Secubit cili, secangkir madu pembuka selera bersahur atau berbuka :)
Awas, bingkisan ini sangat panjang!
Petikan komen Blackpurple (BP), dalam entri ini:
Alhamdulillah, BR diberi kekuatan untuk menegur tepi kain orang yang koyak dengan kata-kata. Agaknya, kalaulah saya yang berada di tempat BR, mungkin saya tak mampu…….Mungkin cuma mampu menahan sebal dan bengkak di dalam dada sambil mencari kesempatan mencuri-curi pandang di sebalik celah kain yang koyak itu agaknya. :)
Kasihan emak dan ayah pasangan itu....
...
Salam BP,
Komen BP itu adalah pencetus bingkisan ini. Atas izinNya. Alhamdulillah.
Dunia kita semakin berantakan. Fi'il manusia secanggih binatang. Juadah di jagat nyata dan maya sama sedapnya mencabar, mengangkat dan merobek nafsu kehidupan manusia. Umat Muhammad pula semakin galak melalak-lalak dengan mata terbelalak mencari keseronokan sehingga alpa diri. Ada yang bercakaran sesama sendiri. Siang dan malam tiada bezanya. Ringgit dan sen menjadi habuan utama memuaskan kehendak nafsu menggila untuk keselesaan duniawi. Tidak apa kalau maruah diri, bangsa dan agama dilelong asalkan diri dinobatkan sebagai yang cemerlang, gemilang, dan terbilang!
Manusia juga sudah lupa pada tanah yang menjadi tapak mereka berpijak, menumpang teduhan langit Tuhan – menanti sinar suria menghangat hari, menunggu titis hujan menyubur bumi hijau. Namun syukur manusia kepada anugerah Tuhan itu sekadar di hujung lidah, mudah terkulai dan gugur. Maka syukur menjadi cukur perkasa yang gah membotakkan segala yang terhampar mengindahi jagat ini. 'Pabila taufan melanda badai mengganas, ombak mengaum samudera menggila, dan tanah menjadi lumpur, manusia hanya mampu meraung dan menangis! Tidak sempat pun menggigit jari!
Keseimbangan hidup semakin lenyap ditelan jerebu alam sekitar buatan manusia itu sendiri. Jalan pintas itulah pilihan utama yang sering membutakan mata hati sehinggakan jalan tengah yang sederhana itu tiada dalam pandangan lantas tergelincir jauh ke kanan atau ke kiri. Silap haribulan, terhumban ke dalam gaung yang dalam!
Ya, kasihan sungguh pasangan itu yang tahu tapi tidak faham sari makna puasa. Kasihan emak dan ayah mereka juga yang sudah tentu bermati-matian mengatakan yang anak mereka itu baik, menurut perintah, dan beradab. Maka itu, anak-anak dilepaskan tanpa sangsi.
Orang yang kainnya koyak di tepi perlu ditegur. Barangkali koyak itu tidak kenampakan olehnya. Mungkin baru terkoyak tanpa sedarnya. Barangkali juga koyak itu dalam sedarnya tapi sengaja tidak dipedulikan. Jangan biarkan koyak itu membesar hingga mededahkan aurat si pemakainya. Seeloknya dijahit segera. Walau hanya dengan jahitan jelujur, itu sudah memadai untuk sementara waktu. Hulurkan doa moga jahitan itu nanti dikuatkannya.
Hidup kita bagaikan aur dengan tebing - bahu-membahu. Umpama irama dan lagu - seiring jalan. Cubit peha kanan, peha kiri pun terasa sakitnya. Setiap kita adalah kakak, abang, makcik atau pakcik yang perlu menegur dan menasihati insan lain. Malahan andai kita ini berpangkat adik atau anak sekali pun, ada waktu-waktunya kita wajar menegur yang lebih berusia sekiranya tindak-tanduknya melanggar perintah agama.
Bertanyalah kepada diri siapa kita? Apakah jurus kita? Mahukah kita melihat kehancuran sewenangnya berlaku di depan mata sedangkan kita berujar sakan dan merayu sendu agar Dia mencintai kita? Di mana cinta kita untuk Dia? Apa nanti jawapan kita di alam baqa kala ditanya apakah yang telah kita lakukan dengan umur kita, masa kita, harta kita, ilmu kita?
sanggupkah melihat kehancuran
sedang kita tuju keamanan?
sanggupkah menentang kebenaran
sedang kita dalam keimanan?
