
Apakah yang kalian suka tentang sekawan burung merpati di dalam gambar di atas itu? Gambar itu saya rakam ketika kembara saya baru-baru ini.
Saya gemar melihat mereka bergerak, melangkah sana-sini. Kaki yang kecil comel itu melangkah pendek-pendek, gedik-gedik. Saya pandang kaki saya. Wah, panjang sekali dan pastinya saya lebih hebat melangkah berbanding burung-burung itu! Hebatkah?
Sukar sekali membayangkan apakah yang bakal dihadapi apabila kaki itu diunjurkan selangkah ke hadapan. Barangkali unjuran itu bakal membawa kaki itu terus berlari tanpa henti hingga ke destinasi. Barangkali kaki itu hanya mampu menyusun sepuluh langkah dan tiba-tiba terhenti. Barangkali juga langkah itu berpatah ke belakang. Barangkali ke kanan atau ke kiri.
Ada kalanya kaki itu tergelincir. Kadang tidak mampupun bergerak.
Bersama langkah itu kita bawa ilmu pengetahuan yang ada pada kita, keturunan dan salasilah keluarga, kekuatan tubuh badan, kecantikan/ketampanan, harta benda, pengaruh dan kuasa kita. Bersama langkah itu juga kita bawa batin kita - ada rasa kasih, sayang, benci, iri hati, dengki, marah, dendam, sombong.
Dalam apa juga keadaan langkah itu, sedar atau tidak, kita sebenarnya melangkah sambil membawa ego kita!
Riak, sombong diri, pemarah, takkabur merupakan beberapa jenis penyakit jiwa yang disebabkan oleh ego yang tidak dikawal. Awas, ego yang tidak dikawal bukan sahaja mengganggu keseimbangan emosi dan mental, malah membinasakan diri sendiri dan bisa saja membawa bencana kepada ummah. Bagaimana pula ego kita terhadap Allah SWT?
Oh, saya tidak berpanjang-panjang bercerita mengenai ego itu. Andai kalian mahu tahu lebih lanjut, carilah ilmu tentang ego itu di mana-mana. Jangan tidak, rugi!
Merpati-merpati itu lagi. Kepingin sekali melihat gelagat merpati dua sejoli, namun tiada. Mereka sering sahaja berkawan-kawan, mencari makan kemudian terbang. Barangkali mereka belum bersedia, atau darah belum panas untuk berjoli-joli.
Aah, darah panas ... tentu saja kepunyaan orang muda!
Darah orang muda yang mengalir kencang sememangnya manis dan panas! Bergemuruh cair apabila teruja, menyirap hangat apabila digertak. Ombak geloranya sukar direda. Mencari pelabuhan untuk melabuh sauh. Enak jika berteman, kekasih barangkali - teman untuk bicara meluah rasa di bawah sinar rembulan. Rindu merindu. Selaut kasih dihampar, dialah segalanya! Eh, eh, ke situ pula saya .
Darah muda andai tidak dikawal, aliran darah berserakan entah ke mana-mana tiada hala tuju. Nah, fikirkan di alur mana harus dialir darah muda itu agar bermukim kental dan bermanfaat untuk sebuah alam dan sekalian penghuninya.
Setiap anak muda punya tanggungjawab yang dapat menyumbang kepada pembangunan rohani, dalam menyatukan ummah.
Ayuh anak-anak muda kita sekatakan rasa, gumpalkan tenaga, mantapkan jiwa - kita bantu ummah tuju pembangunan rohani yang jitu. Inilah masa menyumbang kasih menghulur bakti, ketika usia masih muda berdarah panas! Hulurkan salam kenal, unjurkan tenaga, bantu mana yang perlu untuk membaikpulih rohani dan jagat yang semakin rapuh ini.
Sekali-sekala kongsilah masa, tenaga, dan kasih kita di sini, atau di sini, atau ini, dan ini. Banyak lagi sebenarnya. Ia membuka ruang yang lebih besar untuk ikatan silatulrahim, meluaskan pengalaman dan menambah pengetahuan. Menimbulkan rasa kagum dan cinta kepada Allah SWT dan RasulNya. Mulakanlah sesuatu ...
... paling mudah, mulakan di masjid. Fikir-fikirkanlah :-)
Salam.
20 comments:
sekrg mcm makin susah plak nak nampak merpati di bahagian utara nih....
Salam.
sebagai kucing, jarang dapat tangkap merpati :-(
Rasa di hati ingin menyumbang bakti.. suatu masa nanti moga tertunai juga
andai kata
tiang didirikan
teguhlah iman di dada
andai kata
ada iman tersemat
nah tiada apa yang menjadi penghalang ke jalan kebaikan
cuma
tepuk dada tanya selera
tidak begitu?
setiap manusia perlukan peringatan...walaupun bagaimana tinggi darjatnya masih perlukan sebuah nasihat yang bernilai. moga kita akan sentiasa dilindungi oleh allah...amin.
suka kalau dapat bagi merpati tu makan
Subhanallah... hanya kerna merpati...
