Friday, 11 September 2009

Ilham Ramadhan: musafir malam

Dua puluh malam yang sudah berlalu datangnya hanya bersimpuh di serambi qalbi, sekadar bersyair sunyi merai liku-liku hati yang sepi. Entah ke mana hilangnya keampuhan diri. Ke mana hanyutnya janji-janji hati mahu bermusafir malam.

Bermusafir malam hanyalah lontaran madah yang tidak berbirai dan lenyap kala iftar, dimamah bersama sajian juadah yang menggalau mata lalu makan minum pun tidak berkira. Tahu-tahu duduknya tidak berbangkit!

Sungguh, kata-kata Imam Asy-Shafi’i rahimUllah sering tidak diteladani: “Saya tidak kenyang-kenyang sejak umur 16 tahun kerana kenyang itu memberatkan badan, mengeraskan hati, menghilangkan kecerdasan, menarik (menyebabkan) tidur dan melemahkan orang yang kenyang dari ibadah.”

Aduhai, layu nian hati yang menyaksi sedang waktu pulangnya hayat sudah menghampiri!

“Wahai Tuhan ... walau usia sudah tidak seberapa, kudrat sudah tidak seupaya, dan kemampuan sudah tidak seada, aku mohon limpah izinMu Ya Rabb untuk memberikan kekuatan rohani dan jasmani agar hambaMu yang kerdil lagi hina ini sekali lagi dapat bermusafir malam pada malam-malam terakhir Ramadhan yang penuh hikmat ini. Izinkan aku, izinkan aku, izinkan aku Ya Rabb. Laa hawla wala quwwata ilaa bilahil aliyil'azim.”

Musafir malam insan nan fakir
Qalbinya mengemis sirr
Layla yang bertabir.



Salam.

Thursday, 3 September 2009

Ramping

Petang semalam, satu jam sebelum berbuka.

"Haih? Betul ke penimbang nih? Puasa dah 12 hari!"

Jarum alat penimbang dibetul-betulkannya kemudian dia naik semula ke atas penimbang itu.

"Adoiii, ya ampuuunnn ... naik sekilo!"

"Hahaha! ... raya nanti, baju raya yang dua pasang tu pun tak muat!"

"Sempat ke ramping ... lagi dua minggu nih?"

"Mengunyah tak berenti dari buka sampai sahur, pastu siang pula tak sah kalau tak tido. 'Cam mana nak ramping? Bila pula nak timbang hati tu? ... Hehehe!"


Salam.

Friday, 21 August 2009

Tentang Jeanny

Tulisan tentang Jeanny Di Ambang Ramadhan.

Awal pagi tadi, di laman rumah banyak daun-daun terbaring berserakan di atas tanah. Barangkali tangkainya sudah reput untuk terus berpaut gagah pada rantingnya lalu gugurlah mereka. Mungkin juga rantingnya rapuh tidak berdaya lagi memegang dedaun lantas pohon pun menggugurkannya. Dalam apa jua keadaan, pastinya ada puputan angin yang melepaskan dedaun itu, dan tanpa tangisan dedaun dengan rela gugurlah ke tanah. Redha sungguh mereka! Reputnya daun menjadi baja dan khasiat baja kembali kepada pokok untuk meghasilkan daun yang baru.

Daun reput menjadi baja. Manusia reput menjadi apa? Saya menyoal diri tanpa mencari jawapannya kerana tiba-tiba Jeanny menyelinap masuk ke dalam fikiran.

Kasihan Jeanny, loose jean yang lusuh itu sukar untuk dilepaskan pergi. Bagaimana mungkin kerana bertahun-tahun sudah dia berkhidmat untuk tuannya, dan selalunya Jeanny ditemani kemeja lusuh ketika tuannya bersantai atau mengembara. Kadang-kadang ditemani baju a-la Punjabi untuk tugasan yang sedikit formal. Kekadang dipadani blaus atau kemeja wanita untuk tugasan yang lebih formal. Sesekali kemeja T longgar mencecah lutut menjadi pilihan yang membuat tuannya tersenyum lebar kerana sekali imbas ... oh oh, dia bagaikan seorang rapper gayanya!

