu melakukannya kerana niat itu adalah doa dari pilihan kita. (nasihat Pak Ustaz)


*it's time to move on
walking the talk
spreading love
raising hope ...
(bisik si Rampai)


Salam.

Sunday, 2 August 2009

Jumaat, dan Puan Jumaat

Nama sebenarnya bukanlah Puan Jumaat. Itu sekadar panggilan manja saya kepadanya. Tiada bantahan darinya malah beliau lagi suka. Nama itu menghibur katanya. O-la-la, saya juga terhibur dengan pengakuannya itu. Nampaknya kami sama-sama terhibur!

Sudah enam bulan saya mengenali Puan Jumaat dan saya sukakannya kerana beliau sering mengungkap kata-kata yang membuat saya merenung bintang. Pernah sekali dia berkata: “Kalau pun semua manusia melanggar segala suruhan dan laranganNya, Dia Yang Maha Esa tidak akan rugi apa-apa pun.” Pada satu ketika pula dia bertanya: “Kamu suka menjadi rama-rama atau kupu-kupu?” Oooh, itu semua menjadikan jiwa saya sangat kelam-kabut, dan saya membilang bintang untuk mencari pesan yang terlindung di sebalik ungkapannya itu.

Projek itu menjadi pengikat kepada perhubungan kami. Beliau sentiasa memilih hari Jumaat untuk setiap temujanji kami. Saya pernah bertanya, “Kenapa tidak hari Rabu?” Katanya hari Jumaat penghulu hari. Itu saja. Tiada alasan lain. Sejak itu saya tidak lagi bertanya.

Jumaat lalu Puan Jumaat membatalkan temujanji pada saat-saat akhir. Saya sedikit kecewa kerana saya rindukan beliau sebenarnya. Sudah sebulan kami tidak bersua.

Saya memujuk kecewa itu di sebuah restoran. Makan nasi campur. Minum air kosong. Makan sepotong betik. Minum Nescafe tarik. Wah, besarnya makan! Alhamdulillah. Saya melihat jam tangan kemudian meneliti sekeliling. “Eh eh, kenapa mamat-mamat tu duduk bersembang lagi ... hari ni kan Jumaat?” Tanya saya. “Barangkali mereka uzur.” Jawab kawan.

Petangnya kala benak sedang mengumpan ilham untuk tugasan yang satu lagi, kelibat mamat-mamat itu menyusup masuk ke dalam puri fikir. Sejenak fikir itu mendetik kalbu rasa yang paling dalam membenarkan kata-kata Puan Jumaat: Kalau pun mamat-mamat itu tidak solat Jumaat, DIA tidak akan rugi apa-apa pun.

Aneh sungguh hidup ini kadang-kadang. Betapa perhitungan manusia mencabar ketaqwaan rohani. Ada manusia yang sanggup menjual kebahagiaan ukhrawi semata-mata untuk membeli kesenangan duniawi. Alangkah baik meminjamkan kepadaNya secara pinjaman ikhlas dengan sedekah dan berkhairat pada jalanNya kerana bayaran balikNya ke atas pinjaman itu punya nilai yang sangat hebat. Wallahu’alam.

*Kisah Marwa


Salam.

Monday, 20 July 2009

Moon

Lima belas minit berlalu dan Moon belum juga tiba. Entah apa gerangan dalang di jalan, atau lupakah dia pada janjitemu ini? Hati mendesah dan mulut melepas keluh. Majalah yang ditatap diketepikan lalu mata mula menyelidik sekeliling ruang legar hotel. Tiada apa-apa yang aneh untuk dijadikan bahan fikir, atau mata inikah yang kurang cekap merakam cerita? Ada sesuatu yang perlu ditulis dalam buku nota ...

mata ini perlu diasah
agar tajam panahannya
menusuk jauh ke dalam kalbu
.

Mulut menguap, menguap, dan menguap lagi. Badan bersandar di sofa sambil mengajak mata untuk lelap seketika. Oh, lelapnya tidak tapi melamun pula si benak mengimbau-imbau seorang Moon itu.

“Saya akan tamatkan pengajian. Belajar menggunakan M16. Kembali ke negara saya dan menembak semua binatang-binatang itu kemudian membina sebuah universiti untuk anak bangsa saya.” Begitulah tekad Moon tiga tahun lalu ketika pertama kali kami berbual di kem pelarian tempat dia berlindung hingga kini.

Betapa peritnya menjadi orang pelarian. Saudara mara berserakan, entah hidup entah mati. Yang mati kadang tidak bernisan. Yang hidup dipagar senjata dan menagih simpati insan lain. Menumpang di bumi jiran, maka hidup pun berpada-pada. Berumah bak pondok di bendang. Makan berkais, tidur berselimutkan duka. Kanak-kanak bersekolah namun belajarnya tidak berhari, dan kebosanan melampau bisa saja menjerumuskan remaja ke dalam kancah perniagaan dadah! Warga kem juga menjadi sasaran dakwah pelbagai pendakwah dari segenap pelosok dunia, dan selalunya kemenangan milik yang bermulut manis, tangan berole-ole, serta berkantung wang.

Moon antara yang segelintir beruntung. Kepintarannya membolehkan dia diterima belajar di sebuah universiti di utara Siam. Lima hari seminggu dia bergelar siswi manakala hujung minggunya dia berpangkat guru menyuntik semangat juang kepada kanak-kanak dan remaja di kem itu.

“Sawadee ka and welcome to Kung Threp!”

Lamunan tersentak dan mata terbeliak kerana terkejut melihat Moon di hadapan dengan senyuman manis. Kami bersalaman erat dan berpelukan seketika kemudian kami saling meneliti dari kepala hingga ke kaki. Kami sama-sama ketawa selepas itu. Ya, tidak banyak yang berubah, kecuali usianya kini 22 tahun dan badan sedikit berisi. Gincu merah jambu di bibirnya menyerlahkan kedewasaannya!

Perbualan kami sama seperti apa yang kami bualkan lewat e-mel. Tentang nasib orang-orang pelarian, tentang peperangan, tentang pembangunan, tentang politik, tentang kerja-kerja sukarela, tentang kasih sayang, dan pengajiannya dalam bidang kewartawanan. Hanya satu cerita baru yang diketengahkan kali ini. Dia bercadang untuk menulis sebuah buku mengenai pengalamannya sebagai gadis pelarian.
“Maybe ... yeah maybe ... Moon: A Place of Love.” Jawabnya sambil ketawa kecil apabila saya bertanyakan bakal judul bukunya itu.

Lewat malam sedang mengemas pakaian, saya cuba-cuba menterjemahkan tajuk buku itu - Bulan Teratak Cinta ... ?


*[Kung Threp = Bangkok]


Salam.

Friday, 3 July 2009

Hak: rasa jiwa

Sudah seminggu mengembara dan saya sedikit lupa pada teratak maya ini kerana sibuk jalan-jalan melangsai tugasan. Seperti selalunya saya tidak pernah risau sama ada teratak ini bersawang atau dikelilingi lalang. Tidak juga rindu kali ini. Aduuuh, yang ini sedikit pelik kerana biasanya kalau tiga hari mengembara dan tidak berinternet, saya akan rindu untuk menjelajah angkasa maya!

Rupa-rupanya rindu bertandang jua walau tidak diundang, sebentar tadi membelai-belai hati. Lalu saya jelajahi alam maya dan meneropong sejenak ke teratak ini. Eh, eh, saya nampak ada pengunjung teratak ini yang menyalin rasa jiwa saya tanpa kebenaran lalu ditampal di terataknya tanpa menyebut sumber dan pautannya. Ada pula yang mengambil perenggan sana ambil perenggan sini kemudian disatukan menjadi sebuah entri di terataknya!