Merpati gorang lada sedap!
:P~
pembangunan rohani ~ tanggungjawab besar tu..
... paling mudah, mulakan di masjid. Fikir-fikirkanlah :-)
Harus juga dimulakan dari dalam diri sendiri. Kebolehan tidak akan membawa kita ke mana-mana tanpa kemahuan. Tak begitu BR ..?
Usaha yang murni... :)
Najis merpati itu beracun kan..?
Salam Datuk Seri yang barusan kembali dari berpergian,
Tentunya perjalanan itu memberi ruang untuk berfikir dan mentelaah dalam diri, perihal manusia dan kemanusiaan. Benar kata orang, jauh perjalanan luas pengalaman, dalam pula pemerhatian :)
Saya setia menanti entri-entri akan datang, pasti masih ada siri perjalanan yang panjang itu, kan.
p/s: teringin duduk semeja dengan datuk seri, menghirup kopi sambil berbual perihal ummah.
salam kehidupan...........
wow....dari merpati pun ada perumpamaan untuk manusia.
sememangnya dunia ini penuh dengan kepelbagaian tindakan.
kata pepatah "Bebas bak Merpati".
namun bebas merpati bukan bebas tidak berarah. bebas merpati dalam kawanan, jarang merpati terbang seekor, kalaupun ada, ia dua sejoli.
merpati bebas dalam fitrah, bebas memilih arah ke mana utk hinggap mengutip rezeki, bebas memilih bumi mana hendak dipijak kaki. namun sekali lagi, bebasnya dalam kawanan, tidak sesekali lari dari sempadan. tidak ada merpati bebas melanggar fitrah. tidak ada merpati bebas bercita2 tiba2 mahu menjadi anjing. tidak ada merpati kelabu tiba2 mahu menjadi putih.
kita manusia ingin bebas seperti merpati tp tidak mengapa mengambil iktibar merpati?
hmmm... jinak2 merpati, bila dekat, ia lari...
salam,
hmm darah panas juga milik org tua. cuba lihat lelaki atau perempuan tua yg panas baran ...betul ke?
Merpati terlalu banyak perlambangan di dalam masyarakat kita...
Saya suka melihat cara merpati berjalan.
13may:
Mana pergi merpati-merpati tu?
Salam kembali.
Azer:
Sebagai kucing, sering dapat tangkap tikus ;)
Mya Marja:
Doa saya mengiringi. Moga hasrat dimakbulkanNya.
Petiais:
Matlamat hidup kita banyak memainkan peranan dalam hal ini.
Achik Sufi:
Manusia saling memerlukan. Ingat mengingati.
King:
Pasti mereka berterima kasih atas sedekahmu itu.
is150:
Ada hikmah dan nikmat di sebalik ciptaanNya.
Bro PK:
Gorang lada hitam ke putih, atau lada kering? :)))
NBB:
Sangat besar. Perlu pendekatan sesuai dalam dunia yang semakin sempit ini.
BP:
Itulah yang molek BP, dan biarlah kemahuan itu bersulamkan kejujuran.
Ayuh sama-sama kita berusaha :)
Ermm, beracun? Tak tahu pula itu. BP boleh jelaskan? Tk.
Izariza
Salam kembali Datin Seri ... hehehe, rasanya lekatlah panggilan ini
Berjalan ke kedai runcit berdekatan pun satu kembara :)
p/s sementara menanti izin Masa untuk berkopi-kopi di alam nyata, yo kita saling berkinjung meluah bicara tentang apa saja :)
Cermindiri:
Salam kembali,
Hidup juga penuh dengan kejutan. Perlu bersedia menyahut cabaran!
Sitilina:
Salam kenal,
Mengambil iktibar daripada setiap kejadian alam menjadikan kita manusia yang tahu eltak diri.
Sastri:
Dah lama tak dengar ungkapan itu. Dalam maksudnya :)
Kak Long:
Salam kembali,
Darah panas orang tua - itu kes darah tinggi! :D
Indera:
Lebih bergaya daripada catwalk? :))
salam kenal juga :)
orang kata daging merpati tu penawar, betul ke?
rukun hidup
-nafsu
-akal
-ilmu
-amal
-budi bicara
pasti akan membezakan kita dari haiwan ;)
Sitilina:
Saya bukan dukun :)
Tpi dengar-dengar cerita orang tua begitulah.
Tegezoot:
Salam kenal :)
Rukun hidup andai dirapi molek-molek, damai dan tenanglah hidup.
Post a Comment