Saturday, 14 July 2007

Janji

I.
Demikian setianya janji yang bermukim damai di jambangan hati, menanti dalam tenang lamaran sang purnama mengambang. Pada hati yang utuh berjanji, tiadalah aral segarang badai pun yang bisa menghancurkan janji itu. Tidak juga ombak mengganas mampu memamah sebuah janji nan seteguh waja. Janji adalah amanah, dilunaskan atas nama cinta Khaliq.

Namun janji Khaliq lebih perkasa. Taufan bagiNya hanyalah usikan naluri dan gelombang itu sekadar menguis-nguis rasa. 'Pabila mahuNya berkata “jadilah”, maka tanpa curiga janji itu hanya tinggal ungkapan yang terkulai di pinggir bibir.

II.
Aduhai, longlai jua sekujur tubuh ini dan hati kecewa tidak terperi! Hanya kerana pembentangan tugasan ditunda ke petangnya, janji hati untuk membawa diri ke Tanjung terpaksa dibatalkan. Sabar dan redha jua.

Mengimbau kembali yang telah berlaku dan berlalu, apa jua yang dikalamNya untuk saya maka itulah yang terbaik untuk saya jalani. Wallahu'alam.

Kereta teman saya telah ditimpa kemalangan dalam perjalanan ke utara. Kawan sebelah pemandu (yang sepatutnya saya jika mengikut rencana asal) mengalami kejangan otot akibat terjerut tali pinggang keledar ketika kereta tidak sempat dibrek, lalu melanggar kereta di hadapan yang melakukan brek kecemasan. Ranap bonet kereta teman itu. Otot kawan yang kejang masih belum pulih sepenuhnya hingga kini.

Kepada keluarga Bakawalee dan Klan Genderangnya, walau tidak berkesempatan menghadirkan diri, kalian tetap hadir dalam hati saya kala Devian Dogma berpencak di atas pentas.

III.
Aah, janggal sungguh berada di sidang minum-minum kopi itu yang lebih banyak berlipur-lipur berdongeng tentang emas berlian. Tentang tebal nipis gelang dan rantai leher, juga tentang sofa Itali dan pakaian dalam Rahsia Victoria.

Selalunya begitulah, berasa janggal sekali kerana mereka wanita-wanita hebat anggun bergelaran itu dan ini. Sepatu dari Milan, baju dari London. Tempah busana Bernard Chandran. Bergincu Shiseido, berselendang renda Perancis. Antara Cleo dan Cosmopolitan -Impiana dan Jelita, tersisip Mangga dan Hai!

Saya berada di kalangan mereka bukanlah menyibuk-nyibuk sebenarnya. Sekadar menunaikan janji untuk menemani kawan saya yang kerjanya kadang-kadang menjaga tepi sarung perempuan anggun sebegitu. Pada suatu hari, selesai entah berapa cawan kopi hitam Brazil yang diminumnya, maka terkeluar dari mulutnya mengatakan saya ini gemar akan segala macam sajak. Wah, sejak itu mereka bukan main lagi mahukan saya mendeklamasikan sajak. Saya kata saya tidak pandai, saya sekadar tahu sedikit-sedikit baca sajak.

Sejujurnya setelah dua kali bersama mereka, saya naik rimas dan tidak tahu lagi sajak apa yang perlu saya sampaikan untuk mereka. Saya mahu menarik diri.

Tiba-tiba suatu malam sedang saya merenung bintang yang cahayanya menyimbah-myimbah benak, saya teringatkan sesuatu. Lalu berujarlah hati bahawa setiap kita perlu berani membuat pertimbangan kepada sebuah kehidupan yang fana ini, yang denainya entah panjangnya berapa hasta dan berapa relung pula luasnya. Hatta selagi nafas gah dihela, usahlah melangut-langut mensiakan setiap detik masa yang dilalui. Hidupkan jiwa dan pugarkan kembali kesedaran dan nilai semula harga diri dan tanggungjawab kepada agama dan ummah.

Siapa-siapa juga kita ini wajarlah berjanji kepada diri sendiri kerana Dia, kerana kita hambaNya. Usah alpa, bukankah sejak dalam rahim ibu lagi manusia sudah berjanji kepadaNya bahawa sepanjang hidup ini kita akan sentiasa bertaat dan berbakti kepadaNya? Berjanjilah untuk tampil ke hadapan menyirna gelap serta menyuluh terang bersandarkan upaya yang termampu oleh jiwa raga.

Janji diungkap untuk disimpul, mati atau tidak simpulan itu terpulang kepada pengungkapnya. Rasa yang tergetar dalam kalbu adalah hasil santapan mata, dinilai oleh akal, diperiksa oleh hati. Menyempurnakan janji setia padaNya adalah penyingkap restuNya dunia dan akhirat.

Oh oh, hampir terlupa pada sajak untuk mereka itu. Saya sambung ...

