Saturday, 30 August 2008

Di Hujung Syaaban

Di hujung Syaaban ada hati berkehendak, ada rasa menginginkan.

Belum pun lagi Ramadhan saya sudah membayang-bayangkan saat-saat berbuka puasa dengan air sirap selasih, kurma kering berinti badam, kuih akok, pengat pisang, ikan pari bakar, ayam percik, mee rebus, dan acar buah untuk bersahur. Slurrrp! Terliur pulak dah...

Aiseymaaaaan, tiba-tiba teringat pula baju di kedai jahit tu... perlu talipon, sudah siap atau belum... nak kena fitting, molek ke tak molek... maklumlah nak bergaya di hari raya!

Begitulah keadaannya kemahuan hati manusia. Pelbagai adanya. Hati rasa teringin makan ikan salmon dengan sos lemon butter. Teringin benar makan kambing panggang yang dirempah dengan rempah terbaik dari Kerala. Hati mahu memiliki kereta Merc warna metallic silver. Hati mahu sangat menggayakan busana sutera Italy rekaan pereka fesyen terkenal. Hati berkehendak membimbit tas tangan Balenciaga. Aduh aduuuuh, hebat dan mewah sungguh kemahuan hati!

Bukan alang kepalang kemahuan jasad kita yang mahu memakai baju termahal dan paling cantik. Mulut kepingin merasakan makanan yang paling enak yang mampu dibayangkan oleh akal. Ego teringin sangat memandu kereta Merc model terbaru. Makanya kita pun berusahalah dengan susah payah dengan apa cara sekalipun hanya semata-mata untuk memenuhi keinginan tadi. Namun akal kata apa? Kau tidak mampu! Maka semuanya hanya menjadi angan-angan.

Pokok ceritanya ialah kita tidak pernah lupa akan segala macam kemahuan jasad kita lalu memberinya makanan yang enak-enak, sehinggakan jasad itu menguasai dan merajai rohani kita lalu tunduk longlailah rohani itu kepada kemahuan jasad. Aduhai, kasihan rohani kita menangis kelaparan kerana makanannya tidak kita pedulikan langsung!

Ramadhan Karim - semoga kita kembali membimbing rohani kita dengan memberi santapan yang enak-enak seenak juadah untuk jasad kita. Rohani yang teguh adalah pencetus akhlak yang baik. Akhlak yang baik penegak tiang ummah. Mudah-mudahan Tuhan memberi petunjukNya kepada kita semua.

Saya memohon kemaafan kalian teman-teman blogger, mohon maaf zahir dan batin. Selamat menunaikan ibadah puasa.

Sambil-sambil berbuka dengan juadah yang berselerak di atas meja, ingatlah kepada mereka yang berselerak tanpa meja dan juadah - (pesan Guru).

Wallahu’alam.

Salam Ramadhan.

Sunday, 17 August 2008

51

51 bertanya, "Dah pasang bendera?"

Saya tidak tahu bagaimana melayan 51 itu.

Seandainya saya menjawab saya tidak pernah pasang bendera, sudah tentu 51 berkata saya tidak mencintai jalur-jalur gemilang itu.

Sebenarnya, beberapa tahun belakangan ini saya tidak tahu bagaimana meraikan Merdeka kerana baris-baris merah putih, purnama dan kejora kuning, serta laut biru itu bercelorong-celoreng pada pandangan saya.

Saya turunkan kata-kata di bawah ini untuk menjelaskan maksud saya itu.

mak salahkan pak;
pak salahkan sekolah;
sekolah salahkan media-massa;
media-massa salahkan tempat tinggal;
Bandaraya salahkan politikus;
politikus salahkan pi em;
pi em salahkan ulamak;
ulamak salahkan PAS;
PAS salahkan UMNO;
UMNO salahkan mak bapak;
dan mak salahkan pak;
..........
(komen Ku Keng untuk entri ini)

Tunjuk-tunjuk jari (TTJ) - inilah permainan tradisional yang paling popular dewasa ini. Kera-kera pun sangat pandai dan amat suka permainan ini.

Selain permainan TTJ itu, ada sebahagian orang orang di bawah naungan nama Merdeka yang suka benar menjadi alat permainan yang dipanggil boneka - tidak mengapa dikelek ke mana-mana asal tampak hebat. Ada pula yang sanggup menjadi orang-orang yang dilayur terik mentari pun tidak apa, dilencun hujan pun tidak apa, diterjang rebah pun tidak apa - asal saja boleh menghalau burung-burung yang cuba memakan padi tuannya. Aneh sungguh hidup ini kadang-kadang.