Kepada bloggers (pembaca senyap - tiada dalam senarai pautan BR) yang telah mengambil rasa jiwa dari teratak ini tanpa izin saya, terima kasih kerana meminati rasa jiwa itu. Barangkali kalian terlupa memohon izin. Maklum, kalian juga manusia biasa yang sering alpa. DIA saja yang tidak pernah lupa dan sentiasa mengetahui apa juga perlakuan manusia walau yang tersembunyi jauh di lubuk kalbu.
.
.

Merasa malu kerana sedar DIA Maha Memerhati lagi Maha Mengetahui segala perbuatan zahir dan batin manusia adalah permulaan kepada proses pemantapan iman. [kata Guru]


*Sedang berkelana.
Hingga bertemu lagi.


Salam.

___________________________________________________

4/7/2009: CS telah menjejaki sebuah teratak yang mengandungi rasa jiwa yang berikut:

1. Ikhlas Dari Jauh
2. Ruang Waktu
3. Bicara Sedih
4. Mengukir Kata
5. Jiwa Ramadhan
6. Jihad Ramadhan
7. Warkah untuk Bang Lope - Syair Syawal
8. Harapan dan Doa

Aduhai, kalaulah dia memahami apa itu 'rasa' dan 'jiwa'!

Redha jua.
Semoga Allah SWT merahmatinya dengan kebaikan.

Wednesday, 24 June 2009

3 Purnama

Bersenandung apakah Dayang detik ini, kala malam sedang bersenandung riang menidurkan insan-insan yang diselimuti kegembiraan? Sukar sekali membayangkan gelora jiwanya yang sedang bergelut dengan kepedihan dek kehilangan tempat bergantung hidup. Lenanya barangkali berbantalkan mimpi-mimpi buruk dan entah-entah paginya nanti disambut bersama deraian air mata.

Sudah jatuh ditimpa tangga. Demikianlah kehidupan Dayang di kampung yang kini terumbang-ambing tanpa mendapat wang belanja dari suaminya. Dalam keperitan itu, dia masih waras menimbang akal budinya untuk berjuang bukan saja menyara hidupnya dan anak-anaknya malah berjuang untuk menjaga serta mempertahankan imannya dan anak-anaknya. Itulah tekadnya yang nekad tanpa mempertaruhkan apa-apa pulangan lumayan kecuali redhaNya jua.

Begitulah kehidupan. Ada waktu-waktunya manusia kehilangan pelbagai kesenangan - hilang tempat bergantung, hilang orang yang dikasihi, hilang harta benda – ada kalanya hilang segala-galanya. Namun sebagai seorang Islam, biarlah kehilangan itu sekadar ungkapan yang singgah sekejap di persada bibir. Berlapang dadalah atas kehilangan itu kerana kita masih memiliki DIA yang Maha Agung yang sentiasa melindungi kita.

Kepada Dayang, senandungnya mungkin tidak bermaya menghibur nestapa di hati namun dia masih memiliki iman yang nilainya sangat tinggi. Tanpa iman - manusia menjadi pekak, bisu dan buta. Lihatlah saja apa yang dilakukan oleh masyarakat jahiliyah zaman dahulu!
.
.

Renungan:
~ Jika orang berbuat jahat kepada kita dan kita membalasnya juga dengan perbuatan jahat. Itu adalah dosa biasa.

~ Jika orang berbuat jahat kepada kita dan kita tidak membalasnya. Itu namanya redha.

~ Jika orang berbuat jahat kepada kita dan kita membalasnya dengan kebaikan. Itulah kemanusiaan namanya.
.
.

Selamat menyambut 3 purnama istimewa lagi mulia ini: Rejab, Sya’aban, Ramadhan. Selamat beramal ibadah dengan sebaik-baik amalan. Semoga Allah SWT menghampiri kita lebih cepat dari usaha kita menghampiri Dia.

*1 Rejab 1430

Salam.

Saturday, 13 June 2009

Panggung dan Pentas: sekadar mengulas rasa

Panggung:
Peduli apa mereka mentertawakan saya yang mahu menonton Syurga Cinta di panggung wayang. Kata mereka itu cerita budak-budak remaja hingusan. Cerita cinta klise untuk tontonan remaja yang betaraf old school. Apa lagi heroinnya juga sangat skema. Oh, terkekeh-kekeh mereka ketawa melihat saya berlalu pergi bersama Miyah.

Seusai cerita saya menitiskan air mata. Bukan kerana kesudahan ceritanya yang menghiris hati tetapi kerana penerbit filem ini seorang yang bukan Islam. Keupayaannya mencetuskan idea asal dan menerbitkan filem ini yang penuh pengisian rohani menyentuh hati saya. Alangkah penerbit itu telah mengangkat Islam di dalam filemnya!

Maaf, saya bukan pengulas filem. Saya sekadar mengulas rasa. Kalau nak tahu ceritanya, tontonilah filem ini.


Pentas:
Empat hari kemudian pada 3 Jun, atas jemputan seorang teman (yeay, dia belanja tiket!) saya berpeluang menonton (preview) persembahan teater Mak Yong di Pentas 2, KLPac.

Yang menguja saya menonton Titis Sakti ialah kerana ceritanya adalah adaptasi cerita klasik Shakespeare - A Midsummer Night’s Dream yang dipersembahkan dalam bentuk Mak Yong.

“… please switch off your handphone. The most important thing is don’t open your Facebook here, but if you have to, then don’t forget to add me on.”

Adooiii, siapa yang tidak ketawa terbahak-bahak mendengar arahan sebegitu selamba lucu dari pengacara yang segak berbaju Melayu lengkap! Dapat saya rasakan Mak Yong ini akan mempersembahkan cerita yang penuh kelucuan. Sungguh, kisah Titis Sakti penuh kelakar, memperli dan diselit-selitkan dengan dialog Bahasa Inggeris. Adooiii, memang sakit perut dibuatnya!

Saya puji persembahan ini walau kadang-kadang saya berpandangan terlalu banyak unsur jenaka yang diketengahkan sehinggakan pada satu ketika saya merasakan saya sedang menonton sebuah persembahan lawak jenaka! Bagaimanapun, barangkali itu satu strategi mengumpan khalayak pelbagai latar untuk mengenali Mak Yong dan membangkit apresiasi terhadap Mak Yong. Untuk itu, Mak Yong Titis Sakti telah mencapai matlamatnya.

Oops, saya bukan pengulas teater. Sekadar mengulas rasa.

Ke sini jika ingin tahu lebih lanjut kegiatan teater kawasan utara.


Salam.

Sunday, 7 June 2009

Yang harum. Yang lebur. Yang persis binatang.

Semerbak wangi bunga kemuning putih di laman rumah sering saja meredup rasa di perdu jiwa, dan saat-saat redup begitu alam bagaikan mengajak qalbi berbicara tentang bayu yang melambai-lambai dan mentari yang tersenyum meleret. Sungguh meriangkan! Namun pagi tadi entah mengapa harumnya menipis, bagai enggan mewangikan jiwa ini yang mendesah-desah sejak subuh lagi. Terasa benar ada sesuatu yang tidak lumayan bakal berlaku. Tidak mengapa, suasana di kelas nanti pasti menenangkan. Demikian pujuknya hati. Aah, harapan itu nyata meleset! Rupa-rupanya hanya wajah-wajah suram bak rembulan tiada cahaya yang menanti di kelas bimbingan itu! Kemurungan mereka mendorong hati merisik jawapan.

Inilah jawapannya:

Pagi itu sedang ibu M tiada di rumah kerana ke pasar pagi untuk menjual nasi lemak dan kuih-muih, dia seperti biasanya menyediakan sarapan untuk ayah dan tiga orang adiknya. Ayahnya pagi itu mahu bersarapan roti canai lalu adik-adik M disuruh ke kedai untuk membelinya.

