Akhirnya aku sampai juga di sini setelah bertahun-tahun mendamba impian dan menyimpan harap. Impian yang mulai disemai usai membaca novel "Di bawah Lindungan Kaabah" kala usia masih hingusan 13 tahun yang belum pun mengerti kenapa mesti seorang gadis dan seorang pria perlu bercinta. Aku gagahkan juga untuk membacanya kerana perkataan 'Kaabah' yang terpampang di atas kulit buku amat meraih rasa jiwa bagai memanggil-manggil untuk dicerna maknanya. Itu novel cinta pertama yang dibaca dan aku amat menyukai persembahan tulisan pengarangnya. Sejak itulah juga aku mulai merangkak-rangkak mencari cinta Agung.
"Hakikat hidup ini adalah laksana pohon yang rendang dan
subur. Maka janganlah dicukupkan sehingga hanya mencintai sekuntum dari
bunganya, sehelai dari daunnya, serangkai dari buahnya. Kalau hanya bunganya
yang dicintai, bagaimana dengan duri pemagar bunga? Bagaimana dengan ranting
tempat bunga berjuntai? Bagaimana dengan cabang tempat ranting menumpang?
Bagaimana dengan dahan tempat cabang melekatkan diri? Bagaimana dengan pohon
tempat berkumpul segala dahan? Bagaimana dengan urat, yang menghisap bumi
mengambil sari makanan untuk pohon yang akan dibahagikan sampai ke pucuk?
Bagaimana dengan bumi tempat dia ditumbuhkan? Bagaimana dengan Sang Suria
yang memberikan cahaya kepada seluruhnya?
Orang bertanya kepadaku, “Ada daun yang rontok dan ada
ranting yang lapuk. Ada pula bunga yang
telah gugur dari kelopak. Apakah ke sana aku mesti mencintai juga?”
Memang ada ranting yang lapuk, ada daun yang gugur, ada
bunga yang telah busuk. Tetapi lupakah anda bahawasanya yang sakit itupun
bahagian dari yang sihat? Dan yang sihat menjadi sihat, bukankah kerana
pengorbanan dari yang sakit?" (Sedutan dari buku Kenang-kenangan Hidup yang memaparkan sebahagian dari pemikiran Hamka).
Nah, dengan pemikiran seperti itu, mana mungkin aku tidak mahu meneladaninya biar pun aku ini terus-terusan dalam kepedihan mengemis cinta. Sungguh, mengagungkan Cinta harus ditebus dengan duka lara.
Nah, dengan pemikiran seperti itu, mana mungkin aku tidak mahu meneladaninya biar pun aku ini terus-terusan dalam kepedihan mengemis cinta. Sungguh, mengagungkan Cinta harus ditebus dengan duka lara.
19 Feb 2015
Rumah Hamka,
Kg. Sungai Batang,
Maninjau, Sumatera Barat.
Salam Syawal 1436