Jeanny pernah tidak disenangi. Dia dikata tidak sesuai untuk dijadikan busana perempuan apa lagi seorang Muslimah! Juga tidak patut dipakai ketika berusrah dan ke masjid serta surau. Bermacam-macam lagilah pandangan itu dan ini yang mampu saja membinasakan hajat berukhuwah.

Pandangan saya, kita janganlah menjadi terlalu jumud dalam perlakuan kita kerana sebagai orang Islam kita seharusnya mampu membawa kemuliaan Islam kepada manusia lain merentasi benua dan budaya dengan menunjukkan akhlak yang mulia.

Akhlak mulia adalah busana paling cantik untuk setiap Muslim namun datangnya tidak bergolek. Manusia perlu berusaha untuk mendapatkannya melalui ilmu dan amal, dan Dia amat suka kepada orang-orang yang sentiasa membaiki diri dan mencari ilmuNya lalu mengamalkannya. Usah berlengah, ayuh ... Ramadhan adalah waktu paling sesuai untuk memulakan usaha membina akhlak mulia. Semoga Tuhan memberkati usaha kita.

*Kepada kalian teman blogger, saya memohon maaf zahir dan bathin di atas apa jua kesilapan saya kepada kalian, dan maaf zahir dan bathin saya hulurkan buat kalian juga. Selamat menyambut Ramadhan dan selamat berpuasa, selamat menyambut Hari Merdeka, selamat Hari Raya Aidilfitri.


Salam.

Wednesday, 19 August 2009

Jemputan Kahwin

Dia sudah 2 tahun bertunang namun cinta di hatinya jauh. Masa menjadi saksi kepada kesetiaannya yang padu merimbun kuntuman kasih, dan dunia siber dijadikan titian untuk melerai rindu. Cabaran dan dugaan bak tiupan angin - kadang sepoinya menenangkan dan ada kala taufannya menjadikan dia tidak keruan.

Nah, tiba jua waktu cinta hadir di depan mata untuk disentuh! Madah bukan lagi bunga-bunga aksara yang disusun di wajah maya tapi madah bertandak gemersik bunyinya menobat cinta yang sedia wangi.

Tepat jam 12 tengahari tadi ...


Rampai: Alhamdulillah. Akhirnya akan bersatu!

Nina: Jemputan peribadi ni. Majlis bulan Oktober ... kad nanti kirim.

Rampai: Majlisnya nanti tema apa?

Nina: Boleh jadi ... tema H1N1.

Rampai: Weii, biar benar!?

Nina: (ketawa kecil) Gurau!


Si Rampai mahu juga menyambut ketawa kecil Nina itu namun bayangan para jemputan hadir dengan memakai topeng muka menghalangnya untuk ketawa. Alahai.


Salam.

Monday, 10 August 2009

Masa

Gates, who sought to drive a vision of a computer on every desk and in every home, said the information technology revolution had been "hugely beneficial" but added: "All these tools of tech waste our time if we're not careful." (petikan berita AFP 2009)


Usah risaukan tentang apa yang belum kita lakukan kerana waktu yang mendatang bukan kita yang mengawalnya. Usah risaukan tentang apa yang sudah kita lakukan kerana kita tidak akan mampu mengubahnya. Cukup baik jika kita punya niat untuk lakukan yang terbaik sewaktu melakukannya kerana niat itu adalah doa dari pilihan kita. (nasihat Pak Ustaz)


*it's time to move on
walking the talk
spreading love
raising hope ...
(bisik si Rampai)


Salam.

Sunday, 2 August 2009

Jumaat, dan Puan Jumaat

Nama sebenarnya bukanlah Puan Jumaat. Itu sekadar panggilan manja saya kepadanya. Tiada bantahan darinya malah beliau lagi suka. Nama itu menghibur katanya. O-la-la, saya juga terhibur dengan pengakuannya itu. Nampaknya kami sama-sama terhibur!

