Monday, 29 September 2008

Salam Aidilfitri


~ maaf dimohon, maaf diberi - zahir dan batin ~


Sebelum beraya, kena jawab dulu tag raya Mak Su:

Soalan 1: Berapa pasang baju raya anda tahun ni dan warna apa?
1 pasang, warna jingga muda.

Soalan 2: Apakah makanan raya tradisional kegemaran anda?
Ketupat nasi dan kuah kacang (yang dicampur sedikit daging). Inilah makanan utama saya pada raya pertama – pagi, tengahari, dan malam.

Soalan 3: Apakah biskut raya kegemaran anda?
Kuih makmur – satu balang saya punya. 2 balang lagi untuk jamu tetamu.

Soalan 4: Berapa banyak duit raya anda dapat dan spend untuk beri kat bebudak?
Dapat - tak dapat!
Beri kat bebudak – sediakan 100 sampul raya berisi RM? untuk bebudak datang rumah.

Soalan 5: Apakah aktiviti malam raya anda?
Selesai urusan dapur, sembang-sembang sambil minum-minum kat serambi. Sesi ini gamat dengan gelak-tawa sebab banyak cerita lawak masa kecik-kecik diungkit semula.

Alhamdulillah. Hari Raya sememangnya meriah dan indah. Namun jangan kita lupa memeriah dan mengindahkan insan-insan yang terpinggir, lemah dan miskin. Semoga Syawal kita dirahmatiNYA.

Salam Aidilfitri.

Sunday, 21 September 2008

Ramadhan - malam malam sunyi berkandil cinta

Alangkah waktu-waktu sepi begitu di puncak malam mendepang rasa. Qalbi bersyair khair sambil benak merenung bintang - menggetar segenap jiwa dan raga. Aduhai, asyik nian mengoles rasa - alam pun tahu. Maka salam sang bayu bersambut cuma di pinggir bibir, dan kelip si kunang-kunang singgah hanya di hujung pandang.

Betapa kolek rasa yang merenung sambil bersyair khair hanyut jua di sungai malam. Berkandilkan cinta Ramadhan, tenanglah hati mendayung harap menuju sirr sebutir mutiara. Moga berkilau jua cahaya mutiara di qalbi sebelum malam berangkat pergi.

Aduhai. Tersuar tangis di perdu hati tatkala sinar bintang mula berselindung di sebalik sutera subuh, dan sekalian pepohon mula berkasih dengan embun. Detik itu sang waktu pun akur melepaskan malam-malam penuh cinta untuk menjemput siang yang bakal mendandan rindu sekalung akad Laila yang entah akan ketemu lagi atau tidak pada musim mendatang.

Alangkah malam-malam begitu di puncak rasa menjunjung doa bertemankan kandil cinta Ramadhan ...

“Subhanallah, Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim. Aku kembalikan rasa syukur kepadaMu Ya Allah di atas kemurahan rahmatMu mengalirkan cahaya RamadhanMu yang menjadi nikmat kepada bathinku. Sesungguhnya setiap saat dalam Ramadhan ini aku merasa cukup hampir denganMu.

Engkaulah cahaya jika aku dalam kegelapan kerana engkau sentiasa memberikan petunjukMu. Hanya kerana aku manusia yang dhaif ini sering alpa, maka seringkali aku kehilangan arah walaupun petunjukMu melintas di hadapanku. Ketika hatiku penuh dengan pelbagai soalan, kau sentiasa menjawab setiap pertanyaan dan kemusykilan hatiku dengan wajahMu yang berseri-seri.

Ya Allah, Engkau terlalu baik kepadaku, dan ucap syukurku terlalu remeh untuk segala kebaikan yang telah Engkau berikan. Ampunkan aku dan segala kealpaanku selama ini Ya Allah. Ampunkan aku dan segala kealpaanku selama ini Ya Allah. Ampunkan aku dan segala kealpaanku selama ini Ya Allah. Allah Hu Ya Allah.”



*20/9/2008
Kembara Hati.


Salam.

Friday, 12 September 2008

Magic

Aduhai. Orang seperti saya ini yang buat kuih akok pun tak menjadi, apa tah lagi membuat kuih raya yang bukan hobi saya, alahai ... kenalah buat sesuatu supaya tiba Hari Raya nanti ada juga beberapa balang kuih yang dibawa pulang ke kampung. Juga untuk dihadiahkan kepada jiran-jiran dan kawan-kawan.