M gadis 16 tahun. Berayahkan seorang pemandu lori. Tidak pernah ponteng kelas bimbingan dan belajarnya pintar. Menjaga adik-adiknya juga pandai. Satu hari nanti kata ibunya, M pasti akan menjadi doktor pakar kanak-kanak. Maka itulah si ibu sanggup berniaga beberapa pagi dalam seminggu untuk menambahkan pendapatan agar keperluan belajar M dan adik-adiknya tidak terabai.

Pagi itu tidak seperti pagi-pagi yang lepas dirasakan M. Ada sesuatu yang tidak kena dengan sikap ayahnya yang kelihatan resah-gelisah. Mundar-mandir ke sana ke sini. Masuk bilik keluar bilik. Masuk bilik lagi dan kali ini dia memanggil M kerana katanya dia memerlukan bantuan. M taat pada perintah. Kalau tidak, tempelak si ayah mampu saja meruntuhkan rumah pangsa sepuluh tingkat itu! M lalu masuk ke bilik ayahnya ...
...
...

Aduhai, ibu mana yang tidak lebur hatinya apabila mengetahui suaminya hampir-hampir saja memusnahkan mahkota suci anak gadisnya sendiri! Gadis mana yang tidak histeria tercalar jiwanya diperlakukan begitu!
.
.

Sore tadi kemuning putih di laman berkembang lagi namun harumannya masih belum dapat memujuk pilu di hati ini.


Salam.

Friday, 5 June 2009

Rahsia Cinta

Seseorang bertanyakan saya tentang cinta. Pandangan saya ialah cinta itu ada di lubuk hati dan penuh rahsia. Tanya dia lagi, "Hatikah yang rahsia atau cinta itu rahsia?" Kedua-duanya rahsia jawab saya. Ya, mana mungkin dapat menyelongkar rahsia hati, apa lagi rahsia cinta kerana kedua-duanya milik Tuhan. Dia Yang Maha Mengetahui segala getar jiwa, keluh resah, dan rindu dendam seorang manusia yang dilamun cinta.


Gambar di atas juga ada rahsianya yang tersendiri yang tersembunyi di dalam jawapan untuk tag seorang teman blogger.

1. Letakkan gambar profil anda - di atas itu gambar profil saya ;)

2. Terangkan maksud gambar itu - samar-samar gambar itu melambangkan betapa samarnya hidup ini andai tiada matlamat dan keutamaan hidup. Tanpa matlamat dan keutamaan, kehidupan tidak berarah dan kita mudah tergelincir dari landasan.

3. Kenapa pilih gambar itu? - kerana tiada gambar bunga rampai. Itu logiknya :)

4. Tag 5 lagi blogger - saya suka tag kalau yang bernama bunga, tapi tiada yang bernama bunga dalam senarai saya. Jadi, saya tidak tag sesiapa.
.
.
.
Seseorang itu bertanya lagi tentang cinta yang paling indah. Jawapan saya berdasarkan kepada kata-kata seorang Guru supaya mencari keindahan cinta di dalam Kitab Suci. "Insyallah akan kau temui dan merasa cinta yang paling agung dunia dan akhirat." Demikian katanya.


Salam.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

*6/6/2009
Aaah, betapa saya SANGAT lalai.
Ya ampuuuuunn!
Ulasan Anggerik Merah menyedarkan saya.
Ada 2 teman blogger bernama bunga sebenarnya ...
... AM dan Waterlily.
Kepada anda berdua, saya mohon maaf.
Astaghfirullahal'azim.

Wednesday, 3 June 2009

Juang

Alangkah pokok-pokok bunga itu pastinya berakar teguh mencengkam bumi dan bertangkai utuh menongkat tampuk sehingga dapat memboloskan kelopak bunganya dari serabut rumput lalang di sekelilingnya, lalu apa yang mercup gagah menjunjung langit adalah kelopak-kelopak putih bersih menyeri alam yang sedia indah ini. Oh, kepingin sekali menjadi kuat seperti mereka!

Namun manusia itu di dalam keadaan lemah di sisi Allah berbanding makhlukNya yang lain. Lemah berbanding gunung-ganang; lemah berbanding ribut taufan; lemah berbanding gelora ganas di lautan. Begitulah kelemahan itu amat jelas namun Allah juga tegas menyatakan bahawa manusia itu kekuatannya pada akal fikirannya yang diberi Allah, dan kehebatannya kerana dilantik Allah menjadi khalifahNya di muka bumi ini.

Maka dengan memanfaatkan akal budi yang diberi Tuhan, manusia menciptakan alat-alat yang boleh meratakan gunung-ganang; dengan akalnya manusia membina kapal-kapal besar yang mampu melawan gelora ganas di lautan; dengan ilmunya manusia boleh berhadapan dengan taufan dan kemarau yang membunuh. Jika akal budi dimanfaatkan pada jalanNya, pasti manusia menjadi kuat lahiriah dan batiniah!

Namun kekuatan itu tidaklah sebenar-benar kuat selagi belum diuji Allah dalam kehidupan ini yang merupakan satu perjuangan berterusan hingga ke detik akhir untuk mengangkat darjat diri di mata Tuhan. Di sepanjang perjuangan itu manusia melalui pelbagai ujian yang mesti dibebani dengan redha dan tabah. Maka bersyukur jua andai diuji walau berkali-kali kerana bukan semua manusia diberi kesempatan oleh Allah untuk membebani ujian berat untuk manusia itu berpeluang mencapai maqam redha. Betapa ramai manusia diuji dengan kesenangan tetapi kesenangan itu tidak membawa manusia itu kepada maqam redha malahan menjadikan dia seorang yang lalai, riya’, dan takkabur. Nauzubillah!

“Ya Rabb, berikanlah kami kebaikan dunia dan kebaikan akhirat, dan lindungilah kami dari azab seksa neraka.”

*gambar dirakam pada Khamis 28/5/09 di sebuah padang terbiar - Gombak, Selangor.

Salam.

Tuesday, 26 May 2009

Samseng

Vrrroooomm ... vrrrooomm ... vvrrrooooooommm!!!
Demikian bingitnya bunyi deruman empat buah motorsikal Mat Rempit memotong motorsikal Faiz. Mereka bagaikan bermain sarkas katanya. Sekejap roda hadapan diangkat-angkat ke atas. Sekejap lagi dihentak-hentak di atas jalan raya. Ada yang melepaskan handle. Ada pembonceng yang berdiri mendepang tangan. Faiz yang baru pulang dari kuliah jam sebelas malam Sabtu lalu hanya beristighfar melihat senario itu. Tiba-tiba ...

... vrrooom! Sebuah motorsikal tiba di sebelah kanannya dan si pembonceng melibas belakang badan Faiz dengan rantai besi! Faiz terpelanting ke sisi jalan. Pandangannya kabur. Mat Rempit tadi menghampiri Faiz lalu mengambil dompet dan telefonnya. Mereka sempat memberikan senyuman kepadanya sebelum berlalu pergi.

Belakang badan Faiz bengkak, dan traumanya entah bila akan pulih.


Salam.

Saturday, 9 May 2009

Ratu

The Mom Song:





Dayang
11/5/2009: Berita mutakhir. Berikut adalah sms dari Dayang kepada isteri al Ustaz:

Saya sudah sampai ke kampung. Saya mau ucapkan jutaan terima kasih buat semua yang telah tolong saya dan anak-anak. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalasnya. Semoga Allah memberkati kamu semua yang menolong saya. Dayang.

Alhamdulillah, muafakat membawa berkat. Ini merupakan hadiah Hari Ibu paling berharga buat Dayang. Terima kasih kepada yang telah menyumbangkan derma dan doa buat Dayang. Semoga Dia merahmati. Alhamdulillah.


Salam Hari Ibu

Wednesday, 6 May 2009

Ayam

I.
Kata orang tuah ayam terletak pada tajinya. Saya pula pandai-pandai mengatakan kalau ayam tidak bertaji maka ayam itu tidak bertuah. Heh, mengarut sungguh! Ayam bertaji atau tidak, yang bertuah adalah manusia kerana ayam merupakan sumber makanan enak lagi berkhasiat.