Sudah enam bulan saya mengenali Puan Jumaat dan saya sukakannya kerana beliau sering mengungkap kata-kata yang membuat saya merenung bintang. Pernah sekali dia berkata: “Kalau pun semua manusia melanggar segala suruhan dan laranganNya, Dia Yang Maha Esa tidak akan rugi apa-apa pun.” Pada satu ketika pula dia bertanya: “Kamu suka menjadi rama-rama atau kupu-kupu?” Oooh, itu semua menjadikan jiwa saya sangat kelam-kabut, dan saya membilang bintang untuk mencari pesan yang terlindung di sebalik ungkapannya itu.

Projek itu menjadi pengikat kepada perhubungan kami. Beliau sentiasa memilih hari Jumaat untuk setiap temujanji kami. Saya pernah bertanya, “Kenapa tidak hari Rabu?” Katanya hari Jumaat penghulu hari. Itu saja. Tiada alasan lain. Sejak itu saya tidak lagi bertanya.

Jumaat lalu Puan Jumaat membatalkan temujanji pada saat-saat akhir. Saya sedikit kecewa kerana saya rindukan beliau sebenarnya. Sudah sebulan kami tidak bersua.

Saya memujuk kecewa itu di sebuah restoran. Makan nasi campur. Minum air kosong. Makan sepotong betik. Minum Nescafe tarik. Wah, besarnya makan! Alhamdulillah. Saya melihat jam tangan kemudian meneliti sekeliling. “Eh eh, kenapa mamat-mamat tu duduk bersembang lagi ... hari ni kan Jumaat?” Tanya saya. “Barangkali mereka uzur.” Jawab kawan.

Petangnya kala benak sedang mengumpan ilham untuk tugasan yang satu lagi, kelibat mamat-mamat itu menyusup masuk ke dalam puri fikir. Sejenak fikir itu mendetik kalbu rasa yang paling dalam membenarkan kata-kata Puan Jumaat: Kalau pun mamat-mamat itu tidak solat Jumaat, DIA tidak akan rugi apa-apa pun.

Aneh sungguh hidup ini kadang-kadang. Betapa perhitungan manusia mencabar ketaqwaan rohani. Ada manusia yang sanggup menjual kebahagiaan ukhrawi semata-mata untuk membeli kesenangan duniawi. Alangkah baik meminjamkan kepadaNya secara pinjaman ikhlas dengan sedekah dan berkhairat pada jalanNya kerana bayaran balikNya ke atas pinjaman itu punya nilai yang sangat hebat. Wallahu’alam.

*Kisah Marwa


Salam.

Monday, 20 July 2009

Moon

Lima belas minit berlalu dan Moon belum juga tiba. Entah apa gerangan dalang di jalan, atau lupakah dia pada janjitemu ini? Hati mendesah dan mulut melepas keluh. Majalah yang ditatap diketepikan lalu mata mula menyelidik sekeliling ruang legar hotel. Tiada apa-apa yang aneh untuk dijadikan bahan fikir, atau mata inikah yang kurang cekap merakam cerita? Ada sesuatu yang perlu ditulis dalam buku nota ...

mata ini perlu diasah
agar tajam panahannya
menusuk jauh ke dalam kalbu
.

Mulut menguap, menguap, dan menguap lagi. Badan bersandar di sofa sambil mengajak mata untuk lelap seketika. Oh, lelapnya tidak tapi melamun pula si benak mengimbau-imbau seorang Moon itu.

“Saya akan tamatkan pengajian. Belajar menggunakan M16. Kembali ke negara saya dan menembak semua binatang-binatang itu kemudian membina sebuah universiti untuk anak bangsa saya.” Begitulah tekad Moon tiga tahun lalu ketika pertama kali kami berbual di kem pelarian tempat dia berlindung hingga kini.

Betapa peritnya menjadi orang pelarian. Saudara mara berserakan, entah hidup entah mati. Yang mati kadang tidak bernisan. Yang hidup dipagar senjata dan menagih simpati insan lain. Menumpang di bumi jiran, maka hidup pun berpada-pada. Berumah bak pondok di bendang. Makan berkais, tidur berselimutkan duka. Kanak-kanak bersekolah namun belajarnya tidak berhari, dan kebosanan melampau bisa saja menjerumuskan remaja ke dalam kancah perniagaan dadah! Warga kem juga menjadi sasaran dakwah pelbagai pendakwah dari segenap pelosok dunia, dan selalunya kemenangan milik yang bermulut manis, tangan berole-ole, serta berkantung wang.

