Wednesday, 24 June 2009

3 Purnama

Bersenandung apakah Dayang detik ini, kala malam sedang bersenandung riang menidurkan insan-insan yang diselimuti kegembiraan? Sukar sekali membayangkan gelora jiwanya yang sedang bergelut dengan kepedihan dek kehilangan tempat bergantung hidup. Lenanya barangkali berbantalkan mimpi-mimpi buruk dan entah-entah paginya nanti disambut bersama deraian air mata.

Sudah jatuh ditimpa tangga. Demikianlah kehidupan Dayang di kampung yang kini terumbang-ambing tanpa mendapat wang belanja dari suaminya. Dalam keperitan itu, dia masih waras menimbang akal budinya untuk berjuang bukan saja menyara hidupnya dan anak-anaknya malah berjuang untuk menjaga serta mempertahankan imannya dan anak-anaknya. Itulah tekadnya yang nekad tanpa mempertaruhkan apa-apa pulangan lumayan kecuali redhaNya jua.

Begitulah kehidupan. Ada waktu-waktunya manusia kehilangan pelbagai kesenangan - hilang tempat bergantung, hilang orang yang dikasihi, hilang harta benda – ada kalanya hilang segala-galanya. Namun sebagai seorang Islam, biarlah kehilangan itu sekadar ungkapan yang singgah sekejap di persada bibir. Berlapang dadalah atas kehilangan itu kerana kita masih memiliki DIA yang Maha Agung yang sentiasa melindungi kita.

Kepada Dayang, senandungnya mungkin tidak bermaya menghibur nestapa di hati namun dia masih memiliki iman yang nilainya sangat tinggi. Tanpa iman - manusia menjadi pekak, bisu dan buta. Lihatlah saja apa yang dilakukan oleh masyarakat jahiliyah zaman dahulu!
.
.

Renungan:
~ Jika orang berbuat jahat kepada kita dan kita membalasnya juga dengan perbuatan jahat. Itu adalah dosa biasa.

~ Jika orang berbuat jahat kepada kita dan kita tidak membalasnya. Itu namanya redha.

~ Jika orang berbuat jahat kepada kita dan kita membalasnya dengan kebaikan. Itulah kemanusiaan namanya.
.
.

Selamat menyambut 3 purnama istimewa lagi mulia ini: Rejab, Sya’aban, Ramadhan. Selamat beramal ibadah dengan sebaik-baik amalan. Semoga Allah SWT menghampiri kita lebih cepat dari usaha kita menghampiri Dia.

*1 Rejab 1430

Salam.

Saturday, 13 June 2009

Panggung dan Pentas: sekadar mengulas rasa

Panggung:
Peduli apa mereka mentertawakan saya yang mahu menonton Syurga Cinta di panggung wayang. Kata mereka itu cerita budak-budak remaja hingusan. Cerita cinta klise untuk tontonan remaja yang betaraf old school. Apa lagi heroinnya juga sangat skema. Oh, terkekeh-kekeh mereka ketawa melihat saya berlalu pergi bersama Miyah.

Seusai cerita saya menitiskan air mata. Bukan kerana kesudahan ceritanya yang menghiris hati tetapi kerana penerbit filem ini seorang yang bukan Islam. Keupayaannya mencetuskan idea asal dan menerbitkan filem ini yang penuh pengisian rohani menyentuh hati saya. Alangkah penerbit itu telah mengangkat Islam di dalam filemnya!

Maaf, saya bukan pengulas filem. Saya sekadar mengulas rasa. Kalau nak tahu ceritanya, tontonilah filem ini.


Pentas:
Empat hari kemudian pada 3 Jun, atas jemputan seorang teman (yeay, dia belanja tiket!) saya berpeluang menonton (preview) persembahan teater Mak Yong di Pentas 2, KLPac.

Yang menguja saya menonton Titis Sakti ialah kerana ceritanya adalah adaptasi cerita klasik Shakespeare - A Midsummer Night’s Dream yang dipersembahkan dalam bentuk Mak Yong.

“… please switch off your handphone. The most important thing is don’t open your Facebook here, but if you have to, then don’t forget to add me on.”

