Bertemankan hembusan angin yang masuk ke ruang tamu pada petang yang juga dihiasi renyai hujan sesungguhnya amat mendamaikan rasa. Apa tah lagi goreng pisang panas dan sekole Nescafe yang sedia ada di sisi dapat saja mengilhamkan beraneka macam angan-angan dan impian di kamar fikir. Namun sudah direncanakan lebih awal, apa pun cuaca petang ini, bab terakhir novel East Wind : West Wind (Pearl S.Buck) mesti dibaca hingga ke penghujungnya. Walaupun ini kali kedua membacanya, novel ini seperti juga beberapa novel sejarah dan kembara James A. Michener dan novel-novel jiwa Paulo Coelho tidak pernah membosankan walau diulang baca dua tiga kali.
Pertama kali membaca East Wind : West Wind pada usia remaja sesungguhnya telah menyemarakkan keinginan mengembara merentas benua dan budaya untuk mencari diri dan mengenal Tuhan melalui KalamNya yang berbagai bentuk, gaya, dan ragam.
Cool is the autumn wind,
Clear is the autumn moon.
The dead leaves fall and scatter again;
A raven, frost smitten, starts from the tree.
Where are you beloved?
Shall I meet you once more?
Ah ... my heart weeps tonight –
I am alone!
Demikian petikan puisi dari novel tersebut. Begitulah curahan rasa insan yang intim dengan rasa alaminya. Cinta boleh saja membuat jiwa kalut dan hati bergelandangan, dan membikin degup jantung sering tidak keruan. Namun dalam keindahan dan taklukan cinta, manusia sering terperangkap dalam debat emosi dan akalnya sehingggakan ada waktu-waktunya debat itu menjadi penggoda diri yang sukar diingkari lantas garis pemisah antara emosi dengan akal lenyap ditelan oleh nafsu Syaitan.
Cinta adalah ujianNya ke atas tahap keimanan manusia yang tersembunyi di dalamnya ujian kebahagiaan dan musibah. Gagal ujian kebahagiaan menjadikan manusia lupa diri manakala gagal ujian musibah menjadikan manusia berputus asa. Titik tolak menuju kejayaan kedua-duanya ialah sabar dan redha. Itulah alat digunapakai untuk mencapai kejayaan iman duniawi dan ukhrawi.
* Deru angin semakin lantang. Mata pula semakin deras membaca. Goreng pisang sudah lama dihabiskan dan tegukan terakhir Nescafe menandakan selesailah novel East Wind : West Wind dibaca. Buku ditutup kemudian mata dipejamkan sambil benak cuba-cuba membayangkan apa yang berlaku di luar sana tatkala angin sudah mulai beraksi bangga: pepohon bergoyangan; keruing beterbangan entah ke mana; spora-spora terlepas tanpa rela; dan ibu burung pulang ke sarang melindungi anak-anaknya. Daun-daun dan bunga-bunga pun turut berguguran berserakan di atas tanah. Aduhai, rapuhnya kehidupan ini!
Kehidupan ini tidaklah serapuh yang kita fikirkan kerana Dia telah memberi ruang kepada setiap manusia untuk membuat pilihan sama ada mahu atau tidak mahu meneguhkan kehidupannya. Tuhan telah membuka seluas-luas pintu perubahan untuk manusia berubah, terpulanglah kepada manusia sama ada mahu berubah atau tidak. Tidak sia-sia Dia menganugerahkan akal kepada manusia kerana dengan akal manusia dapat berfikir untuk membuat perbezaan dan memilih yang terbaik untuk kebaikan dirinya juga.
Mengimbau kembali cerita seorang Ustaz tentang pengalamannya semasa kecil di kampung mengenai datuknya yang bersolat sunat dua rakaat setiap kali selepas berkebun - apabila ditanya solat sunat apa dan mengapa? Jawabnya: “Solat Sunat Taubat. Entah-entah ada cacing yang mati terkena cangkul Atuk, atau barangkali Atuk juga telah mengganggu rumah hidupan dalam tanah termasuklah akar-akar pokok yang terputus akibat cangkulan Atuk. Atuk meminta keampunan Tuhan. Kita manusia sebenarnya selalu sangat mengotorkan baju sendiri, maka kita kenalah pula sentiasa rajin membasuh sendiri kotoran itu dengan ikhlas dan redha. Ingatlah, Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.”
** Di luar kilat memanah dan guruh berdentum sambut bersambut. Angin mengganas. Sejurus hujan mencurah-curah melanda bumi. Suasana tiba-tiba menjadi suram. Oh, sangat mengecutkan hati!
