Sunday, 31 July 2011

Kita dan Hari-hari

“Kita hanyalah bilangan hari. Apabila sebilangan hari itu pergi, sebahagian diri kita juga pergi. Apabila kesemua telah habis pergi, maka berakhirlah riwayat ini. Hidup hanyalah sebuah perjalanan, pasti ada tarikh perhentiannya. Tiada siapa dapat menghalang, walau sehebat mana pun dia merancang. Dunia hanya ladang untuk menuai bekalan. Dataran menuju ke persada sebenar kehidupan. Dunia ini amat sementara; ada hari datang dan ada pula hari perginya.” ~ Dr. Maza

Benar, kita hanyalah bilangan hari. Setiap tahun kita akan kehilangan 365 hari, dan hilangnya tidak berganti. Bermakna, semakin usia bertambah semakin berkuranganlah jumlah hari yang akan kita jalani. Apabila bilangan hari tinggal satu hari sahaja lagi, maka yang ada dalam hari tersebut hanyalah  putaran jam yang melepaskan minit kemudian apabila saat terakhir berdetik, kita pun tiada lagi di dunia ini. Lucutlah segala pangkat dan kuasa. Hilanglah harta dan kemewahan yang dimiliki. Tinggal cuma nama yang disebut dan dikenang.

Hari-hari yang telah pergi itu bukan untuk diratapi tetapi untuk diinsafi dan ditaubati. Hari yang sedang kita lalui sekarang inilah yang perlu kita ratapi kerana kita dikelilingi oleh hutang-piutang yang perlu dilangsaikan hari ini juga! Mendesah resahlah pada hari ini kerana hutang-hutang amal ibadah kita kepadaNya. Gusar dan risaulah hari ini kerana hutang-hutang amal kebajikan kita kepada manusia dan makhluk-makhlukNya yang lain. Bersegeralah melangsaikan hutang-hutang itu. Usah berlengah. Jangan bernanti-nanti kerana mati itu sentiasa menanti tetapi tidak akan bertangguh!

Molek juga kita bertanyakan diri – siapa kita di mata Allah pada hari ini dan di manakah bermukimnya kita nanti di negeri akhirat? Cantikkah kita di mata Allah di sepanjang hidup kita di dunia yang fana ini dan berbahagiakah kita nanti di dunia hakiki? – kemudian carilah jawapan kepada soalan-soalan itu. Sebenarnya Allah telah pun memberikan jawapan kepada soalan-soalan itu di hadapan kita pada setiap detik waktu berlalu melalui pelbagai peristiwa yang terjadi di sekitar kita, namun kita sahaja yang lupa akan hal itu dek keasyikan kita menghias diri supaya kelihatan cantik, tampan, dan hebat di mata manusia!

Sesungguhnya hari ini adalah hari yang paling indah untuk kita semua. Lihat sahaja pertukaran malam dan siang. Renungkan cahaya bintang, bulan dan mentari. Fikirkan kepelbagaian jenis flora dan fauna yang melata sepelosok dunia. Segalanya dipermudahkanNya untuk kita. Cumanya sebagai manusia yang lemah kita sering alpa dan terlepas pandang akan nikmat-nikmat anugerah Allah Subhana Wata’ala itu. Kita gembira dengan kebaikan yang datang dan bersedih apabila ditimpa musibah, walhal kedua-duanya  bernikmat dan berhikmah. Kedua-duanya adalah ujian ke atas keimanan kita. Kedua-duanya adalah kaedah yang digunakanNya untuk berhubung dengan kita. Subhanallah! Amatlah beruntungnya manusia yang mendapat perhatianNya sebegitu rupa! Bersyukurlah dengan apa yang kita lalui pada hari ini. 

Indahkanlah diri pada hari ini dengan hiasan dan perhiasan taqwa. Jauhi perbuatan melampau, bersederhanalah dalam setiap perbuatan, dan usah membuat kerosakan di atas muka bumi ini – yang demikian Insyallah hari esok akan tersenyum menyambut kita dan kita juga akan menguntum senyum  setiap kali kita mengenang hari ini. Taqwa adalah bekalan kita bertemu Pencipta dan  mudah-mudahan dengan perhiasan taqwa itu kita ditempatkan di dalam Liqa Allah.

 “Ya Allah, sesungguhnya aku menyerahkan imanku ini di dalam pemeliharaanMu. Maka imanku itu semasa hidupku, semasa matiku, dan selepas matiku. Sesungguhnya Ya Allah, Engkau Maha Berkuasa di atas setiap sesuatu.”


Salam Ramadhan,
1432H

Monday, 25 July 2011

Hingga ke hembusan nafas terakhir: Belajarlah.

Dalam kelas bimbingan BM pagi semalam.

"Cikgu, betul tak ejaan 'wonderful' 'ni?"

Ejaannya:  'one the fool.'

Bina ayat dengan menggunakan perkataan 'terkial-kial'.

Jawapan:  Kaki Ali terkial-kial selepas makan rambutan.

Beri maksud peribahasa 'bagai menatang minyak yang penuh'.

Jawapan: "Ayah saya kata minyak mahal sekarang cikgu sebab tu dia naik motor pergi kerja, tak naik kereta dah."

Berbaur rasa sebenarnya mendengar jawapan-jawapan sedemikian dari murid-murid darjah lima itu. Apa yang terluah hanyalah sebuah senyuman yang mewakili rasa nak tergelak, rasa kecewa, rasa sedih, dan rasa kasihan. Tidak mengapa mereka membuat kesilapan kerana lazimnya itulah proses pembelajaran yang harus dilalui oleh setiap kanak-kanak. Demikian kata hati ini memujuk sedikit rasa suram yang bertandang seketika.

