Monday, 6 February 2006

Yeop, ayuh ronda!

Salam kenal Yeop, salam sahabat di alam maya.

Hari itu saya ronda-ronda lalu melepas pandang pada motor Yeop. Saya suka apa yang saya lihat. Motor itu menjentik benak untuk mengimbau dua peristiwa.

Pertama, ketika usia baru mencecah 10 tahun, saya belajar mengayuh basikal. Basikal bapa saya. Basikal yang baru dibeli itu menjadi teman karib saya. Selepas tiga hari, saya adalah kanak-kanak perempuan pertama di kampung saya yang pandai mengayuh basikal. Tentunya saya bangga.

Kedua, kala remaja saya belajar menunggang motorsikal. Okey juga Yeop, boleh tahan. Pada hari ketiga saya dan motor sama-sama mendarat dalam longkang. Syukur motor kawan saya okey, tapi kaki saya terseliuh. Betapa sakitnya kaki itu, saya tempang selama 2 minggu. Saya tetap bangga walaupun selepas itu kawan saya tidak membenarkan saya menyentuh motornya, jadi penumpang pun tidak boleh! Syukur seorang kawan lain kasihankan saya lantas meminjamkan motornya. Selepas satu minggu saya menjadi perempuan pertama di kalangan kawan rapat yang pandai bawa motor. Pastinya saya bangga.

Saya kira dalam kehidupan ini kita perlu berani untuk mencuba. Setiap percubaan ada bahayanya, namun saya kira keberanian dapat membantu kita menilai sejauh mana kekuatan dan kelemahan diri. Keberanian juga membuka ruang untuk memantapkan diri.

Entah apa-apa sebenarnya saya ini Yeop. Jangan kaget kerana saya suka sekali kepada perlumbaan motorsikal. Saya minat Paulo Rossi. Saya juga minat perlumbaan F1, dan McLaren team saya. Nah Yeop, kawan-kawan kata saya sewel kerana saban perlumbaan saya akan tercegat di hadapan tv (kesian saya tidak punya wang untuk melihat aksi langsung di litar perlumbaan). Biarlah mereka itu! Bagi saya apa yang saya lihat itu mengingatkan saya kepada keagungan Tuhan yang telah mencipta akal manusia. Itu semua juga mengingatkan apakah sumbangan saya kepada-Nya dan manusia lainnya.

Jadi Yeop, naiklah motor itu sebaik mungkin. Bawa ia ronda-ronda melihat saujana alam. Jauh perjalanan luas pengalaman orang kata. Dan Yeop, bila ada titis-titis air dari langit jatuh ke tanah, berhenti seketika ya. Tadah titis-titis air itu, bawalah ke sini bila-bila bertandang untuk saya buat hidangan. Pelepas dahaga.

Doa saya moga ronda-rondamu sentiasa mendapat lindungan-Nya. Amin.

p/s
Selamat semuanya ya. Pasti rindu menjamah sukma selama tidak bersua madah. Bila kembali tanggal 10 Muharram, moga dapat khabar gembira dari Keng - party bubur 'Asyura' di Masjid Kg. Baru.

Wassalam.

4 comments:

Yeop-Harley said...

Aduh, kenangan yang penuh nostalgia sungguh menusuk kalbuku. Pengalaman berbasikal roda tiga, kemudian dua dan seterusnya bermotor cabok. Semuanya masih segar dalam ingatan. Janganlah selepas ini berkerusi roda pulak.

Terima kasih Rampai di atas dedikasi yang penuh dengan bunga-bungaan. Yeop ni orang kampung, hanya tau bersajak cara tok batin saja. Dapat rokok sebatang bersusun-susun datang ilham.

Teman pun dulu jengok-jengoklah juga di litar F1. Pergi putih balik berkilat-kilat. Panasnya.

Sebenarnya dalam rondaan, teman dapat menghayati kecantikan alam dan memahami lagi tentang Penciptanya. Tak terbatas keagunganNya.

Terima kasih kerana mengingatkan teman supaya berwaspada dan menunggang dengan selamat. Speed Kills, Ride Skills.

Dengan jari tersusun teman ucapkan terima kasih kerana sudi meninggalkan dedikasi buat teman.

Bunga Rampai said...

Salam,
Kita saling mengingati Yeop.

Agaknya lagi berkepul asap rokok bebas ke udara, lagi mudah menyusun ilham :)

Jaga-jaga Yeop, rokok membunuh dalam diam!

zizie ali said...

Antara yang perlu kita renungkan bila naik moto dan basikal ialah mengapa ia tidak tumbang semasa bergerak dan tumbang bila berhenti. Renungan tersebut bukan sekadar untuk menganalisis teori Fizik, tetapi lebih dari itu.
Selamat meronda dan merenung!
Bunga Rampai,
Teruskan bermadah pujangga!:)

Bunga Rampai said...

Zizie, saya baru bertateh belajar bermadah. Ya, akan teruskan selagi ada luahan rasa. Terima kasih.