Wednesday, 13 June 2007

Mahendran dan Khairil

Rupanya Mahendran yang baru 4 bulan menjadi anak didik saya itu adalah abang kandung Tilla yang mulutnya becok sekali dan cukup suka jaga tepi kain orang.

Mahendran berkarektor introvert. Suaranya langsung tidak keluar apabila diajukan soalan, kalau bersuara pun macam bunyi ayam yang tidak cukup makan gayanya! Dia cuma bersuara sedikit kuat apabila diacah-acah oleh Khairil yang duduk di belakangnya. Budak Khairil ini pun satu juga, nakalnya bukan main lagi dan saya agak kecewa dengan pencapaiannya walau sudah 2 tahun di bawah bimbingan saya.

Mahendran dan Tilla datangnya dari keluarga 11 orang dan tinggal di rumah pangsa dua bilik. Ibu, bapa, datuk, dan 8 orang adik beradiknya tinggal sebumbung. Tilla di Darjah 5, Mahendran di Tingkatan 1. Kakak sulung mereka Yugini menjadi murid saya dua tahun lepas ketika di Tingkatan 5. Hasil usahanya yang gigih, BM yang sering gagal dulunya berubah menjadi kredit 5 di dalam SPM. Dia juga mendapat 1A, dan 5 kredit yang lain. Sekarang dia di Tingkatan 6 dan bercita-cita untuk ke menara gading, dan menjadi guru.

Mahendran bersama seorang lagi adiknya diserahkan kepada rumah anak yatim ketika masing-masing berumur 8 dan 7 tahun. Bapa mereka kerjanya pemandu lori. Ibu mereka tukang sapu di sebuah pasar raya. Apabila rumah anak yatim itu ditutup, Mahendran dan adiknya kembali ke pangkuan keluarga awal tahun ini. Mahendran ini kemahuan belajarnya cukup kuat dan dia rajin. Dalam masa 4 bulan sudah ada peningkatan dalam pelajarannya.

Akan tetapi budak Khairil itu, alahai, tak berubah-ubah sikapnya. Dia mempunyai 6 orang adik beradik. Dia yang sulung. Bapanya pemandu lori manakala ibunya pekerja kilang. Saya pening. Sudahlah mengganggu-ganggu orang lain, dia jarang sekali menyiapkan kerja dalam kelas! Sudah dinasihati, sudah ditegur. Sungguh keras kepala! Lain yang disuruh, lain yang dibuat.

Remaja mestilah membincangkan perkara yang keburukan. Remaja mestilah menjalankan aktiviti bersama rakan sebaya. Kalau kita tak tahu rakan sebaya kita akan mengajar kita. Kalau di sekolah mengadakan menghadiri motivasi remaja. Di motivasi cikgu akan mengajar remaja tentang pelajaran. Cikgu akan beritahu kepada remaja apa-apa yang keluar di peperiksaan. Remaja mestilah belajar pelajaran yang diajar oleh cikgu mata pelajaran.

Saya ketawa kecil semasa memeriksa karangannya itu mengenai "rakan sebaya dapat membantu dalam proses pembentukan disiplin remaja." Kalian juga ketawakah? Barangkali. Wah, kalau begitu kita sendiri mentertawakan orang Melayu!

Oh, itu cerita Khairil yang mewakili cerita Aqilah, Idah, dan Nasrul.

Akan tetapi cerita Nuratiqah sudah berakhir buat seketika ini. Dia tidak lagi menjadi anak murid saya, walhal peperiksaan UPSR sudah semakin hampir. Bapanya garang tapi tidak melarangnya untuk menghadiri kelas. Kata ibunya, Nuratiqah tiada kemahuan untuk belajar lagi. Saya sedih. Saya masih memujuknya.

Salam.

Tuesday, 12 June 2007

Tanpa Undangan

Petang semalam jam 5.55 ...

Sudah menjadi budaya perempuan itu memeriksa tayar sebelum memandu. Semua kelihatan baik lantas dia pun memandu sambil mendengar lagu keroncong Rindu. Dia damai dan tenang kala itu.

