Wednesday, 26 June 2013

Jerebu

Sepucuk surat cinta dari langit.

Bunga,

Surat ini kutitip bukanlah apa apa sangat. Tidak seperti surat surat sebelum ini yang ceritanya panjang lebar. Surat kali ini ringkas namun ditulis dengan rasa setia cinta, hanya kepadamu.

Sesungguhnya Allah sedang berbicara dengan kita melalui kejadian jerebu yang melanda sekarang. Ada pesan yang terselit di dalam bicara itu. Mudah mudahan kita dan sekalian umat Islam masih berupaya memahami bicara itu dan bersyukur dengan pesanNya. Hentikan kekejaman. Usah biarkan kemurkaanNya berterusan, nanti azabNya kepada kita berpanjangan hingga ke Jahannam.

Wassalam.


Sunday, 23 June 2013

Penjual kuih

Sudah dua hari minggu Puspa mendengar laungan seorang budak itu, kala petang sesudah waktu Asar. Sesuatu yang menarik, fikir Puspa. Dia teruja lantas pada hari minggu berikutnya dia menunggu laungan itu di depan rumah. Dia mahu melihat siapa empunya diri yang memiliki suara lantang yang telah mendetik rasa di hatinya kepada sesuatu yang pernah dilaluinya suatu masa dahulu.

"Kuih! Kuih!"

Telinga Puspa meneliti arah suara itu. Makin lama semakin jelas datangnya dari sebelah kiri. Suara itu sekejap ada sekejap tiada. Dia sabar menunggu laungan itu berkumandang di hadapan rumahnya.

Terlirih senyuman di bibir Puspa sebaik melihat penjual kuih berada di hadapannya. Penjual kuih membuka penutup bakul dan terserlahlah kuih kuih jualannya. Aah, ketayap! Seronoknya hati Puspa. Ada cucur badak dan ada juga karipap. Puspa membeli tiga gulung ketayap dan dua biji cucur badak kemudian membayar harganya.

"Harganya dua ringgit je, bukan tiga ringgit." Kata budak itu lalu mengembalikan seringgit kepada Puspa. Puspa menolak. Hadiah untuk adik kata Puspa.

Hari minggu berikutnya Puspa menunggu lagi penjual kuih itu namun dia tidak datang. Puspa menunggu lagi pada hari minggu seterusnya. Dia tidak juga datang. Dua hari minggu selepas itu pun laungan Kuih! Kuih! tidak kedengaran. Selepas itu Puspa tidak lagi menunggunya. 

Kehadiran penjual kuih yang bernama Fikri itu, walau hanya sekali, telah menggetar rasa nostalgianya kepada waktu waktu silamnya semasa kecil – dan Fikri adalah bayangan dirinya di usia sepuluh tahun ketika itu menjual kuih hasil air tangan ibu tersayang. Bezanya cuma, Fikri menjaja kuih pada waktu petang di bandar tetapi Puspa menjaja kuih pada waktu pagi di pekan kecil. Kala kanak kanak lain masih berselimut, Puspa sudah pun bersedia untuk meleraikan hening pagi dengan laungan “Kuih! Kuih!” kepada jiran tetangganya.  Maka itulah dia amat memahami perasaan Fikri ketika menjaja  - penatnya kaki berjalan, lenguhnya lengan mengangkat bakul, peritnya tekak, dan sakitnya hati diejek kanak kanak lain.

Kini Puspa sudah berhenti mengharap dan tidak lagi bersoal soal tentang ketiadaan Fikri. Dia hanya mengingatinya dalam doa - mudah mudahan Fikri  terus menjual kuih selagi ada daya dan masa kerana itulah antara sebaik baik pengalaman yang melatih diri untuk menjadi insan berani dan yakin  menghadapi dugaan hidup yang rencam ini.

Salam.


Saturday, 1 June 2013

Dua bulan yang telah berlalu


April. Entah apa apa bulan ini. Kota sangat meletihkan. Balik kampung. Selera orang kampung pun kini telah melalui transformasi. Hebat! Paling seronok apabila mereka mendapat hadiah uwang barang seratus dua yang berbalut janji. Senyum Si Penerima hingga mencecah telinga. Hati Si Pemberi berbunga bunga kemboja.

Mei. 5th May to be exact. PRU13. Kenangan manis apabila buat pertama kali kuku dihias. Tidak mengapa hanya kuku jari telunjuk kiri. Tidak mengapa juga bukan warna merah. Heh, buruknya calitan! Ade ke pulak ujung jari bak dicelup warna – comotnya! Juga tak mengapa comot walau bukan itu yang dimahukan. Yang penting warna tidak kekal – basuh dengan sabun terus hilang. Yeay!


Salam.