Thursday, 28 February 2008

You pilih siapa?

Hari yang sangat sibuk dengan panggilan telefon, dan lima puluh peratus adalah mengenai PRU. Alahai! Macamlah saya ini orang yang penting dalam pru lalu ditelefoni. Apa pun alhamdulillah, rupa-rupanya kehangatan pru mampu memanaskan persahabatan yang dingin sekian lama. Ya, beberapa orang teman yang menyepi tiba-tiba muncul bertanyakan khabar sambil-sambil mengorek rahsia undi.


Dia: I pertama kali 'ngundi ni ... baru terasa nak tunaikan tanggungjawab untuk negara.
Saya: Selamat mengundi.

Dia: You pilih sape ek?
Saya: Rahsia.
Dia: Cakaplah!
Saya: You pilih sape pulak?

Dia: I pilih simbol yang paling cantik ...
Saya: Oh?

Dia: ... dan calon yang paling cun!
Saya: Oh?
Dia: Macam Dato' Jalaluddin Hassan tu ... beliau ni wakil kawasan mana ek?
Saya: Errr ... (telan air liur).


*27/02/2008
PRU12, KL.


Salam.

Tuesday, 26 February 2008

Ada

ada neraca senget sebelah
ada mata kenyit tak sudah
ada roket berangan ke angkasa
ada rembulan di tengah belantara.

ada hati, zikirnya mati
ada makan, suapnya tak henti
ada kata, janjinya tak ditepati
ada panji, kibarnya perlu diganti.


*25/02/2008
PRU12,
KL-PJ-Putrajaya.


Salam.

Thursday, 21 February 2008

Bicara Sekuntum Mawar


Kalau boleh mahu saja saya menidurkan sebuah lena yang panjang bertilamkan kuntuman-kuntuman mawar yang berkelopak bak baldu itu, dan dalam hening malam berselimutkan kabus dingin, pasti enaklah lena itu bercumbu mimpi nan indah dek dikerumuni wangian mawar yang tidak lekang harumnya walaupun dititis-titis embun.

Mawar sekuntum memukau mata. Mawar sejambak meredup hati. Mawar setaman menenang qalbi. Namun Mawar, tajam duri di tangkaimu menyukarkan jari-jemari ini yang mahu memetik bunga-bungamu kemudian menyusunnya menjadi tilam tidurku. Mengapa Mawar demikian sekali berbisanya tangkaimu sedangkan rona dan wangimu begitu mempesona? Berbicaralah Mawar!


Aduhai Rampai, lihatlah dengan akal dan dengarkan dengan hati akan tamsil sekuntum Mawar. Tidaklah aku dijadikan andai aku tidak berguna kepadamu. Baru sebentar tadi aku mendengar keghairahanmu memuji-muji keelokanku. Begitu lagakmu hanya memandang kepada kejelitaanku. Kecacatanku kau cela, walhal kecacatan itu adalah keindahanku juga yang terkandung hikmah dan nikmat Yang Menciptaku.

Nah Rampai, itu baru harumanku, warnaku, dan kelopakku yang kau puja. Hanya kerana duriku kau tidak mahu meneroka lebih jauh tentang aku? Kasihan kau. Bacalah alam Rampai. Hayati dan fahami alam.

Tangkaiku adalah lambang jalan pulang ke pangkuanNya, duriku adalah ujian-ujian yang perlu kau tempuhi yang pasti saja mencabar sabar dan menggurit jiwamu. Bungaku adalah mahligai kasihNya tempat kau kekal beradu nanti, dirias pelbagai wangian mengindah rasamu sepanjang masa. Demikianlah Rampai, kau perlu berpayah-payah dulu dan berusaha dalam sabar ‘tika memetik bungaku untuk dijadikan tilam tidurmu. Tidak ada kesenangan tanpa kepayahan Rampai. Kau harus ingat itu.

Rugilah engkau Rampai kalau hanya memujaku tanpa mengenaliku dengan lebih jauh. Mengenaliku adalah denaimu mengenali Penciptaku. Fikir, renung dan tenung aku Rampai dan rasailah keindahanku. Kemudian rendakan keindahan itu menjadi jalinan ilmu yang menjiwai ragamu sehingga terbit perasaan paling seni mahu mengenali Yang Menciptaku. Kau bakal takjub betapa mengenaliNya akan menerbitkan rasa cinta padaNya, dan redha di kalbumu.

Rampai, mawar adalah permaisuri taman dan ibu haruman. Sari kehidupanku bersemayam di setiap helai kelopakku yang menyimpan keajaiban attar. Andai kau tahu Rampai, attar yang diperah dari puri kelopakku adalah penyeri dan penawar pelbagai gundah dalam kehidupan manusia. Maka itu, aku juga dijadikan lambang para Sufi dalam kehidupan mereka.