Moon antara yang segelintir beruntung. Kepintarannya membolehkan dia diterima belajar di sebuah universiti di utara Siam. Lima hari seminggu dia bergelar siswi manakala hujung minggunya dia berpangkat guru menyuntik semangat juang kepada kanak-kanak dan remaja di kem itu.

“Sawadee ka and welcome to Kung Threp!”

Lamunan tersentak dan mata terbeliak kerana terkejut melihat Moon di hadapan dengan senyuman manis. Kami bersalaman erat dan berpelukan seketika kemudian kami saling meneliti dari kepala hingga ke kaki. Kami sama-sama ketawa selepas itu. Ya, tidak banyak yang berubah, kecuali usianya kini 22 tahun dan badan sedikit berisi. Gincu merah jambu di bibirnya menyerlahkan kedewasaannya!

Perbualan kami sama seperti apa yang kami bualkan lewat e-mel. Tentang nasib orang-orang pelarian, tentang peperangan, tentang pembangunan, tentang politik, tentang kerja-kerja sukarela, tentang kasih sayang, dan pengajiannya dalam bidang kewartawanan. Hanya satu cerita baru yang diketengahkan kali ini. Dia bercadang untuk menulis sebuah buku mengenai pengalamannya sebagai gadis pelarian.
“Maybe ... yeah maybe ... Moon: A Place of Love.” Jawabnya sambil ketawa kecil apabila saya bertanyakan bakal judul bukunya itu.

Lewat malam sedang mengemas pakaian, saya cuba-cuba menterjemahkan tajuk buku itu - Bulan Teratak Cinta ... ?


*[Kung Threp = Bangkok]


Salam.

Friday, 3 July 2009

Hak: rasa jiwa

Sudah seminggu mengembara dan saya sedikit lupa pada teratak maya ini kerana sibuk jalan-jalan melangsai tugasan. Seperti selalunya saya tidak pernah risau sama ada teratak ini bersawang atau dikelilingi lalang. Tidak juga rindu kali ini. Aduuuh, yang ini sedikit pelik kerana biasanya kalau tiga hari mengembara dan tidak berinternet, saya akan rindu untuk menjelajah angkasa maya!

Rupa-rupanya rindu bertandang jua walau tidak diundang, sebentar tadi membelai-belai hati. Lalu saya jelajahi alam maya dan meneropong sejenak ke teratak ini. Eh, eh, saya nampak ada pengunjung teratak ini yang menyalin rasa jiwa saya tanpa kebenaran lalu ditampal di terataknya tanpa menyebut sumber dan pautannya. Ada pula yang mengambil perenggan sana ambil perenggan sini kemudian disatukan menjadi sebuah entri di terataknya!

Kepada bloggers (pembaca senyap - tiada dalam senarai pautan BR) yang telah mengambil rasa jiwa dari teratak ini tanpa izin saya, terima kasih kerana meminati rasa jiwa itu. Barangkali kalian terlupa memohon izin. Maklum, kalian juga manusia biasa yang sering alpa. DIA saja yang tidak pernah lupa dan sentiasa mengetahui apa juga perlakuan manusia walau yang tersembunyi jauh di lubuk kalbu.
.
.

Merasa malu kerana sedar DIA Maha Memerhati lagi Maha Mengetahui segala perbuatan zahir dan batin manusia adalah permulaan kepada proses pemantapan iman. [kata Guru]


*Sedang berkelana.
Hingga bertemu lagi.


Salam.

___________________________________________________

4/7/2009: CS telah menjejaki sebuah teratak yang mengandungi rasa jiwa yang berikut:

1. Ikhlas Dari Jauh
2. Ruang Waktu
3. Bicara Sedih
4. Mengukir Kata
5. Jiwa Ramadhan
6. Jihad Ramadhan
7. Warkah untuk Bang Lope - Syair Syawal
8. Harapan dan Doa

Aduhai, kalaulah dia memahami apa itu 'rasa' dan 'jiwa'!

Redha jua.
Semoga Allah SWT merahmatinya dengan kebaikan.

