Saturday, 27 July 2013

Kek Kurma: "Move on... forget the past!"

Tengahari semalam. Tiba-tiba si Rampai teringin mahu makan Kek Kurma masa iftar nanti. Sekali sekala jadi Chef Rampai okey juga, fikirnya. Teringat pula mana disimpan resepi Kek Kurma yang diberi oleh seorang kawan dua tiga tahun lepas. Benak meyakinkan hati bahawa resepi itu ada terselit di dalam himpunan keratan resepi setebal dua sentimeter yang disimpan longgar di dalam buku resepi istimewa ~ istimewa kerana buku resepi itu menyimpan pelbagai resepi makanan kegemaran si Rampai. 

Hairan. Cari punya cari bukan resepi Kek Kurma yang ditemui tetapi sehelai kertas A4 dilipat dua amat menarik perhatian. Lipatan dibuka dan inilah kisah yang tertera di atasnya:
  
A wise man once sat in the audience & cracked a joke. All laughed like crazy. After a moment he cracked the same joke again and a little less people laughed this time. He cracked the same joke again & again. When there was no laughter in the crowd, he smiles and said: “When you can’t laugh on the same joke again & again, then why do you keep crying over the same thing over and over again? Forget the past… move on!

Di bawah kisah itu ada catitan ringkas. Membacanya mengingatkan si Rampai bahawa itu adalah kata katanya sendiri sebagai membalas kisah di atas yang dikirim oleh seseorang. Beginilah bunyinya:

Saya setuju!. Ya, mengapa harus meratapi hal-hal yang telah berlalu sedangkan ia tidak akan kembali atau berulang? Betapa lemahnya perasaan/jiwa kita manusia, kita seolah-olah takut untuk melihat ke hadapan… takut untuk menghadapi apa yang bakal dihadapi. Kenapa harus takut sedangkan masa hadapan itu di luar kawalan kita? Adalah lebih baik kita sentiasa bersiap sedia memantapkan diri terutama jiwa kita supaya apa yang akan datang kepada kita dapat dihadapi dengan tenang, dan andai apa yang melanda kita pada masa hadapan sama ada baik atau buruk… sebagai seorang Muslim kita mampu berkata “cukuplah Allah buatku.” Wallahu’alam.

Now, move on to the story of Kek Kurma...

Yeay, resepi Kek Kurma sudah dijumpai! Tak kisahlah resepi itu ditulis di atas tisu dapur kata si Rampai, asalkan keknya menjadi. Yahoooo!


Setengah disedekahkan kepada jiran sebelah. Seperempat untuk jiran depan rumah. Seperempat lagi empunyanya si Rampai.  Sedaaaap! Alhamdulillah.

Salam.

Sunday, 21 July 2013

Bulan sabar

Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Salman Radhiallahu'anhu, katanya: Rasulullah Sallallahu'alaihi Wasallam berkhutbah di hadapan kami pada hari terakhir daripada bulan Sya'ban.

Baginda bersabda: "Wahai manusia, sesungguhnya kamu dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah telah menjadikan puasa-Nya suatu fardhu dan qiyam di malam harinya suatu tatawwu' (sunat).

Barangsiapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardhu di bulan yang lain dan barangsiapa yang menunaikan suatu fardhu di dalam bulan Ramadhan maka samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardhu di bulan yang lain.

Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedang sabar itu pahalanya adalah syurga. 

Ramadhan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah memberi rezeki kepada para mukmin di dalamnya. 

Barangsiapa memberi makanan berbuka di dalamnya kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dia dari neraka.

Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa itu, tanpa dikurangkan sedikitpun."

Para Sahabat berkata: "Ya Rasulullah, tidaklah kami semua memiliki makanan berbuka puasa itu untuk orang yang berpuasa?"

Maka bersabda Nabi Sallallahu'alaihi Wasallam: "Allah memberikan pahala itu kepada orang yang memberikan sebutir kurma, atau seteguk air, atau sehirup susu. 

Dialah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan pengakhirannya merdeka dari api neraka. 

Barangsiapa meringankan beban daripada hamba sahaya (pembantu-pembantu rumah), nescaya Allah akan mengampuni dosanya dan memerdekakannya daripada api neraka.

Oleh itu perbanyakkanlah empat perkara di dalam bulan Ramadhan. 

Dua perkara untuk menyenangkan Tuhanmu dan dua perkara lagi untuk kamu sangat menghajatinya. 

Dua perkara yang kamu lakukan untuk menyenangkan Allah ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan memohon keampunan kepada-Nya.

Dua perkara lagi yang kamu sangat memerlukannya ialah memohon syurga dan berlindung daripada neraka.

Barangsiapa yang memberi minum kepada orang yang berpuasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolam itu dengan suatu minuman yang dia tiada merasakan dahaga lagi sesudahnya, sehingga dia masuk ke dalam syurga"

(At-Targhib, Jld.II, 217-218)


Salam.


Wednesday, 17 July 2013

Oh, Bulan!