Adooiii, siapa yang tidak ketawa terbahak-bahak mendengar arahan sebegitu selamba lucu dari pengacara yang segak berbaju Melayu lengkap! Dapat saya rasakan Mak Yong ini akan mempersembahkan cerita yang penuh kelucuan. Sungguh, kisah Titis Sakti penuh kelakar, memperli dan diselit-selitkan dengan dialog Bahasa Inggeris. Adooiii, memang sakit perut dibuatnya!

Saya puji persembahan ini walau kadang-kadang saya berpandangan terlalu banyak unsur jenaka yang diketengahkan sehinggakan pada satu ketika saya merasakan saya sedang menonton sebuah persembahan lawak jenaka! Bagaimanapun, barangkali itu satu strategi mengumpan khalayak pelbagai latar untuk mengenali Mak Yong dan membangkit apresiasi terhadap Mak Yong. Untuk itu, Mak Yong Titis Sakti telah mencapai matlamatnya.

Oops, saya bukan pengulas teater. Sekadar mengulas rasa.

Ke sini jika ingin tahu lebih lanjut kegiatan teater kawasan utara.


Salam.

Sunday, 7 June 2009

Yang harum. Yang lebur. Yang persis binatang.

Semerbak wangi bunga kemuning putih di laman rumah sering saja meredup rasa di perdu jiwa, dan saat-saat redup begitu alam bagaikan mengajak qalbi berbicara tentang bayu yang melambai-lambai dan mentari yang tersenyum meleret. Sungguh meriangkan! Namun pagi tadi entah mengapa harumnya menipis, bagai enggan mewangikan jiwa ini yang mendesah-desah sejak subuh lagi. Terasa benar ada sesuatu yang tidak lumayan bakal berlaku. Tidak mengapa, suasana di kelas nanti pasti menenangkan. Demikian pujuknya hati. Aah, harapan itu nyata meleset! Rupa-rupanya hanya wajah-wajah suram bak rembulan tiada cahaya yang menanti di kelas bimbingan itu! Kemurungan mereka mendorong hati merisik jawapan.

Inilah jawapannya:

Pagi itu sedang ibu M tiada di rumah kerana ke pasar pagi untuk menjual nasi lemak dan kuih-muih, dia seperti biasanya menyediakan sarapan untuk ayah dan tiga orang adiknya. Ayahnya pagi itu mahu bersarapan roti canai lalu adik-adik M disuruh ke kedai untuk membelinya.

M gadis 16 tahun. Berayahkan seorang pemandu lori. Tidak pernah ponteng kelas bimbingan dan belajarnya pintar. Menjaga adik-adiknya juga pandai. Satu hari nanti kata ibunya, M pasti akan menjadi doktor pakar kanak-kanak. Maka itulah si ibu sanggup berniaga beberapa pagi dalam seminggu untuk menambahkan pendapatan agar keperluan belajar M dan adik-adiknya tidak terabai.

Pagi itu tidak seperti pagi-pagi yang lepas dirasakan M. Ada sesuatu yang tidak kena dengan sikap ayahnya yang kelihatan resah-gelisah. Mundar-mandir ke sana ke sini. Masuk bilik keluar bilik. Masuk bilik lagi dan kali ini dia memanggil M kerana katanya dia memerlukan bantuan. M taat pada perintah. Kalau tidak, tempelak si ayah mampu saja meruntuhkan rumah pangsa sepuluh tingkat itu! M lalu masuk ke bilik ayahnya ...
...
...

Aduhai, ibu mana yang tidak lebur hatinya apabila mengetahui suaminya hampir-hampir saja memusnahkan mahkota suci anak gadisnya sendiri! Gadis mana yang tidak histeria tercalar jiwanya diperlakukan begitu!
.
.

Sore tadi kemuning putih di laman berkembang lagi namun harumannya masih belum dapat memujuk pilu di hati ini.


Salam.

Friday, 5 June 2009

Rahsia Cinta

Seseorang bertanyakan saya tentang cinta. Pandangan saya ialah cinta itu ada di lubuk hati dan penuh rahsia. Tanya dia lagi, "Hatikah yang rahsia atau cinta itu rahsia?" Kedua-duanya rahsia jawab saya. Ya, mana mungkin dapat menyelongkar rahsia hati, apa lagi rahsia cinta kerana kedua-duanya milik Tuhan. Dia Yang Maha Mengetahui segala getar jiwa, keluh resah, dan rindu dendam seorang manusia yang dilamun cinta.


