Monday, 4 December 2006

Tiru Macam Nenek

"Berapa lama tak scrub badan ni? Kasarnyaaaa..." Nenek menggosok-gosok tangan saya. Amboi, nenek pun cakap orang putih...scrub? hehehe...
"Rambut ni, berapa lama tak bagi wap?" Nenek mengerut muka sambil membelai rambut saya.
"Muka ni, heh, pucat!" Heh, banyaknya omelan nenek!

"Sibuk ..."
"O, berjalan ke sana sini tak sibuk?"
"Nantilah..."
"Apa nanti-nanti, umur tidak menanti kita...dan baju ini lepas basuh bagi nenek!"
"Aik, nenek nak pakai?" Saya ketawa besar.
"Sedekah bagi Latip." Oh tidak! Tidak! Baju kegemaran saya, alaa baju itu ;)

Begitulah nenek saya. Setiap kali bertandang ke rumahnya, perlu kemas, segalanya. Baju saya itupun katanya 'baju orang angkat batu-bata.' Oooohhh... :(

Apa pun kerenah nenek, saya tetap sayang nenek. Pertama kerana dia suka menyikat-nyikat serta membelai-belai rambut saya. Kedua, kerana dia rajin menyediakan air limau madu untuk saya, dan ketiga kerana dia banyak menurunkan petua-petua kesihatan dan kecantikan kepada saya :) Oh, nenek saya itu walau sudah lanjut usianya, pheewwiitt !! ... saya kagum dengan kehalusan kulitnya, pigmentasi yang tidak ketara, mata yang bersinar, dan yang utama tetap segar-bugar berjalan ke hulu hilir! Rahsia nenek?

Madu penyeri segala kecantikan dalaman dan luaran. Kalau mahukan bibir bak delima merekah, oleskan minyak kelapa muda tiap pagi dan malam. Minyak kelapa menggebu bibir, menghalus tumit, lutut dan siku; juga menghitam, melembut dan mengilat rambut; serta melebat alis dan bulu mata. Air rebusan kunyit nenek kata menghangatkan badan, memerahkan wajah. "Oooh begitu ..."

Kalau inginkan pipi umpama pauh dilayang: Sekali seminggu cuci muka dengan buah tomato atau betik (hancurkan). Untuk masker, oleskan putih telur kampung, biarkan 20 minit, bilas. Kemudian sapukan air mawar. "Ermm nek, beli saja yang di botol, senang!"

Goreng segenggam beras pulut hingga kuning kemudian tumbuk bersama kunyit basah sebesar ibu jari, tumbuk hingga menjadi sehalus pasir. Lulur lembut pada badan ketika mandi sekali seminggu, bilas, dan terakhir lulurkan air limau nipis, dan bilas lagi. "Nek, pergi spa lagi enak!"

Sebelum syampu rambut, urut-urutkan minyak kelapa atas kulit kepala dan rambutnya sekali, wapkan, begini: rendam tuala dalam air panas, perah, dan bungkus kepala, jika tuala sejuk ulang lagi hingga waktu mengwap cukup 20 minit. Syampu, bilas. Kemudian perah air limau nipis pada kulit kepala. "Pergi salon rambut lagi mudah nek!

"Rampai, dalam rahsia ada rahsia."
"Aaiikk?"

Menurut nenek: bahan asli yang disentuh oleh panca indera manusia itu akan menggembirakan Allah Ta'ala kerana segala pemberianNya telah dimanfaatkan, dan untuk membalas segala usaha kita itu, Dia akan menggembirakan kita pula. Kegembiraan hati akan menyerikan wajah, menenang paras. Itulah kecantikan asli yang datangnya dari sekeping hati yang punya sepasang mata.

"Khazanah alam Rampai, membawa nilai dan maksud untuk diterokai oleh manusia, segalanya dari Khaliq. Terokalah, segala itu akan mendekatkan kita padaNya."

