Saturday, 21 January 2012

Wednesday, 18 January 2012

Pak Dun dan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaannya

Sudah menjadi kebiasaan Pak Dun untuk beberapa hari dalam seminggu bangkit pada satu pertiga malam yang akhir tanpa mengejutkan Mak Mun. Dulu-dulu mahu juga Mak Mun bangun dan menbancuh kopi untuknya, siap dengan keropok ikan yang digoreng dengan penuh rasa kasih dan sayang. Paling tidak, biskut kraker pun sudah memadai untuk menemani kopi hitam Pak Dun. Itu dulu tapi sekarang ini Pak Dun tidak lagi mengejutkan Mak Mun kerana dia tahu kalau dikejutkan juga isteri kesayangannya itu, dia tidak akan bangun. Kalau pun terbangun, Mak Mun tidak akan menyahut dan tidak pun membuka matanya. Dia terus membatukan dirinya di atas katil.

Pak Dun sudah biasa berseorangan begitu sejak 3 tahun kebelakangan ini. Dia tidak mahu menyusahkan Mak Mun dan dia juga tidak mahu menyakiti telinga dan hatinya sendiri dengan rungutan-rungutan Mak Mun yang pedas bak cili, kadang-kadang lebih pedas dari cili api. Jadi, dia akur sendirian ke dapur membancuh kopinya. Kopinya juga tidak ditemani keropok ikan. Hanya biskut kraker dan maruku. Kopi, biskut, dan maruku amat penting bagi Pak Dun untuk menawar matanya dari lalai dan mengantuk.

Tengah-tengah malam yang hening di sekitar Pak Dun akan dipecahi dengan lantunan-lantunan suaranya yang sekejap meninggi sekejap merendah. Ada waktu-waktunya suaranya menjadi sedih penuh penyesalan. Kadang-kadang lontaran suaranya menampakkan kepuasannya yang tidak terhingga. Begitu Pak Dun menyelusuri satu pertiga malam yang akhir dengan penuh khusyuk sehinggakan ada kalanya dia lupa akan waktu yang berlalu sehinggalah Mak Mun membangunkannya untuk solat subuh. Ada juga solat subuhnya terlepas dan dia hanya bangun kala suria sudah tersenyum lebar di dada langit, dan mahu tidak mahu dia terpaksa mendengar bebelan Mak Mun.

Mak Mun membebel ... birthday Rooney ingat, birthday Ferdinand ingat, birthday Owen ingat tapi birthday sendiri tak ingat! Usia sudah malam, kenapa masih berqiamullail dengan bola dan kenapa ke masjid hanya hari Jumaat? Demikian kebiasaan bebelan Mak Mun yang tidak lengkap kalau tidak diiringi dengan jegilan matanya yang sebulat mata ikan mabong.  Seperti kebiasaannya Pak Dun menjawab dengan suara manja,  "Alaaa, abang masih sihat Mun ... nanti-nantilah abang buat semua tu."


Salam.

Friday, 6 January 2012

Luar biasa

Merasa luar biasa adalah sedikit luar biasa kepada orang yang biasa-biasa saja. Bukan diminta, bukan dipaksa, bukan juga direka-reka akan rasa luar biasa itu. Ia datang bak angin yang sayup-sayup menjamah lubuk kalbu lalu meredup segala deria rasa yang ada. Ia datang bagaikan titis-titis embun yang mendinginkan jiwa.

Adalah menjadi luar biasa apakala hari lahir yang tidak pernah dirai tiba tiba saja dirai. Selama ini bukannya lupa haribulan lahir tetapi tiada apa yang perlu diraikan kerana tiba dan pulangnya masa adalah sesuatu yang biasa dalam kehidupan ini. Datang dan perginya masa hanya akan menjadi luar biasa apabila ruang legar antara datang dan pergi itu diisi dengan nur ilmu.

Aneh sungguh hidup ini kadang-kadang kerana cahaya ilmu ada di mana-mana yang tidak disangka letak tempat dan waktunya dalam ruang legar masa kehidupan. Maka itulah pencarian ilmu perlu berterusan hingga ke akhir hayat dan jadikan ia teman sejati dalam perjalanan mudik ke asal.  Mencari ilmu adalah biasa-biasa saja kepada pengemis ilmu, namun menjadi luar biasa dan payah kepada yang malas.

Selamat ulang tahun blog Bunga Rampai!


Salam.

Sunday, 1 January 2012

Biasa-biasa saja

Di laman, bunga-bunga kertas masih menguntumkan senyuman fuscianya.
Kemuning putih belum pun lagi berputik. Kucing-kucing jalanan tetap
berkerumun di pintu pagar belakang menunggu untuk dijamu. Ikan-ikan, aneh, tidak pernah penat berenang-renang di akuarium. Semuanya masih seperti semalam. Nyaman dan tenang.

Bersarapan di Subway juga bukan satu kelainan: roti parmesan oregano berintikan tuna, telur, keju, sayur-sayuran - bersoskan mustard, thousand island, dan sos cili. Biasa-biasa saja seperti tosei dan capati, nasi lemak atau nasi dagang yang kadang-kadang dijadikan menu sarapan apabila selera menolak keenakan bubur oat yang menjadi menu utama setiap pagi. Oh ya, kopi putih panas juga biasa-biasa saja. Walaupun tidak sehebat nescafe yang aromanya boleh melayangkan madah-madah fikir seperti layang-layang terbang bebas dan jauuuuh ke langit hijau, kopi putih itu bagaikan mengiringi kilau suria yang menyerikan hati.

Biasa-biasa saja hari ini.  Masih berazam lama kerana Cinta masih bersembunyi!

Salam,
2012 Masehi.