II.
Daging ayam kampung lebih berkhasiat dan lebih enak rasanya, juga boleh dijadikan ubat. Namun kata orang kalau tak kena cara memasak, maka tak sedap juga rasanya daging ayam kampung itu. Jadi orang seperti saya yang hanya tahu masak sikit-sikit dan tahu makan sedap saja, Astaghfirullah!, rela bersusah payah ke kedai makanan yang menjual masakan ayam kampung. Alhamdulillah, saya temui sebuah restoran masakan orang Nogori di Kelana Jaya yang menghidangkan ayam kampung goreng yang saaaaaangat sedap! Adalah saya tulis resepinya yang diberi oleh tuan restoran itu tapi belum cuba sampai sekarang. Alahai diri!

III.
Ahad lepas seorang kawan bertanyakan sama ada ayam boleh dijadikan sedekah. Saya pula merujuk Pak Ustaz. Menurut beliau, bersedekahlah apa saja asalkan barang sedekah itu berkeadaan baik dan niatnya ikhlas untuk bersedekah. Jangan sekali-kali bersedekah diiringi kata-kata kesat menghina.

Sedekah pada jalan Allah menurut Pak Ustaz ibarat sebiji benih yang tumbuh menerbitkan 7 tangkai, dan setiap tangkai pula mengandungi 100 biji. Demikianlah setiap sedekah itu bakal menghasilkan 700 ganjaranNYA. Subhanallah!

IV.
Bagaimana agaknya hidangan ayam kegemaran anda: Panggang? Salai? BBQ? Kalau anda suka Chicken a la Carte – tontonilah filem pendek ini. Semoga anda mendapat manfaatnya.


Dayang
Berita terkini. Dayang dan anak-anak masih dalam penantian untuk kembali ke Tanah Semenanjung. Kepada sesetengah manusia, penantian itu merupakan satu penyeksaan. Namun pada yang sabar, penantian mengajar jiwa untuk redha. Menurut Imam Ghazali, Maqam Redha adalah maqam tertinggi dalam kehidupan yang boleh dicapai oleh manusia biasa. Semoga Dayang dan anak-anak sentiasa di bawah lindunganNya.


Salam.

Thursday, 30 April 2009

Ombak

Takdir telah membawaku ke sini, ke tengah gelombang kehidupan yang tidak abadi. Bersama Mahbub dan kekasih tercinta, kususun kembali rangkaian sejarah kehidupan yang tak seluruhnya dapat dimengerti melalui bathok kepala, selain sedikit saja dari segala peristiwa yang pernah terjadi. Sebab itu aku sadar, peristiwa demi peristiwa yang kulewati dalam hidup adalah halaman demi halaman ilmu yang tengah kubaca dan kucoba mengerti. Hikmah apa yang dikandung dalam rahim kebahagiaan dan penderitaannya.

Demikian monolog Annisa yang saya petik dari novel Perempuan Berkalung Sorban (Abidah El Khalieqy).

Semoga pendirian Dayang juga seteguh pendirian Annisa, tidak akan tunduk mengalah kepada deras tinggi ombak yang melanda lautan kehidupannya. Paparan kisah pedih Dayang ada di sini.

Sumbangan untuk membantu Dayang salurkan ke akaun:

CIMB 15010067056520 [Rosnani Untol - (isteri al ustaz)]

Terima kasih atas sumbangan.
Semoga Allah memberkati.


Salam.

Tuesday, 28 April 2009

Rasa: Persis Anggerik Di Pergunungan

Dalam sunyi merenung subuh yang masih hening dan jernih titis embun masih lagi segar di liku-liku daun, ada rasa yang mengembara nun jauh ke kaki gunung yang pernah dijelajahi dan didakap damainya.

Kemudian, tatkala suria pagi mula tersenyum menghangat rasa itu, terpancar jua di pelantar benak kegagahan puncak gunung yang gah menjulang langit yang bagaikan pasrah kepadanya. Alangkah kehebatan Kinabalu menjadikan manusia dan usaha manusia kelihatan amat kecil berbanding sifat gunung yang gagah itu yang telah Tuhan pilih untuknya. Dingin suasana dilawan kemahuan dan tekanan hidup manusia yang menjalankan kegiatan seharian menjadikan Kinabalu dan persekitarannya bak medan juang manusia berdepan dengan alamiah yang mencabar.

Anehnya hari ini, semakin hari menjauh semakin tegar rasa yang beralun di hati membangkit ingatan kepada wajah-wajah yang menghiasi sekeliling gunung itu ...

Mereka, gadis-gadis Dusun dengan betis pejal serta bahu jatuh menggendong beban dari kaki gunung hingga ke Sayat-Sayat bisa saja menyemai rasa kasihan kepada sesiapa yang melihat mereka. Namun bahu yang jatuh menggendong beban itu bukanlah sesuatu yang perlu ditangisi kata mereka. Ia sekadar mampu mengelatkan senyuman di bibir. Malah ianya sudah menjadi satu kebiasaan yang menguatkan jati hati mereka sebagai perempuan gunung yang tidak mahu mengalah kepada desakan hidup.

Nun di lereng Kinabalu di Timpohon Gate yang redup, lumut tebal tiga jenis dengan tiga warna yang menyelimuti batu-batuan gunung amat mengagumkan mata yang memandangnya; dan meneliti pergerakan koloni semut merah yang merajai denai redup hutan hujan tropika menjadikan manusia termalu sendiri kerana semut-semut walau sekecil itu mampu bermuafakat dan bekerjasama dalam melunaskan tanggungjawab kehidupan.

Di Simpang Tiga pula ada wajah-wajah petani mencuka melihat padi bukit yang sambang tidak menjadi. Di tepian jalanraya Tinompok – Kundasang, di pondok-pondok sayur ada senyuman manis gadis-gadis penjual sayur berharapan setinggi Kinabalu agar jualannya laris. Di sekolah ada anak-anak yang lena dibuai enak sang bayu dingin dari gunung. Alangkah serba-serbi yang di miliki oleh persekitaran Kinabalu itu sangat asli mempamerkan jerih payah manusia berdepan alam yang hebat gagah ...

... dan di sini ada rasa yang tidak pernah lupa mengingatinya dan bercerita tentangnya. Rasa itu persis anggerik di pergunungan yang menguntum seri sepanjang waktu.


Salam.

Sunday, 19 April 2009

Kejam

Aah, dia salah! Rupa-rupanya ramai lagi yang lebih hip daripada dia. Mereka itu puteri-puteri Melaya. Fui-yoh, sungguh happening mereka berkemeja-T sendat tanpa lengan dan tank-top yang bertali spaghetti di bahu - satu transformasi hebat untuk fesyen kemban perempuan Melaya! Baju kecil itu gah saja mempamerkan pusat yang beranting-anting lalu bisa melurut pandangan mata mengukur saiz seluar mereka yang berpotongan carrot, legging, juga hipster. Ya, betapa kepintaran mereka berjimat-cermat berfesyen dalam gawat ekonomi yang meruncing amat mengkagumkan. Putera-putera pula tampan berhias dengan segala macam subang, rantai leher, gelang dan cincin. Mujurlah mereka tidak bercelak, bergincu dan berblusher. Kalau tidak habislah mereka dikerumuni Dracula!

Eh eh, apalah saya ini melalut-lalut walhal sejujurnya saya mahu berkisah sesuatu.

