Wednesday, 20 December 2006

Pesan Alam

Teks sms kawan saya itu bunyinya begini: Agaknya kamu kurang siumankah? Aduhai, terbeliak mata saya! Lalu saya balas begini: Barangkali ;) Mungkin dia tidak puas hati maka dia menelefon: "Kamu di pantai buat apa sebenarnya?" Saya kata saya memerhati segala-galanya yang berkaitan dengan laut. "Harap-harap kamu pulih seperti biasa bila kamu pulang nanti." Oh, sinis sekali ujarannya itu.

Namun terfikir juga, ada kebenaran dalam kata-kata kawan saya itu. Kerja melihat, memerhati, dan merenugn itu memang agak ganjil. Apa lagi andai yang diperhati dan direnung itu adalah sesuatu yang tidak pandai berkata-kata, tiada tindak balas.

Sejujurnya saya tidak pernah jatuh cinta pada pantai kerana silir bayunya seakan menginjak-injak pedih kulit saya, pepasir yang melekat-lekat di kaki kala menyusur tepian pantai amat merimaskan. Ngauman ombak seolah-olah akan menelan saya. Air laut yang masin bagai keringat tengahari. Terik suria memiat-miat kulit.

Namun mata boleh melihat dan hati dapat merasa apa yang diperhati oleh mata, di renung oleh benak. Ada hikmah dalam renungan, ada nikmat dalam tenungan. Itu pesan Guru. Saya lupa tentang itu.

Kalau tidak kerana tugasan yang perlu diselesaikan, saya tidak akan berada di pantai itu beberapa hari untuk melihat, memerhati, dan merenung. Menyelongkar rahsia alam yang amat sukar difahami dan diungkap dalam bentuk kata-kata. Paling hampir, ya, barangkali lukisan dan puisi bisa saja mengungkapnya, tapi berapa ramai pula insan yang mampu menterjemah bahasa alam sehingga orang lain dapat merasainya lalu membawa hatinya kepada Khaliq? Berapa ramai pula yang mampu mengagumi dan mengharagai lukisan dan puisi alam lantas berkata, "oh, betapa agungnya Dia, dan kepadaNya juga aku akan kembali" ?

Laut saujana membiru, ombak yang berkeluk-keluk sekejap tinggi sekejap rendah kemudian pecah menghempas pasir lalu pantai berubah. Puputan bayu yang kadang gemalai, kadang kesat. Dedaun berbuai-buai bagaikan memanggil-manggil untuk bersamanya. Burung-burung yang berkawan-kawan ghairah mengepak-ngepak sayap di angkasa raya, kemudian melayah di permukaan laut. Kulit kerang dan kulit siput yang berserakan sana-sini di atas pantai. Pasti itu semua punya sebab dijadikan untuk menghuni alam bersama makhlukNya yang bernama manusia.

Lihat, perhati, renung. Deru laut, lenggok ombak. Sepoi bayu, siul burung. Goyang pokok, liuk-lintuk dedaun. Daun-daun yang gugur, pepohon yang reput. Semua itu membawa pesan untuk manusia, memberi peringatan. Pesan alam seadanya yang dinobatkan untuk difikirkan oleh manusia. Pesan dari siapa lagi kalau bukan daripada Yang Menciptanya juga.

Fikirkanlah. Fikir itu nur ilmu. Itu pesan Guru.

Betapa, saya baru mahu bercinta dengan pantai!
Alahai diri ... Astaghfirullah al'azim. Allahu Akbar.

Salam.

Monday, 4 December 2006

Tiru Macam Nenek

"Berapa lama tak scrub badan ni? Kasarnyaaaa..." Nenek menggosok-gosok tangan saya. Amboi, nenek pun cakap orang putih...scrub? hehehe...
"Rambut ni, berapa lama tak bagi wap?" Nenek mengerut muka sambil membelai rambut saya.
"Muka ni, heh, pucat!" Heh, banyaknya omelan nenek!

"Sibuk ..."
"O, berjalan ke sana sini tak sibuk?"
"Nantilah..."
"Apa nanti-nanti, umur tidak menanti kita...dan baju ini lepas basuh bagi nenek!"
"Aik, nenek nak pakai?" Saya ketawa besar.
"Sedekah bagi Latip." Oh tidak! Tidak! Baju kegemaran saya, alaa baju itu ;)

Begitulah nenek saya. Setiap kali bertandang ke rumahnya, perlu kemas, segalanya. Baju saya itupun katanya 'baju orang angkat batu-bata.' Oooohhh... :(

Apa pun kerenah nenek, saya tetap sayang nenek. Pertama kerana dia suka menyikat-nyikat serta membelai-belai rambut saya. Kedua, kerana dia rajin menyediakan air limau madu untuk saya, dan ketiga kerana dia banyak menurunkan petua-petua kesihatan dan kecantikan kepada saya :) Oh, nenek saya itu walau sudah lanjut usianya, pheewwiitt !! ... saya kagum dengan kehalusan kulitnya, pigmentasi yang tidak ketara, mata yang bersinar, dan yang utama tetap segar-bugar berjalan ke hulu hilir! Rahsia nenek?

Madu penyeri segala kecantikan dalaman dan luaran. Kalau mahukan bibir bak delima merekah, oleskan minyak kelapa muda tiap pagi dan malam. Minyak kelapa menggebu bibir, menghalus tumit, lutut dan siku; juga menghitam, melembut dan mengilat rambut; serta melebat alis dan bulu mata. Air rebusan kunyit nenek kata menghangatkan badan, memerahkan wajah. "Oooh begitu ..."

Kalau inginkan pipi umpama pauh dilayang: Sekali seminggu cuci muka dengan buah tomato atau betik (hancurkan). Untuk masker, oleskan putih telur kampung, biarkan 20 minit, bilas. Kemudian sapukan air mawar. "Ermm nek, beli saja yang di botol, senang!"

Goreng segenggam beras pulut hingga kuning kemudian tumbuk bersama kunyit basah sebesar ibu jari, tumbuk hingga menjadi sehalus pasir. Lulur lembut pada badan ketika mandi sekali seminggu, bilas, dan terakhir lulurkan air limau nipis, dan bilas lagi. "Nek, pergi spa lagi enak!"

Sebelum syampu rambut, urut-urutkan minyak kelapa atas kulit kepala dan rambutnya sekali, wapkan, begini: rendam tuala dalam air panas, perah, dan bungkus kepala, jika tuala sejuk ulang lagi hingga waktu mengwap cukup 20 minit. Syampu, bilas. Kemudian perah air limau nipis pada kulit kepala. "Pergi salon rambut lagi mudah nek!

"Rampai, dalam rahsia ada rahsia."
"Aaiikk?"

Menurut nenek: bahan asli yang disentuh oleh panca indera manusia itu akan menggembirakan Allah Ta'ala kerana segala pemberianNya telah dimanfaatkan, dan untuk membalas segala usaha kita itu, Dia akan menggembirakan kita pula. Kegembiraan hati akan menyerikan wajah, menenang paras. Itulah kecantikan asli yang datangnya dari sekeping hati yang punya sepasang mata.

"Khazanah alam Rampai, membawa nilai dan maksud untuk diterokai oleh manusia, segalanya dari Khaliq. Terokalah, segala itu akan mendekatkan kita padaNya."

Oh, nenek juga berpesan: selesai membasuh muka, bilas muka 3 kali dan setiap bilasan perlu diiringi selawat, lurutkan air itu dari dagu ke dahi. Juga kata nenek, setiap kali melihat wajah di cermin, berdoalah begini: "Ya Tuhanku, cantikkan diriku bukan kerana wajahku atau pakaianku, tetapi akhlak dan peribadiku."


~~~~~~~~~~~~~~

Saya teringatkan nenek sebenarnya, teringat sangat. Andai nenek ada di sisi menyikat-nyikat rambut saya, saya tahu dia sudi saja mendengar suntingan rasa hati ini ...

Rama-rama itu lagi, datang mengepak-ngepak sayapnya dalam kamar fikir yang masih berkabus dingin. Kemudian renyai hujan yang membasahi pelantar benak juga tidak dipedulinya. Barangkali rama-rama itu mengharap pelangi 'kan bertandang lewat tengahari nanti. Dia tidak tahu, 'pabila saja kabus mengorak langkah dan renyai hujan sirna iramanya, maka mega kelabu pula berarak megah, berlagu pasrah mengiringi sekeping hati yang tidak sudah-sudah menghisab diri. Dia atau DIA.

Salam.




Wednesday, 29 November 2006

Sekadar

Lagu itu, entah apakah namanya. Saya sudah mendengar suara dan melihat gaya penyanyi baru itu di layar tv berduet dengan penyanyi lelaki yang cukup terkenal.

Saya juga mendengar suara dan melihat seorang lagi penyanyi baru bukan main bergaya berduet dengan penyanyi lelaki yang juga boleh tahan terkenalnya. Entah apakah nama lagu itu. Ooh, saya persis menonton filem Hindi! Di ruang menunggu pejabat kawan saya.

"Hebat dunia hiburan kita Rampai ooii ... tak sangka para isteri pemimpin kita cukup berbakat dan punya masa yang banyak untuk shooting video clip sebegitu."

"Ya, semakin popularlah mereka!"

Sukarnya menelan pulut udang yang sudah saya kunyah, dan penyambut tetamu itu hanya tersenyum melihat saya yang mencemikkan muka.

Sekadar merenggang masa senggang yang tegang :)

~~~~~~~~~~~

Kepada 13may yang bertanyakan jawapan kepada teka-teki hari itu, juga kepada teman-teman yang telah mencuba. Jawapannya ialah ...

"a mosquito can fly but a fly can't mosquito" ;)

Salam.

Wednesday, 22 November 2006

Beginikah Kehidupan?

Saya menyibuk-nyibukkan diri supaya lupa pada rama-rama itu.
Ya, kacau sungguh rama-rama itu!

Maka semalam saya tunaikan hasrat hati yang sudah lama dipendam. Saya pun sibuk-sibuk menemani kawan saya itu seorang wartawan ke Mahkamah Syariah yang berhampiran stesen komuter KL.

9 pagi. Kami masuk ke dalam. Dinginnyaaaaa. Senyapnyaaaaa. Semua bangku dipenuhi. Tak tahu siapa penonton, siapa yang bakal masuk kandang. Oooh, tengok muka Yang Arif tu pun saya dah kecut! Kawan saya itu, rancak menulis-nulis di dalam buku notanya, saya jenguk-jenguk, entah apa-apa yang dicakarnya.

Beginilah kisah seterusnya ...

Kes 1: Suami pertengahan 30an, isteri awal 30an. Talak satu.

Kes 2: Suami dan isteri awal 20an. Talak satu.

Kes 3: Suami lewat 40an, isteri pertengahan 40an. Selepas lafaz talak satu, Si Isteri menangis.

Kes 4: Suami pertengahan 20an memakai kemeja T, isteri awal 20an pakai blaus pendek seluar koboi ketat. Talak satu.


Aduuh, sebaknya dada saya!


Kes 5: Suami pertengahan 20an, isteri awal 20an. Talak satu.

Kes 6: Suami dan isteri awal 50an. Si Suami menangis selepas melafazkan talak satu.

Kes 7: Suami dan isteri awal 30an. Tiba-tiba Si Suami berubah fikiran tidak mahu melafazkan talak. Si Isteri mengamuk.

11 pagi. Tidak semena-mena air mata saya menitis.

Saya pulang meninggalkan kawan saya yang terus-terusan mencakar-cakar buku notanya.

Salam.

Sunday, 19 November 2006

Tiba-tiba ...

Mahu menulis sesuatu sebenarnya.

Tiba-tiba seekor rama-rama kecil terbang simpang siur betul-betul di hadapan saya lalu hinggap betul-betul di tengah-tengah skrin pc.

Saya teliti warnanya, kuning jingga :)

"Halo, halo...kuci, kuci..." Ujar saya pada rama-rama itu. Barangkali suara saya tidak enak didengar, maka dia terbang entah ke mana-mana. Hilang.

Rama-rama itu mengingatkan saya kepada seseorang.

Tiba-tiba saya tidak jadi menulis!

Aaahhh...satu keluhan pedih terlontar keluar, bagai melepas sebak di dada.

Entahlah, tiba-tiba saya tidak fokus, banyak yang difikirkan.