Kenangan. Betapa kemeriahan membuat kuih raya bersama keluarga sama meriahnya seperti berbuka puasa dan hari pertama raya. Meriah sungguh mesyuarat untuk memilih dan memutuskan apakah kuih-kuih yang perlu dibuat; maka bermacam-macamlah resepi lama dan baru diketengahkan. Riuhlah mesyuarat dengan sokongan dan bantahan yang diselangi senda gurau; dan seperti selalunya saya yang hanya tahu makan sedap, mengayak tepung dan memukul telur akan mengiakan saja kuih yang saya suka. Nah, bermula hari ke dua puluh puasa, dapur pun bertukar aroma yang sangat menggoyah hati! Bertambah-tambahlah meriah suasana apabila sepupu sepapat bertandang sekali gus rela menghambakan diri menjadi pembantu; dan mama dengan senang hati menghadiahi mereka sebalang kuih seorang untuk dibawa pulang.

Itu kenangan di kampung. Dulu-dulu. Ya, dulu-dulu pun saya tidak berminat sangat membuat kuih raya. Orang lain sibuk menguli tepung di dapur, saya sibuk mengejar burung pipit di bendang. Orang lain sibuk mecanai kuih, saya sibuk mengutip bunga-bunga liar di pinggir kali. Orang sibuk membakar kuih, saya sibuk mengamati serangga-serangga aneh di birai hutan. Orang mencipta kuih baru ... saya melakar kenangan.

Sejenak merenung waktu. Betapa waktu memisahkan yang dulu-dulu dengan yang sekarang. Namun waktu tidak berbisa untuk merenggang sedikit pun ikatan kenangan dari kalbu. Semakin waktu meninggalkan musim, semakin utuhlah kenangan menjadi iktibar, mencetus ilham, dan membentuk akal. Dalam rentang waktu yang panjang di bawah naungan kerlipan bintang yang menjulai gagah - mudah-mudahan iktibar, ilham dan akal diadun menjadi pelita malam-malam Ramadhan yang penuh rahsia. Semoga rahsia itu terungkai lalu membentang usia yang bernilai kemudian dimanfaatkan untuk menebus apa jua yag tidak terlaksana sebelumnya dan mewarna semula jiwa yang pudar. Wallahu'alam.
.
.
.
Barangkali saya memerlukan keajaiban untuk membuat kuih raya. Abracadabra? Hai pawang laut pawang darat? Pooh sana pooh sini? Errr, tak payahlah! Saya ada magic ... yeay!

Saya akan menggunakan magic jari telunjuk saya untuk mendapatkan kuih raya. Saya hanya tunjuk pada kuih-kuih yang saya suka ... makmur, samprit, tart gulung, London almond ... dan dalam beberapa hari saja kuih raya ada di depan mata! Fuyooooo!


Salam.

Monday, 8 September 2008

Girang


O-la-la! Girang sungguh rasa hati walau petang semalam kuih akok yang dimasak tak berapa menjadi – keras semacam! (Pa’chik pasti gelak sebab resepi akok saya ambil dari blognya, tapi masa percubaan pertama dulu menjadi elok. Hmm … oven tu kut yang dah tak betul. Err… salahkan oven pulak dah!)

Sejujurnya saya sendiri tidak tahu kenapa saya gembira sangat sepanjang hari semalam hingga terbawa-bawa ke pagi ini. Girang tak terperi walaupun Hamilton (McLaren) dilucutkan kemenangan dalam lumba F1 Belgian Grand Prix semalam.

Firasat saya, kenyamanan udara di atas bukit di sebuah perkampungan itulah punca kegirangan ini yang telah menyantun pelbagai rasa, dan angin yang menyapa wajah membawa benak kembali ke teratak maya lalu sekilas rasa di hujung hati terungkaplah kata-kata ... yeay, Bang Lope sudah pulang dari berburu dan kembali bercerita!

Kemudian liuk-lintuk dedaun yang bagaikan sedang menari inang dek dibuai bayu tiba-tiba menggetar sukma lalu mercuplah embun rindu jauh-jauh di ampaian rasa, maka terbanglah jiwa membawa rindu itu menuju ke mukimnya. Aduhai, rupa-rupanya rasa rindu juga menggirangkan! Rindu atas izinNya jua. Saya merindukan dia yang berkelana, melayangkan madah entah bila ...

Hisyy, melalut sungguhlah saya pepagi ni!

Saya sebenarnya mahu bercakap tentang saya kena tag. Lihatlah gambar di atas itu, comelkan? Terima kasih is150 atas ingatanmu. Sudah tentu saya gembira menerimanya dan untuk menyambung kegembiraan ini saya tag pula 5 teman blogger yang ini ... Achik, Chicz, Izariza, Pa’chik, Puteri Cahaya. Jika punya masa luang, sambung-sambungkan kegirangan kalian melalui cara-cara berikut ...

1. Salin gambar smiley di atas dan lekatpan pada blog anda.
2. Tag 5 orang teman blogger [muslim] anda.
3. Beritahu 5 teman blogger itu yang mereka telah ditag.

Selamat berpuasa.


*07/9/2008
Sebelum suria tersenyum.
Kampung Sungai Pusu,
Gombak, Selangor.


Salam gembira.