Siapalah kita ini sebenar-benar kita di mata Khaliq. Rapuhnya qalbi kita dan terlalu goyang jasad kita dalam menyelusuri kehidupan ini. Kita menggusari banyak perkara: dari hal-hal sarapan pagi hinggalah kepada bolasepak EPL, juga ibadah dan kerjaya kita.
Amat menggusarkan lagi apabila kita ditimpa bencana demi bencana, lalu jauh-jauh di pelantar benak kita memikirkan betapa bencana-bencana itu telah membunuh segala macam impian indah kita di dunia ini.
hanyalah gusar
yang berputar
demikian hari hari beredar
untuk ketemu perhentian
entah untuk keberapa kali
peluit berbunyi
rel telah usang untuk dilalui
stesyen terakhir begitu sunyi
selepas hutan dan ladang ladang
selepas sungai dan cerun cerun
selepas gunung dan gaung gaung
dan selepas,
kita ada
dan selepas,
kita tiada.
hanyalah janji janji-Nya.
~ Lope
(di sini)
Usah digusar sangat pada bencana-bencana yang menimpa diri. Anggaplah semua itu ujian-ujianNya kepada kita dan bersyukur jua kerana apa yang datang itu adalah komunikasi langsung dari Dia. Senyumlah menerima ujian itu sebagaimana Rabiatul Adawiyah tersenyum menerima kesengsaraan dan berkata: "Aku gembira walaupun Allah mengujiku dengan kesengsaraan ini kerana itu tandanya Allah masih lagi melihat kepadaku dan Allah masih mahu berhubungan denganku. Aku akan merasa terseksa jika aku mengetahui bahawa Allah sudah meninggalkan aku sendirian. Dunia ini akan menjadi satu tempat yang sangat sunyi bagiku."
Terima kasih Bang Lope atas bait-bait puisi itu yang menyentuh hati dan menggerak rasa sukma untuk menyusun kata-kata dalam tulisan kali ini. Usah gusar. Walau banyak ruang yang telah kita ingkari dalam kehidupan ini, banyak ruang juga yang Allah berikan untuk kita bertaubat. Marilah kita semua bertaqwa dalam sebenar-benar taqwa: sabar dalam menjunjung perintah Allah, benar dalam perkataan dan hati, taat akan perintahNya, berbelanja pada jalan Allah, dan sentiasa beristighfar memohon ampun.
Sisihkan gusar itu sambil mengingati dengan yakin bahawa pada sisiNya juga sebaik-baik tempat kembali dan kepadaNya kita panjatkan doa dan harapan.
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.”
Salam.
13 comments:
salam kehidupan,
ujian itu rahmat. ujian itu nikmat. tak ramai yang impikannya.
Tidak dinamakan manusia jika tidak menerima ujian Allah.
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.”
salam...
aminnn.... ujian mengukuhkan keimanan
salam kak BR..
moga baik2 belaka.. :)
rahsia Allah tak siapa yg tahu.Saya sentiasa menanti cerita2 BR, salam.
Benar. Kita memang sentiasa gusar akan segala perancangan 'duniawi' kita akan terganggu. Aduhai.
Salam BR
Ameen.
Kadang-kadang kita meletakkan kegusaran pada tempat yang salah. [Saya mengingatkan diri saya sendiri]
:)
jauhkanlah yang gusar-gusar, agar tenang selalu jiwa ini
kena selalu tawakal
Semoga gusar di dada akan hilang. Moga dipermudah segala urusan, dijauhkan dugaan2.
Ujian itu satu nikmat...
Salam BR:)
Assalamualaikum,
Perjuangan perlu terus ditegakkan, dengan daya dan upaya yang bersisa. Gusar kita melihat syariah Islam belum tertegak sepenuhnya di muka bumi.
Salam semua,
semoga kita semua bersabar menerima ujian, dan terus istiqamah dalam amal.
Lanterajiwa, salam kenal :)Selamat berjuang!
Post a Comment