Dalam sunyi merenung subuh yang masih hening dan jernih titis embun masih lagi segar di liku-liku daun, ada rasa yang mengembara nun jauh ke kaki gunung yang pernah dijelajahi dan didakap damainya.
Kemudian, tatkala suria pagi mula tersenyum menghangat rasa itu, terpancar jua di pelantar benak kegagahan puncak gunung yang gah menjulang langit yang bagaikan pasrah kepadanya. Alangkah kehebatan Kinabalu menjadikan manusia dan usaha manusia kelihatan amat kecil berbanding sifat gunung yang gagah itu yang telah Tuhan pilih untuknya. Dingin suasana dilawan kemahuan dan tekanan hidup manusia yang menjalankan kegiatan seharian menjadikan Kinabalu dan persekitarannya bak medan juang manusia berdepan dengan alamiah yang mencabar.
Anehnya hari ini, semakin hari menjauh semakin tegar rasa yang beralun di hati membangkit ingatan kepada wajah-wajah yang menghiasi sekeliling gunung itu ...
Mereka, gadis-gadis Dusun dengan betis pejal serta bahu jatuh menggendong beban dari kaki gunung hingga ke Sayat-Sayat bisa saja menyemai rasa kasihan kepada sesiapa yang melihat mereka. Namun bahu yang jatuh menggendong beban itu bukanlah sesuatu yang perlu ditangisi kata mereka. Ia sekadar mampu mengelatkan senyuman di bibir. Malah ianya sudah menjadi satu kebiasaan yang menguatkan jati hati mereka sebagai perempuan gunung yang tidak mahu mengalah kepada desakan hidup.
Nun di lereng Kinabalu di Timpohon Gate yang redup, lumut tebal tiga jenis dengan tiga warna yang menyelimuti batu-batuan gunung amat mengagumkan mata yang memandangnya; dan meneliti pergerakan koloni semut merah yang merajai denai redup hutan hujan tropika menjadikan manusia termalu sendiri kerana semut-semut walau sekecil itu mampu bermuafakat dan bekerjasama dalam melunaskan tanggungjawab kehidupan.
Di Simpang Tiga pula ada wajah-wajah petani mencuka melihat padi bukit yang sambang tidak menjadi. Di tepian jalanraya Tinompok – Kundasang, di pondok-pondok sayur ada senyuman manis gadis-gadis penjual sayur berharapan setinggi Kinabalu agar jualannya laris. Di sekolah ada anak-anak yang lena dibuai enak sang bayu dingin dari gunung. Alangkah serba-serbi yang di miliki oleh persekitaran Kinabalu itu sangat asli mempamerkan jerih payah manusia berdepan alam yang hebat gagah ...
... dan di sini ada rasa yang tidak pernah lupa mengingatinya dan bercerita tentangnya. Rasa itu persis anggerik di pergunungan yang menguntum seri sepanjang waktu.
Salam.
9 comments:
saya juga pernah berada dipuncak itu. Menikmati keindahan munculnya mentari pagi.
indahnya menimbulkan keinsafan diri bila berada dipuncak.
Gunting Lagadan, Low's Peak tetap menggamit memori saya di awal 90an
cik rampai mendaki?
Kinabalu ada 'rasanya' sendiri..hehe dan harga nasi goreng di Laban rata mahal harganya..makan atas awan la katakan..dulu la..2005, mungkin sekarang lagi mahal.
salam =)
Salam BR,
kalau ada gambarnya mungkin boleh diletakkan disini. Saya masih menyimpan hasrat utk ke sana.
hebatnya sebuah rasa, bagai sang anggerik liar di pergunungan
bestnya....gambar takde ker BR?
hehhe hehhe
salam...jaga diri :)
dan mentari itu muncul lagi
Kalau tahun 80'an dulu kak nong mendaki gagah. Sekarang kalau kesana hanya akan ke Mersilau resort dan merenung puncak dari jauh...
Lutut ini sudah tidak sekuat dulu. he he..
Sayapun ada persis kiambang di dasar air.........
SHIMI, Gunting Lagadan adalah orang Dusun pertama sampai ke puncak Kinabalu.
Afid, mendaki suku gunung :D Tak pernah sampai puncak :( Setiap kali ke negeri bawah bayu saya akan singgah Taman Negara.
Julietchun, salam kembali. Gambar-gambar lama ada tapi dah jadi harta karun! Cuba google, banyak gambar dan cerita mengenai Kinabalu. Entri ini sekadar ingatan/nostalgia saya terhadap Kinabalu. Tunaikan hasrat itu, Juliet tak akan menyesal.
Mak Su, huh, Mak Su amat memahami!
13may, memang best! Salam kembali. 13may juga jaga diri ya :)
Art, mentari tetap muncul seusai hujan, selepas malam, setelah gerhana.
Kak Nong, hehehe ...
Alhamdulillah masih dapat merenung puncak dan merasa dingin.
D'Rimba, menarik! Salam kenal :)
Post a Comment