Monday, 22 December 2008

Seorang Pelukis

Dia diam. Saya diam. Sekitar juga diam. Ada cuma sesekali kedengaran bunyi kereta masuk ke kawasan itu kemudian bunyi pintu kereta dibuka dan ditutup kemudian vrooomm!, kereta itu pergi lagi. Itu pun tidak mengganggu ketekunannya melukis. Saya saja yang sibuk-sibuk memanjangkan leher mahu tahu kereta apa yang datang dan tuannya siapa.

Dia terus menterjemahkan segala yang ada di sekitarnya di atas kertas putih yang kaku dengan calitan warna air. Saya pula terus membandingkan apa yang terlukis di atas kertas itu dengan apa yang saya pandang di sekeliling. Warna-warni pokok-pokok bunga, bangunan-bangunan tinggi bagaikan sangkar merpati, mega putih di langit biru, rumput lalang menghijau yang tersisip rona-rona kuning dan coklat di celah-celahnya. Begitulah akhirnya kertas yang kaku itu kini bagaikan hidup menghembus nafas yang menyentuh sanubari saya! Cantik sekali lukisannya. “Wow!” Kekaguman saya tercetus. Dia tersenyum.

Dia berhenti melukis. Dia memandang langit kemudian memandang kiri kanan. Rambut pendeknya potongan askar dilurut-lurut ke belakang. Entah apa-apa yang difikirkannya kala itu dalam lembut wajah yang serius. Sejurus dia kembali mewarna lukisannya. Eh, kenapa pula dia melukis pelangi? “Kat langit tak ada pelangi pun!” Aduh, sungguhlah saya menyibuk! Dia ketawa kecil.

“Kalau akak dapat rasakan keindahan pelangi dalam jiwa walau pelanginya tiada di sana … (dia menuding ke langit dengan berusnya), ... akak faham kenapa pelangi itu saya lukis.”

Dia seorang pelukis muda yang bercerita di dalam lukisannya tentang kehidupan ini; tentang apa yang dirasa dan difikirnya melalui pemerhatiannya. Walau bukan semua orang faham kenapa seorang pelukis itu melukis begitu dan begini - - rumputnya kelabu bukan hijau atau kemboja warnanya hitam bukan putih; atau seekor ayam berkaki bangau atau sebuah kerusi berkaki tiga; atau barangkali hanya garis-garis jingga dan dot dot ungu di atas kertas putih - - itu semua pasti punya makna yang sangat halus yang terbit bukan dari khayal semata tapi dari ilham tafakur yang terselit di dalamnya satu tujuan tersirat yang tanpa disedari oleh penghayat lukisan, seorang pelukis itu sebenarnya telah membesarkan dan mengagungkan Pencipta alam buana.

Entah siapakah nama pelukis itu. Ketekunannya melukis dan keasyikan saya menghayati lenggok berus yang bermain dengan warna, serta kehairanan saya pada pelangi yang wujud dalam lukisannya telah melupakan saya untuk bertanyakan namanya. Semoga Tuhan memberkatinya. Amin.


*21/12/2008
Bukit Jelutong, Shah Alam.

Sunday, 14 December 2008

Filem Pendek: i truly love you ...

Tengahari Ahad yang santai. Demi seorang kawan, hati si Rampai senang saja menunggu walaupun sudah sepuluh minit berlalu. Tidak mengapa ujar hatinya lalu membawa pandangan matanya melata sekitar ruang yang sedang disesaki manusia pelbagai latar yang pastinya seperti dia, mereka juga punya tujuan tertentu untuk dibereskan.

Walau kaki mulai terasa lenguh berdiri, ada sesuatu yang mencuit rasa seorang Rampai itu sebenarnya. Apa lagi kalau berada di penjuru yang mampu membuka satu horizon luas yang mementaskan gelagat manusia yang ada-ada saja kerenahnya - yang lucu, yang marah, yang jelik, dan yang pelik - segalanya bagaikan hiburan yang dapat mereda resah gelisah di hati.

Berada di KL Sentral bagaikan berada di stesen Victoria London yang diwarnai pelbagai rona kulit, dihiasi beraneka busana dari yang longgar-longgar dan tutup-tutup hinggalah kepada yang ketat sendat dan buka-bukaan; dan dibingiti perbualan yang ganjil-ganjil bunyi dan lenggoknya; dan drama cinta sebabak dua untuk tontonan percuma sudah menjadi satu perkara yang biasa-biasa saja.

