Bondanya kehairanan melihat dia menyediakan baju raya seawal pagi itu, sehari sebelum Hari Raya. Tidak ada apa yang perlu dianehkan katanya kerana begitulah mahunya hati yang tidak sabar menunggu kedatangan Hari Lebaran.
Dua puluh empat jam menanti kehadiran Syawal terlalu lama dirasakannya, dan rindu kepada alunan takbir raya semakin membadai rasa. Diam-diam dia ke laman rumah mengajak sepasang matanya bercerita tentang kebeningan rindu itu kepada bunga-bunga yang berkembang, kepada kupu-kupu yang sana sini bersimpang-siur, kepada kumbang-kumbang yang menyeri bunga. Kasturi, kuini, dan rumpunan serai juga tahu tentang cerita rindunya itu yang mulai melupuh hati!
Malam pun tiba dan gema suara takbir raya yang berkumandang sayup-sayup melerai rindunya. Hatinya bagaikan terlepas ke awang-awangan kala menghayati nikmat takbir yang meredup segenap jiwanya hingga ke lubuk atma yang paling dalam, dan seni rasa itu mengairkan matanya. Alangkah takbir itu menjadi halwa rasanya yang paling manis malam itu sehingga ke saat fajar menyingsing, dan tenanglah jua rindu yang mengombak jiwa seusai bersujud kepadaNya.
Tenang-tenang gelombang rindu rupa-rupanya pantas menyusun fikir dan merapi hatinya agar tidak terpempan dengan kehadiran Kak Aisa yang dirinduinya yang sudah empat tahun berturut-turut berhari raya di daerah seberang. Demikianlah anehnya kehidupan ini yang kadang-kadang penuh dengan kejutan: yang dijemput tidak datang, ada pula yang datang walau tidak berjemput.
Terlebih aneh lagi kata Kak Aisa ialah apabila hawa nafsu mengongkong hati dan menjadi raja kepada setiap pergerakan dan perlakuan manusia. Kehidupan dunia yang sememangnya sarat dengan hiburan bertambah sendat dengan kelalaian apabila kemewahan menjadi sembahan manusia. Begitulah Abang Ji yang menghambakan diri kepada wang, harta benda, pangkat dan kuasa yang akhirnya kemewahan itu memakan dirinya sendiri. Abang Ji juga sudah dua kali diserang angin ahmar. Air mata Kak Aisa menitis. Dia yang mendengar terbungkam seketika.
Dia sengaja menyendiri di bawah pohon kuini untuk melayan rasa. Sambil memerhati ayam-ayam yang sedang mengais-ngais tanah, dia mengenang-ngenang perbualannya dengan Kak Aisa di perkarangan masjid sebentar tadi. Sejurus, ayam-ayam yang semakin rancak mengais-ngais lari bertempiaran apabila kucing bondanya tiba-tiba menerkam ke arah mereka. Dia tersentak. Aah, kasihan ayam! Barangakali mereka sedang mencari jarum emas Sang Helang yang hilang. Desis hatinya. Bukan senang mencari jarum emas, apa tah lagi kepada manusia yang mencari ketulan emas untuk di bawa pulang ke alam baqa.
Dia merenung jauh, cuba untuk menilai harga sebuah iman. Manusia sesungguhnya merangkak jatuh bangun di bumi luas milikNya ini. Mudah-mudahan payah sukar yang dilalui dalam kehidupan fana ini mendewasakan akal dan memantapkan iman setiap Muslim yang berusaha untuk berjalan di jalan yang lurus. Kesukaran yang dilalui itu sebenarnya tidaklah seberapa berbanding ujian keimanan para sahabat sewaktu Islam mulai berkembang di peringkat awal dulu. Mereka mempertaruhkan nyawa masing-masing untuk harga sebuah iman. Begitulah yang difikirkannya.
"Berlama-lama di luar tu buat apa Rampai?" Pertanyaan bondanya dijawab dengan senyuman.
Di atas meja sudah terhidang aneka sajian. Kesyukuran dan keriangan menjamu selera telah meminggirkan ingatannya tentang rentetan peristiwa yang ditempohinya sejak pagi semalam.
