Selasa, 22 Ogos 2006
10 pagi...
Sementara menanti lampu hijau menyala, saya melabuh pandang nun ke seberang jalan. Di antara berbelas yang anggun gagah berdiri, ada seorang lelaki buta berumur 40an.
Lampu merah padam. Mereka di seberang sana bergegas melangkah pantas. Lelaki buta itu menyodok-nyodok tongkatnya di muka jalan. Tiada siapa peduli.
Tiba-tiba muncul seorang jejaka. Tampan lagi sasa perawakannya, berkaca mata. Rambut pendek berombak, kulit hitam manis. Kemeja lengan panjang berjalur biru putih, bertali leher biru tua. Dia memimpin lelaki buta itu, membantunya menyeberang jalan. Saya tercegat, terpempan sejenak. Tidak berganjak.
Tiba di tempat saya. Jejaka itu bertanya lembut penuh sopan sama ada lelaki itu perlukan bantuannya lagi. Lelaki buta itu mengucapkan terima kasih, dan jejaka itu berlalu pergi.
Sedetik hati saya terusik, ooohh...ada ombak di kalbu, bergelora seketika. Dia telah mencuri sekelumit hati saya. Dia kacak sekali. Segalanya tentang dia, kacak.
Walau itu tanggapan pada luarannya saja yang saya kira kurang saksama, dia bisa saja meriangkan saya. Sekurang-kurangnya saya tahu masih ada manusia yang punya rasa kasih, memahami dan menghormati insan lain.
Ini membuat dunia saya berbunga harum, walau seketika.
3 petang...
Saya, assalamualaikum, saya ... dan ... dan ...
Di hujung sana, where did u get my number? ... and ... and ... Mengherdik.
Sedetik hati saya terusik rasa terkejut, tersentak amat. Dia garang sekali. Segalanya tentang dia, bengis. Oh, pegawai itu lupa, pangkat dan nombornya ada tertera di laman maya kementeriannya: telus dan mesra rakyat.
Saya tidak tahu dia kacak atau tidak. Saya kira dia perasan dia kacak sekali. Itu tanggapan yang kurang adil, namun hakikatnya dia senang-senang saja telah menyedihkan sekeping hati.
Dan petang itu dunia saya berbalam seketika.
Mujur malamnya hujan renyai. Dingin.
Salam.
8 comments:
Kalau kacak 'di luar' tak semestinya kacak 'di dalam'
tapi
kalau kacak 'di dalam', kacak juga 'di luar..'
(Saya nak kata kacak itu taklah..
cuma manis kot....
hehehe..)
betul blackpurple. kecantikan/kekacakan dalaman turut mencatikkan luaran. kadang2 kita lupa akan pentingnya yg di dalam.
Teringat cerita kartun Tarzan terbitan Walt Disney. Nama Silverback Gorilla tu Kerchak.
Bila terjemah ke Bahasa Melayu jadilah Kacak.
oh, dua peristiwa yg menggugat jiwa..satu gembira satu sedih..buangkan peristiwa sedih tu, kekalkan yg menggembirakan.
Bunga rampai, manusia yg berbagai. Kita dapat bezakan impact pada diri kita. U take care!
Salam kalian...
Blackpurple,
Manis itu menawan, auranya memikat...menarik dipandang, redup hati merenung ;)
Kemat,
Setuju sekali.
En, Peg Khalwat,
Tetap saja tampan dan sasa :)
Syikin,
Betul tu ... terima kasih.
Anggerik Merah,
Ada kala impak itu membawa perubahan pada diri kita. Jaga dirimu juga ya.
saya pasti, pegawai itu tidak kacak sebab saya kacak dan saya jawab telefon tidak seperti pegawai tersebut. haha. walaupon yang menalipon itu orang telemarketing.
salam. :)
Sayuti,
Adik akak sorang ni memang kacak!
Salam kembali :)
Post a Comment