Thursday, 23 October 2008

Warkah untuk Bang Lope: Syair Syawal

Alangkah rindu itu andai dapat dilihat oleh mata zahir, pasti tangan ini akan menggapai lalu mendakapnya untuk selama-lamanya. Namun hukum alamiah sudah menentukan rindu itu hanyalah rasa yang dapat dilihat oleh mata bathin. Maka bersemadilah rasa rindu itu jauh-jauh di relung hati. Melepaskannya pergi persis membunuh jiwa yang merindu itu.

Salam Bang Lope,

Demikianlah muqadimah warkah ini yang saya tulis kala Syawal sudah mula bersiap untuk meninggalkan kita. Belum pun reda rasa rindu pada Ramadhan, kini Syawal pula bakal dirindui. Rupa-rupanya kita ini asyik mendandan rindu pada purnama-purnama yang indah, dan pastinya rindu itu tidak akan musnah selagi nadi bergetar, selama jantung berdegup, dan hela hembus nafas masih tegar berzikir.

Berzikir rindulah kita Bang Lope kepada sisa-sisa musim yang masih menatang kita dengan kasih sayang yang tidak berbelah bagi. Semoga segala kesusahan hidup dan kemusnahan yang kita lihat mengajar kita menjadi manusia yang patuh dan punya nilai-nilai kehidupan yang ampuh. Alangkah berat balasan kepada keingkaran yang datangnya tanpa amaran, menghancur dan melebur segala impian! Si Kaya tiba-tiba jatuh papa kedana lalu pangkat dan kuasa hanya tinggal nama yang pahit disebut-sebut. Semuanya adalah kejadian yang tidak diduga sama sekali. Walau ranap dan hapus sama sekali pun, pesan yang dibawa oleh kejadian itu tidak pernah hapus, pesan itu kekal! Kita-kita ini yang tiada apa-apa harta pun jauh sekali harta akhirat, sama-sama tertumpang sedih dan pedih. Mudah-mudahan kita masih ada upaya untuk kembali kepada diri sendiri - bertafakur, bangkit dan beristighfar di sepanjang jalan yang lurus.

Bersujud dan bermohon kita kepadaNya Bang Lope. DIA kan punya sifat Maha Pemurah dan Maha Mengasihani? Makanya atas sifatNya yang Maha Pemurah tentulah apa pun yang kita minta akan dimakbulkan. Cumanya kerana kealpaan kita sebagai manusia kita sering tidak sedar bahawa permintaan itu sudah pun dimakbulkan, maka berlalulah peluang untuk memanfaatkan permintaan yang telah dimakbulkan itu. Begitu juga atas sifatNya yang Maha Mengasihani tentulah DIA akan mengampunkan segala dosa-dosa kecil yang kita lakukan jika kita memohon keampunanNya - tetapi adakah kita setiap kali melakukan kesilapan lalu kita terus memohon keampunan DIA? Aduuh, benar, manusia sering lupa dan lalai untuk hanya sekadar memohon!

Eh eh, Bang Lope! Melilau-lilau pulak dah saya berceloteh macam-macam kepada Bang Lope. Oh maaf, mohon maaf jua! Walhal sejujurnya saya hanya mahu menyampaikan sebuah syair yang begini bunyinya ...


Hati itu pintunya mulut.
Mata itu jendelanya akal.
Tutup mulut maka tenanglah hati.
Buka mata maka celiklah akal.

Tenangnya hati maka tajamlah tumpuan.
Celiknya akal maka bisalah pemikiran.
Tajamnya tumpuan maka bertambahlah kekhusyukan.
Bisanya pemikiran maka berdarjatlah kekhusyukan

Khusyuk membawa kepada cinta (taragghub).
Cinta membawa kepada kerinduan (tamalluk).
Rindu membawa kepada taqarrub (pendekatan) kepada Allah.


Bila sudah berdekat dengan Allah maka hilanglah kesusahan.
Cukuplah Allah buatku.
Tiada yang lain hanya Allah.