Tiba-tiba ... aaahhh!

Bagaimana harus saya luahkan perasaan ini?

Salam.

Tuesday, 14 November 2006

50

Semalam hari minggu yang panjang, amat lega, membolehkan saya bersantai bersama anak-anak saya itu yang sudah hampir dua bulan tidak dijenguk. Setiba di sana mereka sibuklah bertanya itu dan ini tentang kembara saya yang terkini, maka saya pun sibuklah juga menceritakan begitu begini kepada mereka. Seperti biasa seusai bercerita, mereka akan berkata suatu hari nanti mereka juga akan mengembara. Saya kata tunaikan impian itu kerana sebuah kembara itu mampu saja merubah sesuatu, menjadikan kita manusia yang lebih adil, sabar, redha, dan penuh cinta.

"Cinta?" soal Aqilah lalu ketawa tersipu-sipu. Saya menjegilkan mata padanya. Dia diam. Wajahnya berkerut masam. Oh, saya lupa dia seorang yang amat sensitif lalu saya menggenggam erat tangannya, mengusap-usapnya seketika kemudian mengenyitkan sebelah mata tiga kali. Dia tersenyum. "Ada apa dengan cinta?" Tanya saya. Heh, apalah saya ini bertanya begitu kepada budak berusia 9 tahun!. "Cinta itu buta!" Sungguh, saya tidak tahu dari mana dia dapat ungkapan itu, dan saya juga tidak mahu bertanya dia. Saya cuma tahu cinta itu bisu. Hati walau merasa, tidak mampu menterjemahkannya dengan sempurna dalam bentuk lisan, hanya dengan perlakuan. Renung, fikir dan analisiskan.

Kerana cinta jugalah J mengembara mencari erti hidup. Ya, akhirnya dia menghantar e-mel kepada saya sehari sebelum raya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya. Oh, hikmah Ramadhan, nikmat Syawal. Sudah tentu saya gembira. E-mel terakhirnya mengatakan dia kini sendirian di perantauan mencari dirinya.

Barangkali cinta Claire kepada keluarganya masih terlalu kuat hingga dia tidak mampu melukai hati mereka, maka dia berpuasa dalam diam, dan berhari raya dengan sebuah keluarga peniaga Mesir dengan memakai baju gaya Punjabi, lengkap bertudung yang dipakainya hanya dalam perjalanan ke rumah keluarga itu.

Saya kira setiap kita mampu bercinta dengan sesiapa saja, jatuh cinta dengan apa saja. Cinta monyet cinta kanak-kanak, cinta teddy bear cinta remaja, cinta pertama mengasyikkan, dan panahan asmara cinta sering melupakan manusia kepada Tuhannya lantas maruah diri enak saja menjadi bahan komoditi yang diperdagangkan tanpa segan-silu.

Cinta menerbitkan rasa rindu yang menagih ungkapan manis membelai rasa. Andai kita tahu meletak diri, cinta dan rindu itu mendamaikan, menenangkan. Saya kira cinta paling intim dan hakiki ialah cinta padaNya, dan ranjang cinta bersamaNya sering saja ditaburi soalan-soalan yang mampu menghangatkan lagi cinta kita padaNya.

Eh, apa kaitan angka 50 di atas itu dengan tulisan ini?

Sebelum saya lupa, saya hairan, kenapa ya tidak ada seorang pun bertanyakan jawapan kepada teka-teki hari itu?

Nukilan ini adalah rampaisari rasa hati saya yang ke 50! Di luar jangkaan saya sebenarnya. Ingatkan saya hanya akan melakar-lakar lukisan hati kala senggang yang panjang, barangkali sekali dua dalam satu purnama, tapi 50 itu amat menakjubkan saya sendiri!

Semoga cinta saya untuk melakar rasa hati dalam menyelusuri hari-hari di teratak sepi ini tidak akan layu, semerbak wangi haruman bunga rampai tetap bersama kalian.

Salam.

Wednesday, 8 November 2006

Kenangan

Entah, tiba-tiba saya terkenangkan mama walhal baru saja bersamanya. Mengenang mama kala ini membawa rindu ke zaman kanak-kanak ketika meraikan hari lahir, tapi kami sebenarnya tidak pernah pun meraikan hari lahir, dan kami adik beradik tidak tahu pun bila tarikh kelahiran kami ketika itu. Mama mengingatkan. Sekiranya suatu pagi itu kami bangun dari tidur dan mendapati ada bungkusan hadiah di sebelah bantal, ini menandakan hari lahir seseorang. Hadiah paling besar adalah kepunyaan empunya hari lahir pada hari itu...dan sudah jadi kebiasaan, hingga kini hari lahir dirai hanya dengan merenung bintang dan merenda kasih bersamaNya.

Dalam mengenang-ngenang ini, alahai, terkenang pula BP dan tagnya. Pasti, kisah dia mengetag saya akan menjadi satu kenangan manis :)

5 things I would like to do if I were a millionaire:

1. Menunaikan fardhu haji bersama keluarga.
2. Menubuhkan Yayasan BR untuk membantu keluarga miskin, membela insan tertindas dan teraniaya, juga kelompok terpinggir.
3. Melabur untuk menjadi billionaire.
4. Membaikpulih alam sekitar yang tercemar.
5. Mengembara lagi dengan misi yang lebih bermakna.

5 bad habits:

1. Tidur lewat malam.
2. Memakai kemeja baggy, kadang lusuh.
3. Makan melebihi had: aiskrim dan coklat.
4. Lewat bersarapan.
5. Mudah ketawa: kelakar sikit pun boleh ketawa memanjang.

5 things I hate doing:

1. Memandu ketika hujan.
2. Beratur panjang menunggu giliran.
3. Gosok baju.
4. Jumpa doktor.
5. Window shopping.

5 things I will never do:

1. Melukai hati warga tua.
2. Menganiaya kanak-kanak.
3. Memandang rendah terhadap orang lain.
4. Membuang sampah merata-rata.
5. Makan dan minum sambil berjalan.

5 things I regret doing:

Tidak perlu menyesal. Berfikir sebelum bertindak. Andai tercicir dari sasaran, akur pada kelemahan diri. Percaya ruang masih luas untuk meletak diri di tempat lebih baik.

5 fave toys or things:
Saya suka yang berpasang-pasangan :)

1. Al-Quran dan Hadith.
2. Haruman lavender dan bunga rampai.
3. Bunga anggerik dan teratai.
4. Aiskrim dan coklat.
5. Kamera dan pen.

5 people I choose to do this:

1. Indera Kencana yang suka bercerita tentang cerita rakyat.
2. Raja yang suka berpuisi rindu, Kingbinjai.
3. Syikin, kerana dia wanita handal :)
4. Seorang ibu nan manis, Yus.
5. Bro Keng, alamak, boleh ke?

Istimewa untuk BP ...

5 reasons why I chose to answer your tag:

1. Kerana anda bukan hip-hop.
2. Kerana mahu anda gembira.
3. Kerana kasih sayang atas nama Illahi.
4. Kerana mengukuhkan jalinan ukhuwah walau hanya maya.
5. Kerana anda amat mengasihi seorang gadis.

Ini Anggerik Bulan hadiah maya untuk BP dan Sastri.
Lagu ini biasa-biasa saja tapi saya suka iramanya. Aneh, pertama mendengar lagu ini saya terkenangkan anda berdua.
Moga kasih kalian mengharum hingga ke pelamin, dan harumnya terus mewangi hingga ke hembusan nafas terakhir, bermukim di syurga.

Salam.

Sunday, 5 November 2006

Lavender

Ada apa dengan lavender?

Ooohh, harumannya yang memikat dan saya telahpun terpikat, sekian lama. Apa saja tentang haruman lavender tetap mendamaikan dan menenangkan jiwa raga. Dari krim mandian hinggalah ke penyegar udara, aromaterapi. Cuma ada satu yang tidak menyenangkan, warna ungu kelopak lavender! Ungu bukan rona kegemaran saya. Aduhai...

Lavender juga mengingatkan saya kepada negara yang punya empat musim, lantas bisa saja mengingatkan saya kepada Penciptanya. Maha Agung yang mencipta segala kejadian alam, menjadikan manusia berbilang bangsa, agama, dan budaya. Kejadian yang menguji kegagahan rohani manusia itu sendiri untuk menerima kehidupan ini seadanya, dan bertolak ansur antara satu sama lain.

Warna dan haruman punya kuasa mempengaruhi mood manusia. Warna dan haruman juga dapat memperlihatkan watak dan perwatakan seseorang. Demikian menurut pakar psikologi. Benarkah?

Hitam juga bukan kegemaran saya. Namun andai dipaksa membuat pilihan antara hitam dengan ungu, saya pilih ungu. Nah, bagaimana jika hitam itu didampingkan dengan ungu? Ooohh, saya akan pening! Tapi kata pakar psikologi, orang yang menggabungkan dua warna ini atau gabungan warna-warna garang yang lain adalah seorang yang cukup berani melawan arus, mahukan kelainan, punya minda yang terbuka, dan berpandangan positif.

Apa warna kegemaran kalian? Oooohh, menyibuknya saya :)

Warna jingga dan rona lembayung pada hemat saya amat unik dan menarik...

...dan sejak berblog ini, apa saja tentang hitamungu, benak pantas saja mengheret membayangkan seseorang. Alaaaaa...siapa lagi kalau bukan Si Blackpurple itu yang enak-enak saja menge'tag' saya hanya kerana saya berjumpa dengan seorang lagi Blackpurple versi lain :))

Mengenangkan dia sudah pun mempamerkan wajahnya yang bertanda tanya, maka saya harus berlaku adil mengemukakan jawapan kepada tagnya itu. Manalah tahu, terbuka pula hatinya untuk membuang tanda tanya di wajahnya itu, dan meletakkan songkok di tempat yang betul, lantas mempamerkan dirinya yang saya kira tampan sekali ;)

Oopss, maaf BP, jawapan kepada tag anda hanya dalam entri akan datang. Sabar ya :)


Salam.

Monday, 30 October 2006

Teka-Teki

gendang gendut tali kecapi
makan ketupat senang hati
di hari raya berteka-teki
sila jawab jika reti ...

"what is the difference between a fly and a mosquito?"


Alahai. Sebenarnya saya sedang menggembirakan hati kerana mengenangkan tag Blackpurple yang perlu dijawab.

Salam.

Friday, 20 October 2006

Salam Aidilfitri

Kepada kalian teman blogger:

Selamat Hari Raya Aidilfitri, mohon ampun maaf zahir dan batin. Semoga sinar Aidilfitri mengukuh ukhwah, menghubung silatulrahim, mengekal persaudaraan.

~~~~~~~~~~~~~~

Kala bahtera Ramadhan mula menggulung layar melabuh sauhnya, ada kembara malam yang masih didayung, ada samudera rasa yang masih berombak ghairah, dan di langit sana ada sebutir bintang tersenyum, merenung nur mutiara diulit sekeping hati, lalu bayu pun berlagu, gemersik nada ...

Tuhan
ingin kumati
berkapankan
cindai


Salam.

~~~~~~~~~~~~~~

Ahad, 22 Oktober 2006:

Pastinya kala ini di mana-mana jua terutama di kampung, ahli keluarga sedang sibuk mengindahkan rumah, dan di dapur sana sudah tersusun segala jenis biskut dalam balang, berlonggok segala daging, tersedia rempah ratus, juga lemang dan ketupat untuk persediaan juadah Hari Raya. Keriuhan di kampung menggamit rasa, dan rindunya saya pada suasana itu...*alahai*

Aduhai, saya masih di sini bertemankan pc yang kaku ini ...

