Friday, 9 March 2007

Si Cilik Remaja ll

Terima kasih kepada teman bloggers yang meninggalkan komen untuk entri saya yang terdahulu, Si Cilik Remaja. Saya amat menghargainya. Kalian sebenarnya telah membuka ruang untuk saya meluahkan rasa hati. Luahan rasa bermula dengan petikan komen di bawah yang saya kira mewakili semua komen yang telah diberi.

Dari sudut lain, mereka sebenarnya mencari kasih sayang. Malahan dengan aiskrim sudah timbul keseronokan. Perlu ditunjuk ajar dengan penuh hikmah ~ Ku Keng.

Cilik-cilik Si Cilik Remaja, dia juga manusia biasa yang punya hati, ada rasa, membendung hasrat, mahu berbicara manja, kepingin sekujur tubuh diusap belai dengan tangan-tangan lembut penuh kasih dan sayang. Si Cilik Remaja mahukan perhatian. Lumrah kejadian manusia di peringkat ini dengan jiwa yang berdarah panas, berombak ghairah - ini bukanlah satu perkara pelik. Cuma, ianya akan menjadi aneh apabila segala rasa dalaman itu dengan enak saja disalurkan tidak mengikut adab, lantas bukan sahaja remaja itu menzalimi dirinya sendiri malah menzalimi ibu bapanya, keluarga, kawan-kawan, dan ummah.

Lihatlah betapa mudahnya mempengaruhi remaja yang terumbang-ambing dengan perhitungan yang masih terapung-apung - hanya dengan pelawaan untuk makan aiskrim, lentur akar hati lantas menurut saja kehendak itu . Apa lagi andai diajak tengok wayang, makan angin, tengok konsert - pasti melonjak seronoknya tidak terperi! Bayangkan apa yang bakal berlaku andai yang mengajak itu punya niat jahat, alahai ... kesan dan kesalnya juga tidak terperi!

Apa pun keterlanjuran yang telah dilakukan oleh para remaja, saya kira ruang masih lebar dan panjang untuk membawa mereka ke jalan yang lebih berfaedah, dan siapa-siapa juga kita ini wajarlah menjadi sahabat mereka sekali gus berperanan sebagai pembimbing.

Bukan semua remaja bermasalah datang dari keluarga yang berantakan, bukan semua remaja mahu berada dalam kabut kepincangan peribadi. Ada remaja bermasalah berlatarkan keluarga yang berhemah, ada remaja pincang kerana desakan dan tekanan hidup.

Sambil-sambil kita menuding jari ke sana-sini, jangan lupa tudingkan jari itu ke arah diri sendiri. Sambil-sambil kita mengeluh mengenang nasib para remaja yang tergelincir jalan, binalah denai lurus dan terang untuk mereka lalui, moga mereka lebih menghargai kehidupan yang fana ini. Tunaikan amanat Allah Subhana Wata'ala yang dipertanggungjawabkan kepada kita.

Setiap kita punya tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah Subhana Wata'ala untuk membantu insan lain. Kita bagaikan kepingan jigsaw puzzle, saling melengkapi untuk sebuah kehidupan yang lebih bermakna di dunia dan akhirat. Mengabaikan amanah ini bermakna kita turut membantu menghancurkan ummah, sekali gus mengabaikan persediaan jawapan yang bakal ditanya di akhirat nanti.

Remaja sering keluh resah mengharapkan belaian suara manja penuh kasih, sentuhan tangan mengusap-ngusap sayang - itulah santapan rohani yang ulung dalam pembentukan jiwa remaja yang berketerampilan hebat, juga perisai utama untuk menepis dan menangkis noda-noda hitam yang menceroboh diri! Jiwa nan gersang kasih sayang juga adalah perangkap utama remaja mencari perhatian dan keyakinan di luar norma kehidupan dan adab-adab agama.

Sambil-sambil makan aiskrim, sambil-sambillah berseloroh dan berbicara santai a-la hip-hop remaja, dan dalam sambil-sambilan itu selitkan pengisian mata hati yang boleh membawa mereka berfikir. Bina titian persahabatan, panjang-panjangkan titian itu sehingga kukuh. Remaja sebenarnya memerlukan seseorang yang mahu mendengar segala gelodak lahar jiwa mereka.

Andai mereka ketandusan perhatian dan kasih sayang keluarga, apa salahnya kita unjurkan sedikit kasih kita untuk mereka rasa, apa salahnya hulurkan secebis sayang kita untuk mereka jiwai. Kongsilah sekelumit masa kita bersama mereka. Kasihani dan sayangi mereka sebagaimana sifat Allah yang Maha Mengasihani dan Maha Menyayangi semua hamba-NYA.

