Sunday, 25 October 2009

50 sen

Di sebuah rumah terbuka di pinggir kota.

Budak-budak 'tu lepas makan minum masih lagi tidak beredar. Suruh makan lagi tapi semua kata 'dah kenyang.

Fira membawa keluar sampul-sampul kecil berwarna hijau. Budak-budak enam orang 'tu menguntum senyuman.

Fira memberi setiap orang satu sampul. Budak-budak 'tu tersengeh-sengeh kemudian meminta diri.

Di luar rumah kedengaran beberapa suara lantang, "Alaa, lima posen je? Baik tak yah bagi!"

Berkerut wajah saya memandang Fira. Dia memahaminya.

"Sekadar yang mampu kak ... dari duit biasiswa. Saya menunaikan niat kalau dapat tawaran sambung belajar." Demikian penjelasan Fira, siswi sarjana kejuruteraan. Dia dari keluarga berpendapatan rendah.

"50 sen. Jangan nilaikan harga luarannya tapi nilaikan harga yang tersembunyi." Kata Fira lagi dengan senyuman.


Salam.

Wednesday, 21 October 2009

Bening Rindu

Bondanya kehairanan melihat dia menyediakan baju raya seawal pagi itu, sehari sebelum Hari Raya. Tidak ada apa yang perlu dianehkan katanya kerana begitulah mahunya hati yang tidak sabar menunggu kedatangan Hari Lebaran.

Dua puluh empat jam menanti kehadiran Syawal terlalu lama dirasakannya, dan rindu kepada alunan takbir raya semakin membadai rasa. Diam-diam dia ke laman rumah mengajak sepasang matanya bercerita tentang kebeningan rindu itu kepada bunga-bunga yang berkembang, kepada kupu-kupu yang sana sini bersimpang-siur, kepada kumbang-kumbang yang menyeri bunga. Kasturi, kuini, dan rumpunan serai juga tahu tentang cerita rindunya itu yang mulai melupuh hati!

Malam pun tiba dan gema suara takbir raya yang berkumandang sayup-sayup melerai rindunya. Hatinya bagaikan terlepas ke awang-awangan kala menghayati nikmat takbir yang meredup segenap jiwanya hingga ke lubuk atma yang paling dalam, dan seni rasa itu mengairkan matanya. Alangkah takbir itu menjadi halwa rasanya yang paling manis malam itu sehingga ke saat fajar menyingsing, dan tenanglah jua rindu yang mengombak jiwa seusai bersujud kepadaNya.

Tenang-tenang gelombang rindu rupa-rupanya pantas menyusun fikir dan merapi hatinya agar tidak terpempan dengan kehadiran Kak Aisa yang dirinduinya yang sudah empat tahun berturut-turut berhari raya di daerah seberang. Demikianlah anehnya kehidupan ini yang kadang-kadang penuh dengan kejutan: yang dijemput tidak datang, ada pula yang datang walau tidak berjemput.

Terlebih aneh lagi kata Kak Aisa ialah apabila hawa nafsu mengongkong hati dan menjadi raja kepada setiap pergerakan dan perlakuan manusia. Kehidupan dunia yang sememangnya sarat dengan hiburan bertambah sendat dengan kelalaian apabila kemewahan menjadi sembahan manusia. Begitulah Abang Ji yang menghambakan diri kepada wang, harta benda, pangkat dan kuasa yang akhirnya kemewahan itu memakan dirinya sendiri. Abang Ji juga sudah dua kali diserang angin ahmar. Air mata Kak Aisa menitis. Dia yang mendengar terbungkam seketika.

Dia sengaja menyendiri di bawah pohon kuini untuk melayan rasa. Sambil memerhati ayam-ayam yang sedang mengais-ngais tanah, dia mengenang-ngenang perbualannya dengan Kak Aisa di perkarangan masjid sebentar tadi. Sejurus, ayam-ayam yang semakin rancak mengais-ngais lari bertempiaran apabila kucing bondanya tiba-tiba menerkam ke arah mereka. Dia tersentak. Aah, kasihan ayam! Barangakali mereka sedang mencari jarum emas Sang Helang yang hilang. Desis hatinya. Bukan senang mencari jarum emas, apa tah lagi kepada manusia yang mencari ketulan emas untuk di bawa pulang ke alam baqa.

Dia merenung jauh, cuba untuk menilai harga sebuah iman. Manusia sesungguhnya merangkak jatuh bangun di bumi luas milikNya ini. Mudah-mudahan payah sukar yang dilalui dalam kehidupan fana ini mendewasakan akal dan memantapkan iman setiap Muslim yang berusaha untuk berjalan di jalan yang lurus. Kesukaran yang dilalui itu sebenarnya tidaklah seberapa berbanding ujian keimanan para sahabat sewaktu Islam mulai berkembang di peringkat awal dulu. Mereka mempertaruhkan nyawa masing-masing untuk harga sebuah iman. Begitulah yang difikirkannya.