Entah bayu apa yang datang menyapa, atau barangkali keenakan kuih makmur itu telah membangkitkan ingatannya kepada seseorang. Baginya tiada kata-kata, puisi, lukisan, atau irama yang dapat mentafsir rasa takzimnya kepada insan ini. Kepadanya insan ini umpama gerbang yang berhiaskan bunga-bunga anggerik, teratai, mawar, dan daisi yang melampiaskan keindahan dan haruman sewangi lavender dan bunga rampai - haruman dan keindahan yang mudah-mudahan menemaninya hingga bermukim di sebuah negeri yang kekal.
Salam. Eid Mubarak. Eid yang membawa rahmat yang perlu direbuti. Barakah yang terada yang perlu dituntuti. Semoga ibadah Ramadhan menampakkan kepada sirr yang tersembunyi. Maaf zahir bathin.
Demikian salam lebaran titipan insan itu telah mendetik bening rindu di relung hatinya, lalu dalam tenang, rasa rindu itu disulamnya menjadi bunga-bunga doa.
"Wahai Tuhan, jadikanlah dia dari kalangan orang-orang yang Engkau kehendaki, yang baik amal ibadah dan kebajikannya."
1 Syawal 1430H
20.09.2009
Salam.
16 comments:
bening rindu
rindu apakah ini kalau bukan rindu
seharum mawar
rindu merindu rindu
mawar penawar
siapalah rindu tanpa rindu
Salam Bunga Rampai,
Sungguh indah entry ini..
kalau ditanya pasti tak ada yang berani berhadapan dengan mati. tapi tak ramai juga yang bersedia apa yang patut untuk menghadapi mati.lebih utamakan dunia yang serba indah didepan mata.
**dah tau cik bunga rampai tak tolong emak di dapur malam raya, duk perhati ayam kais kais tanah carik jarum emas.hehe
Salam BR.
Lamanya tak makan kuih makmur.... Sedap 'sesedap' membaca entri ini. :)
selamat hari raya... sambil hulur jus mangga....
boleh saya tumpang aminkan doa itu ?
salam rampai.
rampai peminat biskut makmur? samalah kita utk kali ni :D
Amin...
Penyanyi lagu Rindu Serindu Rindunya dah mati.
Psss.. relevan ka?
Anggerik Merah, salam kembali. Terima kasih. Atas izinNya jua.
Suka Bebel, saya 'anak emak.' ;)
Blackpurple, salam kembali. Zaman ini susah dapat kuih makmur yang asli.
Mineral, jom kita cipta 'jus raya' ;)
Mak Su, silakan. Alhamdulillah.
Julietchun, peminat nombor satu! :))
Kak Sya, Ya Rabbulalamin.
Bro PK, selagi lagu itu hidup, selama itulah relevan.
aduh BR,
lambatkah saya??
Salam Eid.. Salam kehidupan..
salam eid mubarak. Rindu yang datang sering membawa bersama berbagai ingatan
Salam Bunga Rampai,
"rindu tamu agung dalam ruang-ruang waktu yang tertentu, tanpa undangan - ia tetap bertandang",
"catatan yang lazat disantap".
Bunga Rampai,
Biskut Makmur juga mengingatkan Kak Long pada seseorang.
Jangan berlama-lama di luar, nanti masuk angin.
Jaga diri.
sekalung rindu Datuk Seri,
ahh coretanmu Datuk, jika tidak menyentuh tangkai hati, menguis benak saya tentunya bukan Rampai namanya :)
Rindu itu khazanah jiwa.. sakit bila menanggung, sukar untuk dibuang. Begitulah, ceritera sekeping hati, berpancawarna adanya.
Rindu membangkitkan fikir. Lalu manusia berakal akan sentiasa mengambil manfaat daripada pemikiran itu. Mudah2an hati kita yang alpa sering saja diingatkan bahawa jatuh bangun kita di dunia adalah ujian, daripadaNya untuk penempatan di negeri abadi..
Theconfused, lambat atau cepat tak menjadi hal. Ziarahmu ini yang saya hargai. Terima kasih. Salam kehidupan kembali.
SHIMI, ... dan ingatan itu sering pula mengusik jiwa!
Zulkifli Mohamed, salam kembali. DIA bertandang membawa pesan yang perlu dipatuhi.
Mawarmerah2008, ooh, hebatnya penangan kuih makmur kan? Masuk angin nanti kembong perut! :D
Datin Iza, terima kasih kata-kata itu yang meredup hati dan menyaman rasa!
Post a Comment