Wednesday, 24 June 2009

3 Purnama

Bersenandung apakah Dayang detik ini, kala malam sedang bersenandung riang menidurkan insan-insan yang diselimuti kegembiraan? Sukar sekali membayangkan gelora jiwanya yang sedang bergelut dengan kepedihan dek kehilangan tempat bergantung hidup. Lenanya barangkali berbantalkan mimpi-mimpi buruk dan entah-entah paginya nanti disambut bersama deraian air mata.

Sudah jatuh ditimpa tangga. Demikianlah kehidupan Dayang di kampung yang kini terumbang-ambing tanpa mendapat wang belanja dari suaminya. Dalam keperitan itu, dia masih waras menimbang akal budinya untuk berjuang bukan saja menyara hidupnya dan anak-anaknya malah berjuang untuk menjaga serta mempertahankan imannya dan anak-anaknya. Itulah tekadnya yang nekad tanpa mempertaruhkan apa-apa pulangan lumayan kecuali redhaNya jua.

Begitulah kehidupan. Ada waktu-waktunya manusia kehilangan pelbagai kesenangan - hilang tempat bergantung, hilang orang yang dikasihi, hilang harta benda – ada kalanya hilang segala-galanya. Namun sebagai seorang Islam, biarlah kehilangan itu sekadar ungkapan yang singgah sekejap di persada bibir. Berlapang dadalah atas kehilangan itu kerana kita masih memiliki DIA yang Maha Agung yang sentiasa melindungi kita.

Kepada Dayang, senandungnya mungkin tidak bermaya menghibur nestapa di hati namun dia masih memiliki iman yang nilainya sangat tinggi. Tanpa iman - manusia menjadi pekak, bisu dan buta. Lihatlah saja apa yang dilakukan oleh masyarakat jahiliyah zaman dahulu!
.
.

Renungan:
~ Jika orang berbuat jahat kepada kita dan kita membalasnya juga dengan perbuatan jahat. Itu adalah dosa biasa.

~ Jika orang berbuat jahat kepada kita dan kita tidak membalasnya. Itu namanya redha.

~ Jika orang berbuat jahat kepada kita dan kita membalasnya dengan kebaikan. Itulah kemanusiaan namanya.
.
.

Selamat menyambut 3 purnama istimewa lagi mulia ini: Rejab, Sya’aban, Ramadhan. Selamat beramal ibadah dengan sebaik-baik amalan. Semoga Allah SWT menghampiri kita lebih cepat dari usaha kita menghampiri Dia.

*1 Rejab 1430

Salam.

Saturday, 13 June 2009

Panggung dan Pentas: sekadar mengulas rasa

Panggung:
Peduli apa mereka mentertawakan saya yang mahu menonton Syurga Cinta di panggung wayang. Kata mereka itu cerita budak-budak remaja hingusan. Cerita cinta klise untuk tontonan remaja yang betaraf old school. Apa lagi heroinnya juga sangat skema. Oh, terkekeh-kekeh mereka ketawa melihat saya berlalu pergi bersama Miyah.

Seusai cerita saya menitiskan air mata. Bukan kerana kesudahan ceritanya yang menghiris hati tetapi kerana penerbit filem ini seorang yang bukan Islam. Keupayaannya mencetuskan idea asal dan menerbitkan filem ini yang penuh pengisian rohani menyentuh hati saya. Alangkah penerbit itu telah mengangkat Islam di dalam filemnya!

Maaf, saya bukan pengulas filem. Saya sekadar mengulas rasa. Kalau nak tahu ceritanya, tontonilah filem ini.


Pentas:
Empat hari kemudian pada 3 Jun, atas jemputan seorang teman (yeay, dia belanja tiket!) saya berpeluang menonton (preview) persembahan teater Mak Yong di Pentas 2, KLPac.

Yang menguja saya menonton Titis Sakti ialah kerana ceritanya adalah adaptasi cerita klasik Shakespeare - A Midsummer Night’s Dream yang dipersembahkan dalam bentuk Mak Yong.

“… please switch off your handphone. The most important thing is don’t open your Facebook here, but if you have to, then don’t forget to add me on.”