3.33 petang

~~~~~~~~~~~~~~

Isnin, 23 Oktober 2006
(30 Ramadhan 1427H):


Masih di sini, jari-jemari menari-nari di atas aksara...
Di penghujung tanggungjawab yang telah dibereskan, ada rindu menyapa, mohon lekas pulang.

Sayup-sayup kedengaran suara Takbir Hari Raya berkumandang dari masjid berdekatan, memecah sunyi malam ... selamat tinggal Ramadhan.

Esok 1 Syawal, seawal 10 pagi insyaAllah 'kan berada di pangkuan keluarga. Berkebarung merah jambu.

11.55 malam

Ya, salam aidilfitri.

Wednesday, 18 October 2006

3 Petang, KL Sentral

Selasa, 17 Oktober 2006

Sedang menunggu tren.
Dua orang remaja Melayu tiba, berdiri berhampiran.
Bukan main hip-hop lagi...

Remaja lelaki: berambut a-la pelakon Korea itu, Winter Sonata. Berkemeja T putih mempamerkan lambang cinta di dada, jean lusuh robek sana sini. Beg Body Glove kuning disilang merentangi dada. Sandal biru tua.

Remaja perempuan: berambut hitam, berkilat, panjang mengurai paras pinggang, boleh jadi model syampu.Seluar khaki 3 suku, berkemeja putih berlambangkan Polo. Beg coklat digalas. Kasut trek putih Adidas, stokin putih paras buku lali.

L: "Gimmee laah your blog address!"
P: "I don't blog laah"

"No?"
"Yeah. What for blog blog?"

"Best maa, you can pour your heart out. You can write anything!"
"Waaah, you tell everything about yourself to the world aa?"

"No one knows whaaat, use nick name maa."
"So what is your nick name?"

"Blackpurple."

Haaa, Blackpurple?...BP yang itu?

Kepada Blackpurple (yang di sini): Sungguh, kisah benar! :)

Salam.

Thursday, 12 October 2006

Ramadhan Yang Ini

Lihat...Si Bunga Rampai lagi, merenung kita.

Barangkali itulah kata sebutir bintang yang sedang berkawan-kawan pada dua pertiga malam tadi, kala langit bagaikan berpesta lampu kelip-kelip berserakan mencerahkan suasana. Indah!

Duhai bintang-bintang, kalian tahu apa di hati saya? Sebutir mutiara, cahayanya payah didakap .

Maka itu bintang, saya harus kembara lagi, dan kembara selama sepuluh hari yang mendatang ini adalah puncak kembara saya untuk tahun ini. Kalian mahu bersama saya?

Aneh Ramadhan kali ini. Aneh sekali. Malah sebelum memasuki gerbang Ramadhan keanehan itu sudah dirasa dengan kehadiran dia, kemunculan Claire, dan keputusan J.

Terkini daripda Claire yang berkata dalam e-melnya: Tudung hadiahmu yang berwarna krim sudah sekali saya pakai dan keluarga saya kata semoga saya hanya memakainya untuk fesyen bersiar-siar di taman. Juga saya sudah cuba-cuba berpuasa penuh selama tiga hari dan saya rasa pinggang saya sudah mengecil sedikit. Seronoknya. Tapi kenapa perlu kamu sembahyang 5 kali sehari dan tidak sekali sehari?

Namun tidak ada yang terkini daripada J. Membisu.
dia pula entah di mana, dan saya tidak mengharapkan sebarang ucapannya menjelang aidilfitri.

Sejujurnya sepanjang tahun ini ada sebutir mutiara yang terpendam di hati, cahayanya entah di mana. Tercari-cari jua. Ingin menggapai, ingin mendakapnya. Dekat tapi jauh.

Lalu Ramadhan kali ini membuka jalan, syukur. Walau hanya denai yang terbentang di hadapan, nyata mutiara itu bercahaya samar-samar dan ini sudah cukup menggirangkan saya. Moga cahaya itu bertambah terang, kemudian gemerlapan.

Wahai bintang-bintang, bersama titis-titis air dari langit, doakan kembara saya menuju malam Lailatul Qadar.

Salam.



kemaskini 13/10/2006:

Entri ini telah dipuisikan oleh KingBinjai, ilham mewangi pada 1:43:24 petang bersamaan 19 Ramadhan 1427H ...

"Puncak Kembara Ramadhan"

adakah bintang tersipu malu
saat aku merenungnya
asyik, setiap malam?

apakah mereka berbisik
sama sendiri
lihat, dia lagi, merenung kita

di hatiku juga bintang,
ada sebutir mutiara
cahayanya amat payah kudakap

maka itu,
aku teroka Ramadhan ini
menuju puncak kembara

mahukah kalian menemaniku?
menerangi doa
menghampari sujud
menadah titis-titis keinsafan
dalam sepuluh malam yang terakhir



Salam.

Friday, 6 October 2006

Bayangkan

"Keluarga Saya"

Keluarga ialah satu unit yang terdiri daripada ibu bapa, adik, kakak dan abang. Keluarga saya mengandungi 4 orang keluarga iaitu ayah, ibu, adik saya dan saya sendiri.

Nama ayah saya ialah MUHD NORDiN B. MUHD KASSiM, ibu saya bernama RAFEAH Bt. MUHD YAZID, adik saya bernama MUHD ADIL B. M.Nordin dan nama saya ialah Noratiqah Bt. MUHD Nordin. Ayah saya kerja pembawa lori dan ibu saya kerja kilang.

Kadangkala ibu dan ayah gaduh seperti ayah baling botol kaca, pinggan kaca, cawan kaca, dan botol kicap kaca. Kadangkala jari tangan ibu saya nak hampir putus. Umur ibu saya ialah 31 tahun. Umur ayah saya ialah 33 tahun. Bilangan keluarga saya ialah 4 orang.

Makanan kegemaran ibu saya ialah nasi ayam. Makanan kegemaran ayah saya ialah nasi goreng. Minuman kegemaran ibu saya ialah air suam. Minuman kegemaran ayah saya ialah air kopi dan air tebu.

Kadangkala keluarga saya bahagia kadangkala juga keluarga saya tidak bahagia.



Nota:

1. Karangan ditulis oleh seorang murid dalam kelas bimbingan anjuran sebuah projek kemasyarakatan di pinggir Lembah Kelang.

2. Bukan nama sebenar.

3. Nuratiqah, 10 tahun, cantik ayu. Di dalam kelas dia pendiam, payah senyum, kelihatan letih, sering termenung dan berangan.


Salam.

Tuesday, 3 October 2006

Kemeja Lusuh, Seluar Koboi

Entah apa kenanya dengan dia petang Ahad yang lalu, kawan saya itu yang dulunya suka minum kopi di Starbucks. Dia menjegilkan mata sebaik saja daun pintu dikuak, dan saya terpempan. Kaku. Dia tidak pernah begitu.

Dia, "Biar benar kamu."
Saya, "Kenapa?" Hairan.

Dia, "Jemput masuk." Nada suaranya ada iras kurang senang.
Saya, "Kenapa dengan saya?" jantung berdebar.

Dia terus ke dapur tanpa menjawab soalan saya. Saya mengekorinya lantas meletakkan bekas berisi bubur Asyura di atas meja (ya ya bubur Asyura lagi). Saya mengintai juadah yang dikatupi tudung saji di atas meja (wah masak singgang! dan lempeng pisang!). Saya terliur! Dia membuat air minuman, sirap bandung (isy, tak ada minuman lain ke?)

Saya, "Jawablah, kenapa dengan saya?" Debaran menggunung. Resah.
Dia, sambil meletak gelas dan minuman di atas meja, "Pakai macam ni?" Dia mengeluh kecil. (oh, pakaian saya).

Saya,"Ermm ... kenapa?" Saya membelek baju kiri kanan depan belakang, manalah tahu ada yang tidak kena. Semua baik saja.

Dia mencemikkan muka, "Kemeja lusuh! Seluar koboi!"
(Aiseymaaaann, ooh, dia merujuk pada kemeja 'baggy' kegemaran saya berjalur putih dan biru tua, dan ya...seluar jean)

Dia lagi, "Pegi masjid macam ni?" Menjeling tajam, seakan marah.
Saya, "Cuti." Tersengeh.

Dia senyum manis, anggunnya, seanggun dia yang berbaju kurung kuning langsat petang itu. Jauh di relung hati saya mengagumi perubahannya sejak dia putus tunang.

Sepanjang perjalanan pulang saya teringatkan dia yang misteri itu yang sering berkata "buatlah yang termampu olehmu, tapi jangan tinggalkan yang wajib."

Kemudian saya teringatkan seseorang kala lampu merah di hadapan. Ah, tergugat juga kesabaran sementara menanti lampu hijau. Jauh di relung hati saya tahu ada sesuatu yang menanti.

Sungguh, ada yang menunggu untuk disantap, dan ungkapannya ini merungkai usikan resah yang merantai sukma. Alhamdulillah.

"Tugas kita menyampaikan, tugas Allah membuka (hati)."

Salam.

Thursday, 28 September 2006

J, jangan tinggal daku

Ya, saya sedang menyanyikan lagu P. Ramli itu - jangan tinggal daku oh kasih oh juita ... alahai jiwangnya :D

Namanya J, seorang lelaki bujang bukan beragama Islam berusia pertengahan dua puluhan. Saya mengenalinya di penghujung tahun 2004 di sebuah forum alam maya. Barangkali hujahnya yang menarik, mungkin juga namanya yang pelik telah menjentik hati ini untuk menghantar e-mel (ya, saya menyibuk, orang kata cari pasal :(

Kami serasi (oohh wow!, ) lantas sering berutus e-mel dan bicara kami hanyalah sekitar kehidupan seharian. J memberitahu saya yang dia sudah kehilangan ibu bapa, adik beradik pula berserakan sana sini hanya mementingkan diri sendiri. J seorang yang sangat sedih memikirkan tentang itu semua.

Bulan Ramadhan yang lalu menyaksikan satu perubahan dalam dirinya. Sedikit demi sedikit rahsia hatinya dilontarkan kepada saya. Menjelang Syawal, dia mengajak saya bicara hati (aduh!). Saya akur, dan bicara hati kami bermula selepas Aidilfitri tahun sudah.

Beberapa kemusykilannya saya jawab sebaik mungkin, dan dia menerimanya dengan hati terbuka. Namun e-melnya yang saya balas tiga minggu sudah hanya dijawab begini: Terima kasih kak, izinkan saya pergi seketika, moga kita jumpa lagi. Entah mana silap saya sehingga dia berkata demikian.

Saya sebenarnya tidak mahu kehilangan J. Saya mahu lihat dia gembira walau saya tidak pernah mengenalinya di alam nyata. Hatta saya mohon belas ihsan teman bloggers, sekiranya kalian berada di tempat saya, apakah jawapan yang kalian beri kepada soalan-soalan berikut (yang telah saya jawab yang termampu, maklum, ilmu saya ini ala kadar saja, apalagi ilmu agama). Bukan apa, saya mahu menghantar e-mel kepadanya, dan berpandukan jawapan kalian, saya boleh kukuhkan jawapan saya yang lalu. Manalah tahu terbuka hatinya untuk berhubung kembali. Terima kasih jua.

Soalan J:

1) Saya masih tidak faham apakah tujuan hidup saya kerana bagi saya hidup ini adalah satu pusingan: bersekolah-universiti-kerja-rumah-makan minum. Adakah saya perlu menerima kehidupan saya sekarang?

2) Apalagi yang perlu saya lakukan dalam kehidupan ini, dan apakah perkara lain yang boleh dilakukan di luar pusingan kehidupan itu?

3) Hubungan saya dengan perempuan sangat renggang dan tidak berkekalan, dan saya risau kerana makin lama semakin hilang kepercayaan saya terhadap kaum ini.

Begitulah.

Kepada Bro Keng: imbas kembali komen saya dalam entri salam, inilah kisahnya.

Salam.

Tuesday, 26 September 2006

Bicara Sedih

Rentetan peristiwa tadi membuat saya sedih, amat sedih.
Ujian Ramadhan atau apa ini? ... keluh hati.

Sebentar tadi saya dikata begitu membuat saya sedih. Ah, perkataan dikata itu lebih sesuai ditulis dimaki sebenarnya. Dulu saya pernah dimaki begitu tapi bukan oleh orang yang memaki saya tadi, dan makian itu tidak sehebat yang tadi.

Tadi saya dimaki oleh seorang yang sangat saya hormati. Hanya kerana bercanggah pendapat yang saya kira bisa saja diselesaikan dari hati ke hati, dia lantas melontarkan kata-kata kesat: "cermin muka kamu dulu, macam anjing atau kucing...kalau anjing, maka kamu anjing keparat...kalau kucing, maka kamu kucing kurap!" Aduh! Pedih dan sedih menyelimuti diri. Hati berkecai, lantas mencari silap diri.

