Saturday, 25 February 2012

Rambu-rambu

Lucu sekali apabila maksud sepatah perkataan sangat jauh tersimpang dari apa yang kita fikirkan. Misalnya perkataan "rambu-rambu" yang sangat menarik perhatian saya di sepanjang perjalanan Medan - Danau Toba - Medan. Apa yang terbayang di kepala saya ialah sehelai baju atau tirai yang berambu dan rambu-rambu itu berfungsi untuk mencantikkan lagi gaya baju dan tirai tersebut.

Lain pula di utara Sumatera. Di sana sini di bahu-bahu jalan terpacak papan tanda yang bertulis: "patuhi rambu-rambu jalan raya." Aiseymen ... jalan raya berambu dan perlu dipatuhi rambu-rambu itu? Pelik aah, tak ada pun rambu-rambu di sisi jalan! :P  Rupa-rupanya "rambu-rambu" itu bermaksud "undang-undang atau peraturan." Jadi, maksud papan tanda tersebut ialah: "patuhi undang-undang jalan raya."

Tentunya di Malaysia ini sampai bila-bila pun tidak akan ada papan tanda seperti itu di tepi jalan raya. Namun sampai bila-bila pun pasti ada kumpulan remaja dan belia yang kerjanya merambu tak kira siang atau malam. Merambu sampai lupa kepada waktu yang beredar.

Salam.

Tuesday, 21 February 2012

Refleksologi di Berastagi

Untuk persediaan shopping di Medan ... err, aktiviti yang kurang diminati sebenarnya lagi pun kedua-dua kaki sudah capek! Namun kerana mahu melihat sendiri keunikan barangan tempatan serta acara tawar-menawar antara para pembeli dengan peniaga, maka saya berfikir harus juga bersedia untuk itu. Maka sesudah makan malam saya ke kamar refleksologi untuk memulihkan kecergasan kaki.

Ternyata Rama, Ju, dan Ail  masih lagi gagah perkasa dan tidak tunduk kepada bab urut-mengurut ini. Mereka kata mahu menghirup damai angin malam sambil melihat  kembar Sibayak dan Sinabung mengeluarkan asapnya. Kedua-dua gunung berapi ini masih aktif dan merupakan tarikan utama pelancong datang ke Berastagi. Satu lagi sebab mengapa Rama, Ju, dan Ail menolak pelawaan saya ialah  mereka sudah mulai jatuh cinta dengan angin malam dan tidak mahu melepaskan malam terakhir mereka tanpa berangan-angan di anjung tempat penginapan sebelum bertemu kota Medan yang bingit dan panas! Saya membiarkan mereka bercanda dengan alam.

Di kamar refleksologi, seorang kakak yang agak gempal badannya yang sedang duduk santai di sebuah kerusi empok nmenguntumkan senyuman sebaik melihat saya memasuki kamar tersebut. Tanpa ditanya Cik Kak yang juga orang Malaysia memberitahu bahawa tukang urut di situ adalah lelaki. Saya terkejut kerana seawalnya saya sudahpun membuat janjitemu untuk mendapatkan khidmat tukang urut perempuan dan sesi urut kaki akan berlangsung di dalam tempat yang bertutup sepenuhnya dengan tirai.  Memang benarlah kata-kata Cik Kak itu setelah saya bertanyakan penyelia salon tersebut. Sudah tentu saya kecewa.

"Alaa, jangan risau ... dia urut pakai sarung tangan."

Berdetik-detik terlebih degupan jantung saya mendengar jawapannya! Dia tidakk risau tapi saya risau yang teramatnya. Saya membatalkan sesi itu.

Peristiwa itu mengingatkan saya kepada satu peristiwa di sebuah hospital di tanah air yang berlaku beberapa bulan lepas. Tukang urutnya terdiri dari lelaki dan perempuan dan semuanya tukang urut buta dari sebuah persatuan di ibu kota. Saya meminta khidmat tukang urut perempuan dan  memohon untuk diurut di suatu sudut yang disiapkan dengan penghadang  kayu sebagai pelindung dari pandangan orang ramai yang lalu-lalang di situ. Bagaimanapun permintaan saya ditolak dengan alasan tempat itu sudah ditempah oleh orang lain.

"Alaa, jangan risau ... kami ni buta ... tak nampak pun betis akak!"

~ Demikian dalam kehidupan ini kita banyak mengambil ringan tentang perkara yang kita rasakan remeh lalu kita tidak ambil peduli akan aspek ibadahnya sedangkan hal itu secara halusnya dapat memberi kesan negatif kepada akidah kita. Wallahu'alam.


Berastagi, Danau Toba.
26/1/2012

Salam.

Friday, 17 February 2012

Horas!

Dari jauh perempuan itu sudah tersenyum. Dia masih tersenyum setiba saya di muka kedainya. Susuk tubuhnya kelihatan muda namun senyumannya walau manis, telah menimbulkan berpuluh garis halus di wajahnya yang dihiasi jeragat hitam pada kedua-dua belah pipi, hidung dan dahinya. Rambutnya disikat rapi namun kelihatan perang dan kasar. Pada hemat saya, penampilan fizikalnya yang sedemikian rupa adalah hasil dari kehidupan yang sukar serta serba kekurangan  yang pantas mematangkan seraut wajah muda.

"Horas!" Ucap saya kepadanya sambil melepaskan sebuah senyuman yang saya harap dapat menghangatkan hatinya pada pagi yang dingin ketika itu. "Horas!" Balasnya dengan senyuman yang lebih lebar yang membanyakkan lagi garis-garis halus di wajahnya. Horas adalah ucapan lazim bagi kaum Batak di Pulau Samosir yang bermaksud 'selamat'  atau boleh juga bermaksud 'salam kenal.'