Kita menuding jari salahkan itu dan ini. Jangan lupa tuding jari itu ke arah diri sendiri. Salahkanlah diri kita andai kita membiarkan maksiat berleluasa di depan mata membiarkan yang hak menjadi batil dan sebaliknya, lalu memberi undangan kepada persekitaran yang menghancurkan ummah. Salahkan diri kita andai kelak kita dirompak, ahli keluarga diculik, dirogol, dibunuh! Ketika itu penyesalan tidak lagi berguna! Kenapa tidak dibanteras kala ini?
BP, saya yakin kita mampu merubah keadaan. Kita tak perlulah tunggu Tok-Tok Menteri itu menggubal undang-undang untuk membolehkan orang awam menegur insan lain. Mereka itu orang-orang yang berhormat lagi terhormat yang sibuk sekali. Kalau tidak bertaichi dalam lemari, mereka bisa saja bergelek-gelek di mana-mana! Undang-undang sebegitu sudah pun termaktub di dalam Quran dan Sunnah. Tidak perlu berhad-had hari untuk menyampaikan amanahNya dan pesan Baginda.
Belum cuba belum tahu. Kekuatan kadang-kadang datangnya tanpa diduga. Kita hanya perlu keyakinan bahawa Dia yang memberi kekuatan itu, dan kita perlu menyempurnakan tanggungjawab kerana kasih kita kepadaNya. InsyaAllah, Dia akan menjaga kita dan kita sendiri akan kagum dengan apa yang telah kita lakukan itu. Maha Kuasa Allah.
Kita mulakan dengan teguran, selebihnya urusan Allah SWT untuk membuka hati orang yang ditegur itu.
Namun tidak dinafikan ada waktu-waktunya kita gagal menyempurnakan tanggungjawab itu, dan melalui detik-detik pedih menghancur hati kerana dimarah dan dimaki hamun dengan kata-kata kesat kerana tindakan menegur perangai biadap seseorang. Usah pandang sipi rentetan peristiwa sebegitu. Renung dalam-dalam. Kesedihan itu sebenarnya adalah pembuka jalan kepada satu kekuatan lain iaitu keupayaan menilai buruk baik diri, serta pencetus jiwa murni dalam perjalanan menuju insan kamil. InsyaAllah.
Lihatlah sekeliling. Di mana kita? Ke mana arah tanah air kita? Kita harus bangun dan sedarkan dan wajakan mata hati. Kita dalam permulaan era Dajjal! Dajjal akan datang dengan dakyah yang lebih halus menawarkan meterial, pengubatan, sihir dan pelbagai lagi sehinggakan menjadi bodoh sekiranya seseorang itu tidak menerima tawaran Dajjal itu. Ya, kita manusia sering saja lemah dan bisa tersungkur, tapi usah tinggalkan diri dan keadaan. Mohon padaNya kekuatan kerana jihad kita kini adalah jihad pemikiran, mental dan emosi. Yang malas akan terpulas, yang lelah akan rebah! Justeru, usah berlengah-lengah. Jangan membungkam. Usah termenung-menung tapi merenung-renung. Jagat kita semakin usang, kembara kita bertambah gersang. Pugarkan! Segarkan! Berinya jiwa!
Terima kasih atas komen BP itu, saya amat menghargainya. Satu tanggungjawab telah BP lunaskan. Semoga BP, teman-teman yang lain termasuk saya, diberiNya kekuatan jitu untuk menyempurnakan tanggungjawab menyerlahkan umat Muhammad sebagai umat yang mulia, sekali gus memberikan sinar kepada jagat yang semakin suram ini. Amin.
Wassalam,
BR
"Allahu Rabbi, Allahu Rabbi. Sesungguhnya taufikku semata-mata dariMu. KepadaMu aku bertawakal dan kepadaMu aku kembali"
Salam.
28 comments:
sungguh menginsafkan entry ini.
kecelakaan dan laknat akan diturunkan kepada semua orang angkara orang seperti yg bunuh Nurin tu.Seganas ganas harimau,tidak akan mengapa ngapakan anak harimau lain.tapi manusia ini ternyata lebih jahil daripada harimau di hutan.
(eh,lari pada tajuk ke?)
