Monday, 9 August 2010

Yang pulang. Yang tinggal. Yang datang Ramadhan.

Yang pulang Mak Melah.
Inna Lillah wa Inna Ilaihi Raji'un.
Mudah-mudahan tenang di sana dan berada di dalam Liqa Allah.
Al-Fatihah.

Yang tinggal kita. Pulang kita entah bila namun pulang itu tetap. Jalannya sudahpun tersedia dan kita sedang berjalan di atas jalan itu. Jalan yang lurus, bersih dan indah. Cumanya, manusia saja yang pandai-pandai membuat jalan itu bersimpang, berbengkok, beralun, berkerikil dan penuh semak-samun. Begitulah, yang tinggal akan terus diuji keimanannya sehingga saat waktu pulang.

Yang datang Ramadhan, purnama yang tidak pernah  melupakan manusia dengan membawa rahmatNya yang tidak terhingga, juga membawa pesanNya. Datangnya menyuruh manusia membersih dan mensucikan diri. Hadirnya mendidik manusia untuk bersabar dan beristighfar. Tibanya untuk membimbing manusia agar berakhlak cantik . Datangnya untuk mengingatkan manusia supaya saling kasih-mengasihi. Ramadhan hadirnya sekejap, maka itu hidupkanlah ia di kalbu kita dan semarakkan rasa cinta yang paling kudus untuk Laylatul Qadar.

“Subhanallah, Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Aku kembalikan rasa syukur kepadaMu Ya Allah di atas kemurahan rahmatMu mengalirkan cahaya RamadhanMu yang menjadi nikmat kepada batinku. Sesungguhnya setiap saat dalam Ramadhan ini aku merasa cukup hampir denganMu.

Engkaulah cahaya jika aku dalam kegelapan kerana Engkau sentiasa memberikan petunjukMu. Hanya kerana aku manusia yang dhaif ini sering alpa, maka seringkali aku kehilangan arah walaupun petunjukMu melintas di hadapanku; dan ketika hatiku penuh dengan pelbagai soalan, Kau sentiasa menjawab setiap pertanyaan dan kemusykilan hatiku dengan wajahMu yang berseri-seri.

Ya Allah, Engkau terlalu baik kepadaku, dan ucap syukurku terlalu remeh untuk segala kebaikan yang telah Engkau berikan. Ampunkan aku dan segala kealpaanku selama ini Ya Allah. Ampunkan aku dan segala kealpaanku selama ini Ya Allah. Ampunkan aku dan segala kealpaanku selama ini Ya Allah. Allah Hu Ya Allah.”

Selamat berpuasa kepada semua muslimin dan muslimat. Sambil-sambil berbuka dengan juadah yang berselerak di atas meja, janganlah lupa kepada mereka yang berselerak tanpa meja dan juadah.

Salam Ramadhan.
1431H

Wednesday, 4 August 2010

Mid, jangan butakan hati kau!

Pagi yang tenang tiba-tiba menjadi kecoh.

"Aku nak mati! Aku nak mati!" Jerit Mid mengongoi-ngongoi sambil kedua-dua tangannya memukul-mukul bantal di atas riba yang mulai lencun dek air mata yang menjurai turun dari sepasang matanya yang kian sembab.

"Nak mati kat mana dan 'camana? Terjun dari tingkat 10? Digelek keretapi? Minum racun?" Balas Ria dalam nada geram. Mukanya cengih.

Soalan itu menghentikan seketika tangisan Mid. Tidak disangkanya sama sekali Ria yang selama ini berlembut tidak pernah jemu membujuk dan menasihatinya mampu mencetuskan soalan-soalan sebegitu.

"Tapi kalau nak mati pun bukan kat sini, okey! Pergi jauh-jauh. Pi Jepun, pi Korea! Paling tidak pi Pulau Ketam." Lagi saranan dari Ria. Bisa lantunan suaranya yang tinggi meletuskan tangisan Mid yang lebih kuat.

Kebosanan Ria melayan Mid sudah melampaui kesabarannya. Dulu masa Mid putus cinta kali pertama, dialah yang memujuk dan menasihati. Mid akur. Kali kedua putus cinta pun Mid menurut kata-kata nasihatnya. Namun kali ini entah apa yang merasuk hati dan fikirannya sehinggakan dia mahu mati!

"Cinta ... Mid ... indah dirasa jiwa kala ia mekar. Merosak kalbu 'pabila ia dicemar. Cinta hanya akan tenang bila cinta sesama manusia itu dihadirkan bersama cinta Tuhan. Cinta Tuhan mengharumkan jiwa sepanjang masa walau cinta kau dengan lelaki putus di tengan jalan. Jangan butakan hati kau Mid ... hanya kerana putus cinta."

"Heh, aku sedang merana ni tau! Yang hang berpuitis tu apa kes? Kuno sungguh hang eh!"

Ria faham benar, kalau Mid sudah mula ber'hang-hang' tandanya dia tidak perlu lagi dilayan. Harus ditinggalkan sendirian.

"Well, tak da kes yang lebih parah selain melihat hang yang lemah hati."

"Aku nak mati! Tak guna hidup lagi!"

"Rugi kalau kau mati sekarang. Kau tak nak kawin? Kau tak nak rasa macam mana mengandung tu? Kau tak nak jadi ibu? Kau tak nak bertaubat sebelum mati?"

Mid terus mengongoi. Kedua-dua telinganya ditutup dengan telapak tangannya. Kata-kata Ria itu bagaikan letupan bom yang meleburkan hatinya yang sedia retak.

"Mengucap Mid. Mengucap. Tuhan masih sayangkan kau. Ada yang lebih baik dari dia yang Tuhan sediakan untuk kau. Jangan butakan hati kau hanya kerana putus cinta. Tuhan benci pada orang-orang yang berputus asa."

Tangisan Mid tidak juga reda-reda. Sekejap mengongoi sekejap berjela panjang. Ria meninggalkannya sendirian. Lambat-laun tenanglah hatinya, mudah-mudahan. Bisik hati Ria.

 
Salam.