Kehappeningan mereka membolosi batasan adab susila manusia berakal. O la la, apa orang lain peduli kerana mereka itu putera-puteri negara jaya yang gemilang! Sambil-sambil ketawa mereka menjilat aiskrim. Sambil-sambil bercakap macam murai dan berjalan seperti ketam mereka makan burger. Mereka juga sangat mesra jantina dan tidak mengapa berpegang-pegang dan berpeluk-peluk kerana kemesraan begitu tidak akan menjejaskan ekonomi negara. Namun anehnya mereka langsung tidak berkasih sayang dengan alam sekeliling. Entah sekolah mana yang telah mengajar mereka sehinggakan tong sampah pun mereka tidak kenal!

Alamak, melalut lagi! Baiklah, kisah sebenarnya begini...

Sabtu petang 11 April yang lalu, dia seorang Rampai melunaskan tugasan di konsert D A, Sunway Lagoon Amphitheatre. Datangnya berlapang dada, namun pulangnya berbeban di jiwa. Sekian al-kisah.

Aduhai, kejamnya kamu putera-puteri Melaya membunuh agama dan bangsa sendiri!






[ How about Archie? Oh dear...he's cool, clean, and so sweet! ]


Salam.

Thursday, 16 April 2009

Stand By Me

Saya, kalian, dia, mereka ... siapa-siapa saja kita ini, kita saling memerlukan. Bagaikan aur dengan tebing. Umpama irama dan lagu. Setiap kita bagaikan kepingan jigsaw puzzle yang berserakan mencari tempat yang tepat untuk melengkapkan sebuah puzzle yang besar. Kita-kita ini sesungguhnya saling melengkapi dalam perjalanan menuju sebuah kehidupan yang lebih indah dan sempurna.

Stand By Me

Ben E. King

Playing For Change


*Kasih sayang bukan tersurat pada wajah tapi tersirat dalam kalbu.


Salam.

Saturday, 11 April 2009

Kita

Ungkapan cinta juga yang mahu didengar Kumbang walau kata-kata maaf diterimanya sepenuh hati. Lafaz cinta mengayun angan-angan, membarakan impian. Katanya. Jua melahirkan rasa yang bisa menerbangkan hati sampai ke langit biru …

“… lalu makan berulamkan rindu. Tidur berbantalkan mimpi. Mandi bersiramkan resah. Alahaaaai, amat menyiksa batin!” Keluh Cempaka.

Namun kata Kumbang, rasa cinta itulah yang menyebabkan manusia mahu mengorbankan apa saja demi orang yang dicintai.

“Mengguris hati insan lain juga barangkali satu pengorbanan.” Perli Cempaka.

Tidak ada lagi cinta sejati untuk seketika ini kerana bersunyi-sunyi merenung bintang ternyata lebih baik kata Cempaka, daripada menggumam cinta yang mati.
.
.
.

“Mohon jua Cempaka, moga persahabatan tetap kukuh antara kita.”

Itulah sebaik-baik pengorbanan ujar Cempaka. Kita ini cuma insan kecil namun punya tugas berat menyemarakkan kasih sayang melata bumi. Cinta yang tidak kesampaian usah dijadikan alasan untuk berbalah dan bermasam muka.

Cukuplah kata Cempaka, perpecahan sesama Islam yang wujud kini yang mengelirukan orang Islam sendiri. Alangkah ada Islam Sunnah dan Syiah; ada Hamas, ada Fatah; ada Islam Sunnah dan Muhammadiah. Di depan mata kita ada Islam Pas, ada Islam Umno. Astaghfirullah!

“Jadilah kita sebaik-baik sahabat dan semolek-molek KhalifahNya yang bersedia menyelesaikan masalah bukan membangkitkan masalah.”
.
.

Jadilah kita dari kalangan orang-orang yang berakal yang sentiasa menyebut dan mengingati Allah dalam takrifan yang luas, bukan sekadar berzikir tetapi berfikir tentang pelbagai kejadian kerana setiap kejadian ada ilmu-ilmuNya dan rahmat Allah darinya. Begitu luas rahmat Allah kepada mereka yang terus-menerus berfikir dan mengkaji tentang alam. Malangnya kita orang Islam kurang sekali melakukannya.

Orang bukan Islam tidak jenuh-jenuh mencari dan mengkaji. Misalnya kajian untuk mencari ubat dan penawar penyakit berbahaya seperti kanser, Aids, dan Ibola dijalankan dengan gigih oleh ahli sains bukan Islam. Mereka sebenarnya tidak mencari sesuatu yang baru kerana mereka megkaji bahan-bahan dari alam Tuhan ini juga. Mereka hanyalah menemui rahsia yang Allah telah isikan ke dalam alam ini, dan akhirnya mereka menguasai seluruh dunia ini! Orang Islam hanya sebagai pengguna membeli ubat-ubatan itu dan kita dilihat sebagai bangsa yang bodoh, miskin, terhina, menjadi hamba mereka dan diperkotak-katikkan sesuka hati!

Kalau pun ada orang kita yang menjadi ahli Sains, mereka menjadi pakar hanya pada waktu pejabat. Selesai waktu pejabat mereka pulang main golf, kemudian balik rumah, sembang ala kadar dengan keluarga, menonton tivi dan tidur! Berbeza dengan ahli sains bukan Islam, balik dari kerja mereka buat kajian berasingan di rumah dengan peralatan makmal yang dibeli sendiri!

Banyak penemuan sains dan ubatan baru terhasil dari usaha penyelidik persendirian di Eropah dan Amerika menjadikan mereka kaya-raya. Kekayaan mereka pula didermakan kepada universiti atau membina pusat penyelidikan supaya kajian dan pembangunan (R&D) diperkuatkan lagi untuk menghasilkan penemuan benda-benda baru! Ada pula yang menubuhkan tabung atau dana mereka sendiri. Dengan adanya bukti hasil penemuan ciptaan benda-benda baru dan kegigihan mengkaji, orang bukan Islam di mana saja di dunia ini mudah diberikan pinjaman oleh bank-bank antarabangsa untuk buat perniagaan apa saja yang mereka lakukan (sebahagian besar wang di bank itu pun datangnya dari dana terkumpul tadi). Jika mereka melabur untuk perniagaan pelupusan sampah pun mereka akan pasti berjaya!!
.
.
.

“Jadilah kita dari kalangan orang-orang yang berakal yang sentiasa menyebut dan mengingati Allah. Jadilah kita semolek-molek KhalifahNya yang bersedia menyelesaikan masalah bukan membangkitkan masalah.”

Kumbang tersenyum
Cempaka menguntum
cintaNya mengharum



Salam.

Thursday, 2 April 2009

Gaya Seorang Deano

23/8/2008: Kami berselisih perjalanan. Deano ke utara, saya ke selatan. Kami sempat berbual seketika.

Lain benar gayanya sekarang. Dulu songkok itu katanya tidak selesa dipakai. Kasut kulit juga bukan seleranya. Dia lebih senang memakai cap berlambang bola, dan memakai kasut sukan. Sekarang dia bersongkok. Berkasut kulit. Berjeket lagi! Wah, dia umpama seorang YB. Satu perubahan kata saya.

Gaya sementara saja katanya - sebagai pemain drum untuk sebuah pancaragam dalam pesta pilih-memilih - untuk menimba pengalaman, mendapat upah, juga awek-awek berbaju merah jambu sangat menarik perhatiannya. Dia mahu menjadi ketua anak-anak muda dalam masa 4 tahun lagi. Demikian tegasnya.

Buat masa ini katanya, yang terpenting ialah fulusnya celus masuk kantung. Hidup mesti enjoy babe!


01/4/2009: Deano dan saya bertemu lagi lewat petang semalam. Kali ini di tengah-tengah kota metropolitan untuk melunaskan janji temu yang dirancang dua minggu sudah.

Ooh, Deano semakin bergaya! Hebatnya dia siap bawa awek cun lagi. Deano kini seorang yang sangat disegani.

