Saturday, 28 February 2009

Kasihnya Hujan

Mentari tengahari bagaikan marah dan hangatnya membara. Orang-orang tua berkata jika demikian panasnya hari, maka rembang nanti hujan bakal turun dengan lebatnya. Kata mereka lagi - kala hujan begitu, sudi-sudikanlah diri bersiram dengannya sambil bawa-bawakan telinga menghayati bunyi hujan yang jatuh ke bumi itu.

Hujan lebat yang turun petang tadi bagaikan satu irama mulus yang melahirkan rasa yang amat senang kepadanya. Hati lalu meredup, jiwa tenang jua dan di kejauhan rasa keinginan merimbun untuk menyentuhnya. Berhujanlah dan dengarkan bunyi hujan yang turun itu, demikian bisiknya hati. Kaki lantas melangkah ke tengah laman di luar teratak, dan berdirilah seorang Rampai dalam hujan lebat yang menjurai turunnya dari hamparan langit nan kelabu.

Aduhai. Dingin air yang membasahi diri menguak rasa kasih lalu menjemput kalbu untuk menghayati dendangan irama hujan yang akur jatuhnya ke atas tanah, batu-batu, bunga-bunga dan daun-daun di sekitar. Bunyi itu, entah bagaimana mungkin dapat menirunya untuk diperdengarkan kepada orang lain kerana sesungguhnya tiada daya seorang Rampai yang kerdil itu untuk menirunya. Betapa agungnya Pencipta!

Alangkah juraian air yang membasahi diri selama lima minit lamanya bisa mendepang rasa qalbi lantas hanyutlah rasa itu dalam tafakur yang mendengar berjuta trillion titisan air yang seolah-olah berzikir serentak akan zikir Alam - menyerap telus dan menggetar seluruh badan lalu air mata menitis dengan tiba-tiba. Subhanallah!

Hujan kering dan langit cerah lalu diri kembali ke tengah laman di luar teratak. Nafas ditarik dalam-dalam dari hidung kemudian dihembus keluar perlahan-lahan. Alhamdulillah, murninya udara menyegar raga dan membugar lubuk sukma!

Begitulah, udara yang kita sedut ini adalah juga udara yang pernah disedut oleh berbilion manusia sebelum kita termasuk para Nabi dan Rasul Allah. Udara ini telah melalui lautan dan daratan; melalui tanah hitam dan pasir; telah melalui herba yang bernilai ubat dan yang bernilai racun; lalu dalam udara itu ada ubat dan ada racun, dan ‘pabila hujan turun, hujan akan menyaring racun-racun itu menjadikan udara selepas hujan adalah yang paling murni dan paling tinggi nilai perubatannya.

Benarlah kata orang-orang tua yang berpesan agar memanfaatkan hujan di pertengahannya dan udara selepas hujan kerana di situ ada rawatan alami yang paling berkesan untuk kekuatan jasmani dan rohani manusia. Wallahu’alam.

Salam.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

(Kemaskini: 6 Mei 2009)

Kasihnya Hujan

mentari bagakan marah
sewaktu menukar suis hangatnya
kepada membara

tujunya, kita
tempiasnya selain

ketika sedang enak
merembang, matahari

tertudung panasnya
mendung menurun sejuta
irama mulus menitik
melimpah di bawah langit

adakah ada hamba merasa
dinginnya lalu menjemput kalbu
sama berirama mendepang rasa qalbi
hingga bercantum zikirnya hujan
dan alam, menyerap telus, menggetar badan

adakah ada hamba
menitis air matanya
ditimpa kasihnya hujan
kasihNya, hujan.

~ Kingbinjai

17 comments:

Ajzie said...

Hujan mensucikan dan menguatkan


إِذْ يُغَشِّيكُمُ النُّعَاسَ أَمَنَةً مِّنْهُ وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُم مِّن السَّمَاء مَاء لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ وَيُذْهِبَ عَنكُمْ رِجْزَ الشَّيْطَانِ وَلِيَرْبِطَ عَلَى قُلُوبِكُمْ وَيُثَبِّتَ بِهِ الأَقْدَامَ (8:11)

(Ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penentraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk menyucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan setan dan untuk menguatkan hatimu dan memperteguh dengannya telapak kaki (mu).
Al Anfaal ayat 8:11

Pa'chik said...

Kita nyanyi setelah hujan
Kita mimpi selepas hujan

Dan dari cahaya
Menyuluh ke bumi
Sambil melukis pelangi
Pertumbuhan hijau
Membuka matanya
Dan kehidupan menari
-setelah hujan, search-

Bunga Rampai said...

Ajzie, terima kasih. Ayat ini bukti kepada benarnya pesan orang-orang tua.

Pa'chik, tak tahu pula saya ada lagu ni :( Saya duk layan lagu Isabela dan Fantasia Bulan Madu je :D

julietchun said...

Teringat masa kecil dulu berkubang di laman bila hujan turun. Walaupun bibir dah terketar2 kesejukan tapi ttp taknak masuk ke rumah. ;D

naz ilyn said...

salam...
bila gerimis berlagu sendu
hati sayu bertambah pilu
ke mana arah nak ku mengadu
mencari lengan untuk ku beradu
masih adakah yang sudi memangku
sandaran sementara hujan berlalu

serimaya said...

salam..
walau tak bersama merasai dinginnya hujan namun syahdunya bagai menusuk ke hati..

Bunga Rampai said...

Julietchun, samalah kita :)

Naz ilyn, salam kembali. Usah berputus asa. DIA sentiasa melihat dan mendengar. Berdoalah. Salah satu waktu terbaik untuk berdoa ialah ketika hujan lebat sedang turun.

Serimaya, salam kembali. Jangan sampai hujan air mata! :P

kebukai said...

Aku sukakan suasana selepas hujan. Tenang dan aman. Apatah lagi kalau di kampung. Indah sungguh irama alam..

Nong said...

Ketika muda2 dulu, hati akan gundah gulana jika hujan turun tanpa berhenti.

Kerana takut akan mungkir temu janji dengan si dia...

Bunga Rampai said...

Zealboat, segalanya segar dan nyaman!

Kak Nong, sabar - tunggu hingga hujan teduh :)

MYA MARJA said...

Assalamualaikum,
Hujan yang turun bagai mutiara. Hujan yang turun juga bagai air mata. Alhamdulillah...

blackpurple @ jowopinter said...

Salam BR.

Ya. Hujan itu bawa rahmat. Bawa berkat.

Bunga Rampai said...

Mya Marja, waalaikumusalam. Begitulah tafsirnya bagi mereka yang memahami.

Blackpurple, salam kembali BP. Selamatlah sesiapa yang mengingatiNya.

Suka Bebel said...

hujan yang turun bagaikan mutiara...heehe

Bunga Rampai said...

Suka Bebel, Allahyarham Sudirman. Al-Fatihah.

yushida03 said...

salam.

Hujan, mmg selalunya mendamaikan.. walau di tengah hiruk pikuk kota, di tengah kekalutan kerja, hujan.. mendamaikan jiwa, merehatkan minda..

Bunga Rampai said...

Yushida03, salam kembali. Begitulah rahmatNya disampaikan melalui hujan. Alhamdulillah.