Mahu saja saya menangis semahunya, namun saya lawan perasaan itu kerana saya tahu, andai ada titisan air mata yang keluar, itu petanda betapa lemahnya saya zahir dan batin. Dan dia akan ketawa menang.

Bersama hati yang menakung air mata, saya melihat wajah di cermin. Saya kata pada cermin: teruknya saya kan? berwajah anjing keparat dan bermuka kucing kurap, alahai. Pedih dan sedih lagi.

Tak apalah cermin, saya kini lebih tahu di mana letak diri, dan dalam meniti usia ini saya perlu berusaha menggapai kesempurnaan. Atas izinNya jua.

Dan untuk dia yang memaki saya, saya doakan yang baik-baik saja untuk kesejahteraannya.

Orang kata kucing tetap saja comel.
Anjing itu hodoh sangat ke?

Kala ini walau hati masih sakit, pedihnya dan sedih saya sudah berkurangan. Molek juga ada teratak sepi ini untuk saya bising-bising. Dalam buat bising ini terfikir juga mahu jadi anjing yang comel itu, yang saya suka pandang, yang bila saya dekatinya saya akan kata halo halo, kuci kuci - Poodle ;)

Salam.

Saturday, 23 September 2006

Kasih

Untuk renungan bersama:

Love all and hate none.
Mere talk of peace will avail you naught.
Mere talk of God and relegion will not take you far.
Bring out all of the latent powers of your being
and reveal the full magnificence
of your immortal self.
Be surcharged with peace and joy,
And scatter them wherever you are
and wherever you go.
Be a blazing fire of truth,
Be a beauteous blossom of love
And be a soothing balm of peace. With your spiritual light,
dispel the darkness of ignorance;
dissolve the clouds of discord and war
and spread goodwill, peace, and harmony among the people.
Never seek any help, charity, or favors
from anybody except God.
Never go to the courts of kings,
but never refuse to bless and help the needy and the poor,
the widow, and the orphan, if they come to your door.
This is your mission to serve the people ...
Carry it out dutifully and courageously,
so that I, as your Pir-o-Murshid,
may not be ashamed of any shortcomings on your part
before the Almighty God and our holy predecessors
in the Sufi Order (silsilah)
on the Day of Judgement.



(Khutbah terakhir Hazrat Khwaja Moinuddin Chishti (r.a.))


Salam Ramadhan untuk semua teman bloggers. Saya mohon ampun dan maaf di atas segala salah silap dalam ucapan, juga dalam tingkah selama ini. Semoga ibadah puasa kita tahun ini lebih diberkati oleh-Nya. Amin.

30 Syaaban 1427


Pagi tadi saya menerima e-mel pertama daripada Claire (entri: Kembara Musim Luruh), dia bertemu pula seorang peniaga dari Mesir yang memberitahunya tentang Ramadhan, dan katanya dia cuba berpuasa yang mungkin boleh menurunkan berat badannya sedikit :). Tudung yang saya hadiahkan belum lagi dipakainya, hanya ditunjuk kepada keluarganya yang bertanya 'kamu akan memakainya?'. Dia hanya senyum katanya.

Salam.

Sunday, 10 September 2006

dia

Jika ada kelapangan, masihkah sudi bicara IM?

Itu katanya dalam e-mail yang saya terima pagi tadi. Betapa gembiranya saya, teramat gembira. Lantas segala rencana untuk petangnya saya batalkan. Maklum, sudah lapan bulan kami tidak bersua di IM.

dia umpama biduk berlalu mesra, mengocak lembut air di tasik hening. Berhenti seketika menabur haruman, merias sekuntum seroja, mencantum kelopak yang carek.

Ya, dia datang lagi petang tadi ...


Saya: ... saya juga berblog sekarang.

dia: "wah, satu perkembangan baru! pasti kamu juga dapat sedikit manfaat hasil berblog itu."

Saya: banyak

dia: "barangkali kamu juga merepek yang bukan-bukan dalam blog :)"

Saya: hehehe ... kadang tu macam budak-budak :D

dia: "yang dapat ais-krim :D"

Saya: alamak, malunya!

dia: "kenapa malu, asal berbatas...walau dewasa, sifat keanak-anakan tetap ada dalam diri kita, itu juga meriangkan...melapang fikiran"


Demikian sedikit imbasan sembang-sembang kami. Ya, kadang tu dia kelakar sekali!

Munculnya bagaikan kilat. Tibanya tidak bermusim, tiada ucap janji, tiada e-mail. Hatta saya tidak pernah menanti atau mengharap kehadirannya. Namun aneh sekali, dia datang pada waktu-waktu saya dibebani kemarau mata hati.

Saya cuma kenal dia di alam maya, muncul dalam e-mail beberapa tahun dulu mohon bicara lewat IM. Entah mengapa saya harus akur pada permintaannya itu.

Begitu anehnya dia, siapa dia saya tidak tahu. Saya cuma tahu dia baik sekali, cukup berhemah. Hanya melalui bicara IM dia banyak membantu saya mengenal diri, mengenal Tuhan, merapatkan jiwa saya pada Yang Esa.

Semoga Allah sentiasa melindungi dan merahmatinya, di mana jua dia berada. Amin.

Salam.

Thursday, 31 August 2006

Seperti Dulu

Kemerdekaan hanya bermakna apabila kita berani melafazkan yang benar itu adalah benar, dan yang salah itu tetap salah.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-49.



Warkah untuk loppiess...

Salam Loppiess,

Sihat walafiat dan baik-baik saja diri dan keluargamu hendaknya.

Sering saja saya ke teratakmu, mengutip kalam hati yang ditinggalkan. Apa gendala yang menghimpit sehingga ruang tamu dikatup walau pintu teratak luas terbuka? Saya kepingin sekali bersimpuh sejenak, melepas lelah, berbicara seadanya. Seperti dulu.


Bunga Rampai


Salam.

Monday, 28 August 2006

Chef Rampai

Semalam hari minggu yang amat panjang tanpa sebarang jadual, cumanya mahu menghabiskan bab-bab terakhir buku Our Ways oleh Ismail Husin. Lantas ke meja di mana buku itu terletak di atas beberapa helaian kertas berconteng entah apa-apa. Buku diambil, beberapa helai kertas tertarik sama dan jatuh ke lantai. Saya mengambil kertas-kertas itu. Sehelai kertas berlipat menarik perhatian saya, dan membuka lipatannya. Seribu seri senyuman saya menguntum di bibir apabila mata terpaut pada tulisan. Di sini rupanya kamu, bisik hati.

Ya, kertas itu tertulis resepi Bubur Asyura yang saya salin dari salah satu entri blog Bro Keng. Sudah dicuba sekali. Mahu cuba lagi. Kegemaran.

Pantas saja saya ke pasar raya membeli bahan-bahannya. Berkira-kira juga mahu masak lebih...untuk jiran kiri kanan.

Kemudian saya bersiap sedia untuk masak. Pakai apron. Teringat pula tentang topi chef, dan tiba-tiba teringat satu entri Bro Zizie Ali baru-baru ini tentang topi Mek Stoking: topi sesudu pusing belakang. Lantas memakai topi sesudu warna merah hati, dan ya...pusing belakang. Aduh, kepingin pula melihat gaya wajah di cermin, sama ada se iras Si Kerchak yang kacak itu.

yeaaahh ...

Si Kerchak memakai topi sesudu pusing belakang sedang memasak bubur Asyura!

... dan Our Ways saya baca sambil menikmati bubur Asyura lewat petang semalam.

Siapa lagi yang dapat mengindahkan kehidupan kita kalau bukan kita sendiri. Kehadiran teman-teman di sekeliling pastinya menambahkan lagi keindahan itu. Atas izin-Nya. Syukur jua.

Baca komen En. Pegawai Khalwat mengenai Si Kerchak dalam entri sebelum ini ;)

Salam.

Thursday, 24 August 2006

Kacakkah dia?

Selasa, 22 Ogos 2006

10 pagi...

Sementara menanti lampu hijau menyala, saya melabuh pandang nun ke seberang jalan. Di antara berbelas yang anggun gagah berdiri, ada seorang lelaki buta berumur 40an.

Lampu merah padam. Mereka di seberang sana bergegas melangkah pantas. Lelaki buta itu menyodok-nyodok tongkatnya di muka jalan. Tiada siapa peduli.

Tiba-tiba muncul seorang jejaka. Tampan lagi sasa perawakannya, berkaca mata. Rambut pendek berombak, kulit hitam manis. Kemeja lengan panjang berjalur biru putih, bertali leher biru tua. Dia memimpin lelaki buta itu, membantunya menyeberang jalan. Saya tercegat, terpempan sejenak. Tidak berganjak.

Tiba di tempat saya. Jejaka itu bertanya lembut penuh sopan sama ada lelaki itu perlukan bantuannya lagi. Lelaki buta itu mengucapkan terima kasih, dan jejaka itu berlalu pergi.

Sedetik hati saya terusik, ooohh...ada ombak di kalbu, bergelora seketika. Dia telah mencuri sekelumit hati saya. Dia kacak sekali. Segalanya tentang dia, kacak.

Walau itu tanggapan pada luarannya saja yang saya kira kurang saksama, dia bisa saja meriangkan saya. Sekurang-kurangnya saya tahu masih ada manusia yang punya rasa kasih, memahami dan menghormati insan lain.

Ini membuat dunia saya berbunga harum, walau seketika.


3 petang...

Saya, assalamualaikum, saya ... dan ... dan ...
Di hujung sana, where did u get my number? ... and ... and ... Mengherdik.

Sedetik hati saya terusik rasa terkejut, tersentak amat. Dia garang sekali. Segalanya tentang dia, bengis. Oh, pegawai itu lupa, pangkat dan nombornya ada tertera di laman maya kementeriannya: telus dan mesra rakyat.

Saya tidak tahu dia kacak atau tidak. Saya kira dia perasan dia kacak sekali. Itu tanggapan yang kurang adil, namun hakikatnya dia senang-senang saja telah menyedihkan sekeping hati.

Dan petang itu dunia saya berbalam seketika.

Mujur malamnya hujan renyai. Dingin.


Salam.

Sunday, 20 August 2006

Patah Tumbuh Hilang Berganti

Semalam, telefon berdering kala saya menonton dvd filem Hindi di rumah.

Ya, sudah hampir setahun tidak menonton filem Hindi. Juga sudah dua bulan mahu menonton cerita ini, Fanaa, namun ketandusan masa senggang sering saja membuat saya melupakan hasrat itu. Tapi semalam, masa paling santai, saya pujuk hati untuk tidak melayari alam maya atau membaca majalah. Ya, enak saja dimakan pujuk lantas mata terpaku pada layar tv. Betapa babak pertama cerita ini penuh dengan getar asyik ungkapan-ungkapan puitis indah membelai sanubari. Sukma bertebaran rasa seketika, ke awanan biru ...

Eh, ke situ pulak saya ...

Semalam, telefon berdering kala saya menonton dvd filem Hindi di rumah. Dalam longlai saya melihat nama yang terpampang. Mata saya terbeliak. Saya lantas lupa tentang filem Hindi yang sedang melagukan irama syahdu.

Apa tidak terkejutnya saya, sudah dua bulan dia hilang, atas kehendaknya jua. Selama itu saya akur dalam gundah, namun saya amat memahami perasaannya.

Ya, kawan saya yang putus tunang tempoh hari tiba-tiba muncul.

Assalamualaikum, suaranya lembut membalas salam saya. Saya terkesima, terasa ada kelainan pada nada suara itu. Kami pun bertukar berita dan bercerita. Walau sepasang mata saya memndang layar tv, hati dan benak setia meneroka suaranya yang tenggelam timbul dalam isakan kecil, dalam keluhan panjang pendek.

Jumpa di mana? Tanya saya apabila dia mohon untuk bertemu.

Saya masih minum kopi, tapi sejak kebelakangan ini hati saya tidak lagi begitu meminati kopi di Starbuck, jawabnya tegas.

Oh ... Saya terdiam seketika.

