Saturday, 3 November 2007

Dari Kota ke Lembah Hijau

Mahu saja saya sihir masa itu (bak kata Loppiess) agar berhenti seketika memberi ruang kepada ghairah yang menggebu untuk melukis rindu di teratak ini. Namun saya ini, alahai, asyik-asyik tugasan dan asyik-asyik berjalan.

Bang Lope,

Bingkisan salammu sudah bersambut, dan terima kasih atas tegar ingatan itu pada kawan-kawan di alam maya. Usah terkejut kerana memanggilmu Bang Lope. Aneh, tanah runtuh itu yang memberi ilham untuk tidak berLoppiess-Loppiess lagi.

Pagi itu hujan renyai Bang Lope. Jalan Kundasang - Tinompok diselimuti kabus tebal. Kasihan Kinabalu yang tidak berupaya menonjolkan kegagahannya, walhal senja semalam pantulan rona lembayung di birai langit yang singgah di wajahnya cukup melapang dada dan meredup hati. Manakala putih air yang meluncur deras melalui alur dari puncak gunung telah memugarkan mata saya yang kuyu keletihan! Lampu dari Panalaban pula bak sebutir bintang besar yang memancar di langit. Indahnya alam saujana!

Dingin angin Kundasang menembusi jumper tebal saya, memicit-micit urat-urat yang sudah dua hari membendung lesu kerana meredah hutan Poring yang berkolam air panas itu. Kononnya mahu ke pertapaan kelawar, tapi tak kesampaian dek hujan yang tiba-tiba mencurah-curah tanpa amaran. Lencun jadinya kami, dan eeekk ... ada dua ekor pacat sedap-sedap menjamu selera di kaki saya!

Renyai bertukar lebat. Kilat bagaikan kilau pedang samurai. Guruh berdentum. Tiba-tiba pemandu teksi menekan brek. Empat orang penumpang tersentak, dan anak mata bergalau kemudian terjojol seperti mata ikan mabong 'pabila melihat jalan raya di depan dalam sekelip mata mendirikan kubu, dan tanah berbatu kelikir dari bukit di sebelah kiri jalan berlumba-lumba turun meninggikan kubu itu. Aduuh, remuk hati melihat pepohon subur itu rebah satu per satu, tergolek ke bawah kemudian tertimbus. Agaknya cacing-cacing, cengkerik, anak-anak burung dalam sarangnya, rerama, tupai-tupai, mengkarung, dan hidupan lain yang berkampung di bukit itu berteriakan meminta tolong ...

... kami terpempan, membungkam. Leeh pemandu teksi itu lantas menelefon JKR untuk membuat aduan. Leeh kata kami harus menunggu beberapa jam hingga jalan itu dibaiki. Saya melihat jam tangan ... alahai, pasti terlepas pesawat pulang KL!

Sedih, bukit itu semakin rata dan gondol permukaannya. Sekonyong-konyong perkataan busana melintas di hati. Busana alam runtuh Bang Lope! Itu baru satu, entah berapa dan apa lagi busana alam bakal lenyap di mana-mana dek amarah hujan yang menggila seperti itu.

Entah-entah Hujan tersangat marah lantas mengamuk begitu melihat busana hari raya yang semakin ranggi. Manis-manis dan anggun-anggun perempuan-perempuan yang memakainya, menjadi perhatian para lelaki yang selera makan ketupatnya sama lahap dengan selera mata mengintai-ngintai yang terselindung di sebalik kain organza atau renda tipis yang menutupi fesyen berkemban itu. Sesekali pandangan mereka melunak pada gerak kaki yang menyusun langkah menguak belahan kain lalu menghidang rendang betis yang menggetar jantung!

Aduuh Bang Lope, busana hati manusia rapuh sekali! Betapa manusia itu dalam kegembiraan Syawal mudah saja lupa pada ikrar Ramadhan dan janji Layla. Wallahu'alam.

Empat puluh minit berlalu. Hujan reda namun kelibat JKR belum tiba. "Bodoh bah itu JKR, betul-betul Jangan Kerja Rajin!" Rungut Leeh berkali-kali. Barangkali kasihankan kami, Leeh mencadangkan agar kami berpatah ke belakang mengikut Jalan Ranau-Tambunan-Kota Kinabalu. Kami mengikut saja walau jaraknya lebih jauh dan tambangnya lebih mahal. Tak mengapa asalkan tidak ketinggalan pesawat, kata kami.

Aiseyymaann ... tiba di lapangan terbang kami menggigit jari. Penerbangan ditangguh satu jam. Huh, penerbangan Mana Ada Sistem!

Begitulah Bang Lope kembara raya saya di bawah bayu. Dari kota ke lembah gunung. Antara ranggi kota dan redup lembah menghijau, nyata busana alam dan busana insan diancam oleh busana mata hati manusia yang semakin tipis perisainya. Saya menjadi takut.

Saya masih ingatkan Ghafur, sudahkah beliau mendapat lesen scuba diving?

Mohon maaf Bang Lope, zahir dan batin. Selamat Hari Raya.


Salam.

25 comments:

blackpurple @ jowopinter said...

Ooo...Lembaran terbuka buat abang Lope. Boleh saya tumpang membacanya? [Haaa...mulalah tu nak merepek...:D]

Antara kota dan lembah hijau itu. Mana lebih berjiwa BR? Tapi saya rasa saya sudah tahu apa jawapannya. :)

Izariza said...

