Teks sms kawan saya itu bunyinya begini: Agaknya kamu kurang siumankah? Aduhai, terbeliak mata saya! Lalu saya balas begini: Barangkali ;) Mungkin dia tidak puas hati maka dia menelefon: "Kamu di pantai buat apa sebenarnya?" Saya kata saya memerhati segala-galanya yang berkaitan dengan laut. "Harap-harap kamu pulih seperti biasa bila kamu pulang nanti." Oh, sinis sekali ujarannya itu.
Namun terfikir juga, ada kebenaran dalam kata-kata kawan saya itu. Kerja melihat, memerhati, dan merenugn itu memang agak ganjil. Apa lagi andai yang diperhati dan direnung itu adalah sesuatu yang tidak pandai berkata-kata, tiada tindak balas.
Sejujurnya saya tidak pernah jatuh cinta pada pantai kerana silir bayunya seakan menginjak-injak pedih kulit saya, pepasir yang melekat-lekat di kaki kala menyusur tepian pantai amat merimaskan. Ngauman ombak seolah-olah akan menelan saya. Air laut yang masin bagai keringat tengahari. Terik suria memiat-miat kulit.
Namun mata boleh melihat dan hati dapat merasa apa yang diperhati oleh mata, di renung oleh benak. Ada hikmah dalam renungan, ada nikmat dalam tenungan. Itu pesan Guru. Saya lupa tentang itu.
Kalau tidak kerana tugasan yang perlu diselesaikan, saya tidak akan berada di pantai itu beberapa hari untuk melihat, memerhati, dan merenung. Menyelongkar rahsia alam yang amat sukar difahami dan diungkap dalam bentuk kata-kata. Paling hampir, ya, barangkali lukisan dan puisi bisa saja mengungkapnya, tapi berapa ramai pula insan yang mampu menterjemah bahasa alam sehingga orang lain dapat merasainya lalu membawa hatinya kepada Khaliq? Berapa ramai pula yang mampu mengagumi dan mengharagai lukisan dan puisi alam lantas berkata, "oh, betapa agungnya Dia, dan kepadaNya juga aku akan kembali" ?
Laut saujana membiru, ombak yang berkeluk-keluk sekejap tinggi sekejap rendah kemudian pecah menghempas pasir lalu pantai berubah. Puputan bayu yang kadang gemalai, kadang kesat. Dedaun berbuai-buai bagaikan memanggil-manggil untuk bersamanya. Burung-burung yang berkawan-kawan ghairah mengepak-ngepak sayap di angkasa raya, kemudian melayah di permukaan laut. Kulit kerang dan kulit siput yang berserakan sana-sini di atas pantai. Pasti itu semua punya sebab dijadikan untuk menghuni alam bersama makhlukNya yang bernama manusia.
Lihat, perhati, renung. Deru laut, lenggok ombak. Sepoi bayu, siul burung. Goyang pokok, liuk-lintuk dedaun. Daun-daun yang gugur, pepohon yang reput. Semua itu membawa pesan untuk manusia, memberi peringatan. Pesan alam seadanya yang dinobatkan untuk difikirkan oleh manusia. Pesan dari siapa lagi kalau bukan daripada Yang Menciptanya juga.
Fikirkanlah. Fikir itu nur ilmu. Itu pesan Guru.
Betapa, saya baru mahu bercinta dengan pantai!
Alahai diri ... Astaghfirullah al'azim. Allahu Akbar.
Salam.
16 comments:
Salam BR....
Gembira BR sudah kembali...
Rindu benar nak membaca tulisan BR:))
Salam Bunga Rampai,
Selamat pulang bersama cinta yang baru :P
Setiap hari datang menjenguk, namun pemiliknya tiada di rumah. Lalu saya pulang dengan hampa.
Harapan kali ini tuan rumah tidak berlama-lama di perantauan..