Baaannngg! Bunyi tembakan dalam cerita Hindi itu membuat saya terlupa untuk menganalisis pantas jawapannya itu. Oohh, si isteri menembak suaminya yang punya wajah bagai talam dua muka, umpama gergaji dua mata ... si isteri seorang patriot, si suami pembelot. Begitukah? Entah. Saya perlu menonton semula babak kedua cerita ini, entah bila.

Kemudian layar tv memmaparkan perkataan The End.

Teh tarik di rumah saya, katanya ringkas lalu memberi salam.

Saya bersandar di sofa sambil memejam mata, dan cuba membawa paksi fikir merenung kembali perbualan sebentar tadi, mengimbas ujarannya: saya percaya kata-kata kamu dulu ... patahku 'kan tumbuh kembali dan hilangnya 'kan berganti lagi ... dalam sendirian kutemui jalan-Nya.

Lewat petang tadi kami minum teh berkuihkan lempeng pisang.

Alhamdulillah.

Salam.

Friday, 11 August 2006

Warna Hati

Rabu 26 Julai 2006.

tiga jam resah menanti
tibalah detik yang dinanti
dialah yang kami nanti-nanti
setiap atur langkahnya diamati
dag dig dug dag getar debar di hati
mata dijegil tidak berkelip memerhati
kami yakin diri lalu dia kami dekat-dekati
tangan dihulur mesra harap kami dirapat-rapati
dia dan dia itu jalannya gedek-gedek bagai merpati
wajah serius kumat-kamit mulut entah apa-apalah erti
dia dan dia terusan berjalan ke hadapan tanpa memerhati
tidak menoleh tanpa jelingan manja tiada senyuman dari hati
bagaikan kami pepohon tua yang tersisih tiada nyawa sudah mati.

Ya, itu sajak terbit dari hati
yang retak seribu tapi masih bernafas belum mati,
dan Engkau menjadi saksi, pasti.


Kasihan anak-anak saya. Aqilah, Idah, Kaven, Liam, Nasrul, Nathan,Thila. Seminggu lamanya melakar rasa, mencalit rona-rona jiwa, lalu tercipta lukisan tentang kebebasan yang indah di atas kanvas putih.

Bukan calang-calang guru yang mengajar: seorang pelukis terkenal punya nama, ada harga. Lantas anak-anak saya bisa saja bermain warna di atas kanvas putih: Haa ... calitkan begini, tarik ke atas, lembutkan jari-jarimu, sini kosong ... isikan, sana cair ... pekatkan. Demikian tunjuk ajar guru.

Bagaikan manok seronok bertelur sebiji riuh sekampung, gamatlah mereka berujar kepada saya: saya pandai melukis! Waaaahhh, lukisan ini bakal dipamer di sebuah majlis gilang gemilang, dan bakal ditatap oleh Tok Menteri yang kami kagumi! Bangga. Harapan menggunung.

Kasihan anak-anak saya yang hanya punya ampaian hati sejernih kanvas putih yang belum dinoda, yang kepingin diusap sayang dengan warna pelangi oleh tangan-tangan dewasa yang kuat lagi waja. Namun hari itu jiwa mereka terus lompang. Mereka kecewa sekali.

dia itu ialah Tok Menteri yang telah melukai hati mereka. Sampainya hati.

Aduhai ...

Salam.

Sunday, 16 July 2006

Ruang Waktu

Tadi, titis-titis air dari langit turun lagi. Tika ini masih lagi menitis. Syukur.

Namun andai ada bintang-bintang kala ini memerhati dalam kelam malam yang hampir subuh, mungkin mereka senyum perli dan berbisik sama sendiri Si Bunga Rampai itu memikirkan apa ya?

Hai bintang-bintang, saya sedang memikirkan tentang perjalanan waktu. Waktu datang dan waktu pergi dan ruang waktu antara dua waktu itu.

Titis-titis air yang menitis itu saya tadah untuk menyeri teratak sepi ini, lantas bisa saja teratak ini berubah wajah. Walau rona merah jambu itu amat intim di jiwa, susunan perabut sering saja meresahkan. Berkorban jua untuk sebuah ketenangan rasa. Wajah baru ini dengan atur susun perabut yang kemas amat menyenangkan, mendamaikan, menenangkan. Alhamdulillah.

Sebenarnya bukan mudah merubah sesuatu apa lagi dalam ruang waktu yang kita sendiri tidak tahu panjang pendeknya. Daripada memikirkan apakah yang bakal berlaku pada masa mendatang walhal itu semua urusan Tuhan, lebih baik utuhkan diri untuk menghadapi kemungkinan. Berubah ke arah kebaikan. Namun sesuatu yang diubah itu menagih pengorbanan diiringi rasa tangggungjawab dan rasa kasih yang tinggi sebagai hambaNya dan sebagai khalifahNya. Saya kira tanpa rasa tanggungjawab ini keindahan perubahan itu tidak dapat dikecapi sepenuhnya.

Dalam dingin titis-titis air yang turun dari langit, sebentar lagi sinar suria akan merangkak keluar dari kelambu malam. Memanaskan siang, menghangatkan sebuah kembara.

Mengembara lagi. Tidak sabar rasanya meninggalkan hutan konkrit ini menuju perkampungan menghijau. Bersama para petani bersama para pekebun, bersama ternakan mereka. Akan merentas hutan, denai kan dijejaki. Tentunya rendang pepohon menyegarkan, kicau burung menghiburkan, warna-warni bunga-bungaan liar meriang rasa, dingin air sungai melega mata meredup sukma ...

Saya kira tanpa petani dan pekebun, manusia bisa saja kebuluran tanpa makanan. Mereka sebenarnya penghibur yang meriangkan manusia dengan membekalkan pelbagai jenis makanan untuk keperluan hidup, dan berlipat gandalah keriangan manusia andai makanan itu datangnya dari hasil pertanian yang bersih dan sihat.

Hasil pertanian yang bersih dan sihat punya berkat yang tinggi. Kesannya kepada manusia amatlah besar dalam ruang waktu kala ini yang mempamerkan para penghuni bumi lebih berperanan mirip haiwan daripada manusia. Dengan izinNya, makanan yang berkat dapat membantu manusia kembali kepada fitrahnya sebagai hambaNya juga berperanan sebagai khalifahNya.

Dari langit yang masih kelam, titis-titis air terus membasahi bumi, moga mengiringi satu kembara yang tidak sepi dalam ruang waktu yang amat sepi.

Salam.

Tuesday, 4 July 2006

Senyum

Ada pelbagai jenis senyum ...

Senyum manis...Senyum pahit...Senyum simpul...Senyum lawa...Senyum kambing ...

Tengahari Sabtu 01 Julai. Tiba di platform menunggu KL Sentral. Ah, saya terlepas tren ke klcc (oohh, klcc lagi...apakan daya, tuntutan kerja). Lantas memarahi diri, siapa suruh jalan berlenggang tadi, kan sekarang dah 6 minit lewat?

Empat minit kemudian seorang wanita dalam lingkungan lima puluhan yang berperawakan sederhana berpakaian a-la Punjabi warna hijau pucuk pisang datang berdiri di sebelah saya. Dia tersenyum memandang saya. Wajahnya bercahaya bak purnama penuh, berseri-seri sekali ketika memberi seulas senyuman itu. Saya terpegun melihat kejernihan rona wajahnya ketika dia tersenyum. Saya membalas senyumannya.

Dia kemudian mengucap salam dalam nada lembut yang keluar antara dua bibir merah jambu yang menguntum senyum. Terasa semerbak harum di pelantar hati saya mendengar suara lunak itu. Saya membalas salamnya.

Tren tiba dan dia minta permisi untuk pergi. Mata saya mengikuti susun langkahnya yang tertib. Dia masuk ke dalam tren. Saya masih tercegat. Dan terlepas tren sekali lagi. Kali ini saya tidak memarahi diri walau saya tahu saya kini lewat 12 minit untuk janji temu.

Telefon bimbit berdering, maaf saya lambat 15 minit, tunggu ya. Itu ujaran di hujung sana. Saya senyum lega.

Wanita itu.Dia seorang yang asing bagi saya, namun salam dan senyumannya membuat saya gembira. Kehadirannya membuat saya lupa pada kepedihan benak memikirkan kesibukan kerenah manusia di klcc. Juga menghilang gusar hati kerana lewat menunaikan sebuah janji temu.

Jenis apa ya senyuman yang begitu?

Tika ini saya teringat pada Tipah Lawa, cuba membayangkan bagaimana agaknya rupa senyumannya.

Salam.

Thursday, 29 June 2006

Manusia Cuma Merencana

Perjalanan ...

Sabtu 17 Jun. Tengahari.
Saya membujuk hati lantas bertolak ke utara. Jemputan seorang teman yang sudah berkali-kali meminta saya untuk bertemunya tidak boleh saya abaikan kerana pertemuan kami juga ada kaitan dengan urusan kerja.

Umpannya: "Jangan risau, aku belanja nasi kandar yang original."

Umpan saya: "Alang-alang menyeluk pekasam ... berada di Tanjung, malam nanti temani saya nonton teater."

"Apa? Teater?" Dia mendengus. Saya ketawa.
Dia berdarah saintis yang tidak berseni. Itu kata dia, bukan saya.

Maka saya pun membuat rencana begini:

Tiba P. Pinang - ke rumah teman.
Malam - menonton teater En. Peg Khalwat
Ahad - makan nasi kandar. Pulang KL.


Namun hasrat saya tidak kesampaian. Tiba di Ipoh, kala saya enak-enak minum teh limau, saya menerima panggilan dari kawan karib saya: "Saya perlukan awak masa ini juga kerana ... " Dia sebak sekali.

Saya kecewa, namun harus menemuinya. Kami bagaikan isi dengan kuku walaupun dia suka minum kopi di Starbuck.


Al-kisah ...

Sebenarnya sudah tiga bulan kami berbicara hal ini. Ceritanya begini ... tarikh perkahwinannya sudah ditetapkan pada bulan Ogos ini dan segala persiapan berjalan rancak. Pada suatu hari minggu bulan Mei, tunangnya tiba-tiba jatuh sakit pening, loya dan demam, kemudian tidak sedarkan diri. Dia dikejarkan ke hospital. Ujian demi ujian dilakukan. Dia menghidapi barah kolon. Doktor kata dia hanya punya masa enam bulan untuk hidup.

Ayah dan ibunya mahu putuskan pertunangan. Kawan saya enggan. Keluarga pihak lelaki juga enggan.


Dia ...

Mata bundarnya layu selayu kelopak seroja di tasik kering. Ada cahaya luka yang terbit dari hati yang punah. Kolam matanya berkaca-kaca. Dia menunduk. Setitis demi setitis air matanya jatuh membasahi riba. Saya membungkam. Melihat itu, saya tahu apa yang bakal disampaikan kepada saya.

"Setelah berfikir panjang, saya menurut kehendak emak dan ayah. Kami putus tunang."
Dan dia menangis semahu-mahunya. Saya hanya mampu mendakapnya. Bahu saya dibasahi air mata lara serorang gadis yang patah hati.


Matahati bermukim seketika...

Sesungguhnya salah satu perkara yang paling sukar dilakukan dalam kehidupan ini ialah membuat keputusan. Kita ada pilihan sama ada menerima, menolak atau abaikan saja. Dan keputusan yang diambil sering saja melukakan hati orang lain juga melukakan diri sendiri.

Manusia hanya bisa merencana, Tuhan yang menentukan kesudahan rencana itu.

Redha jua.

Salam.

Friday, 16 June 2006

Dua Dunia

Sudah beberapa hari mahu menulis sebenarnya. Kepingin melakar sesuatu. Bercerita tentang kembara saya di sebuah kawasan pedalaman minggu lepas, namun hati agak berat untuk meluah rasa. Mengapa? Kerana KLCC! Alahai...dan pening bertandang lagi, kali ini lebih hebat paluannya hingga berasa loya, dan ya, sudah beberapa hari saya bingung. Jadi, apa yang membuat saya tiba-tiba mahu menulis? Jawabnya lagu Kian yang pertama kali saya dengar berkumandang di corong radio kereta lewat pagi semalam. Saya bukan peminat penyanyinya yang bernama Mawi. Lagu itu juga tidak ada keanehan pada susunan muziknya, biasa saja, tapi senikatanya amat memberangsangkan. Walau mendayu-dayu tentang cinta pada kekasihnya...lagu ini juga mengingatkan Sang Kekasih tentang dunia sementara ini. Lantas hati saya berkata alangkah bertuahnya seorang perempuan punya kekasih seperti itu!

Heh, membebel apa ini? Saya bingung sebenarnya.