Untuk masa terdekat ini dia sudah bersedia untuk Karnival Mari Memancing di satu batang sungai yang entah panjang entah pendek. Juga Karnival Ayuh Mendaki di dua buah bukit yang cerunnya entah curam entah landai. Pasti penat katanya tapi tidak mengapa asal fulusnya celus masuk kantung. Tidak mengapa juga kalau fulus itu datangnya dalam gelap atau melalui terowong bawah meja. Janji, enjoy babe!


Salam.

Wednesday, 1 April 2009

S M L




“Size is not a big deal in this sport.” Demikian kata pengulas sukan mengenai saiz fizikal pelumba basikal negara semasa siaran langsung perlumbaan akhir acara pecut Kejohanan Trek Dunia di Pruskow, Poland pada 29/3/2009.




Tahniah Azizul, Josiah, dan Rizal.


Salam.

Sunday, 22 March 2009

Usah Gusar

Siapalah kita ini sebenar-benar kita di mata Khaliq. Rapuhnya qalbi kita dan terlalu goyang jasad kita dalam menyelusuri kehidupan ini. Kita menggusari banyak perkara: dari hal-hal sarapan pagi hinggalah kepada bolasepak EPL, juga ibadah dan kerjaya kita.

Amat menggusarkan lagi apabila kita ditimpa bencana demi bencana, lalu jauh-jauh di pelantar benak kita memikirkan betapa bencana-bencana itu telah membunuh segala macam impian indah kita di dunia ini.

hanyalah gusar
yang berputar
demikian hari hari beredar
untuk ketemu perhentian

entah untuk keberapa kali
peluit berbunyi
rel telah usang untuk dilalui
stesyen terakhir begitu sunyi

selepas hutan dan ladang ladang
selepas sungai dan cerun cerun
selepas gunung dan gaung gaung

dan selepas,
kita ada
dan selepas,
kita tiada.

hanyalah janji janji-Nya.


~ Lope
(di sini)


Usah digusar sangat pada bencana-bencana yang menimpa diri. Anggaplah semua itu ujian-ujianNya kepada kita dan bersyukur jua kerana apa yang datang itu adalah komunikasi langsung dari Dia. Senyumlah menerima ujian itu sebagaimana Rabiatul Adawiyah tersenyum menerima kesengsaraan dan berkata: "Aku gembira walaupun Allah mengujiku dengan kesengsaraan ini kerana itu tandanya Allah masih lagi melihat kepadaku dan Allah masih mahu berhubungan denganku. Aku akan merasa terseksa jika aku mengetahui bahawa Allah sudah meninggalkan aku sendirian. Dunia ini akan menjadi satu tempat yang sangat sunyi bagiku."

Terima kasih Bang Lope atas bait-bait puisi itu yang menyentuh hati dan menggerak rasa sukma untuk menyusun kata-kata dalam tulisan kali ini. Usah gusar. Walau banyak ruang yang telah kita ingkari dalam kehidupan ini, banyak ruang juga yang Allah berikan untuk kita bertaubat. Marilah kita semua bertaqwa dalam sebenar-benar taqwa: sabar dalam menjunjung perintah Allah, benar dalam perkataan dan hati, taat akan perintahNya, berbelanja pada jalan Allah, dan sentiasa beristighfar memohon ampun.

Sisihkan gusar itu sambil mengingati dengan yakin bahawa pada sisiNya juga sebaik-baik tempat kembali dan kepadaNya kita panjatkan doa dan harapan.

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.”

Salam.

Thursday, 5 March 2009

Cerita Boneka dan Seorang Tua

Saya mahu bercerita tapi tiada cerita yang boleh dibuat cerita kerana semua cerita sudah diceritakan di dalam surat-surat khabar cetak dan elektronik. Buang masa saya saja menceritakan kembali cerita-cerita basi itu.

Kalaupun saya bercerita, cerita saya tidak seperti cerita-cerita sensasi yang membuat orang bukan main seronok lagi menceritakan kembali cerita itu kepada orang lain.
.
.

Oh, saya lupa. Saya ada satu cerita tentang boneka. Boneka-boneka sememangnya cantik dan comel-comel belaka dengan nama yang agak pelik seperti Barbie, Britney, ... aah, entah apa-apa nama lagi saya pun tidak tahu sebab saya malas mahu ambil tahu kerana saya tidak bermain dengan boneka. Saya cuma tahu boneka-boneka berjenama ini bukan calang-calang harganya tapi pelik sungguh kerana ada orang-orang yang sanggup membelinya dengan cara apa sekalipun asalkan dapat berkepit dengan boneka itu! Agak melucukan perangai sedemikian, selucu boneka yang cukup bergaya tapi tidak berjiwa. Berkepala isinya lompang. Matanya celik tapi buta. Mulutnya mungil tapi bisu. Ada telinga tapi tuli. Begitulah ceritanya.

Aiseyman, ada pula satu cerita yang tiba-tiba muncul dalam kepala saya! Alaaa, bukan pun cerita seronok tapi saya mahu juga menceritakannya. Ceritanya begini ...

Pada suatu hari di sebuah kampong nun jauh di pedalaman, seorang tua yang luas ilmu pengetahuannya berkata kepada anak-anak buahnya: “Ahli dunia itu kelihatan seperti tuan di dunia ini sementara ahli akhirat itu kelihatan seperti hamba didunia ini.” Lalu bertanya seseorang: "Apa maksudnya?" Jawab orang tua itu: "Fikirkanlah, bukankah kamu berakal?" Begitulah ceritanya.


Salam.

Saturday, 28 February 2009

Kasihnya Hujan

Mentari tengahari bagaikan marah dan hangatnya membara. Orang-orang tua berkata jika demikian panasnya hari, maka rembang nanti hujan bakal turun dengan lebatnya. Kata mereka lagi - kala hujan begitu, sudi-sudikanlah diri bersiram dengannya sambil bawa-bawakan telinga menghayati bunyi hujan yang jatuh ke bumi itu.

Hujan lebat yang turun petang tadi bagaikan satu irama mulus yang melahirkan rasa yang amat senang kepadanya. Hati lalu meredup, jiwa tenang jua dan di kejauhan rasa keinginan merimbun untuk menyentuhnya. Berhujanlah dan dengarkan bunyi hujan yang turun itu, demikian bisiknya hati. Kaki lantas melangkah ke tengah laman di luar teratak, dan berdirilah seorang Rampai dalam hujan lebat yang menjurai turunnya dari hamparan langit nan kelabu.

Aduhai. Dingin air yang membasahi diri menguak rasa kasih lalu menjemput kalbu untuk menghayati dendangan irama hujan yang akur jatuhnya ke atas tanah, batu-batu, bunga-bunga dan daun-daun di sekitar. Bunyi itu, entah bagaimana mungkin dapat menirunya untuk diperdengarkan kepada orang lain kerana sesungguhnya tiada daya seorang Rampai yang kerdil itu untuk menirunya. Betapa agungnya Pencipta!

Alangkah juraian air yang membasahi diri selama lima minit lamanya bisa mendepang rasa qalbi lantas hanyutlah rasa itu dalam tafakur yang mendengar berjuta trillion titisan air yang seolah-olah berzikir serentak akan zikir Alam - menyerap telus dan menggetar seluruh badan lalu air mata menitis dengan tiba-tiba. Subhanallah!

Hujan kering dan langit cerah lalu diri kembali ke tengah laman di luar teratak. Nafas ditarik dalam-dalam dari hidung kemudian dihembus keluar perlahan-lahan. Alhamdulillah, murninya udara menyegar raga dan membugar lubuk sukma!

Begitulah, udara yang kita sedut ini adalah juga udara yang pernah disedut oleh berbilion manusia sebelum kita termasuk para Nabi dan Rasul Allah. Udara ini telah melalui lautan dan daratan; melalui tanah hitam dan pasir; telah melalui herba yang bernilai ubat dan yang bernilai racun; lalu dalam udara itu ada ubat dan ada racun, dan ‘pabila hujan turun, hujan akan menyaring racun-racun itu menjadikan udara selepas hujan adalah yang paling murni dan paling tinggi nilai perubatannya.