Salam Dik Rampai,
Maksud temanmu agaknya adalah: dari duduk di pantai merenung ombak, dan didakap bayu sambil menghirup udara yang segar bugar; lebih baik menghirup kopi di Starbucks, di dalam kedinginan KLCC! Agaknya.
Tapi cadangan itu tak membawa manfaat. Renungan kejadian alam adalah tafakkur yang membawa pahala dan ganjaran serta menambah keimanan.
Aah.. untungnya kamu.
Ke Pantai?. Aduh seronoknya. Selepas dibelai nenek bersantai pula.
ya, semua itu pesanan. ringkas dan padat, diam dan berisi
sepatutnya saya juga perlu lebih mesra-mesra dengan pantai, melihat-lihat ciptaanNya.
tidak hanya mencekang mata melihat skrin ciptaan manusia semata.
terima kasih kerana mengingatkan.
'Fikirkanlah. Fikir itu nur ilmu'
Indah sekali pesan guru.
Ohhh...Bunga Rampai baru jatuh hati dengan pantai rupanya. Bagi AKMA pula...pantai dan laut...telah lama menambat hati. Di situlah AKMA mencari tenang...andai berjauh hati.
Saya tak dapat nak bermesra dengan pantai kerana dah setahun tak menemuinya. alahai.
Salam Bunga Rampai,
Antara pantai dan gunung, saya suka pantai. Bunga Rampai bagaimana?
Pantai mana?
salam,
lamanya saya tak ke pantai. mudah jatuh cinta dengan pemandangan indah di pantai, terutama waktu senja dan warna awan yang pelbagai.
jatuh cinta saya dngn entri yg penuh dengan mainan bahasa ini. tak mampu saya buat seperti ini :D
Salam,
13may: Salam kembali. Saya pun gembira melihat 13may di sini, juga rindu bersantai di blog layan kepala :))
Indera: Salam kembali Indera.Terima kasih datang menjenguk. Saya lagi hampa, masa suntuk begitu untuk bersiar-siar di alam maya. Laluan streamyx juga sering mengganggu, menambahkan kehampaan.
Bro Keng: Salam kembali. KLCC sering meresahkan, dan dulunya pantai juga merimaskan. Tapi kini, pantai dan persekitarannya membawa cintaNya kepada saya. Alhamdulillah.
OSH: Ah, melihat OSH di sini baru saya sedar, betapa lama tidak menjenguk blogmu. Akan kujelang :)
King: Ya, bersuara tanpa kata-kata. Dalam sunyi ada bunyi.
TuanTanah: Sama-sama kasih :) Semaianmu di sana ok?
akma: Bertuahnya akma kerana lebih dulu jatuh hati pada pantai.
Hakim: Bermesra saja dengan apa-apa yang berkaitan dengan alam semulajadi...ia amat mendamaikan :)
acidz: Gunung :)
Bro PK: Langkawi. Maaf tak singgah Tanjung. Saya tak gemar sangat Opera Cina ;) Ah, pantai membisikkan kepada saya untuk memanggilmu 'Bro'. Harap diberi keizinan.
Sykin: Salam kembali. Bertuah sungguh Syikin dapat menikmati keindahan senja di pantai! Mainan bahasa atas izinNya jua.
Di pantai ada nikmat, ada hikmat, ada azimat, ada maksiat...
Tujuh pasang mata melihat di sebalik yang tersirat dari tujuh pandangan yang tersurat........
Selamat Hari Raya Aidil Adha..
selamat hari raya haji & selamat tahun baru 2007... hohohoho!
Salam,
BP: Tujuh pasang mata melihat di sebalik yang tersirat dari tujuh pandangan yang tersurat .. Wow, satu ungkapan yang membuat mata saya terbeliak dan benak terus berlari cuba menggapai maksud! Terima kasih untuk ini :)
13may, sunan_jati: Maaf, lambat membalas ucap selamat. Moga ibadah korban telah dilaksanakan.
Post a Comment