Oh, nenek juga berpesan: selesai membasuh muka, bilas muka 3 kali dan setiap bilasan perlu diiringi selawat, lurutkan air itu dari dagu ke dahi. Juga kata nenek, setiap kali melihat wajah di cermin, berdoalah begini: "Ya Tuhanku, cantikkan diriku bukan kerana wajahku atau pakaianku, tetapi akhlak dan peribadiku."


~~~~~~~~~~~~~~

Saya teringatkan nenek sebenarnya, teringat sangat. Andai nenek ada di sisi menyikat-nyikat rambut saya, saya tahu dia sudi saja mendengar suntingan rasa hati ini ...

Rama-rama itu lagi, datang mengepak-ngepak sayapnya dalam kamar fikir yang masih berkabus dingin. Kemudian renyai hujan yang membasahi pelantar benak juga tidak dipedulinya. Barangkali rama-rama itu mengharap pelangi 'kan bertandang lewat tengahari nanti. Dia tidak tahu, 'pabila saja kabus mengorak langkah dan renyai hujan sirna iramanya, maka mega kelabu pula berarak megah, berlagu pasrah mengiringi sekeping hati yang tidak sudah-sudah menghisab diri. Dia atau DIA.

Salam.




22 comments:

blackpurple @ jowopinter said...

Ah... teringat pula nenak saya. Terbayang-bayang, sedang mencangkung, asyik membelah buah pinang.

"Dah la tu tok... tak payah la buat kerja tu...bukan banyak manapun dapat jual buah pinang tu.."

" Tok buat ni bukan sebab duit tapi sebab tok suka...."

Bagus petua nenek BR tu... Nak cuba lah... Boleh diaplikasi untuk lelaki..? hehe

Azer Mantessa said...

wah ... ini cukup bagus nih ... nenek mang handal ... ada petua lagi ... tolonglah buatkan entry lagi ... penting nih ... honest.

Sastri said...

waa, nenek BR sama mcm nenek Sas... kalau rambut sedikit perang (bukan sbb diwarna tapi akibat terkena cahaya matahari), pasti dia akan sibuk, suruh letak minyak urang-aring bagi rambut hitam berkilat... kalau buat maajun atau air kunyit pasti Sas juga kena minum jamu buatannya... Orang2 tua mmg rajin menjaga kesihatan luar dan dalam... Orang2 sekarang jer lebih suka alternatif yg mudah...

13may said...

wah! org dulu2 memang byk petua...dan jugak byk pantang larang:)

Salam..

ibuVouge said...

wah banyaknya petua, nanti senang iv datang untuk catat lagi ya!
tapi betul petua minyak kelapa untuk merahkan bibir.IV amalkan..kekadang tak pakai lipstick pun mulut iv cam pakai..

kingbinjai said...

pelangi juga berteman

abdullahjones said...

kamu sedang mencari datuk untuk nenek kamu? beriya benar menceritakan kecantikan beliau!

tuan tanah said...

oh.. saya mudah saja terlupa tentang petua-petua ini.

sudahlah masa di malaya pun tak buat, bila di luar negara ini baru terhegeh-hegeh mahukan petua kecantikan asli warisan nenek moyang.

oh...

INDERA KENCANA said...

Kecantikan semulajadi, lahir dari hati yang tulus ikhlas.
Orang kita dulu-dulu kaya dengan pengetahuan yang terkandung di dalam rahsia alam. Semoga amanat nenek kekal di dalam hati Bunga Rampai.

achik said...

menariknya petua... boleh try amalkan ni...

lompat2 blog sampai ke sini... salam :)

hakim dirani said...

wah! petua yang menarik.

Anonymous said...

wow best nya org ada nenek...

bagusla petua tu....murah dan asli....antara malas dan rajin jeee

Ordinary Superhero said...
This comment has been removed by the author.
Iman Mawaddah said...

Wahh..nenek vogue ni :)

Sya said...

Bestnya ada nenek utk membelai-belai manja cucu.. kak sya ni nenek tpt bermanja hanya sehingga 14 thn aje

AKMA said...