Benarlah kata orang-orang tua yang berpesan agar memanfaatkan hujan di pertengahannya dan udara selepas hujan kerana di situ ada rawatan alami yang paling berkesan untuk kekuatan jasmani dan rohani manusia. Wallahu’alam.

Salam.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

(Kemaskini: 6 Mei 2009)

Kasihnya Hujan

mentari bagakan marah
sewaktu menukar suis hangatnya
kepada membara

tujunya, kita
tempiasnya selain

ketika sedang enak
merembang, matahari

tertudung panasnya
mendung menurun sejuta
irama mulus menitik
melimpah di bawah langit

adakah ada hamba merasa
dinginnya lalu menjemput kalbu
sama berirama mendepang rasa qalbi
hingga bercantum zikirnya hujan
dan alam, menyerap telus, menggetar badan

adakah ada hamba
menitis air matanya
ditimpa kasihnya hujan
kasihNya, hujan.

~ Kingbinjai

Tuesday, 24 February 2009

Pemandu Teksi Yang ...

4.30 petang, One Utama. Kate bersungguh mahu menghantar saya. Saya pula berlembut menolak pelawaannya. Bukan tidak sudi tetapi saya tidak mahu menyusahkannya kerana dia ada janji temu dengan seorang teman jam 5.30 nanti. Saya pula masih punya masa yang lumayan untuk tiba di suatu majlis itu sebelum waktunya.

Aduuuh, jenuh menunggu! Tiga buah teksi tidak menerima saya. Teksi ke empat juga semacam akan menolak. Pemandu Melayu yang berusia sekitar 40an itu mengerutkan muka kemudian tersenyum lebar. Dia menganggukkan kepala tanda setuju untuk menghantar saya ke KL Sentral. Hati saya berbelah bagi sebenarnya antara ‘masuk!’ dengan ‘jangan!’ Saya masuk.

Teksi bergerak perlahan. Beberapa kali pemandu itu melihat saya melalui cermin di depannya. Dia melurut-lurut rambutnya ke belakang. Dia berdehem dua tiga kali. Resah mula menyelubungi diri saya lantas hati berdoa jua memohon perlindunganNya.

Lebih kurang 40 meter ke depan teksi mula bergerak sedikit laju. Tiba-tiba dia mengunci semua pintu (central locking)! Saya tersentak seketika kerana seumur hidup saya menaiki teksi tidak pernah diperlakukan begitu. Saya rasa ada sesuatu yang tidak kena. Degup jantung kian kencang. Dia menoleh ke belakang dan memandang saya dengan senyuman persis senyuman singa lapar yang berhadapan dengan makanannya! Saya berfikir – baik turun kat sini, kalau dah masuk jalan besar nanti dia buat alasan susah nak berhenti dan pasti takkan berhenti dan entah ke mana-mana pula dibawanya diri ini. Oh, tidaaaaak!!!

Saya keluarkan telefon dari tas tangan. Tanpa menekan nombor, saya menekapkan telefon ke telinga kemudian bercakap lantang, “Kate masih kat OU ke? ... please tunggu sekejap, buku nota tertinggal ... ya ya ... datang ambik ni.”

Saya minta pemandu itu menghentikan teksi dan memberitahunya saya terpaksa berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal. Dia akur. Saya membayar tambang dan dia merenung tajam wajah saya. Oh, saya tidak suka ... riak wajahnya seperti mahu membaham saya! Saya keluar. Alhamdulillah.


Salam.

Thursday, 19 February 2009

Kasut Tumit 4 inci

Tap-tap-tap ... tap-tap-tap ... bunyinya rapi sekali bagaikan susunan irama tap-dancing membuat mata mencari dari mana datangnya bunyi itu. Oh, itu dia! Anggunnya dia seorang perempuan berkasut tumit tinggi 4 inci sedondon warna kebarung birunya. Jalannya amboiiiii, sedikit seperti peragawati di pentas peragaan busana!

Dia berhenti berjalan kemudian menggeleng-gelengkan kepala. Sejurus dia berjalan lagi ... tap-tap-tap ... tap-tap-tap ... bunyi kasut tingginya. Dia menghampiri seorang perempuan tua berusia sekitar 70 yang berjalan amat perlahan menuju ke arahnya.

“Mak, cepat sikitlah jalan tu!”
Aah, suaranya sama kuat dengan bunyi tumit kasutnya!

Kemudian ... tap-tap-tap ... tap-tap-tap ... bunyi kasut tingginya lagi berjalan menuju ke pintu bilik pemeriksaan. Aduuuh, emaknya ditinggalkan berjalan terbongkok-bongkok seorang diri!

“Mak, lajulah sikit!”
Kali ini nada suaranya lebih tinggi dari bunyi tumit kasutnya itu.

Hampir saja saya menanggalkan kasut tumit satu inci setengah saya untuk mengtap-tap-tap mulutnya yang biadap itu! Mujurlah seorang jururawat menghampirinya dan berkata sesuatu. Dia kemudian memimpin tangan emaknya masuk ke dalam bilik pemeriksaan.

Che'
What is that?

Pagi tadi,
Hospital Selayang.


Salam.

Friday, 6 February 2009

Mas Kahwin

Tuan Haji ... untuk mas kahwin saya nak bagi Kitab Al-Quran.
Eh, mana boleh!

Kenapa pulak tak boleh? Sayidina Ali bagi pelana kuda dan sebilah pedang je untuk Fatimah.
Negara kita ni dah ditetapkan wang tunai sebagai mas kahwin.

Tapi saya nak bagi Quran juga.
Kita ada undang-undang ... ikut sajalah!

Tapi kan Tuan Haji ... kalau bagi Quran, rasanya isteri lebih menghargainya ... boleh baca setiap hari ... khatam setahun sekali. Makin lusuh Quran tu mudah-mudahan makin berserilah hati isteri saya.

Errr ... nanti saya rujuk.


*Demikianlah cerita seorang lelaki itu kepada saya, petang semalam.

Salam.

Wednesday, 28 January 2009

Sandal Coklat



Sandal kesayangan saya sudah agak tua dan sedikit uzur; dibeli untuk mengalas tapak kaki keluar masuk sebuah gedung ilmu tujuh tahun lalu. Sesudah itu dia menjadi teman kembara yang setia mengalas tapak kaki mengembara sini sana. Cushion your feet on a bed of air - begitu yang tertulis di belakang tapaknya dan itulah kekuatannya yang mengagumkan saya hingga kini.

Namanya Sandal Coklat. Kini dia sering sendirian. Bukan saya tidak mahu lagi memakainya tapi risau keuzurannya meruncing lalu dia pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya. Semoleknya saya simpan saja di dalam lemari kasut, dan sesekali rindu saya akan memakainya.

Sejujurnya, saya kepingin sekali memakainya ke Kingston Town untuk meneroka sendiri kehidupan para penghuni bandar itu - tidak sekadar teruja dengan kata-kata “there is magic in Kingston Town” oleh UB40 di dalam lagu reggaenya itu. Pastinya bersama Sandal Coklat kemagisan bandar itu dapat memberikan satu pemandangan yang tidak pernah saya bayangkan selama ini yang berdaya menyingkap ilham rasa untuk direnung hati dan difikir benak.

Saya juga teringin amat memakainya untuk melihat sendiri sisa-sisa pencerobohan hak di Palestin, dan sama-sama menghulur kasih kepada yang memerlukan. Kalau Sandal Coklat pernah mengharungi detik-detik cemas di kem pelarian Maesot di sempadan Thai/Myanmar yang hampir-hampir saja menamatkan hayatnya dua tahun lalu, mustahil dia menolak andai diberi peluang untuk mempertahankan Al-Aqsa.

