I.Demikian setianya janji yang bermukim damai di jambangan hati, menanti dalam tenang lamaran sang purnama mengambang. Pada hati yang utuh berjanji, tiadalah aral segarang badai pun yang bisa menghancurkan janji itu. Tidak juga ombak mengganas mampu memamah sebuah janji nan seteguh waja. Janji adalah amanah, dilunaskan atas nama cinta Khaliq.
Namun janji Khaliq lebih perkasa. Taufan bagiNya hanyalah usikan naluri dan gelombang itu sekadar menguis-nguis rasa. 'Pabila mahuNya berkata “jadilah”, maka tanpa curiga janji itu hanya tinggal ungkapan yang terkulai di pinggir bibir.
II.Aduhai, longlai jua sekujur tubuh ini dan hati kecewa tidak terperi! Hanya kerana pembentangan tugasan ditunda ke petangnya, janji hati untuk membawa diri ke Tanjung terpaksa dibatalkan. Sabar dan redha jua.
Mengimbau kembali yang telah berlaku dan berlalu, apa jua yang dikalamNya untuk saya maka itulah yang terbaik untuk saya jalani. Wallahu'alam.
Kereta teman saya telah ditimpa kemalangan dalam perjalanan ke utara. Kawan sebelah pemandu (yang sepatutnya saya jika mengikut rencana asal) mengalami kejangan otot akibat terjerut tali pinggang keledar ketika kereta tidak sempat dibrek, lalu melanggar kereta di hadapan yang melakukan brek kecemasan. Ranap bonet kereta teman itu. Otot kawan yang kejang masih belum pulih sepenuhnya hingga kini.
Kepada keluarga Bakawalee dan Klan Genderangnya, walau tidak berkesempatan menghadirkan diri, kalian tetap hadir dalam hati saya kala Devian Dogma berpencak di atas pentas.III.Aah, janggal sungguh berada di sidang minum-minum kopi itu yang lebih banyak berlipur-lipur berdongeng tentang emas berlian. Tentang tebal nipis gelang dan rantai leher, juga tentang sofa Itali dan pakaian dalam Rahsia Victoria.
Selalunya begitulah, berasa janggal sekali kerana mereka wanita-wanita hebat anggun bergelaran itu dan ini. Sepatu dari Milan, baju dari London. Tempah busana Bernard Chandran. Bergincu Shiseido, berselendang renda Perancis. Antara Cleo dan Cosmopolitan -Impiana dan Jelita, tersisip Mangga dan Hai!
Saya berada di kalangan mereka bukanlah menyibuk-nyibuk sebenarnya. Sekadar menunaikan janji untuk menemani kawan saya yang kerjanya kadang-kadang menjaga tepi sarung perempuan anggun sebegitu. Pada suatu hari, selesai entah berapa cawan kopi hitam Brazil yang diminumnya, maka terkeluar dari mulutnya mengatakan saya ini gemar akan segala macam sajak. Wah, sejak itu mereka bukan main lagi mahukan saya mendeklamasikan sajak. Saya kata saya tidak pandai, saya sekadar tahu sedikit-sedikit baca sajak.
Sejujurnya setelah dua kali bersama mereka, saya naik rimas dan tidak tahu lagi sajak apa yang perlu saya sampaikan untuk mereka. Saya mahu menarik diri.
Tiba-tiba suatu malam sedang saya merenung bintang yang cahayanya menyimbah-myimbah benak, saya teringatkan sesuatu. Lalu berujarlah hati bahawa setiap kita perlu berani membuat pertimbangan kepada sebuah kehidupan yang fana ini, yang denainya entah panjangnya berapa hasta dan berapa relung pula luasnya. Hatta selagi nafas gah dihela, usahlah melangut-langut mensiakan setiap detik masa yang dilalui. Hidupkan jiwa dan pugarkan kembali
kesedaran dan nilai semula harga diri dan tanggungjawab kepada agama dan ummah.
Siapa-siapa juga kita ini wajarlah berjanji kepada diri sendiri kerana Dia, kerana kita hambaNya. Usah alpa, bukankah sejak dalam rahim ibu lagi manusia sudah berjanji kepadaNya bahawa sepanjang hidup ini kita akan sentiasa bertaat dan berbakti kepadaNya? Berjanjilah untuk tampil ke hadapan menyirna gelap serta menyuluh terang bersandarkan upaya yang termampu oleh jiwa raga.
Janji diungkap untuk disimpul, mati atau tidak simpulan itu terpulang kepada pengungkapnya. Rasa yang tergetar dalam kalbu adalah hasil santapan mata, dinilai oleh akal, diperiksa oleh hati. Menyempurnakan janji setia padaNya adalah penyingkap restuNya dunia dan akhirat.
Oh oh, hampir terlupa pada sajak untuk mereka itu. Saya sambung ...
Sejujurnya setelah dua kali bersama mereka, saya naik rimas dan tidak tahu lagi sajak apa yang perlu saya sampaikan untuk mereka. Namun bintang itu memberi
ilham lalu hari minggu lepas saya membaca sajak AJ yang berikut untuk mereka.
naaktanak-anak kami selalunya
dengan rela tidak sengaja
membuka kutang
membuka celana
telanjang sebelum
cukup matangbeschaamdkurang ajar sungguh perempuan
perempuan yang berbaju ketat
sendat sambil menutup kepala
dan mendakwa menutup aurat
mahu rasanya berdiri di depan mereka
membuka zip seluar
dan tunjukkan
ini! ini! ini aurat!
hanya nampak apabila dibuka!Ruang itu menjadi hening. Tiada tepuk sorai seperti selalunya yang membuat saya tunduk silu. Mereka terpaku.
Eh, eh … mereka merenung saya dalam-dalam. Selang seminit mereka saling berpandangan. Diam.
Mata kawan saya menyinga, semerah saga memerhati saya. Saya selamba.
“Itu sajak apa?” Tanya seorang yang rona rambutnya bak warna kulit pinang ranum.
Jawab saya, "Sajak-Sajak Suci."
Pak AJ, sajak-sajak nukilan Pak AJ mampu menjadikan saya seorang yang berani! Terima kasih untuk itu. Moga dalam damai dan tenang, di mana jua berada.IV.Saya akan meninggalkan teratak sepi ini untuk beberapa waktu. Kala bila saya akan pulang, tidaklah saya berani berjanji.
dalam rentang waktu yang berdebu
tersisip kartu aneh mendayu-dayu
andai purnama tiada retak seribu
teratak kujelang bersama kasihnya bayuTiba-tiba saya teringat Loppies dan Bro ZZ.Moga kalian teman bloggers dalam dakapan hidayahNya selalu.
Salam.