Monday, 14 February 2011

Dari mata turun ke hati

Orang kata mata adalah jendela hati kerana apa yang dilihat mata akan menggerak hati. Kerana mata orang jatuh cinta. Kerana mata juga orang cemburu buta.  Oh-la-la!

Tutup mata nampak kelam. Buka mata nampaklah segala yang ada di sekeliling. Maka mata ini dibuka besar-besar supaya nampak segala yang wujud di persekitaran kafé yang lengkap segalanya, namun dalam lengkap begitu pun masih ada kurangnya dari sudut pandangan mata ini. Alahai, kafe yang dilanggani tersangatlah sunyi! Hanya diri ini yang menjadi pelanggan di situ. Dua orang kakitangan kafé pula sedang duduk bersembang di kaunter bayaran. Hmm … seronoknya berkerja tanpa kerja!
Sebelumnya, di ruang check-in juga tidak begitu bising kerana tidak ramai pengunjung seperti selalunya. Tidak ada barisan-barisan panjang dan wajah-wajah pelbagai mimik berdiri menunggu giliran. Di luar kafé juga boleh dikira dengan jari orang-orang yang lalu lalang di situ. Sunyinya! Tak mengapalah. Ada milo panas sebagai teman dan sebiji muffin pisang mengenakkan hati yang mulai merasa sepi. Ya, minum minum dan makan makan sambil menulis-nulis di dalam buku nota. Bukan menulis ... mencoret-coret sebenarnya yang entah apa-apa yang dicoret. Milo dihirup. Muffin dimakan. Milo diminum. Muffin dikunyah.
Tiba-tiba …
Hei, lelaki itu kenapa dia memilih meja yang betul-betul bertentangan dengan meja perempuan ini? Dia meletakkan kole (kopi, teh, milo atau apa ya isinya?) dan sepinggan mee goreng di atas meja. Sejurus dia pun duduk. Kemudian … oh, dia melemparkan sejenak pandangannya bersama senyuman yang boleh tahan manisnya kepada perempuan ini! Secepat kilat tanpa membalas senyumannya, perempuan ini melarikan matanya dari bertembung dengan mata lelaki itu. Malulah dipandang begitu! Kemudian perempuan ini kembali menulis di dalam buku notanya. Kali ini menulis … bukan mencoret. Tulisan tentang lelaki itu.
“Lelaki itu. Berjaket denim dan berseluar jean. Tingginya … hmmm … 1.8m? Lebih kuranglah. Rambutnya bergaya seperti penyanyi yang pernah digam kerana membuka baju di atas pentas. Cerah kulitnya. Senyumannya manis juga tapi pandangannya … jujurkah?”
Perempuan ini menghentikan penanya kemudian mencuri pandang lelaki itu. Dia kusyuk menjamu selera. Bagus! Perempuan ini meneruskan tulisannya.
“Duhai mata, usah pandang dia. Jangan! Sebab mata tidak pandai berkata-kata tetapi memiliki bermacam-macam bahasa yang sukar dimengerti: Ada bahasa jelingan; ada renungan kosong; ada pandangan manja; ada tatapan tajam; ada renungan simpati; ada bahasa kenyit-kenyit mata. Segalanya menimbulkan pelbagai rasa di hati orang yang dipandang. Ingat,  setiap pandangan menimbulkan pelbagai tafsir oleh orang yang dipandang. Setiap pandangan menggoyah jiwa: Ada yang  meresahkan hati; ada yang menimbulkan benci; ada menerbitkan rasa kasih. Kadang-kadang, pandangan mata boleh mencetus fitnah! Maka itulah Dia memerintahkan perempuan dan lelaki menundukkan sebahagian dari pandangan mereka apabila berhadapan antara satu sama lain.”
Lelaki itu. Entah, matanya memandang atau tidak perempuan ini ketika dia berlalu pergi meninggalkan kafe. Itu bukanlah satu isu yang penting sangat!
Peliharalah hati supaya terpelihara mata dari dusta. Itu yang penting.

*KLIA: 22.01.2011
Salam.

Wednesday, 9 February 2011

Sampaikan

angin malam
bawalah lagu ini
ke pangkuan hatinya

kala embun merecup
nyanyikan rinduku
padanya

Salam.