Begitulah Rampai tamsil sekuntum Mawar, dan tidaklah sia-sia kau menyelongkar rahsiaku dan rahsia alam semesta kerana membongkar rahsia itu adalah pencetus kuasa cinta dalam dirimu terhadapNya, dan mencetus cintaNya kepadamu. Itulah hakikat cinta sebenar Rampai!



Aduh! Tertampar kiranya diri dengan bicara sekuntum Mawar kala langit belum lagi bercahaya, dan kabus mulai dipungut bayu membawa sama dinginnya entah ke mana. Sementara menanti mentari menyimbah senyuman kencananya pada alam, saya merenung mawar-mawar di hadapan. Kupu-kupu dan kumbang mula menyeri ...

“SesungguhnyaYa Rabb, Engkau tidak menjadikan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, lindungilah aku dari azab nerakaMu”

*14/02/2008
Cameron Highlands, Pahang
.


Salam.

Monday, 18 February 2008

Siapa Bapa Pendidikan?

[Miyah baru bekerja di sebuah syarikat swasta namun masih mengidam untuk bergelar Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di dalam perkhidmatan awam. Seronoknya Miyah bukan kepalang apabila dijemput untuk ditemuduga pada minggu hadapan. Maka Miyah pun membuat sebaik-baik persiapan dengan merujuk buku-buku dan bertanya sana sini termasuklah si Rampai yang menjadi sasarannya.]

Telefon berbunyi membingitkan telinga si Rampai yang sedang enak-enak minum teh tarik dan makan mee kari. Adeiii, Miyah lagi! Semalam bertanya, pagi tadi bertanya, dan kali ini apa pula? Soal hatinya.


Rampai: Waalaikumu salam. Nak tanya apa pula kali ni Miyah?
Miyah: Kak, sape ek PM pertama kita?
Rampai: Aikk, itu pun tak tahu?
Miyah: (ketawa) Lupa pulak. Tunku Abdul Rahman ... Bapa Pembangunan.
Rampai: Bapa Kemerdekaanlah!
Miyah: Oh, silap! (ketawa lagi).

Rampai: PM kedua, ketiga, keempat siapa?
Miyah: (menjawab soalan - blaa … blaa… blaa…) Eh, kak ... Tun Mahathir bergelar apa ek … Bapa Ekonomi atau Bapa Teknologi?
Rampai: (tiada jawapan - sedang menelan kuah mee kari)

Miyah: Bapa Pendidikan Malaysia siapa ek?
Rampai: (tersedak) Mana ada Bapa Pendidikan!
Miyah: Samy Vellu tu bukan ke Bapa Pendidikan?
Rampai: Haa??? (tersedak yang amat)


*12/02/2008
Alor Setar, Kedah



Salam.

Monday, 11 February 2008

Sujud

Tanpa diduga, sedang saya berjalan keluar masjid, wanita yang anggun berkebarung biru tua itu bertanyakan saya kenapa berpakaian begitu. Pakaian santai yang biasa-biasa saja untuk berkembara diteliti - kemeja baggy labuh berwarna putih berjalur biru tua dipadankan dengan seluar koboi.

Saya bertanyakan wanita itu apa silapnya pakaian saya. “Tidak sesuai untuk ke masjid,” jawabnya. Ooh, sepasang lutut tiba-tiba longlai! Mujurlah seorang gadis ayu yang datang memeluk wanita itu telah menguatkan diri dari terkulai. “Ummi, jomlah …” katanya manja. Mereka berlalu pergi, dan mata saya mengekori lenggok langkah gadis ayu itu yang berjean hipster dan berkemeja T putih berlengan panjang membaluti ketat tubuh montoknya.

Jiwa tercalar jua dengan peristiwa itu, dan perjalanan pulang terlalu lama dirasakan. Di relung jiwa, pujuk dicita untuk membujuk hiba. Aduhai hati …

bersedih jangan, usah merintih
disepuh uji kunjung bertindih
jelang pendita madah berpelita
mahligai suci membukti wujud
menjadi saksi tempat bersujud


Ketika azan berkumandang di corong radio, inti kuliyah yang lalu berbicara di hati …

Bukannya Allah SWT tidak melihat kita sujud, terbaiknya kita mengumpul pembicara-pembicara sebanyak-banyaknya dan di merata-rata tempat di dunia ini. Begitulah sayangnya Allah SWT kepada kita, Dia membenarkan pembicara untuk mempertahankan kedudukan kita di akhirat kelak. Demikian mukadimah kuliyah itu.

