Tuesday, 4 July 2006

Senyum

Ada pelbagai jenis senyum ...

Senyum manis...Senyum pahit...Senyum simpul...Senyum lawa...Senyum kambing ...

Tengahari Sabtu 01 Julai. Tiba di platform menunggu KL Sentral. Ah, saya terlepas tren ke klcc (oohh, klcc lagi...apakan daya, tuntutan kerja). Lantas memarahi diri, siapa suruh jalan berlenggang tadi, kan sekarang dah 6 minit lewat?

Empat minit kemudian seorang wanita dalam lingkungan lima puluhan yang berperawakan sederhana berpakaian a-la Punjabi warna hijau pucuk pisang datang berdiri di sebelah saya. Dia tersenyum memandang saya. Wajahnya bercahaya bak purnama penuh, berseri-seri sekali ketika memberi seulas senyuman itu. Saya terpegun melihat kejernihan rona wajahnya ketika dia tersenyum. Saya membalas senyumannya.

Dia kemudian mengucap salam dalam nada lembut yang keluar antara dua bibir merah jambu yang menguntum senyum. Terasa semerbak harum di pelantar hati saya mendengar suara lunak itu. Saya membalas salamnya.

Tren tiba dan dia minta permisi untuk pergi. Mata saya mengikuti susun langkahnya yang tertib. Dia masuk ke dalam tren. Saya masih tercegat. Dan terlepas tren sekali lagi. Kali ini saya tidak memarahi diri walau saya tahu saya kini lewat 12 minit untuk janji temu.

Telefon bimbit berdering, maaf saya lambat 15 minit, tunggu ya. Itu ujaran di hujung sana. Saya senyum lega.

Wanita itu.Dia seorang yang asing bagi saya, namun salam dan senyumannya membuat saya gembira. Kehadirannya membuat saya lupa pada kepedihan benak memikirkan kesibukan kerenah manusia di klcc. Juga menghilang gusar hati kerana lewat menunaikan sebuah janji temu.

Jenis apa ya senyuman yang begitu?

Tika ini saya teringat pada Tipah Lawa, cuba membayangkan bagaimana agaknya rupa senyumannya.

Salam.

14 comments:

Unknown said...

senyum itu sedekah..

HCI said...

wah, senyuman dia membuatkan kamu terlepas train. malaikat kot?

Sayuti said...

orang yang susah senyum adalah lebih susah daripada orang yang senyum pada waktu susah.

blackpurple @ jowopinter said...

Senyum boleh menghidupkan jiwa yang mati.... boleh mematikan jiwa yang hidup...

anggerik merah said...

Senyum antara penawar segala kesulitan

Ku Keng said...

Sehingga terpukau dengan senyuman yang ikhlas.

Bunga Rampai said...

Salam kalian :)

Cikgu,
...yang paling murah dan mudah dilakukan, namun bukan semua orang boleh melakukannya, apalagi memberi dengan ikhlas.

Has,
Sebenarnya itulah yang ada dalam kepala saya. Sesuatu yang muncul seketika dan hilang tanpa jejak namun berkesan di hati ... payah sekali melupakan peristiwa itu.

Dik Sayuti,
Akak setuju. Orang yang senyum dalam susah adalah orang yang sentiasa syukur dan redha.

blackpurple,
Ooh, cukup berinspirasi! Madah itu membuat saya senyum dalam fikir.

AnggerikMerah,
Merenung kuntuman anggerik pelbagai warna dan bentuk bisa saja membuat saya senyum.

Bro Keng,
Itulah dia, keikhlasan yang datang dari jiwa murni. Dan hingga kini saya masih bertanyakan diri siapa wanita itu, juga mengharap suatu hari nanti saya diketemukan lagi dengan dia.

zizie ali said...

kalau orang yg tidak dikenali tersenyum pada saya, saya akan memastikan dua perkara pd diri saya tiada sebarang masalah: pertama, zip seluar. kedua, poket baju, jgn berus gigi menggantikan pen.

Unknown said...

Salam BR. Dah lama saya tak kemari.

Saya pun teringin nak tgk senyuman yang macam manalah tu ek sehingga membuatkan BR terus cool jer tu...hehe.

Bunga Rampai said...

Salam :)

Bro Zizie,
Ada betulnya. Tapi saya yakin, semuanya okey hari itu.

Yus,
Salam kembali. Lama tak kemari sebab Yus demam bola:) Ya, cooooll...

Nong said...

Salam,
Menjenguk kesini dari blog lain.
"A smile keeps you sweet..."

Bunga Rampai said...

Salam kembali Nong,

Dan yang berujar sedemikian pastinya punya senyuman manis juga ;)

Kaklong Syikin said...

senyum sinis menjengkelkan hati saya. terfikir apa yg difikirkannya ttg saya or sbrg kenyataan saya hingga blh dia tersenyum begitu.

Bunga Rampai said...

Salam Syikin,
Ada benarnya kata-kata itu.
Kadang saya jua terperangkap dalam situasi sedemikian. Tapi biarlah senyum sinis dijadikan satu pengajaran, sebagai alat bantu untuk membaiki diri :)