Adooiii, siapa yang tidak ketawa terbahak-bahak mendengar arahan sebegitu selamba lucu dari pengacara yang segak berbaju Melayu lengkap! Dapat saya rasakan Mak Yong ini akan mempersembahkan cerita yang penuh kelucuan. Sungguh, kisah Titis Sakti penuh kelakar, memperli dan diselit-selitkan dengan dialog Bahasa Inggeris. Adooiii, memang sakit perut dibuatnya!

Saya puji persembahan ini walau kadang-kadang saya berpandangan terlalu banyak unsur jenaka yang diketengahkan sehinggakan pada satu ketika saya merasakan saya sedang menonton sebuah persembahan lawak jenaka! Bagaimanapun, barangkali itu satu strategi mengumpan khalayak pelbagai latar untuk mengenali Mak Yong dan membangkit apresiasi terhadap Mak Yong. Untuk itu, Mak Yong Titis Sakti telah mencapai matlamatnya.

Oops, saya bukan pengulas teater. Sekadar mengulas rasa.

Ke sini jika ingin tahu lebih lanjut kegiatan teater kawasan utara.


Salam.

Sunday, 7 June 2009

Yang harum. Yang lebur. Yang persis binatang.

Semerbak wangi bunga kemuning putih di laman rumah sering saja meredup rasa di perdu jiwa, dan saat-saat redup begitu alam bagaikan mengajak qalbi berbicara tentang bayu yang melambai-lambai dan mentari yang tersenyum meleret. Sungguh meriangkan! Namun pagi tadi entah mengapa harumnya menipis, bagai enggan mewangikan jiwa ini yang mendesah-desah sejak subuh lagi. Terasa benar ada sesuatu yang tidak lumayan bakal berlaku. Tidak mengapa, suasana di kelas nanti pasti menenangkan. Demikian pujuknya hati. Aah, harapan itu nyata meleset! Rupa-rupanya hanya wajah-wajah suram bak rembulan tiada cahaya yang menanti di kelas bimbingan itu! Kemurungan mereka mendorong hati merisik jawapan.

Inilah jawapannya:

Pagi itu sedang ibu M tiada di rumah kerana ke pasar pagi untuk menjual nasi lemak dan kuih-muih, dia seperti biasanya menyediakan sarapan untuk ayah dan tiga orang adiknya. Ayahnya pagi itu mahu bersarapan roti canai lalu adik-adik M disuruh ke kedai untuk membelinya.

M gadis 16 tahun. Berayahkan seorang pemandu lori. Tidak pernah ponteng kelas bimbingan dan belajarnya pintar. Menjaga adik-adiknya juga pandai. Satu hari nanti kata ibunya, M pasti akan menjadi doktor pakar kanak-kanak. Maka itulah si ibu sanggup berniaga beberapa pagi dalam seminggu untuk menambahkan pendapatan agar keperluan belajar M dan adik-adiknya tidak terabai.

Pagi itu tidak seperti pagi-pagi yang lepas dirasakan M. Ada sesuatu yang tidak kena dengan sikap ayahnya yang kelihatan resah-gelisah. Mundar-mandir ke sana ke sini. Masuk bilik keluar bilik. Masuk bilik lagi dan kali ini dia memanggil M kerana katanya dia memerlukan bantuan. M taat pada perintah. Kalau tidak, tempelak si ayah mampu saja meruntuhkan rumah pangsa sepuluh tingkat itu! M lalu masuk ke bilik ayahnya ...
...
...

Aduhai, ibu mana yang tidak lebur hatinya apabila mengetahui suaminya hampir-hampir saja memusnahkan mahkota suci anak gadisnya sendiri! Gadis mana yang tidak histeria tercalar jiwanya diperlakukan begitu!
.
.

Sore tadi kemuning putih di laman berkembang lagi namun harumannya masih belum dapat memujuk pilu di hati ini.


Salam.

Friday, 5 June 2009

Rahsia Cinta

Seseorang bertanyakan saya tentang cinta. Pandangan saya ialah cinta itu ada di lubuk hati dan penuh rahsia. Tanya dia lagi, "Hatikah yang rahsia atau cinta itu rahsia?" Kedua-duanya rahsia jawab saya. Ya, mana mungkin dapat menyelongkar rahsia hati, apa lagi rahsia cinta kerana kedua-duanya milik Tuhan. Dia Yang Maha Mengetahui segala getar jiwa, keluh resah, dan rindu dendam seorang manusia yang dilamun cinta.


