Saturday, 4 March 2006

Orang Asal

Lama benar tidak bersiar-siar di alam maya. Hati terusik jua dengan rindu yang sering menyapa ingin bertemu madah. Pastinya selama tiada, teratak jiran-jiran saya sarat dengan kisah-kisah menarik yang mencuit rasa. Pasti juga saya akan sesak nafas atau sakit perut apabila membaca nanti.

Kembara saya beberapa hari yang lepas sebenarnya sekadar mahu merasa kehidupan orang-orang asal nun di sebuah perkampungan yang kini dipagari oleh serba serbi kemajuan yang tidak henti-henti membisingi kehidupan mereka.

Saya sering menganggap orang-orang asal masih lagi mempertahankan gaya hidup nenek moyang mereka, namun tanggapan ini meleset sama sekali. Berada bersama-sama mereka membuatkan benak saya jenuh berfikir adakah mereka yang ketinggalan zaman atau kitakah yang celik IT ini yang terpinggir daripada kehidupan mereka.

Pastinya melihat dari aspek fizikal, saya kira mereka sama taraf dengan orang bandar - punya rumah batu beratap genting, ada air paip, ada letrik, punya kereta, motorsikal. Cumanya kelebihan mereka ialah masih lagi hidup bermasyarakat yang dibuktikan oleh ketiadaan pagar yang memagari rumah mereka, membolehkan mereka saling berkunjung tanpa sempadan.

Cara hidup yang cuba dipertahankan oleh mereka kini hanyut dibawa arus kemajuan yang sukar dilawan, termasuk juga hasil kerja tangan yang semakin pupus tidak diberi perhatian. Apa yang tinggal cumalah adat resam yang hanya diutamakan dalam beberapa upacara tertentu.

Saya kira, kini mereka hanya mampu mempertahankan tanah pusaka tinggalan nenek moyang mereka daripada dirampas oleh pembangunan dengan bersuara nyaring menuntut hak.

Boleh saja saya katakan biarlah mereka itu, pandai-pandailah mereka menjaga diri dan menuntut hak mereka. Namun, di kejauhan rasa saya tidak sanggup melihat yang satu ini ... adakah hanya kerana berlainan agama maka mereka berpecah belah, sering berlaku syak wasangka sesama sendiri?

Maka benak saya sampai saat ini sering saja pening-pening mencari jawapan siapakah agaknya pendakwah Islam yang berkhutbah kepada orang-orang asal ini yang mengatakan bahawa orang Islam tidak boleh bergaul dengan orang bukan Islam, tidak boleh buat kawan, tidak boleh bertandang ke rumah. Astaghfirullah al'azim.

Enaknya dapat bermadah di sini, dan rindu terlerai jua :)

10 comments:

Ku Keng said...

Mungkin akan menjadi kejutan kalau saya ceritakan tentang penerimaan 5000 dari mereka ke pangkuan agman yang bernabikan Anak Tuhan? Salah siapakah? Kita sering suka berperanan seperti Tuhan. Menjatuhkan hukum dan hukuman. Tapi kumpulan saingan itu datang dengan penuh kasih sayang. Sanggup bermukim berbulan-bulan berasimilasi dengan keadaan. Tak payahlah kita ungkitkan pasal buah-tangan dan pakaian.

Bunga Rampai said...

Ya, satu kejutan namun tidak memeranjatkan. Itulah hasilnya jika tahu meletak ilmu, pandai menyusun langkah mengatur tingkah. Yang kita-kita ini selalu tidak ingat tugas kita di dunia ini, sering menyukarkan yang mudah, lupa bersederhana dan merendah diri.

Sya said...

salam BR.. timakasih menjengah ke blog kak sya

Bunga Rampai said...

Salam kembali kak sya. Ada masa luang saya bertandang lagi ... aneh, mawar merah itu menggamit rasa hati :)

HCI said...

tersampai juga saya disini mengikut jejak bunga dari teratak yang keras, dari warna dan nama terasa seperti gender yang feminin, tetapi memberi pemerhatian yang sukar ditentukan gender.

masalah yang dibentang tidak menjadi keganjilan kepada saya kerana jika apa yang kita lakukan adalah cara yang betul, sudah tentu ramai orang-orang alim di malaysia.

tengok lah bertapa ramai dipertontonkan yang mengikuti forum perdana di tv1 pada malam jumaat, di serata pelusuk negara. Cara kita hanyalah mengajar, dan yang pergi hanya untuk masuk muka di tv atau hanya untuk mendengar, adakalanya ingin mendengar kelucahan penceramah juga. Orang kita hanya pandai bercakap dan mendengar, hati yang berkata sama sekeras hati yang mendengar.

eh melalut pula, dah lah tinggal kuliah panjang berjela di blog tembaga. mohon ampun, yang menulis pun sama haru, tak tahu nak buat apa padahal banyak yang perlu dibuat, last2 penuhkan ruang komentari di sana sini.

Bunga Rampai said...

Tertib sekali menyusun langkah ke teratak sepi saya ini. Terima kasih Has dan salam kenal ya :)

Begitulah jadinya jika apa yang dilakukan tidak diiringi dengan kejujuran. Slogan kepimpinan melalui teladan hanya gah dilaungkan di atas kertas.

Kita wajar merubah keadaan, biarlah ia bermula dari dalam diri kita.

Sayuti said...

adalah lebih sedih kalau sesama agama juga saling tidak berkawan, lantaran orang itu tidak sealiran fikiran dengan diri sendiri.

medan ini seperti yang anda katakan, sangat baik untuk kita menjalinkan budaya yang sudah pupus di medan nyata.

:)

Bunga Rampai said...

Benar Sayuti, terima kasih.
:)

blackpurple @ jowopinter said...

Pertama kali singgah di blog ini....

Rambut sekarang pun dah tak sama hitam....hati yang tak nampak,apakan lagi...

Berlainan agama kalau tak sama pendapat ada logiknya lagi, tapi kalau seagama bercakaran menunjukkan dah jauh dari pegangan.......

~ salam

Bunga Rampai said...

Salam kembali blackpurple, dan selamat bertandang...

Mohon doa sentiasa moga kita sentiasa ditunjukkan-Nya jalan yang benar. Perlu saling ingat-mengingati... nasihat-menasihati, itu yang afdal saya kira dalam kita menuju kehidupan yang lebih harmoni.

hitamungu ... menarik warnanya :)