Segala apa yang terlibat dalam ibadah kita akan menjadi saksi di hadapan Allah. Air wudhuk misalnya akan berkata kepada Allah, “si anu si anu menggunakan aku untuk menyucikan diri sebelum menghadapMu ya Allah. Kasihanilah dia.” Dan perlakuan yang paling disukai Allah ialah sujud kepadaNya. Sujud kita dalam solat akan disaksikan oleh lantai tempat bersujud. Itulah yang akan memberi penyaksian kepada Allah SWT nanti yang akan berkata "si anu ini datang dari jauh Ya Allah dan aku menyaksikan dia bersujud kepadaMu di atasku."

Di mana juga kita mengembara, janganlah lupa ke masjid untuk meninggalkan saksi tempat bersujud. Begitu pesan Guru mengakhiri kuliyah.


*09/02/2008
Seremban, NS



Salam.

Thursday, 7 February 2008

Terusik

Pagi yang senang dan tenang. Alhamdulillah, dan sebelum mengunjur salam untuk alam di luar sana, jari-jemari sempat lagi mendenting manik-manik hitam putih itu, dan melodinya membuat hati bernyanyi-nyanyi riang … ingatkah engkau kepada embun pagi bersahaja yang menemanimu sebelum cahaya

Embun menghilang jua dan betapa cahaya mentari menghangat sejuta keinginan lalu menguja hati untuk ke kedai bunga itu. Penjual bunga sudah tahu apa mahunya saya - anggerik, mawar, kekwa,dan daisy. “Tidak pagi ini,” kata saya, dan penjual bunga kehairanan. “Setangkai mawar merah jambu, itu saja.”

Aduhai. Entah mengapa hati terusik setiap kali mata melabuhkan pandangan pada setangkai mawar itu. Terasa benar ada sesuatu bakal ditempuhi.
-
-
-
Sungguh saya terkesima dengan huluran salamnya itu. Entah dari mana datangnya dia tiba-tiba saja berada di sisi.

“Assalamu alaikum.” Ulangnya lagi. Saya menggumam kata-kata kala membalas salamnya itu yang saya kira amat melucukannya lalu dia tersenyum lebar sambil melurut-lurut rambut ikalnya ke belakang.

Hei, aksi itu … macam kenal dia! Desis hati, dan benak mula menerawang cuba mengimbau sesuatu namun agak pudar.

“Saujana laut hanya dapat dilihat di tepi pantai atau di pelabuhan,” ujarnya lembut kemudian memerhati orang ramai yang keluar masuk bangunan.

Oh tidak! Hati menggetus. Diakah?

Saya memberanikan diri. “Macam kenal saudara, siapa ya?”
Dia tersenyum lebar. “Kumbang …”

Ya, saya ingat! “… dan saya bunga,” ujar saya lalu pantas menekup mulut, menahan gelak yang hampir saja terlontar keluar. Dia ketawa kecil.

Buat seketika kami berbual. “Kalau ke BSB, jemput ke rumah.” Katanya sebelum berlalu pergi.

Hadirnya kumbang mengusik seketika kelopak bunga. Sayup bisik hati kala menanti LRT tiba. Saya tersenyum. Sekonyong-konyong … aiseyymaaaan, ... baru teringat, nama dan alamatnya pun saya tidak tahu! Mana mungkin dapat ziarah!
-
-
-
Malamnya, jari-jemari petah saja menari-nari lagi di atas manik-manik hitam putih itu ... perjalanan sunyi kau tempuh sendiri, kuatkanlah hati ...

Lewat dinihari embun merecup melata bumi lalu menerjah sunyi, dan qalbi berembunkan Fatihah yang membangkit kekuatan hati. Alhamdulillah.


*06/02/2008
Menara Maybank, KL.


BSB = Bandar Seri Begawan

setahun lalu


Salam.

Monday, 4 February 2008

Tikus

Sambil menunggu giliran, ada kejutan di kerusi hadapan ...

Mak: Kenapa ni Nia, tekepit-kepit kaki tu?
Nia: Nak pegi tandas.

Mak: Pegilah, Mak tunggu sini.
Nia: Tak nak!

Mak: Tandas tepi tu je!
Nia: Tak nak! Nak tandas kat rumah.

Mak: Laa, lambat lagi ni. Kang tekencing!
Nia: Tak nak. Boleh tahan.

Mak: Jom, Mak temankan.
Nia: Tak mau Mak, tak nak. Tunggu balik rumah.

Mak: Pelik sungguh. Macamlah tandas tu bertikus!
Nia: Nia tak takut tikus dah Mak.

Mak: Habis tu?
Nia: 'Ntah-'ntah dalam tandas tu ada CCTV!

Mak: Hah, sana sini CCTV. Menyusahkan orang! Diaorang nih macam tikus baiki labu. Baiknya dak, menjahanamkan lebih! Eloklah, tahun ni pun tahun tikus. Hah, sape yang pangkah tikus memang sah anak cucu cicit tikus ... tuih!

Saya dan yang lain-lain terlopong melihat kakak itu.


*04/02/2008
Farmasi,
Hospital Selayang



Salam.