Sunday, 27 November 2011

Catitan terakhir: telefon baru

Yeay, dapat handphone baru hari ini! Handphone lama yang sudah tiga tahun berkhidmat untuk tuannya tanpa sebarang masalah akan diberikan kepada seseorang yang berhak memilikinya, dan mudah-mudahan hari-harinya akan lebih ceria dengan kehadiran telefon itu.

Maka menjadi sangat sibuklah petang tadi dengan urusan mengosongkan fail dan folder dalam telefon lama, dan meneliti kembali kandungan folder yang menyimpan beraneka pesanan dan imej amat membaur rasa. Ada pesan yang kelakar, ada imej yang membuat senyuman meleret-leret. Ada yang memberi peringatan dan semangat juang, ada imej yang menyedihkan. Begitu mesej-mesej yang diterima mencerminkan keperibadian si pengirimnya dan walau apa pun keperibadian itu, ia amat ampuh dalam membina keperibadian diri sendiri.

Dalam berpuluh bingkisan pesanan yang diabadikan dalam telefon lama itu, ada satu pesanan yang sangat membuka rasa, dan nun jauuuh di lubuk hati berbisiklah rasa itu mahu menjadikannya sebagai peringatan dalam menyelusuri hari-hari mendatang.

"DIA tidak hairan manusia berbuat dosa kerana DIA mampu membalasnya... yang DIA hairan ialah manusia tidak bertaubat sedangkan mereka tidak mampu menahan azab neraka." 

Peringatan itu diterima pada 16 Februari 2011.


Salam Hijrah 1433H.

Saturday, 12 November 2011

Yang lebih utama

Ada gerak hati yang meminta-minta dalam getar jantung yang tidak keruan. Ada suara yang menyuruh-nyuruh dalam keengganan yang kuat. Entah apa perlu ke Curve petang-petang begitu sedangkan kehendak hati mahu duduk diam-diam beristirihat di rumah. Shopping? Oh, tidak kerana fulus tidak mengizinkan!

Fikir dan dipertimbangkan jua gerak hati itu. Barangkali minum-minum nescafe lewat petang Jumaat di sana dapat melegakan getar jantung yang meresahkan itu. Barangkali. Maka diketepikan segala prasangka hati lalu melangkahlah kaki dengan berhati-hati.

Terpaut jua rasa kala melihat sebuah kedai makan yang tidak berpelanggan. Sebaik masuk, kaki terus menjurus langkah ke sebuah meja di sudut kanan. Aah, ada sebuah buku nota di atas salah sebuah kerusi di meja itu! Hairan pekerja kedai tak perasan ke buku nota itu? Gerak hati menduga diri lagi sama ada perlu atau tidak mengintai-intai kandungannya. Aduuh, nakalnya! Lalu kulit buku nota diselak dan beginilah yang tertulis di atas muka surat pertama ...

Kata-kata Saidina Umar r.a:-
• Aku telah memerhatikan semua teman, namun tidak ada teman yang lebih utama daripada memelihara lisan.
• Aku telah memerhatikan semua pakaian, namun tidak ada pakaian yang lebih utama daripada memelihara sifat warak.


• Aku telah lihat semua harta, namun tidak ada harta yang lebih utama daripada sifat qanaah.
• Aku telah melihat semua kebaikan, namun aku tidak melihat yang lebih utama daripada ikhlas dalam beramal.
• Aku telah melihat semua makanan, namun aku tidak melihat yang lebih nikmat daripada sabar.

... mama mia! Keenakan nescafe semakin lumayan apabila dihirup bersama kata-kata tersebut. Alhamdulillah.


*Kota Damansara
11.11.11

Salam.