Nun di sana, tiga remaja lelaki dan dua remaja perempuan berkulit sawo matang sedang melompat-lompat seronok menari shuffle sambil mendengar pastinya lagu hip-hop dari mp3 mereka. Hahaha, si Rampai ketawa dalam hati sambil tersenyum lebar kerana tiba-tiba seorang daripada mereka tersilap lompat lalu terlanggar seorang pakcik kemudian jatuh terjelepok di atas lantai! Kesiaaaan, sakitnya pasti berganda kerana selepas itu dia dimarahi pula oleh pakcik itu.

Nah, bila masa pula seorang perempuan Melaya berada di sebelah si Rampai sambil bercakap-cakap di telefon dengan suara manja sekali? Kurrr semangat, pakaiannya lebih menggoda dari suaranya! Siapa bilang gadis Melaya tak menawan? Oh, oh, mata si Rampai tiba-tiba ternampak merpati dua sejoli di kiri sana sedang meraikan cinta sejati mereka, dan barangkali keasyikan itu hanya terlerai andai ada yang berani meragut tas tangan gadis itu.

Aiseyymaan, sungguhlah si Rampai leka memerhati orang orang hinggakan ada babak filem berlangsung di sebelahnya pun tidak disedarinya. Mujurlah dia tidak terlepas babak klimaksnya ...

"Saya balik tak lama, sekejap saja."
"Dua bulan tu lamalah!"

"Min, percayalah I love you!"
"Tak percaya. Sumpah awak tak ada girlfriend kat sana?"

"Sumpah. Saya balik jumpa keluarga saya."
"I love you sayang."

"Saya tau. Sebab tu saya mesti kerja keras supaya kita boleh kahwin."
"I truly love you Jehangir."

Mereka berlalu pergi sambil berpimpin tangan. Filem pendek tamat.

Tinggallah si Rampai sendirian yang masih setia menunggu temannya yang entah tibanya bila.


Salam.

Friday, 12 December 2008

Bersama Koi dan Quack Quack

Kasihan melihat si kecik yang asyik terlepas roti, kami lalu membaling tiga keping roti jauh-jauh dan koi koi besar meluru ke roti itu. Yeay, kini koi koi kecik dapat habuan mereka tanpa gangguan rakus si koi koi besar, dan dua ekor kura-kura juga kini menjadi teman mereka makan roti!

Quack quack...quack quack...bunyinya empat ekor itik yang putih gebu bulunya berenang ke arah kami sambil menyudu-nyudu air. Quack quack datang! Sukanya saya melihat mereka, tapi entah dari mana mereka itu tiba-tiba saja muncul berquack quack di hadapan kami dengan mulut ternganga-nganga meminta makanan. Kata Fira, pasti koi koi itu yang beritahu mereka makanan ada di sini. Tak mungkin kata Arun, tapi Abi menyangkalnya dengan mengatakan itik juga punya deria rasa. Juga naluri, sambung Biani.

Begitulah makhluk haiwan walaupun tidak bertindak mengikut keupayaan akal mereka, mereka memiliki naluri ikhtiar hidup (survival instinct) yang cukup tinggi dan pantas menggerakkan tindak balas kepada keadaan tertentu sama ada keadaan untuk keperluan atau keadaan bahaya. Kerana naluri inilah juga haiwan dapat mengesan gempa bumi beberapa jam sebelum waktu kejadian, dan lebih awal mencari tempat untuk berlindung. Wallahualam.

Aiseyymaaaan, koi-koi besar kembali! O-la-la, kini itik-itik dan koi-koi saling berentap untuk mendapatkan roti. Baling ke kiri, mereka ke kiri. Baling ke kanan, mereka ke kanan. Splash splaaaashh splassshh splash bunyinya air akibat kibasan badan mereka. Bunyi bingit itu memeningkan kura-kura barangkali lalu mereka menyelam dan tidak timbul-timbul lagi. Aduh, kasihannya si itik kurus dipatuk beberapa kali oleh si itik gemok kerana cuba mengambil rotinya! Sedihnya melihat si itik kurus merajuk lalu pergi sendirian. Heh, mahu saja saya jentik-jentik paruh si gemok itu kerana berkelakuan begitu!