Tiga minit berlalu dan ketenangannya terganggu. Entah kenapa keretanya menjadi lemah. Pedal minyak dan pedal gear ditekan-tekan silih berganti namun kereta semakin tidak siuman. Antara mahu dengan tidak, dia pun memandu dengan gear dua kerana itu yang paling selesa. Tiba-tiba ada bunyi aneh entah dari mana datangnya. Keroncong diperlahankan dan telinganya ghairah mencari-cari bunyi itu.

Bunyi krook, krook, krook semakin nyata datang dari arah belakang sebelah kiri kereta. Dia melihat cermin sisi kiri tapi tidak ada apa-apa yang aneh di belakang.

Sejurus krooook, kroook semakin kuat. Dia menoleh ke belakang. Asap?!!! Dia menjerit dalam hati. Cemas.

Kereta dipandu ke tepi. Keroncong ditutup kemudian dia keluar melihat apa yang berasap.

Matanya terbeliak. Aiseyymann, tayar pecah? Hari itu baru ditukar baru. Bunga masih cantik. Dia beristighfar beberapa kali.

Dia segera menelefon AAM. Seusai menelefon dia mendongak. Sekali lagi matanya terbeliak.

Seekor gagak hitam melayah-layah melintas di hadapannya ...

Salam.

Friday, 8 June 2007

Gagak Hitam, Kucing Hitam

Entah apa yang tersirat apabila seekor gagak hitam melintas di hadapan saya seawal 8 pagi tadi. Saya tersenyum lebar. Bukan melihat gagak itu, tapi teringatkan kandungan satu e-mel daripada seorang yang bergelar guru berpangkat abang kepada saya yang menyentuh tentang kucing hitam dan gagak hitam. Katanya kalau gagak hitam atau kucing hitam melintas di hadapan, barangkali boleh saja dijadikan ilham melukis cerita ala-ala Harry Potter!

Aah, tepat sekali! Ilham pun datang lalu terlukis jua cerita, namun kisahnya sekadar ala-ala Si Bunga Rampai...

Barangkali gagak hitam itu punya kesaktian yang aneh-aneh membuat saya sepanjang pagi walau tidak sibuk, culas pun tidak, alahai ... ada sesuatu yang tidak kena. Saya rasa begitulah.

Barangkali saya telah melukai hati seseorang, barangkali beberapa orang. Di mana-mana. Alahai, resah nian!

Saya tahu luka itu adalah luka saya juga. Dan saya berasa amat terluka. Entah mengapa ya. Kini saya mencari denai menghijau dan tasik nan jernih untuk melipur-lipur hati. Hujung minggu, atas izin Masa jua.

Sungguh, gagak itu sakti sekali. Barangkali. Tiba-tiba denai dan tasik itu terpampang di ruang benak. Saya tahu kini di denai mana ada damai, di tasik mana ada tenang. Di sana ada tafakur dalam santai.

Aah, lamanya tiba hari minggu itu ...

Barangkali andai seekor kucing hitam tiba-tiba melompat di hadapan saya, itu tandanya saya sudah menghancurkan hati seseorang, atau beberapa orang. Barangkali. Kerana seperti gagak hitam, kucing hitam juga membawa pesan Alam (Walaupun warna hitam, usah sirnakan. Renung dengan mata hati, ada kemurnian di dalamnya).

Moga ada maaf Khaliq untuk saya.

Salam.

Saturday, 26 May 2007

Cinta dan Rindu

Selingkar kisah perca kenangan, kadang meredup rasa. Meneduh dalam diam. Mengutuh dalam sabar. Kebetulan hari ini genap dua tahun ia berlalu ...

Jejaka itu muncul kala saya dalam damai hati dan pugar mata menyantap judul buku-buku yang tersusun kemas di atas rak itu. Saya menjeling dengan ekor mata. Dia tampak santai berpakaian seluar koboi dan kemeja T merah hati tanpa kolar. Parasnya entah bagaimana.

Saya beralih ke sudut lain, dia menurut. Saya mengusik-ngusik buku-buku di atas rak. Dia tercegat sambil berpeluk tubuh. Membaca judul buku agaknya, fikir saya.

Tiada yang menarik di sudut itu lalu saya menyusun langkah ke sudut kiri. Dia mengekori, dan tingkahnya itu membuat saya merapi hati yang mula bergelombang. Dalam resah rasa yang menggebu, saya menarik keluar sebuah buku yang judulnya cukup mempesona.