KuKeng/BungaRampai
(22 Okt 2008)



Seawalnya beberapa baris syair itu dikalam oleh Bro Keng. Barangkali tempias dari titis-titis air yang gugur membasahi bumi ketika saya sedang membacanya telah menyejukkan hati lalu terungkaplah rasa rindu yang mengilhamkan madah-madah pelengkap syair itu. Saya namakan syair itu Syair Rindu, dan syair ini adalah hadiah daripada saya dan Bro Keng untuk Bang Lope.

Begitulah syair itu mengakhiri warkah ini. Semoga Bang Lope baik-baik saja dan di dalam perlindunganNya di mana jua berada. Saya berkirim salam kepada semua flora dan fauna andai Bang Lope pergi berburu. Semoga ada izinNya untuk bertemu lagi di maya ini seusai kembara saya.

Wassalam,
Bunga Rampai.

*Senja nan tenang,
Alhamdulillah.

14 comments:

Suka Bebel said...

senya nan tenang bertambah tenang baca lenggok lentok tulisan cik bunga rampai.patutlah tangan ringan nak klik kesini.satu warkah yang sangat indah, kompom melekat dihati encik lope.hehe

AL-BIMA SAKTI said...

salam,

rindu akan nikmatNya
mengenalkan diri kita
akan keagunganNya...

faridmw said...

salam... semoga kita dirahmati selalu..

Mak Su said...

all the best to bunga rampai too!
:)

julietchun said...

Andai rindu itu boleh di lihat dan di pegang,barangkali rindu itu tiada nilainya lagi di mata manusia yer.

Amiene Rev said...

Kehidupan adalah musafir

Purpleheart said...

Indahnya kata-kata syair tuu..

Anonymous said...

Bunga Rampaiku,
Alam rasanya terhenti seketika. Bening. Membaca alunan syair rindu di atas rasanya bagai saja berdiri di taman. Asyik. Melihat bunga bunga berkembang, bagai juga seakan melihat liuk lentuk angin yang mengusap kelopaknya.

Banyak benar perkara untuk direnungkan dan dipelajari dari entry kali ini. Terima kasih Rampai kerana menghentikan alam seketika buat saya bermuhasabah, melihat di belakang dan mengatur langkah ke hadapan.

Terimakasih juga buat Bro Keng atas keindahan syair rindu ini. Agar Rampai dan Bro terus menjadi agen kepada perubahan saya.

Unknown said...

aduhhhh..... saya hilang kata-kata..

13may said...

indahnya bahasa :)

Salam BR :)

Mazarina said...

syawal suda pergi...sob sob sob..hehee

Bunga Rampai said...

Suka Bebel, :))

Al-Bima Sakti, salam kembali. Atas izinNya jua - pada hati hati yang merasa kasihNya.

Faridmw, Amiin. Salam kembali.

Mak Su, yang best best juga buat Mak Su! :)

Julietchun, anda memahami.

Amiene Rev, ... berkelana mencari redha dan ihsanNya.

Purpleheart, semoga mendapat manfaatnya.

Bang Lope, Warkah itu sejujurnya untuk mengingatkan diri ini juga yang terlalu kerdil lagi berdebu. Yang masih berjalan bertongkatkan cerita silam, dan berusaha mengolah cerita baru yang lebih baik.

Tiada yang lebih baik antara kita semua. Manusia saling melengkapi. Mudah-mudahan Bang Lope, Bro Keng, saya, dan semua teman blogger sentiasa mendapat petunjuk dan hidayahNya.

Theconfused, cari kembali kata-kata yang hilang itu :P

13may, seindah yang dirasa, atas izinNya jua. Salam kembali :)

Mazarina, jangan nangis. Syawal tetap kembali. Cuma kita ... masihkah ada untuk meraikannya?

Ibnurashidi said...

Saat menatapi bait-bait kata saya tenggelam dalam sastera..jari jemari terasa seakan ikut rentak tarian si bunga rampai.

All the best..may Allah bless u..

Bunga Rampai said...

Ibnurashidi, saya cuma reti menari senamrobik je :D Terima kasih doa itu. Semoga yang baik-baik juga untukmu diberiNya.