Bunga...
Bagut! Wa sokong handelet pelesen - 100%! Hehe!
Alahmdulillah.
Manusia menanti timbulnya Dajjal mata satu; barulah mereka akan bertaubat, insaf dan berbalik kepada Islam.
Dajjal itu dah muncul. Matanya yang satu hanya memandang kepada dunia dan material. Mata yang lagi satu, untuk meninjau hal-hal keruhanian dah buta atau dibutakan. Kadang-kadang kita juga (maaf mungkin saya) menjadi Dajjal.
Salam BRampai...
Entri yg sangat menarik...buat saya terkedu sekejap dan berfikir banyak benda...
:)
terasa insaf membaca entri ni... terima kasih...
aku sebak sangat ni. Bole aku tumpang nangis?
salam,
selamat berpuasa...
tingkat amalan dibulan mulia ini... insaf juga la baca ni..
entri yang manis.
semanis tuannya.
menginsafkan.
buat saya terkedu.
terima kaseh atas ingatan.
jaga diri.
Salam.
saya ambil beberapa perkataan yang baik2 dalam isen ini untuk dijadikan sajak. tq
Salam BR,
Terima kasih kerana menulis Jihad Ramadan. Sarat dengan pesanan dan pengertian.
Saya membacanya sabtu lalu. Tetapi saya tidak mahu tergesa-gesa dan gelojoh mahu mengulasnya kerana menulis di kotak komen bagi saya bukan untuk seronok-seronok.
Dunia kita semakin berantakan. Hakikatnya begitulah BR. Dunia tidak pernah bersalah. Kita, manusia, puncanya. Kita kian tersasar dari tujuan hakiki dilahirkan ke dunia. Kita semakin melonggarkan pegangan pada tali agama, kian menjauhkan hati dari pesanan surah dan sirah, dan sering memisahkan akhirat dalam soal-soal kehidupan.
Manusia juga sudah lupa pada tanah yang menjadi tapak mereka berpijak, menumpang teduhan langit Tuhan. Kita juga selalu lupa yang teduhan langit itu cuma sementara dan tanah tempat berpijak itulah juga tempatnya nanti jasad kita bersemadi, saat kita dipanggilNya kembali. Kita takut pada kematian sedang mengingati mati adalah penawar rohani yang paling mujarab.
Bertanyalah kepada diri siapa kita? Selagi kita, manusia lupa kepada tujuan hidupnya, lupa tanggungjawap sebagai khalifahNya, jauh sekali mahu mengingati saatnya akan dipanggil kembali, dan akan dibangkit semula untuk pengadilan, selagi itulah masyarakat akan terus bobrok, dunia tetap akan berantakan. Ciptalah hukum dan akta sekeras mana sekalipun, rekalah pendekatan Islam seideal manapun - sebenarnya tak perlu mencipta pendekatan Islam yang baru, Hadharilah, atau apa sajalah, ajaran Islam sejak diturunkan sudah cukup sempurna - tidak akan menjadi apa, kalau hanya sekadar retorik dan berkiblatkan serakah dunia.
Benar. Menegur adalah tanggungjawap semua. Amat berat amanahnya. Almarhum datuk saya pernah berkata, membaca khutbah jumaat boleh dilakukan oleh sesiapapun, tapi menyampaikan amanat yang tersirat dari khutbah itu berat amanahnya. Saya sendiri, kadang-kadang, ada saatnya lantang menegur kebejatan dan ranah masyarakat tapi ada ketikanya pula, tidak mampu menegur kekoyakan akhlak di depan mata sendiri. Takut nanti dikata, menegur kain orang yang koyak tapi seluar sendiri berlubang di hadapan pun tak sedar [kalau koyak di belakang punggung, tak nampak, mungkin boleh juga dimaafkan…]
Nabi pun pernah bersabda, sesiapa yang melihat kemungkaran, hendaklah dicegah dengan tangan [kuasa], seandainya tidak mampu, tegahlah dengan lidah dan jika tidak mampu juga, lakukanlah dengan hati.
Ulasan ini sebenarnya adalah pesanan dan peringatan buat diri saya sendiri, yang mahu saya kongsikan. Terima-kasih sekali lagi BR. Semoga tulisan BR itu dapat membuka pintu sedar semua yang membacanya [maksud saya membaca dengan mata hati…] Insya-Allah.