"Engkau tidak bisa merindukan orang yang berlalu
jika yang engkau rindukan tidak merindukanmu."


Saya terpempan dengan lontaran bait itu. Buku di tangan terjatuh ke atas lantai. Dia mengambilnya dan bersama senyuman agak nakal di bibir, dia menghulurkan buku itu kepada saya. "Muka surat sebelas." Ujarnya.

Sukar sekali mengatur nafas kala itu dan dalam denyut nadi yang bertebaran, saya membuka muka surat sebelas. Mata saya terbeliak. Sungguh, bait itu terpampang jelas di hadapan mata!

"Muka surat 235," ujarnya lagi. Dalam kalut rasa yang sukar dipujuk dan dalam ketar jari-jemari yang dingin, saya menyelak halaman itu.

"Helaan nafas orang jatuh cinta yang bertubi-tubi
penanda derita cinta yang terpendam di relung hati
detak-detak cinta menghentak dinding sanubari
menghela nafas panjang untuk mengusir tabir hati."

Aduhai, betapa indahnya ungkapan itu membuat saya merenung wajahnya. Dia menunduk. Saya terpinga-pinga. Sejurus dia mengangkat kepala. "Bukan kata-kata saya, ada di halaman itu, bacalah," pintanya. Saya mencari ungkapan itu. Ya, ada di halaman itu!

"Selamat membaca, assalamualaikum." Dia merenung lembut dan dalam renungan itu ada kilau yang memancar. Saya tertunduk. Sejurus saya mengangkat kepala hanya untuk melihat senyumannya dan susun langkahnya meninggalkan saya.

Saya bergegas mengejarnya. Sekurang-kurangnya saya membalas salamnya, bisik hati kecil.

Aaahh, dia tiada! Saya bertafakur seketika dan di kejauhan rasa saya bingkiskan salam dan doa untuknya. Siapa-siapa juga dia itu.

Sambil menunggu giliran di kaunter bayaran, saya sudah mula membaca buku itu: Cinta & Rindu (Menurut AlQuran dan AlSunnah) - Ibnu Qayyim Al Jauziyyah (terjemahan).


Salam.

Wednesday, 23 May 2007

Yang Sudah Berlalu

Dalam lembaran hari yang dilepaskan, ada helaian rasa yang bisa saja menjadi perca kenangan. Mengimbau dalam senyuman, menderai tawa, dan ada waktu-waktunya mendesah nubari lalu rindu bersimpuh jua di relung hati. Itulah kehidupan yang indah - ada kala enaknya tiada, sering dihampari kejutan, dan dugaan ...

Ahad pagi, sedang saya membayar harga nasi lemak di gerai itu. Aduuuhh! Bagaimana ya telefon saya boleh tercampak ke dalam bekas berisi penuh sambal nasi lemak itu? Mujurlah bersarung, jadi, telefon itu masih berfungsi. Mujur juga Mak Jah sudah lama saya kenal, dan dia hanya mentertawakan saya.

Ahad tengahari, sesudah mengisi petrol. Eh, eh! Tiba-tiba alat penggera kereta menjerit-jerit, hingar sungguh! Semua mata memandang saya. Ooh, malunya! Mujurlah ada seorang jejaka yang baik hati meredakan jeritan itu.

Ahad petang. Chef Rampai kepingin sekali membuat kek Orange Chiffon kegemarannya. Aiseymaaann, apa hal ni? Kek yang sepatutnya lembut gebu bagaikan sponge menjadi keras dan berkerak. Ha ha ha ...

Hari Isnin, saya sepatutnya menghantar tugasan jam 5 petang. Entah bagaimana minit-minit terakhir saya perasan ada kesilapan teknikal, maka saya meminta tangguh barang sehari lagi. Ooh, saya diberi amaran terakhir. Saya menggigit jari!

Semalam. Dari mana datangnya seekor rama-rama itu saya pun tidak tahu. Tiba-tiba saja muncul mengekori saya kala berjalan ke arah bangunan itu. Hinggap sana hinggap sini. Eh, rimasnya saya! Mahu saja saya menangkap rama-rama yang berwarna hitam berjalur kuning itu dan mematah-matahkan sayapnya agar tidak dapat terbang lagi dan tidak mengganggu perjalanan saya. Huh, sungguh tidak berperikehaiwanan saya ini! Mujurlah saya teringatkan sesuatu. Ya, rama-rama juga membawa pesan, walau ada ketikanya ia bisa saja merenggut rasa, bisik kalbu. Lantas, saya hanya mengibas-ngibas rama-rama itu agar tidak terlalu rapat pada saya.

