Monday, 12 October 2009

Rendang, serbat, dan baulu

Sudah dua kali saya berhujung minggu tanpa sibuk-sibuk memikirkan tentang makanan kerana saya sibuk makan-makan di rumah terbuka Hari Raya. Dari makan tengahari hinggalah makan malam, segalanya diurus oleh rumah terbuka! Molek sungguh Raya sebulan!

Petang tadi saya ke majlis rumah terbuka yang meriah dan gamat dengan para tetamu berdarah muda! Rata-rata perbualan berputar mengenai gempa bumi di tanah seberang dan tentang orang-orang seberang yang mahu mengganyang rakyat Melaya dengan buluh runcing! “Seribu lima ratus orang you ... tak risau ke?” Tanya kawan yang seusai bertanya tiba-tiba tersedak dan terbatuk-batuk. Aiseymaaan, serbat yang diminum untuk melegakan batuknya juga tersembur keluar apabila tiba-tiba dia terbatuk lagi. Kurang pasti pula mengapa begitu jadinya dia. Barangkali dia jadi gementar membayangkan sebuah pertempuran bersenjatakan buluh runcing, atau barangkali juga rendang ayam yang dimakannya tersekat seketika di tekak.

Saya sebenarnya lebih gusar melihat orang Melayu mengganyang orang Melayu sendiri. Lihatlah, dengan muka tebal yang tidak berapa kebal, Melayu tanpa segan silu saling menuduh, bersumpah seranah dan memaki hamun sesama sendiri seolah-olah lontaran kata-kata dan perlakuan mereka itu diperhati oleh anak-anak patung yang kaku tidak bernyawa. Demikianlah yang bergelar pemimpin Melayu mewariskan ciri-ciri kepimpinan kepada generasi muda; dan dalam diam pertelingkahan sesama Melayu semakin mencetuskan gempa bangsa!

Melayu tidak peduli kepada gempa bumi kerana Tanah Melaya punya gunung-ganang yang tidak akan meledakkan api dan menumpahkan lahar. Melayu tidak mahu berfikir tentang gempa, sama ada gempa bumi yang memusnahkan kehidupan atau gempa bangsa yang melenyapkan identiti. Melayu pedulinya lebih kepada kehebatan kerisnya dan laungan bangga “tidak Melayu hilang di dunia!” Alangkah kehebatan keris mampu menikam kesedaran Melayu, dan gema laungan itu bisa mengubur keinsafan orang Melayu sendiri.

“Tak risau ke? ... seribu lima ratus orang you!” Kawan tadi bertanya lagi. Batuknya sudah lega.

“Tak.” Jawab saya selamba. Dia mengerutkan muka. Saya menghirup teh-o suam kemudian mengunyah baulu. Hmmm ... manis lemak dan gebu baulu menenang rasa!


Salam.

11 comments:

SHIMI said...

dalam beraya sempat juga kamu memikir tentang nasib bangsa ye...

melayu terlalu mengambil mudah dan mudah merasa selesa dengan sesuatu..

afid said...

cik rampai,
kalau dicicah dalan serbat tu lagi sedap rasanya..he3

Salam :)

Pa'chik said...

takut hapa takat buluh runcing...

tuhan janji nak kasik api nuraka pun orang tak takut... padahal janji tuhan itu pasti... :(

Izariza said...

hmm good thought Datuk! Sibuk menengok kancah dari seberang, terlupa seketika menilik rencam di depan mata sendiri.

oh oh .. saya sudah sediakan teh untukmu Datuk, di blog saya .. silakan ;)

Mak Su said...

saya rasa ler... toksahlah kita yang sesama spesis ni buang2 masa nak emo tak tentu hala

AL-BIMA SAKTI said...

maaf, sedikit pembetulan - baulu (bukan bahulu).

memng sedap...

Bunga Rampai said...

SHIMI, baulu pembuka selera untuk berfikir ;P

Kena fikir, kerana ia melibatkan akhlak, dan masa depan generasi muda.

Afid, saya lebih suka makan begitu saja. Kalau cicah, keaslian rasanya hilang. Salam kembali :)

Pa'chik, tu lah dia Pa'chik. Sedih! :(

Izariza, fikir-fikir saya itu peringatan untuk diri saya juga.

Teh Syawal agaknya ya Datin! ;)

Mak Su, ya, yang benar!

AL-BIMA SAKTI, terima kasih. Saya dah betulkan.

... tambah sedap dimakan bersama kopi!

Suka Bebel said...

sebab melayu yakin sumpah moyang mereka, 'takkan hilang melayu di dunia'. melayu hanyut dalam politik, masing masing dengan agenda menakluk kuasa.

selamat hari raya aidilfitri maaf zahir dan batin buat cik bunga. baru nak aktif balik berblog ni.hehe

jinggo said...

melayu yaaa.....
kemanakah perginya org yg melaungkan tak kan hilang melayu di dunia.....

anak kecil main api
terbakar hatinya yang sepi
air mata darah bercampur keringat
bumi di pijak milik orang

13may said...

saya suka cicah baulu ngan teh -o suam...

nikmat sungguh :)

Salam BR...apa kabar? lama sungguh saya tak berkunjung ke sini...tapi bukan sini saja...kat blog lain pun sama juga...dah memang lama benar saya layan blog...

cek busy la katakan...hehhe hehhe

btw, jaga diri bebaik :)

Bunga Rampai said...

Suka Bebel, selamat kembali aktif berblog :)

Jinggo, dia pi sembunyi kot!

13may, salam kembali. Tak layan blog tak apa, asal layan kepala! :P

Alhamdulillah saya baik-baik saja.