Entah, kenapa pula hati berhasrat mahu memakai Sandal Coklat ke Kuala Terengganu, dan semakin hari semakin kuat keinginan itu. Jauh-jauh di relung kalbu terasa sungguh ada sesuatu yang menggamit rasa untuk ke sana: ikan masak singgang barangkali; atau nasi dagang; mungkin juga tenunan songket, barangkali juga Pasir Panjang. Aneh sunggguh hidup ini kadang-kadang - hajat bertandang tanpa diundang, membuat hati bergelandangan!

Begitulah keinginan mendalam yang terpendam. Entah bila ‘kan terkabul, namun hasrat itu tidak ‘kan berkubur begitu saja. Siapa tahu satu hari nanti ada izinNya lalu mengembaralah saya ke sana tetapi sama ada bersandalkan Sandal Coklat ataupun tidak, itu sesuatu yang saya tidak pasti.

Tidak kiralah seorang manusia itu memakai sandal apa atau kasut apa untuk ke mana-mana di bumi ini asalkan dia tahu bagaimana dia berjalan membawa dirinya dalam kembaranya itu. Kepada yang mengaku dirinya Islam, maka dia berjalan atas nama sebuah agama sejahtera tidak kira di tanah mana dia berpijak. Dia membawa bersamanya kesejahteraan dan menyebarkan keamanan kepada manusia lain, bukan membawa Islam sebagai satu jenama yang bertanda dan berlambang. Manusia Islam itu seharusnya menampilkan perbuatan yang murni seperti yang disuruh Tuhan di bumi mana pun dia berada, bukan bercakap hal-hal yang baik tentang agama tetapi tidak melaksanakan seperti yang disuruh agama. Setiap manusia Islam mestilah melihat Islam itu sebagai cara hidup yang nyata dan amalinya dapat dilihat dan menampakkan faedahnya kepada diri sendiri, keluarga, ummah, dan watan. Jika tidak, malulah orang-orang Islam mengaku diri Islam tetapi tidak melaksanakan seperti apa yang disuruh oleh Islam. Wallahu’alam.


Salam.

Saturday, 17 January 2009

Detox

Detox badan: Dua hari badan lesu membawa saya ke sebuah farmasi petang semalam untuk mencari supplements. Pusing sana cari sini, tidak ada yang menarik selera kesihatan saya, lagi pun saya sebenarnya tidak suka memasukkan pelbagai bahan kimia dalam badan; saya lebih senang dari sumber yang asli. Saya lalu membuang sedikit masa lepak-lepak dengan pakar farmasi yang bercerita panjang tentang proses nyah-toksin dari badan. Katanya detox badan bermakna cuci usus dan nasihatnya kepada saya ialah mengurangkan pengambilan makanan dari sumber tenusu, dan senam-robik perlu ditingkatkan kepada satu jam. Oh, kalau begitu kata saya, dalam masa sebulan badan saya akan jadi papan! Dia ketawa.

Detox jiwa: Malamnya saya ke pasar malam. Sudah lama tidak ketemu dan membeli apam balik Pak Halim. Beliau bertanya saya ke mana kerana lama tak datang. Saya kata saya sangat kurang sihat. Ujarnya, “Para salaful soleh akan berasa sangat sedih kalau tidak ditimpa penyakit setiap tiga bulan kerana ini menunjukkan Tuhan tidak menyayangi mereka”

Dalam sembang-sembang kosong seusai majlis muzakarah tiga hari lalu, Pak Ustaz menyampaikan pesan arwah datuknya, “Ingatlah dan berhati-hatilah dengan apa yang masuk dan keluar (yang kita makan dan kita katakan) dari mulut kamu. Kerananyalah kita sering mendapat musibah.”

Salam.

Sunday, 11 January 2009

Hari hari yang sakit - Air Mata untuk Palestin

Betapa rencamnya penyakit ini yang cukup menguji ketabahan diri. Adakalanya nafas terhenti lalu nyawa hilang beberapa saat. Panas dinginnya badan silih berganti; ada ketikanya sendi-sendi lenguh merantai gerak badan; dan kepala kadang bagaikan menjunjung beban yang berpikul beratnya. Entah apakah gerangan penyakit ini, pakar perubatan pun tidak tahu walau ujian demi ujian sudah diusahakan.

Namun syukur jua kaki masih mampu melangkah longlai; suara lesu masih boleh didengar; walau selera menurun masih berkeinginan untuk makan minum; dan masih boleh menulis-nulis rasa di dalam blog walau bersiar-siar di laman teman-teman amatlah terhad kerana berlama-lama di alam maya akan melahirkan rasa pening dan loya.

Sungguh, melalui hari-hari yang sakit amat memedihkan, namun apalah sangat pedih ini berbanding dengan kesakitan dan kesedihan berganda-ganda yang ditanggung oleh warga Palestin yang sedang melalui detik-detik menggadai nyawa di hujung senjata yang tidak bermata. Saban hari berhujankan peluru dan bermandikan darah. Tubuh-tubuh rentung, koyak, berselerak di mana-mana ...

... *titis-titis Air Mata ini untukmu Palestin*



kartun oleh Carlos Latuff

Israel dan Palestin adalah satu Qalam Tuhan yang memberikan pengajaran kepada kita semua. Sememangnya Yahudi itu dilaknat oleh Allah sejak zaman Rasulullah Salallahu Alaihi Wassalam lagi. Kalau Rasul Allah pun mereka sanggup bunuh, apa tah lagi orang-orang biasa seperti Palestin tetapi itu adalah bahagian untuk bangsa Palestin di mana ganjaran martabat syahid menjadi milik mereka. Allah bersama orang-orang yang benar.
Wallahu'alam.


Salam.

Sunday, 4 January 2009

Harapan dan Doa

Aduhai. Kadang tidak terdaya sebenarnya membebani musibah yang melanda diri. Ada waktu-waktunya badan yang lemah ini umpama keruing pipih gugur dari pokoknya lalu melayang-layanglah ia bersimpang-siur dibawa angin kemudian jatuh entah di tanah mana. Ada waktu-waktunya pula, menghitung harap petahnya tidak di lubuk kalbu tapi tergagap-gagap di tepi bibir menjadikan diri seolah-olah manusia yang sangat berputus harap. Oh, tidak! Usah sekali-kali berputus asa wahai diri!

Berputus asa bermakna dirimu sudah hilang keyakinan kepada kemampuan Tuhan untuk memberikan rahmatNya kepadamu. Dengan berputus asa kau seolah-olah sudah tidak yakin bahawa Tuhan akan membantu dan memperkenankan doamu. Peningkatan iman datang dengan ujian dari Tuhan dan apabila lulus ujian, iman akan meningkat tetapi pasti akan diikuti dengan ujian yang lebih besar lagi. Bukankah dalam doa kau sentiasa meminta untuk ditingkatkan iman? Masakan kau tergamak memarahi Tuhan apabila ujian diturunkan kepadamu? Ingatlah kepada kata-kata Imam Ghazali, bahawa maqam redha adalah maqam iman tertinggi yang mampu dicapai oleh manusia biasa, tetapi untuk mencapai maqam itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana setiap detik manusia akan berdepan dengan hal-hal yang menggugat kesabaran diri dan ketabahan hati. Berusahalah selagi bernafas, usah berputus asa kerana berputus asa adalah sesuatu yang sangat dibenci Allah. Laluilah musibah itu dengan redha.

Iya, apalah sangat kesakitan ini berbanding kasih Tuhan yang melimpah ruah dan sentiasa melihat hamba-hambaNya yang sabar dan sujud kepadanNya dalam senang dan susah. Mudah-mudahan Dia mendengar dan menjawab jua doa yang dimohon - “Ya Rabb, aku redha dengan ujian ini dan jadikanlah keredhaanku akan penyakit ini sebagai pembakar dosa-dosaku yang lalu. Amiin.”


Salam Hijriah 1430 dan Masehi 2009.