Saya memang suka pada kawasan pedalaman. Air sungainya yang dingin, suara unggas nan merdu, flora dan fauna dalam hutan menghijau, bukit bukau yang bisa saja saya terokai. Dan saya suka berbual-bual dengan penduduknya. Kunjungan saya kali ini banyak dihabiskan berbicara serius dalam santai bersama anak-anak muda yang berdarah muda. Tentang pendidikan, tentang masa depan, tentang penghijrahan ke kota, tentang perniagaan, tentang social entreprise, dan tentang bola dunia semestinya. Enak, namun apa yang meracau minda saya ialah apabila ramainya gadis-gadis berimpian mahu menjadi bintang apa juga program realiti tv. Kata mereka, memang hebat jika jadi popular idola ramai dan dunia selebriti menjanjikan satu kehidupan mewah!

Eh, membebel lagi. Ya, sememangnya begitu kerana saya menulis mengikut aliran arus benak yang tidak ditapis, merencana bersandarkan suara hati. Duh!

Saya pulang dari pedalaman lantas ke KLCC. Kalau bukan kerana urusan kerja, saya tidak ke sini. Melihat orang ramai yang berpusu-pusu, melihat pusat-pusat yang terdedah, dan, dan, ... alahai, betapa tidak indahnya sebuah pemandangan yang bisa saja buat mata saya berpinar-pinar, kepala pusing, tekak loya. Mujur tidak muntah!

Ooohh!
Alam nyata yang semakin nyata dengan pelbagai cerita songsang.

Mujur ada taman blogging di alam maya. Walau tidak berwajah, suara-suara yang pelbagai gaya dalam lenggok bahasa yang kadang-kadang sukar dimengerti bisa saja menggembirakan hati yang lara, melerai keliru di benak.

Dalam dunia ada dunia lain.
Huh!

Dan hujung minggu kembali lagi, entah ke mana kali ini. Belum berencana ke mana, namun ada dua pilihan hati. Pertama, kepingin juga melihat neraka di sebuah pulau, atau di rumah saja menghayati alunan madah Sang Pencinta.

Aahh, dua pilihan yang menerjah benak, ke mana ya?


Salam.

Sunday, 4 June 2006

The 100

The 100 - A Ranking Of The Most Influential Persons In History


Penulis buku ini, Michael H. Hart telah meletakkan Nabi Muhammad S.A.W. di tempat yang paling atas, dengan kata-kata awalnya berbunyi:


My choice of Muhammad to lead the list of the world's most influential persons may surprise some readers and may be questioned by others, but he was the only man in history who was supremely successful on both the religious and secular levels.

Of humble origins, Muhammad founded and promulgated one of the world's great religions, and became an effective political leader. Today, thirteen centuries after his death, his influence is still powerful and pervasive.

The majority of the persons in this book had the advantage of being born and raised in centers of civilization, highly cultured or politically pivotal nations. Muhammad, however, was born in the year 570, in the city of Mecca, in southern Arabia, at that time a backward area of the world, far from the centers of trade, art, and learning.



Salam.

Thursday, 1 June 2006

Pening !

Alahai.

Dari semalam pening.

Masih pening.

Alahai.

Saturday, 27 May 2006

Fikir

Lama benar tidak bersama mereka, ya sudah lama. Rindu yang menyapa sukma membawa saya kembali ke pangkuan teman-teman lama itu. Lantas lewat tengahari semalam bisa saja bersantai bersama mereka. Sembang, baca, cerita, dan urut. Ya, enaknya diurut oleh tukang urut yang punya sepasang mata yang sedikit pun tidak dapat melihat cahaya.

Lalu berfikir...

Tuhan itu Maha Mengetahui Maha Adil. Betapa setiap kita diberi kelebihan dan kekuatan yang istimewa, dan andai diguna pada jalan yang betul, atas izin-Nya, akan menggembirakan hati orang lain. Semoga kehidupan teman-teman saya itu sentiasa diberi kesejahteraan oleh-Nya. Amin.

Kala sepi begini juga enak saja benak menerawang jauh lantas berfikir lagi...

Kami Juga Mempercayai Ibrahim a.s nukilan Bro Keng ini bersemadi di kalbu yang hebat menghambat perasaan sebenarnya, membuat diri sering menongkat dagu dalam silau sinar mentari, dalam kilau cahaya rembulan. Hingga kini. Entah kenapa. Mencari jawapan tapi tiada yang datang. Menjengah cuma rasa tahu bahawa nukilan itu telah merubah sesuatu.

Fikir itu dan ini, terungkap jua kalam hati ...

kurenung mega biru
ada goresan kelabu
sepoi bayu menderu
mendesah di kalbu.

kutenung mega kelabu
ada hitam memaku
sedar diri diulit debu
kerdilnya aku.

kusantap madah berlalu
ada irama berlagu
gemersik mendamai pilu
meminggir ragu.

Entah apa-apa sebenarnya himpunan kata-kata itu yang datang menari-nari di ruang benak tika titis-titis air dari langit membasahi bumi. Atas izin-Nya jua, lalu saya gubah kata-kata itu menjadi satu kalungan rasa berlapikkan kasih Illahi, sejujurnya untuk Bro Keng.

Salam.

Sunday, 14 May 2006

Macam-Macam Bola

Kenangan...

Masa kecil-kecil dulu sekitar usia 9 tahun saya suka main bola sepak. Kiranya saya seorang saja pemain perempuan dalam kumpulan lelaki. Jadi penyerang hadapan. Tangkas. Kubu lawan selalu pecah dek serangan saya. Saya digeruni.Teman-teman sepasukan usia mereka juga sekitar 8 - 9 tahun. Sekali sekala ada remaja yang mahu masuk campur tapi kami larang. Pasukan saya selalu menang, kalah cuma sekali dua, itu pun kalau saya tidak turun padang kerana mama saya marah. Katanya tidak manis budak perempuan main bola. Tapi saya tanya bapa, apa yang lebih baik, main bola atau panjat pokok dan terjun dari pokok. Bapa kata kedua-duanya sukan, baik untuk kesihatan dan ketangkasan fizikal. Saya teruskan hobi main bola sepak, dan mama sering saja cari alasan menyuruh saya buat itu dan ini supaya saya tidak turun padang.

Kala remaja saya main bola lagi. Kali ini bola jaring, bola hoki, bola keranjang. Teringin mahu main bola sepak, tapi malu. Maklum, kelembutan sudah terrserlah. Bola jaring dan hoki paling saya suka. Bersukan sepenuh hati, kalau kalah menangis separuh mati. Selalu mahu menang. Memang selalu menang, lantas jadi wakil untuk sukan itu dan ini.

Kini...

Sekarang kononnya mahu main bola golf. Kononnya. Jadi sebelum beli kayu-kayunya saya risik-risik dulu seronok atau tidak main golf ini. Saya pinjam kayu kawan dan cuba-cuba pukul. Kemudian ikut kawan jadi kulinya keliling padang hijau 18 lubang.

Saya ambil keputusan tidak mahu bergolf. Buang duit, buang masa, tidak buang tenaga. Saya tanya kawan saya, sukan golf itu sukankah? Jawabnya...entahlah!

Saya masih bersukan, sekadar senamrobik yang kadang-kadang guna juga bola besar berwarna-warni.

Walau tidak lagi main bola sepak, saya tetap peminat bola. Tapi saya tidak meminati David Beckham juga tidak minat pada pasukan England. Kalah menang, saya tetap sokong Brazil. Saya minat pada tarian samba Brazil di atas padang.

Eh, teman bloggers peminat bola...sudah bersedia untuk WC2006?
Siapa bakal hero, siapa bakal juara?

Cuma satu, saya tidak berjudi bola.

Salam.

Wednesday, 3 May 2006

Hari Ini

Apabila usia menjulang tinggi mencecah bintang-bintang, jangan lupa tunduk seketika untuk meninjau nun di bawah sana. Dan senyum dari hati semanis mungkin.

Peringatan untuk diri sendiri sebenarnya pada hari ini. Hari ini dalam sejarah.

Hari ini juga 03 Mei adalah World Press Freedom Day. Kebebasan jika disalahguna pasti merosakkan. Segala tindak-tanduk perlu ada garis pemisah antara yang baik dengan yang tidak baik. Maka setiap kita perlu punya daya saring dan daya tangkis yang kuat agar dapat menepis segala unsur negatif yang menceroboh minda.

Itu yang saya fikir hari ini.

Hari ini walau santai, sisa-sisa kecewa masih ada kerana hari Isnin lalu hajat ke Parit tidak kesampaian kerana teman saya yang suka minum kopi itu mahu bincang hal-hal perniagaan dengan rakan kongsinya di Coffee Bean.

Eh, tiba-tiba terfikir di ruang benak saya ... apa peristiwa menarik yang berlaku kepada teman bloggers yang lain pada hari ini ??

Salam.

Thursday, 20 April 2006

Kekasih Pertama

Subuh tadi cuaca agak dingin kerana hujan lebat, namun dingin itu tidaklah sedingin petiais, tidak juga bisa memujuk hati untuk mengutip semula mimpi yang tiada akhirannya. Lantas bangun menguak jendela, mencari warna blackpurple di dada langit. Cuma rona hitam yang ada. Bila hujan begitu saya teringatkan KakSya, pasti tanam-tanaman di laman rumahnya menyambut riang air hujan itu. Sejurus saya terkenangkan Has (doa saya moga dia dalam sejahtera.Amin). Entah kenapa tiba-tiba hati saya membisikkan nama Mc_Kay yang sudah lama saya tidak jengah. Ya, saya perlu lebih rajin lagi menghulur salam untuk jiran-jiran saya, namun kadang masa senggang itu terlalu sempit membuatkan saya malas. Malas sekali sebagaimana yang saya ujar kepada Sayuti kelmarin. Bila malas-malas begitu, semerdu mana irama gitartong pun telinga saya kata nadanya sumbang sekali.

Subuh tadi juga wajah mama dan bapa bersimpuh di relung hati. Rindu menyapa kala hujan renyai, dan JiwaRasa membelai satu per satu permata yang kilaunya tidak pernah pudar di pelupuk mata.

Sejak kecil lagi bapa sering berkata jadikanlah buku itu teman sejati kamu. Maka kala awal remaja buku menjadi kekasih saya yang pertama. Saya dan buku menyulam cinta, setia padanya. Buku-buku saya kira punya kuasa melakar dan mewarna hidup di kanvas putih. Tulisan-tulisan Hamka menyentuh rohani bermukim di hati. Cerita-cerita Enid Blyton merangsang rasa ghairah untuk mengembara mencari nilai diri, mengintai budaya dan tradisi orang lain, menghargai kehidupan, mengagumi Pencipta alam semesta.

Hari ini sebenarnya saya mahu ke seminar pencinta buku, namun satu kekeliruan telah berlaku maka saya tetap saja di sini mengetuk-ngetuk kekunci memandang skrin komputer. Aduh!

Besok mahu ke gedung buku.

Namun saya tahu bila berada di gedung buku, saya sering saja susah hati melihat hidangan buku-buku yang disajikan untuk khalayak terutama remaja. Banyak yang entah apa-apa buku-buku itu, apa lagi majallah-majallah hiburan. Alahai ...

Saat ini mentari mula menguntum senyum, dan titis-titis air yang saya tadah penuh setempayan. Bisa saja saya sedekahkan bila bertandang ke teratak jiran-jiran.

Tidak malas. Tidak sepi. Tidak mencari Pak Malau.
Tenang dan damai di kejauhan rasa.
Alhamdulillah.

Thursday, 13 April 2006

Pelarian

Teratak saya ini memang sepi, namun saya kira sepi lagi kehidupan orang-orang yang bermukim di khemah itu, di tengah hutan di atas bukit nun di sempadan negara yang tidak pernah dijajahi dan negara yang punya seorang serikandi yang tidak habis-habis berjuang menuntut demokrasi.