Kata Pak Ustaz: "Kehidupan ini adalah tentang belajar dan mencari ilmu kerana tidak semua perkara manusia tahu, dan sebenarnya semakin manusia berilmu semakin banyak perkara yang tidak diketahuinya. Semakin banyak ilmu yang ditimba semakin tidak pandai dan semakin kehausan ilmu seseorang itu - maka itulah manusia seharusnya tunduk malu, bukan mendabek angkuh kerana walau bergulung-gulung ijazah yang diterimanya,  ilmunya itu hanyalah sekadar terapung-apung di permukaan air berbanding  ilmuNya yang seluas dan sedalam lautan. Oleh itu, carilah ilmuNya hingga ke hembusan nafas terakhir kerana ilmu itulah yang akan membawa manusia selamat kembali kepadaNya."



Salam.

Sunday, 24 July 2011

Kosong

yang ada
alun nafas, hanya
bersyair rindu di liku kasih
menanti musim berganti

yang ada

degup jantung, cuma
menari lesu di rimbun sepi
menunggu waktu pulang


Salam.

Thursday, 14 July 2011

Melukis mimpi, mengejar bayang

"Lama benar menghilang?" Tanya Bang Lope. Saya tersenyum.
"Syaaban dah datang berlenggang lenggok." Katanya lagi. Comel sungguh ayat itu membuat saya ketawa kecil sambil cuba membayangkan gaya lenggang-lenggok Syaaban itu. Macam lenggang kangkung barangkali, atau lenggang Mak Limah? Atau lenggok Mak Dara? :-P

Benar, lama menghilang kerana mencari diri yang hilang. Maka mengembaralah saya ke sana sini di dunia nyata mencari diri yang hilang itu -  membelah awan, meredah hutan, mendaki bukit, menyusur sungai seadanya. Cuma dasar laut saja tidak diselami dek ketiadaan lesen
scuba diving. Kalaulah ada lesen menyelam, alangkah seronok menjadi ikan duyung dan berkawan-kawan dengan penghuni dasar laut yang aneh-aneh tapi sangat cantik menawan.

"Pandai ye melukis mimpi dalam cahaya rembulan?" Lagi kata Bang lope membuat hati saya bagai dirimbuni sejuta haruman bunga-bungaan di taman sari.


Sebenarnya kala mengembara itu, saya juga sempat berangan-angan mahu belajar melukis supaya saya dapat mempamerkan isi hati yang tak terungkap dek kata-kata. Malangnya saya tidak pun sempat belajar melukis kerana asyik mengejar bayang-bayang sendiri.  Sejauh mana pun dikejar, bayang-bayang itu tetap tak tertangkap!
Silap matakah atau silap langkah? Silap langkah kata si Miyah semasa kami makan-makan durian di dusun Pak Lang.

 "Kak Rampai suka jadi apa ... jadi bayang-bayang, layang-layang atau jadi buih?" Terbeliak mata saya ditanya begitu kerana kepada saya soalan itu punya pengertian yang sangat dalam. Saya harap dia main-main bertanya tapi katanya dia sangat serius. Aduuuh, durian tembaga yang lemak sedap yang sedang saya nikmati sepenuh hati pun tiba-tiba menjadi tawar!
Oh, sangat perlu merujuk Pak Lang!

Layang-layang kalau putus tali akan terbang melayang tanpa arah tujuan - akan punahlah ia dan jatuhnya entah di mana-mana. Begitulah manusia, tanpa pedoman hidup tidak berertilah sebuah kehidupan itu. Buih? Banyak saja bilangannya tapi ringan dan mudah pecah. Bayangkanlah jika manusia menjadi seperti buih - lemah dan berkecai jadinya ummah. Lebih mencabar mengejar bayang-bayang kerana selagi bayang-bayang ada selama itulah kita menyembah DIA.
Haa? Mulut saya terlopong! Mujurlah tidak dimasuki lalat-lalat yang sedang terbang-terbang gembira di sekeliling kami.

Kalau begitu, molek benar mengejar bayang-bayang walau dalam samar cahaya lampu neon dan dalam terik pijar mentari. Namun dalam kilau cahaya rembulan saya tidak mahu mengejar bayang - saya mahu melukis mimpi dengan warna-warna ilham yang kalis waktu dan ampuh menjunjung nur atma sepanjang nafas masih bernyawa.


Bukan mudah melukis mimpi sebenarnya apa tah lagi dalam cahaya rembulan. Ada pungguk merenung, ada bintang memagar, ada angin berlagu, ada pepohon mendesir, ada samudera bekocak  - semua itu bisa meluntur warna figura  sebuah lukisan mimpi.



Salam.

Monday, 11 July 2011

Malam


Aduhai, malam malam begini pun masih ada samar bayang yang merapuh rasa di pinggir mata ...  masih ada sepoi bisikan yang menduga rindu di kejauhan sanubari. Payah, payah benar melerai rasa rasa yang begitu ...


Malam
buai aku
dengan belai anginmu
hingga kulelap
lalu melukis mimpi
dalam cahaya rembulanmu


... molek juga, malam malam begini menjurus jiwa mengingati kata kata Pak Lang: "DIA menjadikan langit dan bumi serta malam dan siang dengan sungguh layak dan berhikmat."


Salam.