Begitulah tiga hari yang sudah berlalu. Entah apa pula yang bakal bertandang hari ini, esok, dan hari-hari seterusnya. Dijemput atau tidak, segalanya akur saja diharung walau dalam kelabu mega, atau hujan tengahari, atau hangat suria. Lewat dinihari, sebutir bintang itu tetap saja setia menanti, teman bicara dan bersyair khair selagi jiwa itu mengalunkan nafas. Alhamdulillah dan selawat ke atas Baginda.

Moga hari-hari kalian dalam damai dan tenang :)

Salam.

Friday, 18 May 2007

Terhiris

Begitulah. Apa yang dihidang oleh media, itulah yang ditelan. Apa yang dilihat oleh mata, itulah yang dijadikan bahan hujahan. Mereka percaya.

Kata kawan saya Susan kepada John, "Islam di tanah air saya ini semakin liberal."

Saya cuba menelan air liur.

Inez teman John, "Ya, perempuan-perempuan kamu berani ke hadapan memperjuangkan hak wanita. Anak-anak muda juga pandai bergaul dan ranggi sekali berfesyen."

Susan, "Saya bangga dengan pembangunan negara saya. Dan John, kamu juga perlu menemuramah mufti yang liberal itu, juga seorang lagi mufti yang konservatif."

Oohh, air liur itu tersekat ditekak.

John wartawan dari sebelah timur Eropah itu berpaling kepada saya, "Pastinya kamu juga menyokong kumpulan kakak-kakak seIslam kamu yang hebat itu."

Duh, pahit sungguh air liur yang ditelan itu!

Saya, "Bla, bla, bla ..."

Untuk beberapa ketika kami bersoal-jawab. Entah siapa yang menang.

Saya cuma tahu hati saya amat terhiris, luka. Pedih, kerana tanggapan sipi mereka tentang agama saya. Bersedih jua mengenangkan tanah air ini, dan sebahagian kita yang masih lagi leka berfantasi sampai ke langit sepuluh. Sanggup membiarkan diri menjadi boneka yang tempang kaki, dan ditertawakan!

Sudah dua hari saya memujuk rasa untuk melupakan sidang itu. Aduhai, payah sekali...

Salam.

Monday, 14 May 2007

53F

25 April 2007 ...

Setiba dalam pesawat. Alahai, kenapa pulak perempuan mat salleh itu berada di tempat duduk saya? Bersama senyuman saya memberitahunya bahawa tempat duduk itu adalah kepunyaan saya.

Tanpa senyuman, sepasang mata bundar madam yang gempal itu meneliti saya dari kepala hingga ke kaki. Panahan anak matanya yang berwarna hijau amat menggerunkan. Gincunya merah saga. Rambutnya kemas terikat di belakang dengan reben hitam, besar. Pakaiannya suit hijau tua dengan kemeja putih bergaris kuning. Dia kelihatan amat elit dan macam VIP.

Saya memohon lagi kepadanya untuk memberikan tempat duduk itu kepada saya. Ya, meminta ihsan kerana saya mahu duduk di tepi tingkap.

Eh, eh, dia memandang ke luar tingkap pula, dan dalam pesawat sudah berlaku kesesakan lalu lintas.

Sejurus pramugari tiba dan saya membuat aduan.

Dengan muka masam semasam belimbing buluh, madam itu bangkit beralih tempat. Dia mengangkat beg tangannya. Wow, CK! Dia duduk di sebelah saya. Saya duduk di tepi tingkap.

“Terrorist!” Tiba-tiba tercetus perkataan ini daripada mulutnya.

Saya membeliakkan mata. “I beg your pardon?”

Dia mengomel-omel sendirian, entah bahasa apa.

“You are.” Ujar saya lembut kemudian menghadiahkannya sekuntum senyuman.

Gilirinnya membeliakkan mata, dan sepanjang penerbangan dia berdengkur.

Saya melihat-lihat nombor tempat duduk pada keratan boarding pass - 53F.