Gambar di atas juga ada rahsianya yang tersendiri yang tersembunyi di dalam jawapan untuk tag seorang teman blogger.

1. Letakkan gambar profil anda - di atas itu gambar profil saya ;)

2. Terangkan maksud gambar itu - samar-samar gambar itu melambangkan betapa samarnya hidup ini andai tiada matlamat dan keutamaan hidup. Tanpa matlamat dan keutamaan, kehidupan tidak berarah dan kita mudah tergelincir dari landasan.

3. Kenapa pilih gambar itu? - kerana tiada gambar bunga rampai. Itu logiknya :)

4. Tag 5 lagi blogger - saya suka tag kalau yang bernama bunga, tapi tiada yang bernama bunga dalam senarai saya. Jadi, saya tidak tag sesiapa.
.
.
.
Seseorang itu bertanya lagi tentang cinta yang paling indah. Jawapan saya berdasarkan kepada kata-kata seorang Guru supaya mencari keindahan cinta di dalam Kitab Suci. "Insyallah akan kau temui dan merasa cinta yang paling agung dunia dan akhirat." Demikian katanya.


Salam.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

*6/6/2009
Aaah, betapa saya SANGAT lalai.
Ya ampuuuuunn!
Ulasan Anggerik Merah menyedarkan saya.
Ada 2 teman blogger bernama bunga sebenarnya ...
... AM dan Waterlily.
Kepada anda berdua, saya mohon maaf.
Astaghfirullahal'azim.

Wednesday, 3 June 2009

Juang

Alangkah pokok-pokok bunga itu pastinya berakar teguh mencengkam bumi dan bertangkai utuh menongkat tampuk sehingga dapat memboloskan kelopak bunganya dari serabut rumput lalang di sekelilingnya, lalu apa yang mercup gagah menjunjung langit adalah kelopak-kelopak putih bersih menyeri alam yang sedia indah ini. Oh, kepingin sekali menjadi kuat seperti mereka!

Namun manusia itu di dalam keadaan lemah di sisi Allah berbanding makhlukNya yang lain. Lemah berbanding gunung-ganang; lemah berbanding ribut taufan; lemah berbanding gelora ganas di lautan. Begitulah kelemahan itu amat jelas namun Allah juga tegas menyatakan bahawa manusia itu kekuatannya pada akal fikirannya yang diberi Allah, dan kehebatannya kerana dilantik Allah menjadi khalifahNya di muka bumi ini.

Maka dengan memanfaatkan akal budi yang diberi Tuhan, manusia menciptakan alat-alat yang boleh meratakan gunung-ganang; dengan akalnya manusia membina kapal-kapal besar yang mampu melawan gelora ganas di lautan; dengan ilmunya manusia boleh berhadapan dengan taufan dan kemarau yang membunuh. Jika akal budi dimanfaatkan pada jalanNya, pasti manusia menjadi kuat lahiriah dan batiniah!

Namun kekuatan itu tidaklah sebenar-benar kuat selagi belum diuji Allah dalam kehidupan ini yang merupakan satu perjuangan berterusan hingga ke detik akhir untuk mengangkat darjat diri di mata Tuhan. Di sepanjang perjuangan itu manusia melalui pelbagai ujian yang mesti dibebani dengan redha dan tabah. Maka bersyukur jua andai diuji walau berkali-kali kerana bukan semua manusia diberi kesempatan oleh Allah untuk membebani ujian berat untuk manusia itu berpeluang mencapai maqam redha. Betapa ramai manusia diuji dengan kesenangan tetapi kesenangan itu tidak membawa manusia itu kepada maqam redha malahan menjadikan dia seorang yang lalai, riya’, dan takkabur. Nauzubillah!

“Ya Rabb, berikanlah kami kebaikan dunia dan kebaikan akhirat, dan lindungilah kami dari azab seksa neraka.”

*gambar dirakam pada Khamis 28/5/09 di sebuah padang terbiar - Gombak, Selangor.

Salam.