Tuesday, 18 September 2007

Jiwa Ramadhan

Ada ketika-ketikanya Dia bagaikan tidak peduli. Ada waktu-waktunya Dia seakan menjauh. Lalu hati hadir untuk berkalam-kalam menyiar rindu kepadaNya. Moga Dia mendengar.

Rasa jiwa siapalah yang tahu. Mungkin senang, damai dan tenang. Barangkali juga tersenyum rawan, girang berluka. Menangis untuk apa, merindu kepada siapa. Hanya Dia yang tahu. Namun tidak dinafikan, di kejauhan sana ada insan-insan yang sama merasa keluh resah jiwa itu. Maka kalam hati pun bersambut, dan madah dikait lalu atas izinNya terhamparlah renda puisi seindah rona pelangi seharum cempaka yang mengalas sanubari merentang purnama Ramadhan.

Luahan rasa dalam entri ini dan ini telah digubah menjadi sajak-sajak indah oleh Kingbinjai. Hayati ...


Di Ambang Ramadhan

di ambang Ramadhan
ada kaki yang kecundang
melintasi qalbi
mencari mutiara hati
tersembunyi di dalam kolam yang keruh
jemput si undan singgahnya tiada
memanggil kedidi terbang menjauh

sepekan sudah waktu bertemankan sunyi
merimbun duka mengait syair terpinggir
mengharap rahmat titis air langit
menangis, renyai berderai harapkan
sudahnya terik mendung bertamu enggan
pula bayu membisu

kian hari hati merekah gersang
dalam diam relung hati rajuk berbisik
kata pujuk mana dirujuk, di situ pulang hampa
diam saja bermuram durja
melangut di antara malam
mencari hilang penglipur lara

tafakur jua dalam akur
dulu lupa, kini kembali
pada sejdah usang itu jua
tersambut titis kesal airmata


Mencari Nur Qalbi

suluh bagai bersungguh mahu
cari mana sembunyi
di antara satu ruang cahaya
bertompokan di dalam gelap
cari di mana, redhaNya

begini lagaknya, malam semarak
berarak gelita menutup seroja
putih kelopaknya kering
kian, merasa waktu memamahnya
bakal punahkah ini kala menuju
ketenangan

sudahlah, sunyi meluka nurani
melompang puri sanubari
tercalar sehalus rambut
membuka luka jiwa
tuhan, singkapkan sekali lagi
indah cinta nur qalbi
riasan kalbu hingga bisa
terbang mengawan segala rewan


Puncak Kembara Ramadhan

adakah bintang tersipu malu
saat aku merenungnya
asyik, setiap malam?

apakah mereka berbisik
sama sendiri
lihat, dia lagi, merenung kita

di hatiku juga bintang,
ada sebutir mutiara
cahayanya amat payah kudakap

maka itu,
aku teroka Ramadhan ini
menuju puncak kembara

mahukah kalian menemaniku?
menerangi doa
menghampari sujud
menadah titis-titis keinsafan
dalam sepuluh malam yang terakhir

...

Terima kasih King. Semoga Allah SWT terus memberimu rasa dan ilham untuk berkarya dan mencipta sajak-sajak indah bermakna dan bermanfaat untuk dihayati oleh insan lain.

Salam.

15 comments:

kingbinjai said...

sama sama. terima kaish juga kerana sentiasa menulis perkara yang indah indah belaka. emm minta izin nak hantar ke berita minggu boleh?

Bunga Rampai said...

King, itukan karya King? Saya tiada hak ke atas sajak-sajak itu :)

cikdinz said...

selamat menyambut ramadhan.

13may said...

Hebat sajak King itu...
Dan karya BRampai terutama gaya bahasanya pun dasat jugak...

seronok membaca...

agak2 bubur asyura ada dijual tak di pasar ramadhan???

hahha...

Salam ;)

Mak Su said...

terharu dengan sajak2 tu

akirasuri said...

sangat manis sajak-sajak tu :)

Selamat menjalani ibadah puasa kak rampai :)

Azer Mantessa said...

indah :-)

- G O R O - said...

Tidak mampu berkata apa-apa..

Hanya mampu tersenyum melihat bait2 sajak itu.

blackpurple @ jowopinter said...

Saya tak pandai berbahasa semolek Bunga Rampai
Dan juga tak pintar berpuisi sepuitis King Binjai

Semoga bahasa dan puisi itu membuka pintu sedar umat Muhammad yang membaca dan menghayati maknanya. Kata-kata berbunga bersira makna itu selain dari tersirat dakwah dan doa, juga elok untuk santapan minda dan jiwa manusia yang alpa.

Buat kedua-dua insan yang berjiwa ini, Alhamdulillah kamu berdua bukan sahaja tidak mensia-siakan bakat berkarya yang ada untuk menulis kata-kata yang mulia bahkan juga berpesan kepada rakan-rakan agar sama-sama mencari keredhaan dan mendekatiNya.

[Maaflah, terpanjang pula komen saya..:)]

jinggo said...

menarik sajak-sajak tu......
selamat ramadhan....

Iman Mawaddah said...

Salam Rampai,
Terpegun melihat kata-kata indah anda berdua. Tahniah buat Rampai dan King, semoga tidak dipersiakan segala bakat yang dikurniakan.

Butaseni@Wan Raja said...

ya,aku mahu turut berdoa,menghampiri sujud.menadah insaf dalam sepuluh malam yang terakhir itu.
trima kaseh entry kamu ni.
salam

Izariza said...

Datuk Seri yang dihormati,

Terharu pula apabila melihat hasil cantuman dua insan berbakat besar ini menghasilkan karya indah. Duh .. saya bisa saja tersentuh dengan bait-bait indah tetapi jarang sekali dapat menghasilkannya :)

Puasamu bagaimana? Saya masih mengidamkan ayam percik, tapi belum 'ter'beli lagi..

p/s: Teh panas dengan sedikit susu sejat menjadi pilihan di bulan puasa :)

Unknown said...

mahukah kalian menemaniku?
menerangi doa
menghampari sujud
menadah titis-titis keinsafan
dalam sepuluh malam yang terakhir

Jawapanku:

Mahu semahu mahunya :)

Bunga Rampai said...

Cikdinz, salam Ramadhan.

13may, salam kembali dan terima kasih madah yang manis itu.

Bubur Asyura ada kat Pasar Muharram ;)

Mak Su menghayatinya, pasti.

Akirasuri, manis lagi adik akak sorang ni :) Moga ibadah kita diberkatiNya.

Azer, salam :)

Goro, alhamdulillah.

BP, setiap kita punya kelebihan/kekurangan. Bakat atas izinNya jua, merupakan satu amanah. Manfaatkan kebaikan untuk santapan rohani di mana perlu. Baiki kekurangan menuju insan kamil.

[Tak apa, panjangnya panjang berisi :)]

Jinggo, salam Ramadhan.

Iman, salam kembali Iman dan terima kasih. Alhamdulillah, atas izinNya jua. Amin.

Butaseni, sama-sama. Tingkatkan ibadah menuju puncak Ramadhan.

Datin Iza, saya tergelak dipanggil yang dihormati, adeh ... saya biasa-biasa saja hambaNya, kerdil sekali. Hayati keagunganNya.

Puasa saya alhamdulillah setakat ini. Baru semalam makan ayam percik ... beli kat pasar Ramadhan :)

p/s: Saya suka air cincau :)

Zalisa, ayuuuuuhh bersama! :)