Alhamdulillah. Yeaayy, saya dapat melihat awan! :)

Salam.

Monday, 7 May 2007

Merpati


Apakah yang kalian suka tentang sekawan burung merpati di dalam gambar di atas itu? Gambar itu saya rakam ketika kembara saya baru-baru ini.

Saya gemar melihat mereka bergerak, melangkah sana-sini. Kaki yang kecil comel itu melangkah pendek-pendek, gedik-gedik. Saya pandang kaki saya. Wah, panjang sekali dan pastinya saya lebih hebat melangkah berbanding burung-burung itu! Hebatkah?

Sukar sekali membayangkan apakah yang bakal dihadapi apabila kaki itu diunjurkan selangkah ke hadapan. Barangkali unjuran itu bakal membawa kaki itu terus berlari tanpa henti hingga ke destinasi. Barangkali kaki itu hanya mampu menyusun sepuluh langkah dan tiba-tiba terhenti. Barangkali juga langkah itu berpatah ke belakang. Barangkali ke kanan atau ke kiri.

Ada kalanya kaki itu tergelincir. Kadang tidak mampupun bergerak.

Bersama langkah itu kita bawa ilmu pengetahuan yang ada pada kita, keturunan dan salasilah keluarga, kekuatan tubuh badan, kecantikan/ketampanan, harta benda, pengaruh dan kuasa kita. Bersama langkah itu juga kita bawa batin kita - ada rasa kasih, sayang, benci, iri hati, dengki, marah, dendam, sombong.

Dalam apa juga keadaan langkah itu, sedar atau tidak, kita sebenarnya melangkah sambil membawa ego kita!


Riak, sombong diri, pemarah, takkabur merupakan beberapa jenis penyakit jiwa yang disebabkan oleh ego yang tidak dikawal. Awas, ego yang tidak dikawal bukan sahaja mengganggu keseimbangan emosi dan mental, malah membinasakan diri sendiri dan bisa saja membawa bencana kepada ummah. Bagaimana pula ego kita terhadap Allah SWT?

Oh, saya tidak berpanjang-panjang bercerita mengenai ego itu. Andai kalian mahu tahu lebih lanjut, carilah ilmu tentang ego itu di mana-mana. Jangan tidak, rugi!

Merpati-merpati itu lagi. Kepingin sekali melihat gelagat merpati dua sejoli, namun tiada. Mereka sering sahaja berkawan-kawan, mencari makan kemudian terbang. Barangkali mereka belum bersedia, atau darah belum panas untuk berjoli-joli.

Aah, darah panas ... tentu saja kepunyaan orang muda!

Darah orang muda yang mengalir kencang sememangnya manis dan panas! Bergemuruh cair apabila teruja, menyirap hangat apabila digertak. Ombak geloranya sukar direda. Mencari pelabuhan untuk melabuh sauh. Enak jika berteman, kekasih barangkali - teman untuk bicara meluah rasa di bawah sinar rembulan. Rindu merindu. Selaut kasih dihampar, dialah segalanya! Eh, eh, ke situ pula saya .

Darah muda andai tidak dikawal, aliran darah berserakan entah ke mana-mana tiada hala tuju. Nah, fikirkan di alur mana harus dialir darah muda itu agar bermukim kental dan bermanfaat untuk sebuah alam dan sekalian penghuninya.

Setiap anak muda punya tanggungjawab yang dapat menyumbang kepada pembangunan rohani, dalam menyatukan ummah.

Ayuh anak-anak muda kita sekatakan rasa, gumpalkan tenaga, mantapkan jiwa - kita bantu ummah tuju pembangunan rohani yang jitu. Inilah masa menyumbang kasih menghulur bakti, ketika usia masih muda berdarah panas! Hulurkan salam kenal, unjurkan tenaga, bantu mana yang perlu untuk membaikpulih rohani dan jagat yang semakin rapuh ini.

Sekali-sekala kongsilah masa, tenaga, dan kasih kita di sini, atau di sini, atau ini, dan ini. Banyak lagi sebenarnya. Ia membuka ruang yang lebih besar untuk ikatan silatulrahim, meluaskan pengalaman dan menambah pengetahuan. Menimbulkan rasa kagum dan cinta kepada Allah SWT dan RasulNya. Mulakanlah sesuatu ...

