Tuesday, 31 January 2006

Bahagia

Enak sekali begini dapat bersantai kala senggang yang panjang. Menghulur salam ukhuwah, merisik khabar, menyiar rindu kiranya. Lama nian tidak bertandang. Masa itu amat jauh,tidak mungkin dapat dipendekkan kecuali masa itu disia-siakan tanpa berbuat apa-apa yang tidak berfaedah. Yang dekat hanyalah masa untuk mati.

Enak juga dapat membisik rasa sukma, melakar citra seadanya yang entah apa-apa. Ada bahagia di sini, sebenarnya itulah.

Saya kira manusia itu tidak dapat hidup sendiri-sendiri jika tidak saling berhubung, saling bantu-membantu. Juga, saya kira manusia yang tahu siapa dirinya, apa mahunya dalam hidup sementaranya adalah manusia yang bukan saja mencintai dirinya tetapi juga mencintai orang lain dengan penuh rasa telus dan tulus semata-mata kerana Dia. Manusia sedemikian dalam firasat saya (yang kadang-kadang suka juga jadi nujum Pak Belalang) adalah manusia yang telah diberi-Nya nikmat bahagia.

Ya, di sini membahagiakan walaupun tiada wajah anggun buat saya renung kemudian dibawa dalam mimpi. Saya bahagia kerana jiran-jiran saya suka bersedekah ilmu, tidak lokek berkongsi apa saja yang telah dirasa oleh mata, dihidu oleh telinga, disantap oleh akal. Semoga kalian dirahmati-Nya. Amin.

Salam Maal Hijrah 1427.

5 comments:

Ku Keng said...

Ya Rampai, saya menyambut salam saudara dan berkirim balas salam saya, dan doakan semoga Allah SWT panjangkan umur kita dalam ketaqwaan. Saya sedar kedatangan saudara ke teratak saya, walaupun hanya diserambi. Tanpa meninggalkan pesan. Yang tertinggal hanya senyuman yang berleretan panjang. Dengan seribu sokongan.

Bunga Rampai said...

Aduhai ... terima kasih keng. Entahlah, pabila berada di teratak kalian, walau masih bisa menguntum senyum ... kadang ya, berleretan panjang :)), sering saja bicara saya tersekat di kerongkong, cuba menahan kolam mata menumpahkan airnya. Ada bahagia walau hanya duduk bersimpuh di serambi, menyantun kasih seadanya.

NATO said...

Saya mendapat tau blog ini berbahasa yang tinggi dan menarik, jadi saya singgah dan terus tempel alamatnya pada blog saya. Tanpa perbincangan dan keizinan. Maaf.

Yeop-Harley said...

Saya akan sampai sebentar lagi. Tolong taburkan bunga ramapi. Salam Tahun Baru dari saya.

Bunga Rampai said...

Salam.

Sudi-sudi saja berkunjung mc_kay, kita kan berjiran :) Terima kasih atas ujaran manis itu (entah apa-apa sebenarnya blog saya ini, kekadang sunyi sekali)

Ya, bersama bunga rampai ditabur atas permaidani biru, saya sambut penuh riang Salam Tahun Baru yeop-harley itu. Moga petah saja nanti kita meluah rasa.