"Berlama-lama di luar tu buat apa Rampai?" Pertanyaan bondanya dijawab dengan senyuman.

Di atas meja sudah terhidang aneka sajian. Kesyukuran dan keriangan menjamu selera telah meminggirkan ingatannya tentang rentetan peristiwa yang ditempohinya sejak pagi semalam.

Entah bayu apa yang datang menyapa, atau barangkali keenakan kuih makmur itu telah membangkitkan ingatannya kepada seseorang. Baginya tiada kata-kata, puisi, lukisan, atau irama yang dapat mentafsir rasa takzimnya kepada insan ini. Kepadanya insan ini umpama gerbang yang berhiaskan bunga-bunga anggerik, teratai, mawar, dan daisi yang melampiaskan keindahan dan haruman sewangi lavender dan bunga rampai - haruman dan keindahan yang mudah-mudahan menemaninya hingga bermukim di sebuah negeri yang kekal.

Salam. Eid Mubarak. Eid yang membawa rahmat yang perlu direbuti. Barakah yang terada yang perlu dituntuti. Semoga ibadah Ramadhan menampakkan kepada sirr yang tersembunyi. Maaf zahir bathin.

Demikian salam lebaran titipan insan itu telah mendetik bening rindu di relung hatinya, lalu dalam tenang, rasa rindu itu disulamnya menjadi bunga-bunga doa.

"Wahai Tuhan, jadikanlah dia dari kalangan orang-orang yang Engkau kehendaki, yang baik amal ibadah dan kebajikannya."

1 Syawal 1430H
20.09.2009



Salam.

Monday, 12 October 2009

Rendang, serbat, dan baulu

Sudah dua kali saya berhujung minggu tanpa sibuk-sibuk memikirkan tentang makanan kerana saya sibuk makan-makan di rumah terbuka Hari Raya. Dari makan tengahari hinggalah makan malam, segalanya diurus oleh rumah terbuka! Molek sungguh Raya sebulan!

Petang tadi saya ke majlis rumah terbuka yang meriah dan gamat dengan para tetamu berdarah muda! Rata-rata perbualan berputar mengenai gempa bumi di tanah seberang dan tentang orang-orang seberang yang mahu mengganyang rakyat Melaya dengan buluh runcing! “Seribu lima ratus orang you ... tak risau ke?” Tanya kawan yang seusai bertanya tiba-tiba tersedak dan terbatuk-batuk. Aiseymaaan, serbat yang diminum untuk melegakan batuknya juga tersembur keluar apabila tiba-tiba dia terbatuk lagi. Kurang pasti pula mengapa begitu jadinya dia. Barangkali dia jadi gementar membayangkan sebuah pertempuran bersenjatakan buluh runcing, atau barangkali juga rendang ayam yang dimakannya tersekat seketika di tekak.

Saya sebenarnya lebih gusar melihat orang Melayu mengganyang orang Melayu sendiri. Lihatlah, dengan muka tebal yang tidak berapa kebal, Melayu tanpa segan silu saling menuduh, bersumpah seranah dan memaki hamun sesama sendiri seolah-olah lontaran kata-kata dan perlakuan mereka itu diperhati oleh anak-anak patung yang kaku tidak bernyawa. Demikianlah yang bergelar pemimpin Melayu mewariskan ciri-ciri kepimpinan kepada generasi muda; dan dalam diam pertelingkahan sesama Melayu semakin mencetuskan gempa bangsa!

Melayu tidak peduli kepada gempa bumi kerana Tanah Melaya punya gunung-ganang yang tidak akan meledakkan api dan menumpahkan lahar. Melayu tidak mahu berfikir tentang gempa, sama ada gempa bumi yang memusnahkan kehidupan atau gempa bangsa yang melenyapkan identiti. Melayu pedulinya lebih kepada kehebatan kerisnya dan laungan bangga “tidak Melayu hilang di dunia!” Alangkah kehebatan keris mampu menikam kesedaran Melayu, dan gema laungan itu bisa mengubur keinsafan orang Melayu sendiri.

“Tak risau ke? ... seribu lima ratus orang you!” Kawan tadi bertanya lagi. Batuknya sudah lega.

“Tak.” Jawab saya selamba. Dia mengerutkan muka. Saya menghirup teh-o suam kemudian mengunyah baulu. Hmmm ... manis lemak dan gebu baulu menenang rasa!


Salam.