Ya, sambil-sambil makan aiskrim a-la hip-hop Si Cilik Remaja, sedar tidak sedar antara suapan dan ungkapan, barangkali ada ilmu yang terselit. Siapa tahu. Fikir dan renung.

Sesungguhnya zaman berubah, era berbeza namun kita jangan alpa, janji Tuhan tidak pernah berubah walau berapa kurun pun berlalu.

Kalam Allah jelas, dan Sunnah Nabi nyata.
Tugas kita menasihati dan membimbing seadanya, selebihnya DIA uruskan.


Aduhai aiskrim ...

aiskrim sundae McD dengan topping coklat memang sedap!

Aiskrim Malaysia pun sama hebat, itu ... yang ada asam boi ;)


Salam.

Monday, 5 March 2007

Si Cilik Remaja

Remaja-remaja itu, 17 atau 16 tahun barangkali. Cantik dan manis. Gebu dan mulus. Ranggi dan hip-hop. Cuping telinga bersubang tiga empat. Rambut bersinar dwiwarna. Fesyen pakaian yang ala-ala tidak cukup kain.

Gamat sungguh remaja- remaja itu. Ketawa terkekeh-kekeh.

1: "Eh, ngko kawin jelah!"
2: "Aa'aah, dah suka sama suka."
3: "Dah kawin pon, nikah je blom."
4: "Cayalah, gimme faiv!"

Dan mereka ketawa lagi, penuh segerabak. Macam tren itu mereka yang punya.

Dia yang duduk berhadapan mereka mengeluh. Tersimbah jua nestapa pada hati yang sedia duka.

Di luar tren ...

"Adik semua nak ke mana?" Dia bertanya. Senyum.
"Tak tahu!" Mereka terkekeh-kekeh lagi.
"Takkan tak tahu, kat depan tu kan jalan besar?" Dia senyum lagi.
Mereka saling memandang. Pucat lesi.
"Jom, layan aiskrim kat McD, nak?" Dia senyum lebar.

Di restoran McD. Masa sekelumit itu menjadi saksi bisu kepada kisah jiwa remaja yang tidak berakar tunjang, pucuk rapuh di hujung ranting.

Telefon bimbitnya berdering. "Makan aiskrim," ujarnya sambil ketawa kecil kepada insan di hujung talian. Kepada remaja-remaja itu dia mohon berlalu.

"Kak, bila boleh makan aiskrim lagi?" Remaja-remaja itu meminta kepastian.


Salam.

Friday, 2 March 2007

RM200.00 ???

Petang, di sebuah simpang empat. Kereta perempuan itu ditahan Polis Trafik bermotosikal. Perempuan itu menurunkan cermin, "Assalamualaikum."

"Kad Pengenalan dan Lesen." Pinta pegawai itu yang sedang memegang sebuah buku.
Akur, perempuan itu menyerahkan dokumen.

Pegawai itu dengan kumisnya menjunam di tepi bibir meneliti dokumen. Kemudian melihat cukai jalan, kemudian mengelilingi kereta, kemudian memeriksa setiap tayar dengan tangan (sentuh-sentuh) dan kaki (sepak-sepak), kemudian mengintai-ngintai isi kereta, kemudian meminta perempuan itu membuka but kereta. Akur juga.

"Cari pasal." Bisik hati perempuan itu sambil membuka pintu but luas-luas. Mata pegawai itu liar memeriksa kandungan. Ada fail buruk, ada surat khabar lama, ada kasut sukan, ada sekampit kecil Friskies, ada sebuah beg galas kecil ... "Buka," pintanya. Akur lagi.

"Memang cari pasal." Dengus hati perempuan itu sambil mengeluarkan isi kandungan. Ada kemeja T, ada stokin, ada dua buah buku, ada satu bar kecil Cadbury Black Forest.

"Tayar kereta ... bunga dah habis." Pegawai itu.
"Oh?" Perempuan itu kehairanan.
"Merbahaya, boleh menyebabkan kemalangan."
"Terima kasih, nanti saya tukar."
"Saya perlu keluarkan saman sebagai peringatan."
"Eh, itu pun nak saman?"
"RM200.00"
"HAA??"
"Ermm, RM100.00 tanpa bil saman."
"Oh, mesra rakyat?"
"Memudahkan kerja awak dan saya."
"Keluarkan saman 200."
"50 tanpa saman." Pegawai itu. Senyum.
"Keluarkan saman 200." Perempuan itu. Tegas.
"Jangan lupa cek tayar itu." Pegawai itu berlalu pergi tanpa mengeluarkan saman.


Salam.