Friday, 30 November 2007

Chanel No. 5

Seusai kembara raya. Di lapangan terbang.

Penat membaca. Memerhati fi'il manusia juga meletihkan, apa tah lagi kala mata begitu bermanja-manja mengajak diri untuk lena. Namun manakan enak sebuah lena itu andai berbantalkan dinding sekeras batu, lalu pelantar benak mencatur fikir kemudian menjentik mata agar membeliak.

Tiba-tiba terpercik rasa mahu ke kedai nun di kanan sana. Kedai itu? Kedai yang memeningkan!. Aneh, sepasang kaki beralaskan sandal lusuh berwarna coklat bukan main ligat mengajak hati untuk ke sana. "Ayuh, ayuhlah!" Bentak kaki meminta-minta. Entah bila kaki itu melangkah, tahu-tahu kaki itu sudah pun berdiri di sebelah kanan seorang jejaka.

Sambil-sambil melihat apa yang terhidang, sepasang ekor mata pandai-pandai saja menyisip hala melirik jejaka di sebelah. Sepatunya tampak hebat, rona mahagony berkilat. Berseluar koboi dan berkemeja lengan pendek coklat muda, berjalur putih. Ooh, casual smart yang bergaya!. Rambutnya hitam lurus mencecah bahu. Wajahnya? Entah bagaimana kerana kelopak mata yang melirik-lirik itu tidak semena-mena menguyu dan kepala rasa berpusing-pusing.

Jejaka itu sibuk memilih-milih. Mengangkat kotak kemudian melihat tulisan (dan membaca barangkali) kemudian meletakkannya kembali di atas rak. Sejurus dia mengambil botol penguji dan menyembur di pergelangan tangannya. Ada haruman singgah di rongga hidung, dan zam-zam ala-kazam saya kembali segar!

"Saya tahu, Chanel No. 5 kegemaran kamu." Hei, dia menyapa saya!
Saya terpempan.
"Betul tak?" Dia tersenyum. Oh, hati bergelombang melihat wajah semanis itu!

"Betulkan?"
Mata saya membesar. Mulut terkunci. Saya tidak tahu bagaimana dia tahu.

Entah bila ketika jejaka itu beredar kemudian kembali dengan sebuah beg kecil. "Untuk kamu, dan semoga bergembira." Senyuman manisnya masih terukir di bibir. Saya melihat kandungan beg. Chanel No. 5! Saya terpinga.

Laungan memanggil penumpang ke pesawat berkumandang, dan dia mohon izin untuk berlalu. Saya kembali bersandar pada dinding kaca dan cuba mengenang kembali detik-detik itu. Dia bernama, tapi entah mana tinggalnya dan kerjanya entah apa. Saya cuma berharap dia gembira kerana saya juga gembira menerima pemberiannya itu walau saya tidak memakai winyak wangi.

Mata dipejam. Madah Guru mengiang-giang di telinga ... "sesungguhnya Allah SWT amat suka kepada hambaNya yang menggembirakan hambaNya yang lain."

Salam.

Sunday, 25 November 2007

Santai

Aduuh, satu jam merangkak dalam kesesakan lalu lintas amatlah menguji kesabaran! Ditambah pula dengan kawan yang duduk di sebelah tidak habis-habis mengomel tentang lumpur di kuala yang ronanya akhir-akhir ini kerap berubah di hujung minggu ... aah, cukup meloyakan! Sudah-sudahlah tu ... kan lebih baik berdoa supaya perjalanan kita selamat pergi dan balik! Pinta saya. Dia akur.

Syukur, selamat semuanya.

Yeay, setelah hasrat kecundang Julai lepas, akhirnya saya menonton Devian Dogma! Semalam.

Wow, beliau dan anak-anak buahnya memang hebat! Terima kasih mementaskan satu persembahan teater yang cukup berakal dan punya kesatupaduan yang mantap! Syabas dan tahniah! Saya suka, suka sangat :-)

O-la-la, hari ini mahu bersantai di kedai buku pula!. Barangkali GUiT (Growing Up in Trengganu) yang ditempah Isnin lalu sedang menanti saya.

Oh, enaknya sekali-sekala bersantai begini!
Tanpa gangguan orang minyak :-)).
Ahamdulillah.

Salam.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Kemas kini 09/12/2007:
Salin dan tampal komen sendiri dari blog Pegawai Khalwat. Terima kasih Bro PK.


bunga rampai said...

Hahaha ... jadi rusa? Nanti masa Krismas semua pakat nyanyi Jingle Bells ka? :-D

Salam,

Skrip yang baik, arahan yang bagus, komitmen yang tinggi para pelakon dan tenaga kerja menjadikan DD satu persembahan yang berjiwa.