... paling mudah, mulakan di masjid. Fikir-fikirkanlah :-)


Salam.

Thursday, 3 May 2007

Hello!

Awal pagi itu, sementara menunggu ketibaan ERL di KL Sentral ...

... Saya tahu benar nada dering itu - Mozart 40.

Lalu lelaki India yang berperut boroi itu, berkemeja T putih, cepat-cepat berdiri dan menyeluk saku seluar koboinya. Aah, mengapa ya sukar benar? 'Pabila nada dering berhenti dia masih lagi bertungkus lumus cuba mengeluarkan telefon itu. Akhirnya berjaya dan Mozart 40 berkumandang lagi.

"Hello! Bla - bla - bla - (dalam bahasa Tamil) ..." Duh, suaranya macam guna mikrofon!

Tiba-tiba, "Apa daa, kalau you berani mari datang jumpa saya la! You ka betul atau saya ka yang tipu...pigi la you!"

Dalam ERL menuju KLIA ...

... Wah, Dealova!
Itulah nada dering telefon dalam genggaman perempuan bergaya itu yang duduk di hadapan saya.

"Elloooo ... " Bukan main manja lagi!

"On the way ... tak lupa ... mestilah rindu ... alaa, tak lama ... nanti I call, don't worry ... okey, you take care too sayang ..."

Ooh, dia sedang sarat bercinta!

Di KLIA, sementara menunggu panggilan untuk naik pesawat ...

... Saya tidak kenal nada dering telefon lelaki mat salleh yang tinggi lampai berkot biru tua itu, agak ganjil pada pendengaran saya.

Dia: "Lo! Lo! Lo! ..." Kemudian dengan wajah kecewa dia menutup telefon itu.
Sejurus kemudian: "Lo! Lo! Lo! ... " Dia kecewa lagi.
Kemudian: "Lo! Lo! Lo! ..."

Dia membuka briefcasenya lalu membaling telefon itu ke dalam. Tutup briefcase. Dia kemudian menumbuk briefcase itu dua kali.

Dalam pesawat ...

... Saya yang lapar sudah bersedia untuk meminta mee goreng sebagaimana yang tertulis dalam menu. Pramugara itu yang seiras Hritik Roshan tiba dengan senyuman yang cukup manis di bibirnya, "Hello ... " dan bertanya saya mahu makan apa. Saya kata mee goreng.

Pramugara itu pun mencari-cari dalam trolinya, kemudian: "Really sorry, mee gorang is not available."

Saya, sambil mencemikkan muka: "No mee goreng?"