Gambar di atas juga ada rahsianya yang tersendiri yang tersembunyi di dalam jawapan untuk tag seorang teman blogger.

1. Letakkan gambar profil anda - di atas itu gambar profil saya ;)

2. Terangkan maksud gambar itu - samar-samar gambar itu melambangkan betapa samarnya hidup ini andai tiada matlamat dan keutamaan hidup. Tanpa matlamat dan keutamaan, kehidupan tidak berarah dan kita mudah tergelincir dari landasan.

3. Kenapa pilih gambar itu? - kerana tiada gambar bunga rampai. Itu logiknya :)

4. Tag 5 lagi blogger - saya suka tag kalau yang bernama bunga, tapi tiada yang bernama bunga dalam senarai saya. Jadi, saya tidak tag sesiapa.
.
.
.
Seseorang itu bertanya lagi tentang cinta yang paling indah. Jawapan saya berdasarkan kepada kata-kata seorang Guru supaya mencari keindahan cinta di dalam Kitab Suci. "Insyallah akan kau temui dan merasa cinta yang paling agung dunia dan akhirat." Demikian katanya.


Salam.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

*6/6/2009
Aaah, betapa saya SANGAT lalai.
Ya ampuuuuunn!
Ulasan Anggerik Merah menyedarkan saya.
Ada 2 teman blogger bernama bunga sebenarnya ...
... AM dan Waterlily.
Kepada anda berdua, saya mohon maaf.
Astaghfirullahal'azim.

Wednesday, 3 June 2009

Juang

Alangkah pokok-pokok bunga itu pastinya berakar teguh mencengkam bumi dan bertangkai utuh menongkat tampuk sehingga dapat memboloskan kelopak bunganya dari serabut rumput lalang di sekelilingnya, lalu apa yang mercup gagah menjunjung langit adalah kelopak-kelopak putih bersih menyeri alam yang sedia indah ini. Oh, kepingin sekali menjadi kuat seperti mereka!

Namun manusia itu di dalam keadaan lemah di sisi Allah berbanding makhlukNya yang lain. Lemah berbanding gunung-ganang; lemah berbanding ribut taufan; lemah berbanding gelora ganas di lautan. Begitulah kelemahan itu amat jelas namun Allah juga tegas menyatakan bahawa manusia itu kekuatannya pada akal fikirannya yang diberi Allah, dan kehebatannya kerana dilantik Allah menjadi khalifahNya di muka bumi ini.

Maka dengan memanfaatkan akal budi yang diberi Tuhan, manusia menciptakan alat-alat yang boleh meratakan gunung-ganang; dengan akalnya manusia membina kapal-kapal besar yang mampu melawan gelora ganas di lautan; dengan ilmunya manusia boleh berhadapan dengan taufan dan kemarau yang membunuh. Jika akal budi dimanfaatkan pada jalanNya, pasti manusia menjadi kuat lahiriah dan batiniah!

Namun kekuatan itu tidaklah sebenar-benar kuat selagi belum diuji Allah dalam kehidupan ini yang merupakan satu perjuangan berterusan hingga ke detik akhir untuk mengangkat darjat diri di mata Tuhan. Di sepanjang perjuangan itu manusia melalui pelbagai ujian yang mesti dibebani dengan redha dan tabah. Maka bersyukur jua andai diuji walau berkali-kali kerana bukan semua manusia diberi kesempatan oleh Allah untuk membebani ujian berat untuk manusia itu berpeluang mencapai maqam redha. Betapa ramai manusia diuji dengan kesenangan tetapi kesenangan itu tidak membawa manusia itu kepada maqam redha malahan menjadikan dia seorang yang lalai, riya’, dan takkabur. Nauzubillah!

“Ya Rabb, berikanlah kami kebaikan dunia dan kebaikan akhirat, dan lindungilah kami dari azab seksa neraka.”

*gambar dirakam pada Khamis 28/5/09 di sebuah padang terbiar - Gombak, Selangor.

Salam.