Cantik sangatkah Bulan menyebabkan Pungguk pun tidak silu silu merinduinya? Atau Bulankah yang pandai bermain silap mata – memukau setiap pandangan lalu menebak rasa dan alih alih lirih cinta pun mercup menggoda hati? Kalau cinta pandang pertama semaraknya tiada – pada pandang ketiga hati pasti pasrah dan mengalah pada Bulan. Oh, Bulan! Bulan bercahaya orang suka. Bulan sabit orang gembira. Bulan sipi sipi di sebalik mendung pun boleh buat orang senyum. Bulan gerhana lagilah sangat mengujakan sekalian makhluk alam!

Bulan nun jauh di atas langit sana tidaklah jauh sangat. Boleh dicapai dengan tangan bak kata lirik ini …

Oh bintang mana bulan
Atas pucuk pokok kari
Bintang tanya pada bulan
Mana jatuh matahari?

… nah, Bulan itu dekat sahaja! Nun di atas pucuk pokok kari. Capailah Bulan semahu hati namun usah sekali kali bertanyakan dia - mana jatuhnya si Matahari. Nanti jawab Bulan: “Hariku malam bukan siang, tugasku mengindahkan kelam malam. Malamku juga malam, tugasku menyembunyikan rahsia malam. Tugasmu membongkar rahsia itu.” 

Bulan sangat berharga kepada manusia. Nak puasa - tengok bulan. Nak raya –  tengok bulan. Nak bersalin – tunggu bulan. Orang perempuan datang bulan. Nak gaji – akhir bulan. Hujung bulan – ceti/ah long menagih hutang. Kalau nak undi pun ada parti Bulan. Oh, Bulan!

Bulan sentiasa dipuja puji, diasyiki cahaya dan keindahannya. Maka itulah Bulan jauh nun di langit sana pun kita nampak dan kita cinta. Bagaimana dengan Khalik – nampakkah kita akan Dia? Adakah puji dan asyik kita untuk Dia?

Puji dan asyikilah Khalik dalam keadaan berdiri, duduk, dan berbaring – puji dan asyiki Dia dengan sujud; dengan zikir Asmaul Husna Nya; dengan menghayati dan meneliti risalah risalahNya; dengan meneladani sunah sunah RasulNya. Nanti Dia mendekati kita lebih dekat dari yang kita fikirkan. Nanti ada rasa yang paling dalam menggamit naluri yang mengalirkan ingatan, cinta serta rindu kita kepadaNya. Ingatan, cinta dan rindu itu tidak akan disia siakanNya - segalanya menjadi harta dunia dan harta akhirat.

Sesungguhnya Khalik itu sangat dekat dengan kita. CahayaNya Maha Agung. 


*Terima kasih Bro Keng. Pesan ringkas sehari sebelum Ramadhan mengilhamkan tulisan ini. Alhamdulillah.


Salam Ramadhan.
8hb., 1434H

Thursday, 4 July 2013

Sahabat

Dia hanya belia kampung. Membesar di kampung. Belajar pun di kampung. Kemudian dia sambung belajar di U tidak jauh dari kampung. Usai pengajian dia bekerja di kampung.

Pakaiannya biasa biasa sahaja. Ke mana pun perginya dia lebih selesa berseluar denim lusuh dan kemeja T tanpa kolar. Berselipar jepun lagi. Sekali sekala ada majlis rasmi dia mengenakan tailored slacks berpadankan kemeja berlengan panjang. Kasutnya tidak berjenama. Asal boleh pakai, okeylah katanya.

Gajinya sesudah dipotong apa yang wajib dipotong termasuk sumbangan kepada ibu dan bapanya digunakan untuk menyerlahkan hobinya. Di kampung juga. Hobinya seperti: menjadi penasihat remaja dan anak anak muda yang bermasaalah; menjadi abang kepada anak anak yatim; pembimbing kepada mualaf; menjalankan bengkel apa apa sahaja yang patut untuk memajukan penduduk dan kampung. Dia juga reporter kampung -  menyebar berita tentang majlis kenduri, tentang orang sakit, perkahwinan, dan kematian. Beritanya tulus dan telus.

Dia bukan Ustaz. Orang orang kampung pun tidak menggelarnya Ustaz. Namun kerananya golongan muda kini mengimarahkan surau dan masjid. Kerananya surau kampung menjadi ceria. Kerananya surau menjadi sumber ilmu terutama kepada golongan muda.

Dia sahabat kepada semua penduduk kampung. Penduduk kampung menyenanginya.

Malam ini surau kampung sesak. Tidak putus putus orang ramai datang dengan tertib. Luar biasa ramainya dari biasa jika ada kegiatan di surau. Mereka datang berhajat - bersama sebak dada dan lelehan air mata. Bersedekah doa kepadanya. Al-Faatihah.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, Allah yang melimpah-limpah rahmatNya akan menanamkan bagi mereka dalam hati orang ramai perasaan kasih sayang. (Surah Maryam, 19:96)

Kembalinya dia ke Rahmatullah pada usia muda seperti yang dijanjikanNya. Tidak lambat dan tidak cepat walau sesaat pun. Sesungguhnya janji Allah itu benar.

Semoga rohnya ditempatkan bersama para solihin. Aamiin.


Munas... jasamu dikenang, amalmu jadi teladan.
3 Julai 2013


Salam.