Tanyalah Tuhan mengapa angin mengganas dan hujan meruntuhkan bukit.
Pinggir Kota,
7/11/2009
Salam.
18 comments:
cinta pada manusia, suatu hari nanti kita pasti ditinggalkan. Cinta pada Ilahi ianya kekal abadi.
Moga setiap apa pandangan mata, pendengaran ditelinga, rasa dari sentuhan, nafas yang terhidu menjadikan kita hamba yang lebih bersyukur.
salam...
kala hujan sering membuai perasaan bersama dingan dan derap hujan yang menenangkan namun kadangkala kerakusan dan kekotoran insani sering merubah mutiara jernih itu kepada kebinasaan... cuka serita ustaz itu amat tersentap.
salam Bungarampai,
Sesekali berkunjung tetap ada mutiara yang kukutip dari bicaramu..moga kita semua menjadi insan yang diberkati dan dilimpahi anugerahNya.
kilat memanah, guruh berdentum
maksu kehujanan
Salam BR,
Saya membaca tetapi belum datang ilham untuk mengulas. Mungkin perlu mengulang baca baru datang ilham. :)
mendayu dayu macam biasa hasil tulisan cik bunga nie. terima kasih sebab bawak aku 'mengembara' dalam khayalan cik bunga buat kesekian kalinya.hehe
tulisan yg indah.
teringat pesan emak...
Tuhan Maha Kuasa
sebab itu ada karma
sebab itu perlu redha...
~salam kenal~
http://lagu-angin.blogspot.com/
usim hujan sudah bertandang,
Sesetengah tempat banjir melanda.
Setiap kejadian alam,adalah tanda kebesaran-Nya.
SHIMI, sama-sama kita berusaha mendapatkan redhanya. Amiin.
Naz_ilyn, salam kembali. Kerakusan boleh diperbaiki, kekotoran boleh dibersihkan. Usaha tangga kejayaan.
Serimaya, salam kembali. Kita perlu saling ingat-mengingatkan supaya tidak lalai. Amiin.
Mak Su, hujan tetap rahmatNya. Alhamdulillah.
Blackpurple, salam kembali BP. Ilham datang atas izinNya jua. :)
Suka Bebel, terima kasih kembali. Maaf Beb, saya tidak berkhayal. Saya menulis atas sedar. Mengembaralah untuk mencari hikmat dan nikmat Tuhan.
Ms Wind, salam kenal juga. Saya ke blog saudari tapi tak ada pintu untuk laluan masuk!
Mawarmerah2008, setiap peristiwa membawa pesan dan ilmuNya untuk kita renungi dan fikiri.
syahdu baca posting kali ni dans angat memberi kesan..terima kasih
sekarang disini sudah masuk musim tengkujuh.. hujan akan ada terkadang sampai berhari2.. dan paling disukai duduk di tepi pantai melihat ombak yang besar menghempas dan membadai meraja.. sambil terbasah dek hujan apalagi hujan dihati
duduk di buai besi sampai melihat hujan dari cucuran atap menghempas rerumput memang mengasyikkan. dan menghibakan juga. ohhh...
Chenta....
Hello Bunga Rampai, Love that beautiful poetry....and I too love books by Pearl S. Buck (Dragon seed), James Michener.
By chance have you read books by Dr. Han Su Yin?
Her most famous was made into a Hollywood movie, 'Love is a many splendoured thing'.
You keep well and have a nice day, Lee.
Salam kehidupan,
" Tanyalah Tuhan mengapa angin mengganas dan hujan meruntuhkan bukit".
jangan tanyakan tuhan, tetapi berfikirlah kerana tuhan telah memberi panduan.
Salam takzim Datuk Seri,
alam sering memberi peringatan, namun manusia saja yang lupa .. justeru hati2 ini perlu seringkali disiram baja tazkirah, dan Datuk sering saja mewah dengan siraman tersebut :)
Moga yang mulus-mulus sahaja sebagai peneman (^^)
Salam Maal Hijrah 1431.
Fahana_ann, sama-sama :)
Goonesauber, hanya empunya diri yang tahu lebat/renyai hujan di hati. Payungkan saja hujan di hati tu ;)
Bro Zizie, aah, saya terkesan dengan kata-kata itu.
Bro PK, cinta tetap indah!
Uncle Lee, hello uncle! Yes, read that famous book by Dr. Han - only one book though.
You too, have a nice day and great year ahead.
Cermindiri, salam kembali. Sama-sama kita berfikir mengunakan akal.
Datin Iza, yang indah-indah juga buat Datin :)
OSH, salam Maal Hijrah kembali. Moga dalam rahmatNya jua.
Post a Comment