Kombinasi unsur-unsur moden dengan budaya/tradisi silam, ditambah dengan unsur-unsur lucu dalam dialog menjadikan DD sangat istimewa. Andai punya peruntukan yang lebih baik untuk jelajah satu Malaysia, saya rasa DD mampu memupuk minat khalayak untuk menonton teater.

Cuma satu babak yang saya rasa agak membosankan(saya) iaitu babak debat kata antara Surti dengan Tejo. Kalau diselitkan dengan dialog lucu, saya rasa lebih meriah.

Akhir cerita adalah klimaks yang menyentak penonton. Saya sendiri ternganga dengan kejutan itu! Betapa DD telah menyekat kepuasan penonton untuk sampai ke puncak. Tapi di sinilah keistimewaan DD yang mampu mengheret penonton untuk berfikir!

Banyak unsur-unsur didaktik yang diketengahkan oleh DD menjadikan DD bukan saja menghibur malah mendidik penonton. Syabas!

Oh, saya kagum aksi-aksi 'belasah' tu!

Saya tunggu projek Bakawale seterusnya.
29/11/07 09:05

Tuesday, 20 November 2007

John Datang Lagi

“Hi Sis, I’m coming home!” Demikian teks pesanan ringkas John yang saya terima hari Jumaat lalu. Adeii, desis hati. BerSis-Sis pula kali ini dan hey, bila pula tanah airku ini menjadi rumahnya?

Kali ini John tidak membawa Inez, tetapi memperkenalkan Mikail kepada saya. John amat terkejut kerana saya dan Mikail saling mengenali, dan pertemuan yang tidak diduga petang semalam amat menggembirakan saya. Mikail warga sebuah negara Scandinavia yang menjalankan latihan di kedutaan negaranya di KL, dan akan menamatkan tugasannya pada penghujung bulan ini.

John dan Mikail masing-masing punya citarasa tersendiri meminati tanah air ini.

John telah jatuh hati dengan kepimpinan PiEm. "Negara Islam lain wajar mencontohi pemerintahannya ... bla,bla,bla ... dan saya tahu pilihanraya akan berlangsung bulan Februari depan ... bla,bla,bla ... sebelum kenaikan minyak pada bulan Mac ... bla,bla,bla ..."

Mikail seorang siswa tahun akhir jurusan Sains Politik, dan sudah enam bulan berada di KL. Dia bakal bergelar Diplomat suatu hari nanti. "Sudah tentu saya akan merindui pasembor, tapi saya takkan kembali ke sini sebagai seorang Diplomat. Hanya sebagai pelancong. Saya benci dengan senario politik di sini. Kasihan parti pemerintah terutama amnu ... bla,bla,bla ..."

John meminta lagi sekole teh tarik. Oh, dia kini suka teh tarik!

Sebelum berpisah, saya bertanya John sejak bila beliau menjadikan Malaysia sebagai rumahnya. “My second home. Only recently. Small office home office." Jawabnya.

Oh begitu, bisik hati saya. Berkole-kolelah teh tarik bakal dihirupnya sambil-sambil menulis atau mengedit berita-berita yang akan dihantar ke ibu pejabatnya nanti.

Sepanjang perjalanan menuju ke kedai buku untuk mencari dan pasti akan membeli buku GUiT (Growing Up in Trengganu), benak saya ligat mencerna, menapis dan menangkis intipati perbualan kami sebentar tadi. Saya menjadi resah. Untuk menghilangkan keresahan, saya cuba membayangkan pasembor. Aah, terliur ...

Yeay, malamnya makan pasembor! Dan buat seketika saya lupa tentang John dan Mikail.


Salam.

Saturday, 17 November 2007

Angin dan Surat

Demikian, dalam rentang waktu yang mengampai berjuta warna lukisan alam, ada saja angin yang bertiup melepaskan dendam lalu mengubah warna lukisan itu. Hidup ini memang aneh kadang-kadang. Yang kita tidak mahu, datangnya bergolek. Yang kita harapkan, menjadi tidak.

Semalam ...

Alahai, entah kenapa tiba-tiba mesin basuh itu anginnya berubah dari otomatik menjadi tidak otomatik! Kemudian, entah bila masa hosnya pecah. Sepasang mata yang tidak percaya hanya mampu membeliak dan lidah beku seketika melihat air mencurah-curah membanjiri dapur. Huh, apa lagi pagi semalam op bersihlah jawabnya! Aduuhh, sakit pinggang!