Salam Datuk Seri,
Waduh lama benar berpergian kamu, dan tanpa pesan! Kenyang rasanya membaca hasil coretan kamu, seperti selalu :) .. dan oh.. rupanya jauh ke Borneo!

Hmm .. hati teragak-agak mahu membingkis sesuatu, tapi .. seakan coretan itu untuk Bang Lope seorang .. lalu hati menyimpan ingin..

Ku Keng said...

Aduh... Kundasang, Panalaban, Poring dan Tinompok... kita mencuit memori aku bah. Teringat dulu-dulu ke Bundu Tuhan, Mamut, Ranau dan Kinabalu.

Azer Mantessa said...

terima kasih untuk link 'Rampaisari'

:-)

Pa'chik said...

alhamdulillah selamat...

err... pakcik teksi tu taknak gantikan alonso ke...

Ordinary Superhero said...

Rendang betis yang menggetar jantung! Adusssh. Terasa terpukul seluruh kaum Adam yang mudah lupa dengan ikrar Ramadhan.

Mak Su said...

penerbangan lewat... ? macam biasa ku dengar tapi di mana ya?

13may said...

Salam BRampai....
Satu pengembaraan yang menarik :)

Wira Nordin said...

jauh sungguh kembara
syukur kamu tak di hempap tanah runtuh

Anonymous said...

Berhari raya di jalan raya. Sabar je la dengan JKR ek? Heh!

Bunga Rampai said...

BP, lembaran terbuka untuk tatapan semua :)

Sudah tahu bertanya pula ;) Kota berdebu menyesakkan nafas. Lembah hijau berkabus dingin, meredup jiwa.

Datin Iza, salam kembali. Blog ini teratak saya di alam maya, pasti akan kembali walau pergi tanpa pesan.

Menyimpan ingin? Huh, saya teruja untuk mengetahuinya :)

Bro Keng, begitulah ... kenangan silam sering menggamit rasa, lebih-lebih lagi di lembah menghijau begitu. Memori diimbau mengundang rindu, berasa mahu saja kembali ke detik itu :))

Azer, sama-sama kasih :)

Pa'chik, :D :D ... kelakar! Adeh, Alonso pun dah gulung tikar, entah ke mana musim depan ... sape ek ganti? ... Jazeman (boleh tahan dia ni kan?)? Tapi William dah berkenan kat dia ni ...

OSH, hehehe ;)

Maksu, masa pergi pun lewat! MAS.

13may, salam kembali. Juga mendamaikan hati :)

Wira, kalau dihempap ... tak berbloglah saya :D

Azzam Supardi, kembara hari raya, dan JKR juga Jangan Kerja masa Raya!

cikdinz said...

hari raya dah kena jenjalan kembara yeik. kena masuk kelab kembara...hehehee...

wanie_agk said...

enak sekali catatan perjalanan ini..

jaketbiru said...

saya tahu kenapa saya ada di sini.. pastinya kerana kekaguman pada sebuah olahan karya yang hebat

Pa'chik said...

tak tau pulak pasal alonso tu..

mekleren nak amek sapa tak tau lagi kot...

- G O R O - said...

Kembara

Salah satu cara menghayati dan menghargai.

Butaseni@Wan Raja said...

saya teringin nak kerja JKR,boleh lepak,jangan kerja rajin rajin

Sastri said...

kembara ke negeri di bawah bayu ek... hmmm... teringin juga rasanya menikmati kehijauan setelah lama di hutan batu nih...

HazuraHamzah said...

kembara kat janda baik naik keta kembara member aku....haha...

Muslimah Melayu said...

Salaam Bunga Rampai,

Secara tidak sengaja saya terjumpa blog Bunga Rampai. MasyaAllah, memang manusia dijadikan dgn kelebihan masing-masing. Nukilan yang betul-betul berkualiti. :)

Bunga Rampai said...

Cikdinz, saya tak berkelab ... :(

Wanie_agk, terima kasih membacanya.

Jaketbiru, atas izinNya jua.

Pa'chik, tunggu musim depan ... (adeh, Jazeman disqualified!)

Goro, kembara juga memberi ruang untuk mengenal diri sendiri.

Butaseni, cubalah mohon jadi mandur ke :D

Sastri, kehijauan lembah menghilangkan tekanan, membawa hati dekat padaNya.

Hazurahamzah, wow ... pasti mencabarkan?

Muslimah Melayu, salam kembali. Begitu yang tersurat, pertemuan maya - atas izinNya jua. Hargai setiap pertemuan - ada hikmah dan nikmatnya. Salam kenal :)

Iman Mawaddah said...

Salam BR,
Sudah lama menyimpan hasrat melihat keindahan alam ciptaan Allah di sana. Tetapi masih belum kesampaian :)

akirasuri said...

Salam kak rampai..

kembara yang indah..
bait-bait ayat juga indah..
oh! manis sekali :)

jaga diri baek-baek.

-akirasuri-

Bunga Rampai said...

Iman, salam kembali. InsyaAllah, tiba waktunya sampailah Iman ke sana :) Mudah-mudahan hasrat tercapai.

Cik Ati, aik ... Akira rupanya. Ingatkan Cik Ati jual emas tu :)

Seperti kembara yang lain, ada saja yang indah-indah :)

Adik juga jaga diri ya!

Mazarina said...

amik kat ner ek lagu hassan ni? nak leh tak???