[Maaf kerana menggunakan ruang komen BR terlalu panjang…]
Wassalam,
BP
salam kehidupan,
"Allah tidak akan mengubah sesuatu kaum itu sehingga mereka yang mengubahnya sendiri"
kan begitu janjinya...
InsyaAllah kita yang memyakininya dan kitalah juga yang akan membuktikannya.
entry yang sangat bernas.
terima kasih :-)
banayk nya kata-kata manis...
Menarik isi suratnya. Saya suka baca :)
Amin!
aduh... terasa byk benar dosa dlm diri ini.
aminnnnn......
"Mereka cuba menipu Allah serta orang orang yang percaya, padahal mereka hanya menipu diri diri mereka sendiri, sedangkan mereka tidak mengetahuinya". Al-Baqarah : 9.
Manusia sudah HIPOKRIT
Butaseni, komen itu sangat berkait rapat dengan entri ini.
Ah Kim, terima kasih atas sokongan. Kenapa tidak 110% :p
Bro Keng, atas izinNya jua.
Sungguh hebat kenyitan satu mata Dajjal itu. Mudah saja manusia tergoda dan menjadi lemah. Semoga kita semua tetap di jalanNya dan dilindungiNya sepanjang masa.
13may, salam kembali. Fikir itu Nur ilmu.
Sastri, rasa insaf membawa hati kita lebih dekat padaNya.
Wanie_agk, boleh. Ada juga teman saya menangis. Nah, ambik saputangan ni ... kesat air matamu.
Faridmw, salam kembali. Ya, kita sudah di pertengahan Ramadhan. Tingkatkan ibadah menuju 10 hari terakhir.
Akirasuri, manis lagi adik akak sorang ni. Jaga diri juga Dik. Salam kembali.
King, dah siap sajak?
Cermindiri, salam kehidupan kembali. Kita mohon, kita minta, kita yakin padaNya. InsyaAllah.
Azer, sama-sama kita menuju kebaikan.
Cikdinz, untuk dikongsi bersama.
Zalisa, terima kasih :)
Bro PK, Ya Rabbilalamin.
Kamarul, pintu taubat sentiasa terbuka untuk hamba-hambaNya.
Jinggo, Ya Rabbilalamin.
Goro, tidak semua manusia hipokrit. Masih ada yang bermati-matian menuju kebenaran. Semoga kita termasuk di dalam yang 'masih ada' itu.
Salam kembali BP,
Terima kasih juga memberi ulasan yang berjiwa. Dapat saya rasakan kemurnian kata-kata BP itu. Saya terharu.
Antara Dia dan saya ada BP. BP perantara. Demikian yang pernah saya katakan kepada BP dalam satu komen beberapa waktu lalu. Manusia saling melengkapi dalam kehidupan yang umpama jigsaw puzzle ini. Kepingan-kepingan yang hilang perlu dicari dan dilekatkan semula. Kepingan-kepingan yang longgat perlu dikuatkan.
Dunia tidak pernah bersalah." Ungkapan ini terlalu menusuk jiwa saya dan membawa benak berfikir jauh tentang kehidupan yang fana ini. Terima kasih untuk itu BP.
[Kotak komen untuk dimanfaatkan sebaiknya. Panjang atau pendek tidak menjadi masalah kepada saya. Malahan secebis senyuman mampu saja membawa hati girang dan benak berfikir :)]
Terima kasih sekali lagi BP. Ulasan BP adalah pelengkap kepada Jihad Ramadhan. Alhamdullilah.
Wassalam,
BR
Bunga...
Tamau hapdet kasi celita balu ho? Tapa la ho! Hehe!
terimakasih untuk ingatan itu.
Allahuakbar!!!
Salam Eidul Fitri. Maaf Zahir Batin.
teruskan perjuangannn...
Terkedu dangan komen Ayoh Keng...
Sungguh menginsafkan.
Ah Kim, nantilah saya update :-)
NBB, sama-sama.
Mak Su, Allahuakbar!
Ah Kim, salam aidilfitri juga dan maaf zahir batin.
Ismisuzu, sama-sama kita berjuang!
OSH, moga Ramadhan membuka ruang lebih luas untuk kita mengabdikan diri kepadaNya.
Puteri Ezza, pintu taubat ada di depan mata kita.
Post a Comment