Sejujurnya setelah dua kali bersama mereka, saya naik rimas dan tidak tahu lagi sajak apa yang perlu saya sampaikan untuk mereka. Namun bintang itu memberi ilham lalu hari minggu lepas saya membaca sajak AJ yang berikut untuk mereka.

naakt
anak-anak kami selalunya
dengan rela tidak sengaja
membuka kutang
membuka celana
telanjang sebelum
cukup matang


beschaamd
kurang ajar sungguh perempuan
perempuan yang berbaju ketat
sendat sambil menutup kepala
dan mendakwa menutup aurat

mahu rasanya berdiri di depan mereka
membuka zip seluar
dan tunjukkan

ini! ini! ini aurat!
hanya nampak apabila dibuka!


Ruang itu menjadi hening. Tiada tepuk sorai seperti selalunya yang membuat saya tunduk silu. Mereka terpaku. Eh, eh … mereka merenung saya dalam-dalam. Selang seminit mereka saling berpandangan. Diam.

Mata kawan saya menyinga, semerah saga memerhati saya. Saya selamba.

“Itu sajak apa?” Tanya seorang yang rona rambutnya bak warna kulit pinang ranum.

Jawab saya, "Sajak-Sajak Suci."

Pak AJ, sajak-sajak nukilan Pak AJ mampu menjadikan saya seorang yang berani! Terima kasih untuk itu. Moga dalam damai dan tenang, di mana jua berada.

IV.
Saya akan meninggalkan teratak sepi ini untuk beberapa waktu. Kala bila saya akan pulang, tidaklah saya berani berjanji.

dalam rentang waktu yang berdebu
tersisip kartu aneh mendayu-dayu
andai purnama tiada retak seribu
teratak kujelang bersama kasihnya bayu


Tiba-tiba saya teringat Loppies dan Bro ZZ.

Moga kalian teman bloggers dalam dakapan hidayahNya selalu.

Salam.

33 comments:

Butaseni@Wan Raja said...

alamak,kesiannya,kemalangan?macam mana dengan kawan awak tu?ok ka?
xpe nanti kami hantar cd,tak pun nanti kami buat show kat kl datang lah ye.
salam

blackpurple @ jowopinter said...

Jika tiada ayat yang lebih indah dan bermakna, tak perlulah saya berkata-kata.

[Ya, mengomen bukan untuk suka-suka, tapi harus 'berjiwa']

Selamat untuk BR..walau apa dan di manapun.

Sastri said...

harap2 kawan BR ok... ada hikmahnya BR tidak dapat turut serta ke Tanjung... Sas juga doakan BR sihat dan selamat sentiasa walau di mana BR berada...

Azer Mantessa said...

wah ... hikmah di sebalik kejadian namun diharap kawan2 Bunga Rampai kembali sihat.

sajak yang baik utk mereka :D

MYA MARJA said...

Terima kasih sajak-sajak berani itu. Dapat juga mengilhami diri agar berani mencuba sajak sebegitu.

kingbinjai said...

alahai bila agaknya saya dapat punyai buku saya sendiri hmmm

Pa'chik said...

alahai.. menghidangkan orang-orang itu dengan secebis dari AJ.. memang perit ah... kelas la rampai!!

banggugar said...

salam,

semoga waktu yg diambilkan utk meninggalkan teratak ini buat sementara waktu BR dlm keadaan selamat..

AMIN!..

(",)

Pegawai Khalwat said...

Ya... ada hikmah di balik musibah.

Jangan risau, ada rezeki sampailah kami ke Kota Lumpur hujung tahun ini.

akirasuri said...

huhu.
selamat berpergian.
jaga diri ek kak :)

CerminDiri said...

salam kehidupan,

yea....sajak-sajak suci. sesuci ertinya walau sedikit pahit membacanya. macam terkena ke batang hidung sendiri.

Iman Mawaddah said...

Salam BR,
Manusia sifatnya memang pelupa. Sungguh simbolik, situasi-situasi dalam entri ini banyak menyedarkan. Terima kasih.

Mak Su said...

bersabarlah

- G O R O - said...

Sebab DIA maha mengetahui dan maha berkuasa..

13may said...

salam BR,
mcm mcm kejadian yea...
sabar ;)

Sunan_Jati said...

salam BR...
insha allah ketemu lagi...

artisticklytouch said...

eksiden katanya...

semoga sihat dan tiada cela...

aku juga gemar mengarang sajak-sajak dan kemudian menghilangkannya, aku puas begitu

Sunan_Jati said...

wah sjak mcm best dan menggerikan jer...

Azer Mantessa said...

a midi composition is titled 'Rampaisari' and is dedicated to you at:

http://www.diary.cadenza.org/azer-mantessa/rampaisari.htm

hope u like it :-)

Anonymous said...

pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian yg berlaku. :)

Izariza said...

Salam Datuk Seri,
Saya rindukan saat menghirup teh dahlia bersamamu! :D Entah kapan kamu mahu pulang ..

