Semalam hari minggu yang panjang, amat lega, membolehkan saya bersantai bersama anak-anak saya itu yang sudah hampir dua bulan tidak dijenguk. Setiba di sana mereka sibuklah bertanya itu dan ini tentang kembara saya yang terkini, maka saya pun sibuklah juga menceritakan begitu begini kepada mereka. Seperti biasa seusai bercerita, mereka akan berkata suatu hari nanti mereka juga akan mengembara. Saya kata tunaikan impian itu kerana sebuah kembara itu mampu saja merubah sesuatu, menjadikan kita manusia yang lebih adil, sabar, redha, dan penuh cinta.
"Cinta?" soal Aqilah lalu ketawa tersipu-sipu. Saya menjegilkan mata padanya. Dia diam. Wajahnya berkerut masam. Oh, saya lupa dia seorang yang amat sensitif lalu saya menggenggam erat tangannya, mengusap-usapnya seketika kemudian mengenyitkan sebelah mata tiga kali. Dia tersenyum. "Ada apa dengan cinta?" Tanya saya. Heh, apalah saya ini bertanya begitu kepada budak berusia 9 tahun!. "Cinta itu buta!" Sungguh, saya tidak tahu dari mana dia dapat ungkapan itu, dan saya juga tidak mahu bertanya dia. Saya cuma tahu cinta itu bisu. Hati walau merasa, tidak mampu menterjemahkannya dengan sempurna dalam bentuk lisan, hanya dengan perlakuan. Renung, fikir dan analisiskan.
Kerana cinta jugalah J mengembara mencari erti hidup. Ya, akhirnya dia menghantar e-mel kepada saya sehari sebelum raya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya. Oh, hikmah Ramadhan, nikmat Syawal. Sudah tentu saya gembira. E-mel terakhirnya mengatakan dia kini sendirian di perantauan mencari dirinya.
Barangkali cinta Claire kepada keluarganya masih terlalu kuat hingga dia tidak mampu melukai hati mereka, maka dia berpuasa dalam diam, dan berhari raya dengan sebuah keluarga peniaga Mesir dengan memakai baju gaya Punjabi, lengkap bertudung yang dipakainya hanya dalam perjalanan ke rumah keluarga itu.
Saya kira setiap kita mampu bercinta dengan sesiapa saja, jatuh cinta dengan apa saja. Cinta monyet cinta kanak-kanak, cinta teddy bear cinta remaja, cinta pertama mengasyikkan, dan panahan asmara cinta sering melupakan manusia kepada Tuhannya lantas maruah diri enak saja menjadi bahan komoditi yang diperdagangkan tanpa segan-silu.
Cinta menerbitkan rasa rindu yang menagih ungkapan manis membelai rasa. Andai kita tahu meletak diri, cinta dan rindu itu mendamaikan, menenangkan. Saya kira cinta paling intim dan hakiki ialah cinta padaNya, dan ranjang cinta bersamaNya sering saja ditaburi soalan-soalan yang mampu menghangatkan lagi cinta kita padaNya.
Eh, apa kaitan angka 50 di atas itu dengan tulisan ini?
Sebelum saya lupa, saya hairan, kenapa ya tidak ada seorang pun bertanyakan jawapan kepada teka-teki hari itu?
Nukilan ini adalah rampaisari rasa hati saya yang ke 50! Di luar jangkaan saya sebenarnya. Ingatkan saya hanya akan melakar-lakar lukisan hati kala senggang yang panjang, barangkali sekali dua dalam satu purnama, tapi 50 itu amat menakjubkan saya sendiri!
Semoga cinta saya untuk melakar rasa hati dalam menyelusuri hari-hari di teratak sepi ini tidak akan layu, semerbak wangi haruman bunga rampai tetap bersama kalian.
Salam.
18 comments:
selalunya mereka kata, "life begins at 40."
dalam kes ini, saya ingin kata, "life should not end at 50."
selamat menyambut jubli emas, puan.
Salam untuk Bunga Rampai,
Cinta adalah sesuatu yang perasaan yang pelik. Datangnya dari mata dan terus turun ke dasar hati. Ketika itu hati tertanya-tanya, apakah perasaannya itu? Halus tetapi amat menusuk lantas menjadikan kita seorang majnun yang tidak memperdulikan keadaan sekeliling. Di dalam hati cuma ada Dia. Dia itu oleh berbagai-bagai. Dan yang teragung, seperti yang Bunga Rampai katakan ialah cinta kepada Khaaliq.
wow!
penulisan yang baik. saya teruja!
Semoga BR terus diberi ilham untuk terus menulis hingga ke entri yang ke 100....bahkan 500.....InsyaAllah..
Tahniah...teruskan menulis.
Seronok membaca tulisan BR.
Salam..
ps: apa jawapan teka teki hari tu yea??
Saya pun telah mula jatuh cinta dengan penulisan BR. Ada sesuatu yg istimewa..
cinta? apa itu cinta?
semoga BR terus menulis selagi terdaya... :-)
saya suka cinta. cinta itu damai. cinta itu isteri saya.... emmm
50?
50-50?
Cinta yang pailing menarik dan paling indah ialah bercinta denganNYA.
Teka-Teki? adakah saya sudah terlambat untuk menekanya.
apakah warna cinta?
Dik Sayuti, terima kasih Dik, kehidupan akan diteruskan.
Indera Kencana, dari mata turun ke hati. Lihat cinta dan kehidupan ini dengan mata hati.
Azer Mantessa, Wow, Saya teruja berkongsi 50-50 aiskrim coklat bersama Azer! :)
Blackpurple, 50 entri untuk setahun, 100 entri boleh saja, untuk capai 500 entri saya perlu lebih kurang 8 tahun...mak ooii!!
13may, terima kasih, dan tulisan 13may sering menceriakan saya.
Nanti saya beri jawapan untuk teka teki itu. Salam kembali.
wilhelm~achtzehn, yang istimewa itu ialah cinta, barangkali:)
Sastri, kita mampu dan berani melakukan apa saja untuk yang dicintai, setuju? ;)
Esis, ya saya juga suka cinta. Cinta itu tenang. Cinta itu saya ... hmmm
En. PK, Oh, satu perkongsian.
Hakim Dirani,cintaNya agung pada hati-hati yang tahu merasa.
Belum terlambat, silakan jawab teka-teki itu :)
KingBinjai, Pelangi.
Boleh karyakan sebuah Pelangi Cinta bakal saya puisikan tika merenung bintang kala sunyi malam?
salam,
haiiii..bilalah saya boleh berpuitis cam BR ni ya..
baru perasan. sebentar tadi saya mencakar entri yang ke 101.
Syikin, salam kembali. Perlu bercinta banyak-banyak kut :)) Sekadar rasa hati saya Syikin, begitulah :)
Bro Zizie, Wow, betul? Tahniah!
Saya kagum dengan penilisan ini. Dan juga saya membaca yang telah ketinggalan sebelum ini.
Teruskan dengan penilsanmu wahai bunga rampai yang harum...Anggerik sentiasa bertandang walaupun kadang-kala tidak meninggalkan tapak kaki..
Anggerik Merah, Salam. Terima kasih bertandang dan membaca. Harum anggerik juga menyenangkan saya :)
Post a Comment