Malam-malam mereka hanya disuluhi kerlipan bintang atau cahaya rembulan, itu pun jika bintang dan bulan itu tidak malas memberikan senyuman kepada mereka. Sayup-sayup petikan gitar si anak muda hanya menambahkan hiba sang pendengar. Tangisan bayi dan anak-anak kecil menyiat-nyiat nubari sang ibu.

Siang mereka juga gelap sebenarnya. Menumpang di tanah jiran satu laluan menuju kebebasan ujar mereka. Entah sampai bila. Kami lebih rela di sini daripada ditindas kata mereka lagi. Lebih baik makan nasi berlaukkan air liur setiap hari daripada makan peluru keganasan di tanah air sendiri.

Anak-anak muda berkobar-kobar belajar. Kasihan mereka bersekolah di sebuah pondok yang tidak menjanjikan apa-apa untuk masa mendatang kecuali jiwa yang memberontak mahukan sebidang tanah yang boleh dinamakan tanah airku, di mana saja di atas muka bumi ini.

Ya, berada di tengah-tengah kehidupan yang amat sengsara itu adalah satu kembara yang menyakitkan namun punya kesan mendalam yang amat seni sukar diterjemahkan dalam bentuk ungkapan.

Dia Maha Mengetahui.

Tuesday, 4 April 2006

Mereka Yang Begitu

Rian - mulutnya senget ke kanan, tangan kanannya bengkok sentiasa rapat ke dada, belakangnya bongkok, jalannya terhinjut-hinjut, cakapnya sukar difahami. Dia dilahirkan begitu. Kesan bisa ular yang mematuk ibunya ketika mengandung lima bulan.

Siva - menggunakan kereta beroda. Dia lahir lengkap fizikal, aktif, ahli sukan. Ketika berumur 15 tahun dia jatuh dari pokok. Sejak itu dia lumpuh dari pinggang ke kaki.

Demikian saya kisahkan kepada kawan saya yang asyik-asyik saja bertanya ke mana kembara saya petang semalam. Kawan saya ketawa berdekah-dekah. Ujarnya kenapa saya harus menyusahkan diri hingga menjejaki mereka itu yang begitu?

Ya, yang begitu itu bagi saya biasa saja kerana mereka itu sebahagian daripada kita, kehidupan kita. Punya rasa, punya jiwa yang minta dibelai kasih. Simpati harus diulit empati maka barulah kita boleh merasa apa yang mereka rasa.

Kawan saya ketawa lagi. Buang masa saja katanya. Lebih enak minum kopi di Starbuck.

Itu dia. Saya tidak minum kopi.

Air saya cuma titis-titis air dari langit. Saya tidak tahu apakah kehidupan saya masa mendatang. Rian dan Siva mengingatkan saya bahawa jalan pulang ke pangkuan-Nya semakin hampir.

Sepi.

Friday, 24 March 2006

Sepi

retakkah bulan kaburkah bintang
kala setia di pelabuhan
mana madah kupujuk datang
suram hati rindu-rinduan.

madah merapat kuhajat jua
akur menunggu syair berlagu
punah hati tiada bersua
lima purnama menongkat dagu.

kutatang kasih berhias luka
penawar tiada rindu bertakhta
luka berparut cinta berduka
berbalas setia si air mata.



Alahai Pak Malau,
titipkan madah nasihatmu di angin lalu bakal kusantap bersama titis-titis air dari langit, pelerai resah peredup rasa.

Salam.

Saturday, 4 March 2006

Orang Asal

Lama benar tidak bersiar-siar di alam maya. Hati terusik jua dengan rindu yang sering menyapa ingin bertemu madah. Pastinya selama tiada, teratak jiran-jiran saya sarat dengan kisah-kisah menarik yang mencuit rasa. Pasti juga saya akan sesak nafas atau sakit perut apabila membaca nanti.

Kembara saya beberapa hari yang lepas sebenarnya sekadar mahu merasa kehidupan orang-orang asal nun di sebuah perkampungan yang kini dipagari oleh serba serbi kemajuan yang tidak henti-henti membisingi kehidupan mereka.

Saya sering menganggap orang-orang asal masih lagi mempertahankan gaya hidup nenek moyang mereka, namun tanggapan ini meleset sama sekali. Berada bersama-sama mereka membuatkan benak saya jenuh berfikir adakah mereka yang ketinggalan zaman atau kitakah yang celik IT ini yang terpinggir daripada kehidupan mereka.

Pastinya melihat dari aspek fizikal, saya kira mereka sama taraf dengan orang bandar - punya rumah batu beratap genting, ada air paip, ada letrik, punya kereta, motorsikal. Cumanya kelebihan mereka ialah masih lagi hidup bermasyarakat yang dibuktikan oleh ketiadaan pagar yang memagari rumah mereka, membolehkan mereka saling berkunjung tanpa sempadan.

Cara hidup yang cuba dipertahankan oleh mereka kini hanyut dibawa arus kemajuan yang sukar dilawan, termasuk juga hasil kerja tangan yang semakin pupus tidak diberi perhatian. Apa yang tinggal cumalah adat resam yang hanya diutamakan dalam beberapa upacara tertentu.

Saya kira, kini mereka hanya mampu mempertahankan tanah pusaka tinggalan nenek moyang mereka daripada dirampas oleh pembangunan dengan bersuara nyaring menuntut hak.

Boleh saja saya katakan biarlah mereka itu, pandai-pandailah mereka menjaga diri dan menuntut hak mereka. Namun, di kejauhan rasa saya tidak sanggup melihat yang satu ini ... adakah hanya kerana berlainan agama maka mereka berpecah belah, sering berlaku syak wasangka sesama sendiri?

Maka benak saya sampai saat ini sering saja pening-pening mencari jawapan siapakah agaknya pendakwah Islam yang berkhutbah kepada orang-orang asal ini yang mengatakan bahawa orang Islam tidak boleh bergaul dengan orang bukan Islam, tidak boleh buat kawan, tidak boleh bertandang ke rumah. Astaghfirullah al'azim.

Enaknya dapat bermadah di sini, dan rindu terlerai jua :)

Wednesday, 15 February 2006

Seri Purnama

Merenung seri purnama yang kusam bisa saja menarik benak mengimbau rentetan kenangan silam. Kisah luka dan rawan yang berpanjangan. Melihat anak yang duka nestapa, bapa sering saja bertanya itu dan ini. Apa lagi yang boleh saya lakukan selain melayan rasa perit yang sukar dirawat tiada penawar? Saya tanya bapa.

Pergolakan hidup kata bapa punya dua sifat iaitu sama ada ujian kesusahan atau ujian nikmat, dan hati perlu menerima dengan baik. Sabar kala ditimpa susah, syukur kala diberi nikmat.

Payah sekali untuk bersabar bapa, lebih enak untuk merasa syukur. Keluh saya.

Sungguh kata bapa. Sekali imbas bersabar itu lebih payah dilakukan kerana hati manusia terpaksa melalui tekanan dan penderitaan. Bila naluri dan fikiran terganggu maka kebahagiaan akan hilang. Sekali imbas juga, jelas sekali bersyukur lebih mudah dilakukan kerana hati tiada tekanan, tiada penderitaan. Hati itu tenang dan gembira. Ada bahagia di hati itu.

Benarlah bapa, bersyukur itu tidak sesukar bersabar.

Bukan seenteng itu wahai anak. Tegas bapa.

Bersyukur ada tahap-tahapnya. Ada yang bersyukur dengan ucapan lidahnya sahaja. Ada yang bersyukur membawa hatinya kepada Tuhan bahawa Dialah memberi nikmat dan menjauhi penderitaan. Tahap paling tinggi ialah yang diucap oleh lidah, apa yang dirasa ditasdiqkan dalam hati lalu dilaksanakan dengan perbuatan. Nikmat yang diberi diurus dan digunakan ke jalan yang benar. Jika kaya atau berilmu, gunakan kenikmatan itu untuk membantu insan yang memerlukan, untuk kemasalahatan masyarakat dan umat manusia sejagat. Sesungguhnya kata bapa, dalam bersyukur itu ada tujuan, ada tanggungjawab. Dalam bersabar kita hanya perlu menjaga dan mendidik hati kita supaya dapat menerima ketentuanNya dan berbaik sangka denganNya. Dalam apa jua keadaan kata bapa, bersabar dan bersyukur adalah sifat taqwa di sisi Allah.

Hingga kini, apabila merenung seri purnama yang kusam, ada saja kemilau cahaya bintang berkerlipan mengindahkan suasana. Di tasik ada seroja putih terapung teguh dan melambai mesra dipuput manja bayu malam.

Monday, 6 February 2006

Yeop, ayuh ronda!

Salam kenal Yeop, salam sahabat di alam maya.

Hari itu saya ronda-ronda lalu melepas pandang pada motor Yeop. Saya suka apa yang saya lihat. Motor itu menjentik benak untuk mengimbau dua peristiwa.

Pertama, ketika usia baru mencecah 10 tahun, saya belajar mengayuh basikal. Basikal bapa saya. Basikal yang baru dibeli itu menjadi teman karib saya. Selepas tiga hari, saya adalah kanak-kanak perempuan pertama di kampung saya yang pandai mengayuh basikal. Tentunya saya bangga.

Kedua, kala remaja saya belajar menunggang motorsikal. Okey juga Yeop, boleh tahan. Pada hari ketiga saya dan motor sama-sama mendarat dalam longkang. Syukur motor kawan saya okey, tapi kaki saya terseliuh. Betapa sakitnya kaki itu, saya tempang selama 2 minggu. Saya tetap bangga walaupun selepas itu kawan saya tidak membenarkan saya menyentuh motornya, jadi penumpang pun tidak boleh! Syukur seorang kawan lain kasihankan saya lantas meminjamkan motornya. Selepas satu minggu saya menjadi perempuan pertama di kalangan kawan rapat yang pandai bawa motor. Pastinya saya bangga.

Saya kira dalam kehidupan ini kita perlu berani untuk mencuba. Setiap percubaan ada bahayanya, namun saya kira keberanian dapat membantu kita menilai sejauh mana kekuatan dan kelemahan diri. Keberanian juga membuka ruang untuk memantapkan diri.

Entah apa-apa sebenarnya saya ini Yeop. Jangan kaget kerana saya suka sekali kepada perlumbaan motorsikal. Saya minat Paulo Rossi. Saya juga minat perlumbaan F1, dan McLaren team saya. Nah Yeop, kawan-kawan kata saya sewel kerana saban perlumbaan saya akan tercegat di hadapan tv (kesian saya tidak punya wang untuk melihat aksi langsung di litar perlumbaan). Biarlah mereka itu! Bagi saya apa yang saya lihat itu mengingatkan saya kepada keagungan Tuhan yang telah mencipta akal manusia. Itu semua juga mengingatkan apakah sumbangan saya kepada-Nya dan manusia lainnya.

Jadi Yeop, naiklah motor itu sebaik mungkin. Bawa ia ronda-ronda melihat saujana alam. Jauh perjalanan luas pengalaman orang kata. Dan Yeop, bila ada titis-titis air dari langit jatuh ke tanah, berhenti seketika ya. Tadah titis-titis air itu, bawalah ke sini bila-bila bertandang untuk saya buat hidangan. Pelepas dahaga.

Doa saya moga ronda-rondamu sentiasa mendapat lindungan-Nya. Amin.

p/s
Selamat semuanya ya. Pasti rindu menjamah sukma selama tidak bersua madah. Bila kembali tanggal 10 Muharram, moga dapat khabar gembira dari Keng - party bubur 'Asyura' di Masjid Kg. Baru.

Wassalam.

Thursday, 2 February 2006

Kenal Diri

Saya bersiar-siar di blog loppiess beberapa hari lalu. Saya menghayati kisah Siti, Tiff, Anand, dan Syahwal. Cerpen itu menyentak kalbu lantas titis-titis air membasahi riba. Payah sekali menyeka lelehan air mata itu. Terima kasih loppiess kerana membuat saya menongkat dagu ketika rembulan berwajah pilu.

Saya sering saja susah hati sebenarnya, melihat itu dan ini, membaca ini dan itu. Banyaknya manusia yang tidak berhati perut, entah ke mana dilontar otak kepala mereka, walhal jika ditatap latar pendidikan, ketampanan dan keayuan empunya diri ... aduh, hebat sekali! Maka jangka saya mereka ini tergolong orang-orang yang bijak bistari.

Menghayati berkali-kali 'Iman dan Akal' di teratak comel Keng membuat saya terpanggil untuk menghulur madah, mahu saya kaitkan dengan pandangan saya. Namun saya kira, celoteh saya agak panjang, jadi saya bebelkan saja di sini.