Tayar kereta pula. Entah kenapa kedua-dua tayar sebelah kiri asyik tidak berangin. Pagi semalam masukkan angin, tengaharinya kempis. Kemudian masukkan angin lagi. Eh, eh, petangnya kempis lagi! Maka terpaksalah memaksa diri ke kedai tayar. Periksa punya periksa, aiseyymann ... bila masa pulak paku terpaku pada tayar tu?!

Aduuh, kucing Si Rampai pula sudah dua hari tidak mahu makan malam. Angin apa pulak ni? Terkena angin cinta kot! Barangkali kerana sudah dua hari seekor kucing putih bertompok coklat itu tidak datang menjengoknya petang-petang, maka dia merindu dan tak lalu makan! Hmm, kalau dimandikan esok, barangkali mandi tak basah!

Begitulah kehidupan ini, bak angin. Bertiupnya entah bila. Kadang hembusannya mulus dalam tenang, ada kalanya kesat dan hingar. Ada waktu-waktunya dalam diam, angin sudi membawa warkah ...


Bang Lope,

Terlirih senyuman lebar bak kembang teratai kala melihat suratmu. Terpanah jua jiwa kala membacanya, dan nadi cinta bergetar ghairah membayangkan lukisan alam, kembali meneliti waktu-waktu indah itu. Seperti ujar saya kepada Bro Keng (yang sudah mengubah sikap): "Kenangan silam sering menggamit rasa, lebih-lebih lagi di lembah menghijau begitu. Kenangan diimbau mengundang rindu, berasa mahu saja kembali ke detik-detik itu."

Ke mana lagi unjurnya cinta kita kalau tidak kepada alam ini Bang Lope. Langit dan bumi, siang dan malam, angin dan hujan. Petir dan guruh, bukit dan gunung, flora dan fauna, laut dan sungai. Demikian hadiah Alam, berpasang-pasangan dan saling mengasihi untuk kita renung cinta mereka, cinta yang membawa tafakur pada hati-hati yang tahu dan faham erti cinta sejati.

Aduhai. Seusai membaca, setitis dua air tumpah dan diam di birai mata. Namun jauh di relung hati, titis-titis air merecup lalu melampiaskan rindu di perdu jiwa. Merindu saujana Alam.

Salam buat Bang Lope. Moga dalam damai, senang, dan tenang di mana jua.

Rampai


Salam.

Saturday, 10 November 2007

Oh, budak-budak itu!

Rabu, 7 November 2007, 2.30 petang ...

Restoran McD The Mall dipenuhi pelanggan. Luar biasa ramainya. Pelanggan juga luar biasa. Lelaki berbaju Melayu, dan ada yang berkemeja batik. Perempuan berbaju kurung. Mereka kelihatan hebat-hebat belaka.

Saya lapar. Mencari tempat. Ada. Berkongsi dengan seorang kakak dengan dua orang anaknya. Perempuan 10 tahun dan adik lelakinya 7 tahun.

Alhamdulillah, makan Fish-O-Fillet sambil pasang telinga mendengar perbualan kakak anak-beranak itu.

Anak P: "Bu, itu wanita-wanita amnu ya?"
Ibu: "Ya."

Anak P: "Bu, kenapa wanita-wanita amnu tu gemok-gemok?"
Ibu: "Sihat kut."

Anak P: "Diaorang pun kaya Bu."
Ibu: "Ibu tak tahu."

Anak P: "Kaya Bu! Tengoklah rantai, gelang, dan cincin diaorang tu ... besar-besar dan kilat-kilat!"
Anak L: "A'ah, kayakan Kak? Tapi kenapa uniform diaorang macam tu Bu?"
Ibu: (Mengerutkan muka). "Macam mana?"

Anak L: "Warna KFC!" (Ketawa kuat bersama kakaknya. Pelanggan sekeliling memerhati mereka)
Ibu: "Heh, makan!"

Saya tersenyum lebar.

Si Ibu tersipu-sipu memandang saya, "Maaf."
"Budak-budak pun boleh jadi pemerhati yang baik kak."


Salam.

Saturday, 3 November 2007

Dari Kota ke Lembah Hijau

Mahu saja saya sihir masa itu (bak kata Loppiess) agar berhenti seketika memberi ruang kepada ghairah yang menggebu untuk melukis rindu di teratak ini. Namun saya ini, alahai, asyik-asyik tugasan dan asyik-asyik berjalan.

