Alangkah pokok-pokok bunga itu pastinya berakar teguh mencengkam bumi dan bertangkai utuh menongkat tampuk sehingga dapat memboloskan kelopak bunganya dari serabut rumput lalang di sekelilingnya, lalu apa yang mercup gagah menjunjung langit adalah kelopak-kelopak putih bersih menyeri alam yang sedia indah ini. Oh, kepingin sekali menjadi kuat seperti mereka!
Namun manusia itu di dalam keadaan lemah di sisi Allah berbanding makhlukNya yang lain. Lemah berbanding gunung-ganang; lemah berbanding ribut taufan; lemah berbanding gelora ganas di lautan. Begitulah kelemahan itu amat jelas namun Allah juga tegas menyatakan bahawa manusia itu kekuatannya pada akal fikirannya yang diberi Allah, dan kehebatannya kerana dilantik Allah menjadi khalifahNya di muka bumi ini. Maka dengan memanfaatkan akal budi yang diberi Tuhan, manusia menciptakan alat-alat yang boleh meratakan gunung-ganang; dengan akalnya manusia membina kapal-kapal besar yang mampu melawan gelora ganas di lautan; dengan ilmunya manusia boleh berhadapan dengan taufan dan kemarau yang membunuh. Jika akal budi dimanfaatkan pada jalanNya, pasti manusia menjadi kuat lahiriah dan batiniah!
Namun kekuatan itu tidaklah sebenar-benar kuat selagi belum diuji Allah dalam kehidupan ini yang merupakan satu perjuangan berterusan hingga ke detik akhir untuk mengangkat darjat diri di mata Tuhan. Di sepanjang perjuangan itu manusia melalui pelbagai ujian yang mesti dibebani dengan redha dan tabah. Maka bersyukur jua andai diuji walau berkali-kali kerana bukan semua manusia diberi kesempatan oleh Allah untuk membebani ujian berat untuk manusia itu berpeluang mencapai maqam redha. Betapa ramai manusia diuji dengan kesenangan tetapi kesenangan itu tidak membawa manusia itu kepada maqam redha malahan menjadikan dia seorang yang lalai, riya’, dan takkabur. Nauzubillah!“Ya Rabb, berikanlah kami kebaikan dunia dan kebaikan akhirat, dan lindungilah kami dari azab seksa neraka.”
*gambar dirakam pada Khamis 28/5/09 di sebuah padang terbiar - Gombak, Selangor.
Salam.
6 comments:
Syukur padaMu kerana diberikan kesempatan waktu untuk membetulkan segala kesilapan..
errrr nak mintak rampai sari jawab kan tag... heheheh plisssss.....
TQ
teringin jadi kuat seperti bunga itu.
Manusia selalu lupa kalau diuji.
Baik ujian kesusahan, baik ujian kesenangan.
jom renung2kan..
Menarik entri ni dan bunga tu putih berseri nampaknya walaupun di dalam rumput. Sesungguhnya keindahan itu milikNya jua.
Post a Comment