Tengok tu! Suara Fira melantun tinggi dan kami menoleh ke arah tebing di hujung sana yang ditumbuhi pepohon renek. Sekumpulan burung-burung bertempiaran terbang entah ke mana-mana bagaikan takut akan sesuatu. Oh, si itik kurus yang berenang-renang di tebing itu juga kini berquack quack kuat sambil berenang laju ke tengah kolam. Apa lagi, itik-itik gemok pun segera mendapatkannya. Eh, eh, ikan-ikan koi semuanya menghilang ke dasar kolam!

Hey, tu apa? Tanya Biani menuding ke tebing itu. Wah, ada seekor binatang seperti anak buaya sedang merayap-rayap! Bukan buayalah, bapa biawak. Jelas Fira, dan kami mengamat-amati pergerakan biawak itu - kepalanya sekejap ke kiri sekejap ke kanan, dan sekejap ke atas sekejap ke depan. Dia mencari mangsa! Malangnya tiada apa-apa yang boleh dijadikan makanan maka biawak itu pun menyusup di celah-celah pepohon renek itu lalu menghilangkan diri.
.
.
Pagi semakin menjauh. Suara quack quack itik empat sekawan tidak lagi kedengaran, dan ikan-ikan koi entah ke lubuk mana. Kami meninggalkan kolam itu dengan rasa riang dan syukur kepadaNya yang menganugerahkan pagi seindah itu. Alhamdulillah.


*10/12/2008
KLPac, Sentul Barat, KL.


Salam.

Wednesday, 3 December 2008

Ilham Belantara

Alangkah persekitaran rimba itu mampu menukar diri menjadi tersangat kecil berbanding alam hutan yang luas dan gagah mengelilingi diri ketika itu. Makanya jantung mana yang tidak mengecut dek merasakan diri terlalu kerdil berbanding makhluk Allah yang lain – yang tinggi, besar, lebar; yang harum, anggun; yang berbisa, menyengat, mematuk; yang mengaum, membaham. Dalam gema genta alam yang bisa membuat bicara akal bergentayangan, apakah yang mampu dilakukan untuk terus berdiri gagah di dalam belantara yang memang dijadikan Tuhan sangat hebat, amat gagah dan penuh rahsiaNya itu? Mengingati pesanan Allah “... bahawa sesungguhnya tidak Aku jadikan manusia di alam ini kecuali menjadi KhalifahKu.” Lalu jiwa mula mencari kembali diri sebenar dan dengan pesanan Allah itu sebagai azimat, maka yakinlah diri dapat meredah rimba raya tanpa gentar menguasai diri. Alangkah berada di dalam hutan rimba itu bagaikan berada di sebuah perpustakaan yang besar dipenuhi pelbagai buku yang dipersembahkan dalam bermacam rupa dan bentuk. Subhanallah.

*
Alangkah pohon-pohon itu selama ini sungguh taat berbakti kepada manusia dan haiwan, dan kerana bakti mereka itulah manusia dan haiwan dapat terus bernafas untuk hidup. Namun, ada golongan manusia yang ringan akal senang-senang saja membunuh pokok-pokok itu. Betapa amaran Allah yang berulang kali memperingatkan manusia... “Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi” diambil remeh. Bayangkanlah andai bumi gersang tanpa pepohon, sudah tentulah manusia dan haiwan akan mati kebulurun oksigen. Bayangkanlah juga balasan Tuhan kepada yang ingkar akan perintahNya. Nauzubillah.

*
Alangkah manusia di dunia ini sebenarnya sedang singgah bermalam di perpustakaan Tuhan yang maha besar yang menjanjikan sebaik-baik ilmu kehidupan kepada sesiapa yang menghendakinya sebagai bekal di akhirat nanti. Malang sekali kebanyakan manusia tidak menggunakan alat-alat yang tepat untuk membaca Kalam Tuhan yang turun setiap saat di sekitar dirinya sedangkan alat-alat itu sudahpun dibentangkan oleh Allah dalam risalah rasmiNya kepada manusia iaitu Al-Quran. Manusia hanya perlu berkorban masa untuk meneliti dan mempelajari alat-alat itu dengan penuh rasa kehambaan. Wallahualam.


*Alangkah malam yang semakin panjang melarik ilham sang pengembara, lalu bermusafirlah dia bersama irama rimba yang mengingatkannya akan kelemahan diri; dan ‘pabila tis-tis-tis embun mulai membasahi bumi, terlampias jua ilham belantara mengembalikan syukur kepada DIA. Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar.


Salam Aidiladha 1429.