Singgah di kedainya bukanlah untuk membeli tetapi sekadar mencuci mata dan berhenti rehat seketika setelah penat berjalan dek meninjau-ninjau persekitaran Kampung Ambriata di Pulau Samosir. Pulau Samosir adalah pulau volkanik yang terletak di tengah-tengah Danau Toba dan lebih besar keluasannya berbanding Singapura. Dia menghulur sebotol air mineral kepada saya namun saya menolak kerana saya sendiri memiliki sebotol air mineral di dalam beg galas. "Hadiah untuk kamu." Aduuuh, adakah ini satu pancing supaya terbuka hati saya untuk membeli di kedainya? Akhirnya saya menerima hadiahnya itu setelah dia berkata "Ikhlas!" sebanyak tiga kali.

Kami berbual dari hal-hal barang-barang jualannya yang terdiri dari kemeja-T, seluar bermuda, kaftan dan blaus wanita - - hinggalah kepada falsafah Batak yang dipegang teguh dan hingga sekarang menjadi asas kehidupan sosial dan bermasyarakat dalam kalangan orang Batak Samosir yang kebanyakannya beragama Kristian. Falsafah itu adalah:

1) hormat kepada pihak keluarga ibu dan isteri.
2) ramah pada keluarga saudara perempuan.
3) bersatupadu dalam hubungan semarga (keturunan/suku/kelompok).
4) bersatupadu dalam kehidupan sehari-hari.

Sebelum meninggalkannya, dia bertanya bagaimana menghilangkan jeragat hitam di wajahnya. Aiseyymaaan ... dalam keterpaksaan saya menjadi penasihat kecantikan dalam masa empat lima minit ... ;) Krim sunblock saya yang tinggal setengah tiub saya berikan kepadanya. Sejurus selepas mengambil krim itu dia menarik saya ke dalam kedai. Alamak, nak kidnap saya ke? Begitu saya berprasangka!

"Tolong perdengarkan kepada saya dua kalimah syahadah." Mohon dia dan saya tergamam seketika. "Tolong!" Pintanya lagi dalam suara meminta belas kasihan. Saya melafazkan kalimah suci itu. Dia menarik nafas panjang kemudian berkata: "Indahnya! Satu hari nanti saya harap dapat melafazkannya di hadapan seorang imam."

Alpanya saya sehingga terlupa bertanyakan namanya. Siapa pun namanya, tidak mengapa jeragatnya tidak hilang asalkan cahaya yang mulai menerangi perjalanan hidupnya tidak hilang sinarnya malah terus kemilau hingga ke alam baqa.


Pulau Samosir, Danau Toba.
25/1/2012

Horas!

Wednesday, 15 February 2012

Pak, rapat Pak!

Al-kisah menurut cerita penduduk tempatan, pada zaman dahulu kala ada sepasang pengantin baru dari Pulau Samosir mahu berkunjung ke satu bahagian tanah yang belum bernama di pinggir Danau Toba. Maka pada suatu pagi yang nyaman, mereka pun belayar menuju ke tempat itu bersama beberapa orang penduduk Pulau Samosir.

Setiba di pertengahan danau yang airnya amat tenang, tiba-tiba sahaja hujan turun dan tiupan angin menjadi kencang. Pengantin perempuan menggigil kesejukan lalu berujar perlahan meminta suaminya duduk rapat disampingnya. “Pak, rapat Pak ... Pak, rapat Pak.” Demikian pintanya dan si suami lantas merapatkan diri rapat-rapat di sebelah isterinya.

Tajam benar pendengaran para penumpang yang lain lalu mereka mengusik-ngusik pengantin baru itu. “Ya, rapat Pak ... rapat ya Pak ... rapaaaat Pak!” Begitu usikan mereka yang menjadikan kedua-dua pengantin tersipu-sipu dan suasana dalam perahu menjadi meriah dalam cuaca dingin yang mencengkam tubuh.

Sesampai di tanah besar yang tidak bernama di pinggir danau itu, para penumpang pun turun dari perahu. Ada beberapa suara yang masih melantunkan kata-kata “Pak, rapat Pak!” Salah seorang daripada mereka mencadangkan agar tempat itu dinamakan ‘Pak rapat’ bersempena peristiwa yang sangat mencuit hati itu. Untuk menyenangkan sebutan, ‘Pak rapat’ disatukan menjadi ‘Parapat’ yang kekal hingga kini.

Demikian kisah bagaimana Parapat mendapat namanya.


Parapat - Pulau Samosir, Danau Toba.
24/1/2012


Salam.

Tuesday, 14 February 2012

Pertemuan pertama

Tiada yang menjadi dalang pada malam yang hanya berpelitakan nafas-nafas kasih dan tiada apa pun yang menghalang 'pabila embun-embun cinta merecup melata hati. Diam bertafakur, kusyuk dalam bicara kalbu yang melupakan diri kepada malam yang semakin larut.

Setulus pandangan dilepaskan untuk dia pada pertemuan pertama itu. Dia menyambutnya dengan telus renungan yang ... aaah, menyusup ke relung hati lalu merebahkan tiang jiwa yang paling halus. Tersentak nian rasa dan bergelandanganlah suara qalbi buat seketika sehinggalah sekilas angin malam yang singgah di wajah menyedarkan diri untuk berpijak di tanah nyata!

Bagaimana mungkin dapat bercerita tentang pertemuan itu sedang diri tenggelam dalam danau cinta?

Bersua muka, bertamu rasa, dan berbicara! Begitulah kami: diri ini dan Danau Toba.

“Sesungguhnya Ya Rabb, Engkau tidak menjadikan ini dengan sia-sia. Maha suci Engkau, lindungilah aku dari azab nerakaMu.”


Parapat, Danau Toba.
23/1/2012

Salam.