*Alahai* Begitu ramai penerima anugerah dari menara gading yang dicop sah "kamu telah lulus ujian maka kamu dianugerahkan gelaran doktor falsafah." Namun di kejauhan rasa, saya kaget jua, banyak benar yang saya temui setelah merangkul dengan gah PhD itu, mereka tiba-tiba saja dijangkiti penyakit Perasaan hasad Dengki yang bisa saja menular menjadi barah yang bernama Permanent head Damage!

Nah, aneh ya ... bermacam-macam perkara besar, panjang, dan lebar lagi tinggi dan susah telah dikesan dan dikenali oleh manusia, bermacam ilmu juga telah dapat diterokai, tapi sedikit benaaaaaaaar manusia kenal dirinya sendiri.

Hemat saya, keupayaan akal itu berfikir banyak bergantung kepada tingkat ilmu. Lagi tinggi ilmu lagi mahirlah akal itu berfikir. Jika tingkat ilmu itu hanya setakat 'tahu' saja, itu saya kira masih terapung. Ada baiknya terus-terusan berusaha digapai tingkat ilmu al-alaq, kalau tidak pun tingkat haqul yakin.

Namun, pada hemat peribadi saya, di langit tinggi mana pun kedudukan ilmu itu jika tidak diiringi rasa berTuhan dan kehambaan dalam hati, maka akal tidak akan mampu berfikiran waras, bisa saja tindakan yang diambil terpesong dari jalan Illahi.

Rasa berTuhan dan rasa kehambaan itu terbit dari hati insan yang kenal siapa dirinya - apa matlamat dan tanggung jawabnya di dunia ini. Insan yang kenal dirinya adalah insan yang kenal Tuhannya, seadanya kerana dia insan yang redha dan mensyukuri nikmat suka duka pemberian Illahi. Hatinya jernih.

Insan yang tidak kenal diri - makin bijak bistari makin jadi hero penyangak, makin kaya raya makin berbahaya, makin berkuasa besar...alahai, makin jadi zalim.

Selalulah periksa relung hati itu dengan matahati bersulamkan kasih Illahi. Asuh dan bimbing sedari kecil. Berikan nur.

Wallahualam.

Mohon ihsan kalian, bimbing saya jika ada tersilap bicara.

Wassalam.

Tuesday, 31 January 2006

Bahagia

Enak sekali begini dapat bersantai kala senggang yang panjang. Menghulur salam ukhuwah, merisik khabar, menyiar rindu kiranya. Lama nian tidak bertandang. Masa itu amat jauh,tidak mungkin dapat dipendekkan kecuali masa itu disia-siakan tanpa berbuat apa-apa yang tidak berfaedah. Yang dekat hanyalah masa untuk mati.

Enak juga dapat membisik rasa sukma, melakar citra seadanya yang entah apa-apa. Ada bahagia di sini, sebenarnya itulah.

Saya kira manusia itu tidak dapat hidup sendiri-sendiri jika tidak saling berhubung, saling bantu-membantu. Juga, saya kira manusia yang tahu siapa dirinya, apa mahunya dalam hidup sementaranya adalah manusia yang bukan saja mencintai dirinya tetapi juga mencintai orang lain dengan penuh rasa telus dan tulus semata-mata kerana Dia. Manusia sedemikian dalam firasat saya (yang kadang-kadang suka juga jadi nujum Pak Belalang) adalah manusia yang telah diberi-Nya nikmat bahagia.

Ya, di sini membahagiakan walaupun tiada wajah anggun buat saya renung kemudian dibawa dalam mimpi. Saya bahagia kerana jiran-jiran saya suka bersedekah ilmu, tidak lokek berkongsi apa saja yang telah dirasa oleh mata, dihidu oleh telinga, disantap oleh akal. Semoga kalian dirahmati-Nya. Amin.

Salam Maal Hijrah 1427.

Sunday, 22 January 2006

Sajak untuk zizie ali

berjalan, bertateh, merangkak ...

jalan pulang ini
jauh tapi dekat
luas namun sempit
lurus berbengkok
rata beralun ...
entahlah, kadang pelantar citra
goyah dalam utuh
mencari, unjur ke mana
rindu yang menyantun
walau khalis malam menyapa
bersyair khair
sejadah usang akur menadah titis air...

ingin kusingkap
satu sir
untuk bermukim.

~ Bunga Rampai ~


*alahai*

Anehnya hidup ini ya, kekadang. Dipertemukan-Nya untuk saya manusia-manusia yang bersuara lantang dan lancang tidak berwajah. Lantas saya pandai-pandai saja merindu. Kemudian pandai pula berpuisi, walhal bukan pandai pun bersajak. Sajak di atas itu tiba-tiba saja tercetus atas izin-Nya, setulusnya untuk zizie. Jangan ketawa ya, entah apa-apa sajak itu.

Salam perkenalan di alam maya yang fana. Hari ini kemarau zizie, tiada air setitis pun dari langit untuk saya kumpul buat hidangan. Harus bersyukur jua, kita masih bisa bernafas.

Senang sekali memanggil 'zizie' sahaja, seolah saya ini berbicara dengan seorang perempuan, tapi saya kira zizie ini seorang pria 100% buatan Malaysia. Masihkah yang terhangat di pasaran?

Saya sudah ke blog zizie, semua puisi saya baca. Ada yang saya faham, ada juga yang tidak faham, malah ada juga yang buat saya bingung. Begitulah agaknya rasa hati seorang pemuisi melontar naluri yang tulus, telus, dan mulus. Hanya dia sendiri yang tahu kenapa dia begitu berpuisi.

Saya tetap kagum dengan pemuisi walaupun hakikatnya di tanah air kita ini pemuisi kadang tidak punya tempat tepat mampat di arena cetak kecuali dia ada talian telefon yang bermacam-macam - digi, celcom, maxis, tm, dan entah apa-apa lagi (begitulah yang saya dengar di angin lalu maka saya utarakan di sini, kalau salah, maaf ya - saya kadang-kadang suka juga jadi nujum pak belalang).

Pada pandangan peribadi saya, tanah air kita ini memerlukan para pemuisi yang peka kemudian bersuara lantang dan lancang untuk membuka mata orang-orang yang menggelarkan diri mereka sebagai pakar pembangunan.

Sekian.

Thursday, 19 January 2006

loppiess

loppiess di sana
di sini bungarampai
bawah pohon angsana
ada citra melambai

Salam perkenalan di alam maya.

Maaf ya, kering tekak bila bertandang ke sini. Kuih lopes pun tiada buat menjamu selera. Kopi? Teh? Jauh sekali. Saya cuma minum air kosong, kalau boleh yang ditapis. Jika tidak ada, air yang mencurah dari langit bisa saja saya hirup. Syukur.


Saya senang sekali memanggil saudara sebagai loppiess (okey ke panggil loppieess saja atau mau berencik-encik?).
(abdullahjones sekarang saya panggil pak dollahjones supaya Pegawai Khalwat tidak mengintip kami ... dan, untuk membayangkan yang aj tu sebenarnya tidak kacak dan sudah tua, jadi saya tidak selalu teringatkan dia ... hehehe..) (jangan tanya pasal Keng, dia sudah mesra di jiwa - dia penggiat teater, usah ditegur tanpa sebab).

Saya melayari blog loppiess. Membaca cerpen kiranya. Ada keindahan di sana yang saya rasa. Menjentik naluri. Duh, mungkin carutmu bermusim tapi tiada kelompangan pada rasa intinya. Macam kuih lompang yang berinti parutan isi kelapa - putih bersih dan manis. Ada juga rasa manis pedasnya macam kuih cucur badak.

Ada rasa menghayalkan, mungkin. Tapi di kejauhan, rasa kehambaan pada Tuhan dalam kata-kata yang disenandungkan dapat saya gamit.

Tulislah apa saja loppiess, asalkan apa yang dilontarkan itu datangnya dari hati yang luhur kerana Dia untuk kebaikan bersama.

aku
si bungarampai
kering
namun tetap punya haruman
ditabur
mewangikan insan lain ...
insyaAllah.

Thursday, 12 January 2006

Keng Tembaga

Bukan hobi saya mengumpul barang-barang tembaga, tapi saya tetap kagum dengan hasil ukiran tembaga. Bisa saja mulut saya terlopong melihat kehalusannya. Jauh dalam hati saya kagum dengan kehandalan pengukir itu.

Saya suka pada nama saudara. Boleh saya panggil Keng saja (terasa mesra di jiwa)? Jenuh saya melayari blog saudara. Penat juga membaca satu persatu posting di dalamnya.

Sebenarnya Keng, saya juga tidak suka blog-memblog. Saya kurang pasti apa yang perlu ditulis. Mungkin juga saya tidak punya banyak masa luang untuk menulis-nulis di alam maya. Saya sekadar membaca blog-blog kenalan saya yang pada pendapat saya kebanyakannya bernada melankolik. Alahai...

Tuhan Maha Kuasa, dipertemukan saya dengan blog abdullahjones (maaf, lagi-lagi abdullahjones yang disebut). Dari sana saya mendapat jiran seorang Pegawai Khalwat (yang senang-senang aje cakap saya terpikat dengan pak dolahjones tu ... ceh! hehehe - just kiddin'), kini seorang lagi ... tuKeng Tembaga. Saya yang tidak pandai merindu, kini pandai merindu.

Kalau Keng mahu tau, tulisan-tulisan kalian cukup mengocak matahati saya. Ada keredupan pada rasanya, ada sir pada kata-kata kalian untuk saya serapkan walaupun kekadang tu agak pedas bunyinya ... tapi bisa saja saya kunyah. Itu belum lagi saya selusuri blog-blog jiran-jiran kalian yang sering bertandang ke blog kalian. Mungkin saya perlukan CPR.

Keng, saya bersyukur sebenarnya dengan kehadiran kalian. Terlalu kerdil rasanya diri ini apabila membaca tulisan-tulisan kalian. Saya tidak bisa berbicara sedemikian mantap, tapi bisa saja berceloteh entah apa-apa di blog ini dan di blog kalian.

Maaf, tiada kopi atau teh ... apa lagi kuih muih untuk menjamu selera. Cuma air kosong dari langit. Syukur.

Salam perkenalan di alam maya.

Wednesday, 11 January 2006

Semalam

Di masjid tempat saya semalam sepatutnya korban 2 ekor lembu.
Petang Isnin seekor terlepas lari entah ke mana-mana.
Maka penduduk setempat riuhlah pergi mencarinya.
Dapat juga ditangkap lembu itu.
Tapi pagi semalam lembu itu mati sebelum sempat dikorbankan.

Tuesday, 10 January 2006

Pegawai Khalwat

Oooppss! (mata terbeliak lantas menutup mulut dengan tapak tangan) Pegawai Khalwat datang ke blog saya? Tidak mungkin! (menggosok-gosok mata untuk mempastikan kebenarannya). Eh, betullah! Duh! Saya memangnya terpikat tapi belum ada apa-apa hubungan intim dengan abdullahjones, sekadar jeling-jeling. Salah?

Sementara menunggu jawapannya, saya beristirehat di blognya. Membaca, satu demi satu.

Amboi, rupanya Pegawai Khalwat ini juga seorang penggiat seni:-) Saya kira seni saudara tidak naif dan bukan daif. Apa yang dibicarakan ada nilai istimewanya yang tersendiri, ada kala tidak terjangkau oleh tafsiran saya.

'tunjuk ajar kalian aku pohon'- redup hati membaca yang ini, cukup merendah diri. Syukur.

Salam perkenalan di alam maya.

Monday, 9 January 2006

Rindu

Aduh, abdullahjones! Terima kasih kerana sudi bertandang ke blog saya ini yang entah apa-apa. Tidak punya kopi atau teh, apa lagi kuih muih untuk santapan. Ada cuma air kosong dari langit. Syukur.

Ada rindu yang menggamit rasa, sebenarnya.

Walau hanya dengan secebis senyuman tanpa luahan kata bicara, itu sudah cukup menggembirakan saya.

Friday, 6 January 2006

Blog

Saya terjumpa blog abdullahjones pada suatu awal pagi yang belum subuh lagi, minggu terakhir bulan Disember 2005. Saya baca semua kandungan blog itu hingga waktu subuh. Saya terpikat dengan tulisan-tulisannya yang macam sambal belacan yang cukup perisanya. Duh, enak sekali!

Hari ini baru punya masa mencipta blog sendiri. Mahu jadi jiran abdullahjones. Sekali-sekala bisa saja bersantai di blognya.