Mmmm...bertandang dan terus bertandang ke mari tapi tuannya tiada. Ke mana agaknya menghilang...

Bunga Rampai said...

Salam kalian,

Terima kasih atas kunjungan, saya amat menghargainya, namun mohon maaf tidak dapat membalas komen kalian buat masa ini.

Doa saya moga kalian dalam baik-baik sahaja, sihat dan ceria.

Rampai.

loppiess said...

Rampai,

nenek saya sudah pergi lama dahulu. dia pergi sesudah atok kami pergi. kami hanya mengunjungi mereka sekali setiap tahun pada hari raya kedua.

daerah mereka tinggal kini amat sepi. lalang lalang berdiri dan pohon pohon menjulang tinggi. Nesan batu menyambut kami, harum kemboja bercambah diudara. bunyi burung burung dan haiwan kecil. terowong udara timbul dari pucuk pucuk jering dan getah. disini kembali kenangan kami melimpah.

kecil kecil disawah. basikal atok. masakan nenek. mengaji quran. rotan panjang. azan di surau. kebun durian. sungai cetek. makan rojak di Padang Lebar. kasut hitam ala Beatles. topi baretta...dan macam macam lagi..dan lagi..lagi.

Rampai,
mereka sudah lama pergi dan kami melawat mereka sekali setiap tahun. setiapkali aku terkenangkan mereka aku meraba tepi kanan bucu kepalaku, satu parut luka yang tidak ditumbuhi rambut.....lama dahulu, diketika itu atok mengoyakkan bajunya dan membalut kepalaku yang berdarah.

ketika aku membaca tulisan rampai ini, aku meraba parut kecilku, ia bagai semalam dibalut.

Bunga Rampai said...

Salam :)

BP: Petua itu juga sesuai untuk lelaki. Cubalah :)

Azer: Okey. Ada masa nanti boleh borak lagi petua nenek. Honest.

Sastri: Kadang tu saya pun beli yang dalam botol, dan tak pernah lekang Johnson Baby Lotion sejak remaja.

13may:Hehe...kadang tu pantang larang lebih banyak daripada petua :) Salam kembali.

IV: Minyak kelapa juga terbukti dapat menghilangkan parut. Juga terbukti sangat mujarab untuk penyakit kulit 'kayap' (kudis gatal yang berair dan melarat)

King: Ya, bertemankan titis-titis air dari langit. Terima kasih mengingatkan.

Pak AJ: Oh tidak. Datuk saya masih setia di sisi nenek, dan kekacakannya masih terserlah!

Bunga Rampai said...

Salam :)

TuanTanah: Masih belum terlambat untuk mengamalkannya. Di sana pun banyak tumbuhan yang baik untuk kesihatan terutama untuk kulit. Strawberry dan peach untuk pencuci muka. Oat + susu untuk lulur badan. Musim panas mawar tumbuh segar...ramas kelopak mawar dalam air mandian + pati minyak mawar (dari Bodyshop :) )... amat menyegarkan!

Indera: Tak cuba tak tahu. Orang tua banyak pengalaman :)

Achik: Salam kenal. BAik-baik lompat. Petua nenek kalau kaki patah...pi hospital, simen saja :))

Hakim: Cuba, jangan tak cuba ...

SempoiSerius: Ya, antara nak dengan tak nak je kan? Salam kenal.

Mohd Shuhaimi: Salam kembali. Alhamdulillah.

Iman: :-)))

Kak Sya: Usah sedih. Setiap kita akan menjadi nenek satu hari nanti, dan ketika itu kita akan membelai-belai rambut cucu kita :)

Akma: Terima kasih atas kunjungan. Menghilang seketika, mengembara seadanya. 'Pabila rindu bertandang, teratak pasti dijengah.

Loppiess: Aduuuhh Loppiess. Mata saya tidak berkelip kala menyantap kenangan silam itu. Seusai saja kalimah terakhir, saya terjelepok di kerusi. Longlai rasa. Sebak.

Aduhai Loppiess.

Pegawai Khalwat said...

Nenek?

Aku banyak dosa dengan nenek.

Kenangan banyak tapi tak tercerita. Kerana tiap kali terkenang, air mata akan bergenang.

Bunga Rampai said...

Bro PK: Kenang nenek dalam doamu.