Bang Lope,

Bingkisan salammu sudah bersambut, dan terima kasih atas tegar ingatan itu pada kawan-kawan di alam maya. Usah terkejut kerana memanggilmu Bang Lope. Aneh, tanah runtuh itu yang memberi ilham untuk tidak berLoppiess-Loppiess lagi.

Pagi itu hujan renyai Bang Lope. Jalan Kundasang - Tinompok diselimuti kabus tebal. Kasihan Kinabalu yang tidak berupaya menonjolkan kegagahannya, walhal senja semalam pantulan rona lembayung di birai langit yang singgah di wajahnya cukup melapang dada dan meredup hati. Manakala putih air yang meluncur deras melalui alur dari puncak gunung telah memugarkan mata saya yang kuyu keletihan! Lampu dari Panalaban pula bak sebutir bintang besar yang memancar di langit. Indahnya alam saujana!

Dingin angin Kundasang menembusi jumper tebal saya, memicit-micit urat-urat yang sudah dua hari membendung lesu kerana meredah hutan Poring yang berkolam air panas itu. Kononnya mahu ke pertapaan kelawar, tapi tak kesampaian dek hujan yang tiba-tiba mencurah-curah tanpa amaran. Lencun jadinya kami, dan eeekk ... ada dua ekor pacat sedap-sedap menjamu selera di kaki saya!

Renyai bertukar lebat. Kilat bagaikan kilau pedang samurai. Guruh berdentum. Tiba-tiba pemandu teksi menekan brek. Empat orang penumpang tersentak, dan anak mata bergalau kemudian terjojol seperti mata ikan mabong 'pabila melihat jalan raya di depan dalam sekelip mata mendirikan kubu, dan tanah berbatu kelikir dari bukit di sebelah kiri jalan berlumba-lumba turun meninggikan kubu itu. Aduuh, remuk hati melihat pepohon subur itu rebah satu per satu, tergolek ke bawah kemudian tertimbus. Agaknya cacing-cacing, cengkerik, anak-anak burung dalam sarangnya, rerama, tupai-tupai, mengkarung, dan hidupan lain yang berkampung di bukit itu berteriakan meminta tolong ...

... kami terpempan, membungkam. Leeh pemandu teksi itu lantas menelefon JKR untuk membuat aduan. Leeh kata kami harus menunggu beberapa jam hingga jalan itu dibaiki. Saya melihat jam tangan ... alahai, pasti terlepas pesawat pulang KL!

Sedih, bukit itu semakin rata dan gondol permukaannya. Sekonyong-konyong perkataan busana melintas di hati. Busana alam runtuh Bang Lope! Itu baru satu, entah berapa dan apa lagi busana alam bakal lenyap di mana-mana dek amarah hujan yang menggila seperti itu.

Entah-entah Hujan tersangat marah lantas mengamuk begitu melihat busana hari raya yang semakin ranggi. Manis-manis dan anggun-anggun perempuan-perempuan yang memakainya, menjadi perhatian para lelaki yang selera makan ketupatnya sama lahap dengan selera mata mengintai-ngintai yang terselindung di sebalik kain organza atau renda tipis yang menutupi fesyen berkemban itu. Sesekali pandangan mereka melunak pada gerak kaki yang menyusun langkah menguak belahan kain lalu menghidang rendang betis yang menggetar jantung!

Aduuh Bang Lope, busana hati manusia rapuh sekali! Betapa manusia itu dalam kegembiraan Syawal mudah saja lupa pada ikrar Ramadhan dan janji Layla. Wallahu'alam.

Empat puluh minit berlalu. Hujan reda namun kelibat JKR belum tiba. "Bodoh bah itu JKR, betul-betul Jangan Kerja Rajin!" Rungut Leeh berkali-kali. Barangkali kasihankan kami, Leeh mencadangkan agar kami berpatah ke belakang mengikut Jalan Ranau-Tambunan-Kota Kinabalu. Kami mengikut saja walau jaraknya lebih jauh dan tambangnya lebih mahal. Tak mengapa asalkan tidak ketinggalan pesawat, kata kami.

Aiseyymaann ... tiba di lapangan terbang kami menggigit jari. Penerbangan ditangguh satu jam. Huh, penerbangan Mana Ada Sistem!

Begitulah Bang Lope kembara raya saya di bawah bayu. Dari kota ke lembah gunung. Antara ranggi kota dan redup lembah menghijau, nyata busana alam dan busana insan diancam oleh busana mata hati manusia yang semakin tipis perisainya. Saya menjadi takut.

Saya masih ingatkan Ghafur, sudahkah beliau mendapat lesen scuba diving?

Mohon maaf Bang Lope, zahir dan batin. Selamat Hari Raya.


Salam.