Giliran saya pula bertanya 51, "Di mana kita?"

Saya kira 51 itu pun sudah kebingungan lantas mendiamkan diri.

Dalam suram wajah, saya gagahkan hati untuk memeriahkan suasana Merdeka lalu saya berujar kepada 51 supaya kita-kita ini perlu sangat segera kembali kepada diri sendiri - kenali diri dan kentalkan rohani. Di samping itu, kita jangan alpa untuk mengajak pula orang orang yang hampir dengan kita untuk melakukan yang sama.

Makanya saya juga perlu mengembara lagi untuk menguji keteguhan cinta saya kepada yang bernama Merdeka, walaupun sesunguhnya rasa takzim saya kepadanya tidak pernah berubah.


Salam Merdeka.

Wednesday, 13 August 2008

Air Mata Bonda

Dia bagaikan raja. Maklumlah, tiada sesiapa di rumah petang-petang begitu. Selepas makan, dia menukar pakaian sekolahnya kemudian menonton tivi dan video. Tepat jam 4:00 petang dia keluar rumah untuk bermain, dan tempat permainan kegemarannya ialah di tangga hujung kiri atau kanan bangunan rumah pangsa sepuluh tingkat itu.

Dia suka bermain dengan kanak-kanak perempuan. Namun sejak ada aduan tentang fi'ilnya, maka ramailah ibu bapa yang menghalang anak-anak perempuan mereka menggunakan tangga itu pada waktu-waktu tertentu.

Petang semalam, 3 orang pihak berkuasa datang menangkapnya. Ibu dan ayahnya dihubungi, dan diberitahu yang anak lelaki mereka itu sedang menanggalkan seluar dalam kanak-kanak perempuan berumur 8 tahun ketika mereka tiba. Dia dibawa ke balai polis ditemani ayahnya.

Bercucuranlah air mata ibunya.

Dia itu usianya 12 tahun.


*12/8/2008
Senja yang suram,
Pinggir Kota, KL.


Salam.

Monday, 11 August 2008

Sempatkah?

“Uiiih, Kak Rampaaaaaai ... naik 2 kilo!.” Seronok bukan main Miyah memberitahu khabar Titi dan Koko. Hisy, mengarut sungguhlah si Miyah ni, takkan naik sebanyak itu dalam masa 3 hari. Saya tak percaya! “Tak pe kalau tak pecaya, tengoklah sendiri! 'Pastu kan, ada benda peliklah kat kucing-kucing nih! ... tak leh bagi tau, kena tengok sendiri.” Duh, tidak keruan jadinya saya! Namun hari sudah larut malam untuk menemui Miyah, maka saya memujuk hati untuk bersabar.

Ibu Titi dan Koko asalnya kucing merempat sedang sarat mengandung yang saya temui di sebuah warung nasi lemak pada suatu pagi hari Ahad tiga bulan yang lalu. Kucing itu bising meminta makanan. Saya beri kerang dia makan. Saya beri bilis dia makan. Telur pun dia makan. Timun juga dia makan! Dia masih melangut-langut sambil mengiau-ngiau yang agak mengganggu ketenteraman saya yang sedang sedap-sedap bersarapan. Lalu saya beri dia sambal ... alamak, sambal pedas pun dia makan?! Kucing aneh, bisik hati kecil saya. Pandangan lunaknya bagaikan minta dikasihani menghiba hati lantas menerbitkan rasa kepingin untuk membelanya. Saya membawanya pulang dan menamakannya Mulan.

Kini Titi dan Koko berusia 10 minggu dan sudah pandai berkejar-kejaran, melompat sana sini, bergomol-gomolan. O-la-la, mereka sangat comel! Bulu mereka walaupun tidak panjang tapi lebat, bermata kebiru-biruan dan wajah mereka manis-manis. Agaknya bapa mereka seekor kucing yang kacak!

“E’elaa ... macam biasa je. Nanti kalau akak tak ada seminggu, Miyah kata naik 6 kilo pulak!” Kata saya kala melihat Titi dan Koko petang semalam. Miyah tersengeh-sengeh. Kemudian saya bertanyakan apa benda yang pelik tentang anak-anak kucing itu.