Oh ya .. saya kagum dengan keberanian itu. Berani di landasan yang hak. Alhamdulillah..

zizie ali said...

sesuai kau baca 'sajak-sajak suci'. sebab mereka semua 18 tahun ke atas. dah mumayyiz. :)

Puteri Ezza said...

Assalamu'alaikum tuan blog. Wah, saya suka dengan blog ini :-) InsyaAllah, lain kali saya datang lagi.

Salam perkenalan dan salam persahabatan.

denai said...

Ya ruang itu telah mula sepi kerana sang perlipur lara hilang sekejap katanya tapi entah ke mana.

Tidak apa, biarkan dia berhenti membuang mengah untuk sementara
akan rasanya dia akan kembali semula
pada ketagihnya yang sudah lama di sedut dan dihemburkan

tegezoot said...

Biar apapun yg terjadi, saya doakan anda selalu kekal berbunga dan berkembang.

13may said...

salam...
jenguk2 BR :)

Achik_Sufi said...

moga c hat slalu...!!!

Sunan_Jati said...

salam pagi rabu...
mulakan kerja mu dgn bismillah...

:P

Unknown said...

Menjadi berani tidak semudah itu

indera kencana said...

Salam Bunga Rampai,
Saya menyanjungi seorang pendeklamasi puisi Hari Kebangsaan yang mewakili PDRM lebih sedekad yang lalu. Mohd Fauzi. Begitulah namanya. Masih terbayang-bayang di ruangan mata, mimik wajahnya, penghayatan baris-baris kata dan lontaran suara yang kena pada tempat yang disampaikan. Di dalam pakaian seragam Polis dan penyampaian Puisi karya Zaen Kasturi, dia kelihatan sangat bergaya malam itu. Tetapi tuhan lebih menyayangi beliau. Sudah pulang ke Rahmatullah, khabarnya..

- G O R O - said...

assalamualaikum

Akak ok?

Bunga Rampai said...

Butaseni:
Salam kembali.
Kawan tu dah okey.
Saya tunggu DD di KL :)

BP:
Diam-diam ubi berisi.
[Komen BP menyegar jiwa]
Terima kasih. Walau di mana, 'pabila terlihat warna bp, saya pasti teringat BP dan Sas ;)

Sastri:
Terima kasih doa itu. Doa yang sama untuk Sas.

Azer:
Dan mereka faham sajak itu.

Mya Marja:
Saya dah baca sajak di blogmu itu. Cukup berisi. Tahniah! Teruskan.

King:
Sabar. Saya pasti satu hari nanti hasrat itu tercapai. Teruskan menulis sajak. Saya suka sajak-sajak King.

Pa'chik:
Sekadar mengingatkan, juga untuk diri sendiri.

Bang G:
Terima kasih. Doa yang sama dari saya untuk Bang G.

Bro PK:
Moga rezeki melimpah untuk keluarga Bakawalee.

Akirasuri:
Dah kembali dan diri Akak ok ok je Dik. Terima kasih ujaran manis tu.

Cermindiri:
Salam kehidupan kembali.
Pahit untuk diluahkan tapi manis dirasa hati. Atas izinNya jua.

Iman:
Salam kembali, dan kasih diterima :)

Mak Su:
Ya, sabar separuh dari iman.

Goro:
DIA tahu apa yang terbaik untuk hamba-hambaNYA.

13may:
Salam kembali.
Begitulah asam garam, pahit manis kehidupan.

SunanJati:
Salam kembali.
Kita bertemu lagi En. Sunan ;)

Bunga Rampai said...

Art:
Karanglah satu sajak tapi jangan hilangkan, saya mahu baca :)

SunanJati:
Memang mengerikan macam makan cili api.

Azer:
Saya terharu. Terima kasih Azer. Saya amat menghargainya.

Kamarul:
Demikian keagungan Tuhan.

Izariza:
Salam kembali Datin Iza :)

Sudah pulang. Ayuh, leraikan rindumu! Raikan bersama teh halia, dan jangan lupa tambahkan secamca madu asli ;)

Aah, belum pun terhidu aroma teh halia, dapat saya rasakan kehangatan bicara kita ! :D

Bro Zizie: :)))

Puteri Ezza:
Waalaikumu salam.
Salam kenal dan salam persahabatan untukmu jua :)

Denai:
Kembali untuk menghirup udara maya, serta menghulur salam ukhuwah untukmu :)

Tegezoot:
Doa yang indah dan saya tersentuh.
(saja nak acah ni - berkembang molek tak apa, takut berkembang lebar ke tepi :D )

13may:
Salam kembali.
Berseri teratak ini dengan jengukan 13may :)
Terima kasih.

A Sufi:
Alhamdulillah.

En Sunan, begitulah yang elok. Salam pagi Ahad :)

Zalisa Maz:
Menjadi berani keranaNya.

Indera:
Beruntung Indera sempat menghayatinya.
Al-Fatihah.

Goro:
Waalaikumu salam.
Alhamdulillah, akak okey Dik. Baru kembali dari kembara. Terima kasih bertanya.