“Misai panjaaaaang! Beruntung akak ni, kan misai kucing boleh buat ubat?”

“Bukan misai haiwan lah! ... sejenis pokok namanya misai kucing!”

Miyah ketawa lagi, dan ketawanya amat menyenangkan saya. Ketawanya kebelakangan ini tulus dan telus - petanda luka hatinya kian sembuh.

Saya menemui Miyah seperti saya menemui Mulan. Dia memerlukan santapan rohani dan kasihan insan lain untuk menawar lara dan sesal hati akibat kesilapannya sendiri. Sedar akan matlamat hidupnya, walau bingung dan kadang goyah, dia tetap mara bersama tekad juang di jiwa mahu menghidupkan citra suci menjadi insan kamil.

“Sempatkah saya kak?” Miyah sering bertanya. “Sempatkah diri ini betul-betul bersih sebelum mati?”

Saya mengingatkannya untuk tidak melupakan pesanNYA - "Barangsiapa mahu bertemu Aku dan mengikuti jalanKu maka Aku akan mendekati orang itu dengan lebih cepat dari dia berusaha mendekatiKu."


*10/8/2008
Pinggir Kota, KL.


Salam.

Sunday, 3 August 2008

Jaguh

Aduuuuh, dia menelefon lagi! Sudah 4 kali dalam masa 10 minit dengan soalan yang sama, “Kat mana?” Saya memohonnya untuk bersabar. Maklum, saya memandu kereta bukannya terbang macam garuda. Dia ketawa.

Saya tahu dia risau selagi saya tidak muncul di depan matanya. Dia benar-benar mahukan saya datang untuk bersantai, sebab katanya akhir-akhir ini saya sering saja membebankan fikiran dengan kerja-kerja yang memberatkan hati. Tepat omelannya itu, tapi ujar saya, saya tidak suka meringan-ringankan hati, nanti raga saya menjadi seringan spora yang diterbangkan angin seenaknya kemudian jatuh entah di mana.

Saya umpama gendang kosong katanya lagi, bunyi suara saja yang kuat mahu melihat dan menonton itu dan ini tapi tidak mahu menjadikan kemahuan itu satu kenyataan. Barangkali dia mahu mencabar saya, maka Sabtu lalu dia membuat kejutan. Dengan tiket di tangannya, saya tiada alasan lagi untuk menolak permintaannya.

Senyumannya meleret melihat saya tiba di ruang legar dan setelah urusan tiket selesai di pintu masuk, kami beredar ke tempat duduk. Wow, satu kedudukan yang sangat bagus – baris ke-empat betul-betul di hadapan gelanggang kaca! Saya menarik nafas lega ... yeay, akhirnya impian tercapai untuk menonton perlawanan squash bertaraf dunia secara langsung! Alhamdulillah.

Maka bertarunglah dua orang jejaka jaguh squash negara. Hebat, tangkas, pantas ... perlawanan sengit sekali! Tiba-tiba pada set ke-empat bola melantun keluar dari gelanggang. Penonton tertanya-tanya bolanya ke mana?

Only one ball ka?” Tanya seorang penonton di belakang kami.
Don’t know.” Jawab temannya.
How come they play with one ball only?"
You ask the referee lah!”

Seminit kemudian bola baru dibaling masuk ke dalam gelanggang.

Oh, saat yang ditunggu-tunggu tiba! Pemain wanita nombor satu dunia itulah yang saya mahu lihat beraksi di depan mata. Sungguh, dia sememangnya hebat di gelanggang. Lebih dari itu, peribadinya mengagumkan saya.

“Dari caranya bermain, saya tahu dia sangat ikhlas dengan perjuangannya. Berjuang untuk dirinya, negaranya dan untuk sukan itu sendiri. Dia sememangnya jaguh - satu contoh peranan. Orang seperti dialah yang layak diberi penghormatan dan gelaran. Ini tidak ... panjat pokok kelapa pun dapat gelaran, naik sampan keliling laut pun dapat gelaran, balik melancong dari awan pun dapat anugerah ... blaaa ... blaaa ... blaaa ..."

"Aiskrim dah mula cair ni ..." Dia.

Ooopss, lupa pula aiskrim ada di depan mata!


*26/7/2008
CIMB Malaysian Open Squash 2008
The Curve, Selangor.


Salam.