Pramugara itu: "Yes, mee gorang ... eeelek!"


~~~~~~~~~~


Hello kalian! :-)


Salam.

Thursday, 5 April 2007

Rotan!

Hairan sungguh saya budak-budak itu, alaa ... anak-anak saya tu! 'Pabila saya menjegilkan mata dan meninggikan suara, mereka akan tersenyum-senyum sambil menjeling-jeling pada saya, kemudian berbisik-bisik antara satu sama lain. Geram!

Entah berapa kali sudah dijelaskan makna perkataan itu dan mereka berkata, "Faham!" dengan suara yang lantang dan yakin, tetapi ada juga yang tidak faham.

Dalam geram itu saya ketawa juga apabila memeriksa buku latihan mereka. Siapa yang tidak akan ketawa, bacalah ayat mereka di bawah ini. Apabila saya menerangkan kepada mereka maksud ayat itu, mereka juga akan ketawa dan kelas akan gamat!

tersepit = Ah Chong makan menggunakan tersepit kayu.

menggelupur = saya makan sambil menggelupur.

digolekkan = ibu dan bayi itu digolekkan di atas katil selepas bersalin.

Wah, mereka ini bukan boleh diberi muka manis banyak-banyak! Apabila suasana tenang kembali, mereka membuat latihan sambil lewa. Maka untuk pertama kalinya minggu lepas saya berkata, "Minggu hadapan kita ada kawan baru."

"Siapa?" Tanya Tilla yang mulut becok suka menyibuk.

"Rotan!"

Satu kelas terdiam. Mereka membeliakkan mata dan mulut terlopong.

Saya hanya senyum.

Salam.

Friday, 9 March 2007

Si Cilik Remaja ll

Terima kasih kepada teman bloggers yang meninggalkan komen untuk entri saya yang terdahulu, Si Cilik Remaja. Saya amat menghargainya. Kalian sebenarnya telah membuka ruang untuk saya meluahkan rasa hati. Luahan rasa bermula dengan petikan komen di bawah yang saya kira mewakili semua komen yang telah diberi.

Dari sudut lain, mereka sebenarnya mencari kasih sayang. Malahan dengan aiskrim sudah timbul keseronokan. Perlu ditunjuk ajar dengan penuh hikmah ~ Ku Keng.

Cilik-cilik Si Cilik Remaja, dia juga manusia biasa yang punya hati, ada rasa, membendung hasrat, mahu berbicara manja, kepingin sekujur tubuh diusap belai dengan tangan-tangan lembut penuh kasih dan sayang. Si Cilik Remaja mahukan perhatian. Lumrah kejadian manusia di peringkat ini dengan jiwa yang berdarah panas, berombak ghairah - ini bukanlah satu perkara pelik. Cuma, ianya akan menjadi aneh apabila segala rasa dalaman itu dengan enak saja disalurkan tidak mengikut adab, lantas bukan sahaja remaja itu menzalimi dirinya sendiri malah menzalimi ibu bapanya, keluarga, kawan-kawan, dan ummah.

Lihatlah betapa mudahnya mempengaruhi remaja yang terumbang-ambing dengan perhitungan yang masih terapung-apung - hanya dengan pelawaan untuk makan aiskrim, lentur akar hati lantas menurut saja kehendak itu . Apa lagi andai diajak tengok wayang, makan angin, tengok konsert - pasti melonjak seronoknya tidak terperi! Bayangkan apa yang bakal berlaku andai yang mengajak itu punya niat jahat, alahai ... kesan dan kesalnya juga tidak terperi!

Apa pun keterlanjuran yang telah dilakukan oleh para remaja, saya kira ruang masih lebar dan panjang untuk membawa mereka ke jalan yang lebih berfaedah, dan siapa-siapa juga kita ini wajarlah menjadi sahabat mereka sekali gus berperanan sebagai pembimbing.

Bukan semua remaja bermasalah datang dari keluarga yang berantakan, bukan semua remaja mahu berada dalam kabut kepincangan peribadi. Ada remaja bermasalah berlatarkan keluarga yang berhemah, ada remaja pincang kerana desakan dan tekanan hidup.

Sambil-sambil kita menuding jari ke sana-sini, jangan lupa tudingkan jari itu ke arah diri sendiri. Sambil-sambil kita mengeluh mengenang nasib para remaja yang tergelincir jalan, binalah denai lurus dan terang untuk mereka lalui, moga mereka lebih menghargai kehidupan yang fana ini. Tunaikan amanat Allah Subhana Wata'ala yang dipertanggungjawabkan kepada kita.

Setiap kita punya tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah Subhana Wata'ala untuk membantu insan lain. Kita bagaikan kepingan jigsaw puzzle, saling melengkapi untuk sebuah kehidupan yang lebih bermakna di dunia dan akhirat. Mengabaikan amanah ini bermakna kita turut membantu menghancurkan ummah, sekali gus mengabaikan persediaan jawapan yang bakal ditanya di akhirat nanti.

Remaja sering keluh resah mengharapkan belaian suara manja penuh kasih, sentuhan tangan mengusap-ngusap sayang - itulah santapan rohani yang ulung dalam pembentukan jiwa remaja yang berketerampilan hebat, juga perisai utama untuk menepis dan menangkis noda-noda hitam yang menceroboh diri! Jiwa nan gersang kasih sayang juga adalah perangkap utama remaja mencari perhatian dan keyakinan di luar norma kehidupan dan adab-adab agama.

Sambil-sambil makan aiskrim, sambil-sambillah berseloroh dan berbicara santai a-la hip-hop remaja, dan dalam sambil-sambilan itu selitkan pengisian mata hati yang boleh membawa mereka berfikir. Bina titian persahabatan, panjang-panjangkan titian itu sehingga kukuh. Remaja sebenarnya memerlukan seseorang yang mahu mendengar segala gelodak lahar jiwa mereka.

Andai mereka ketandusan perhatian dan kasih sayang keluarga, apa salahnya kita unjurkan sedikit kasih kita untuk mereka rasa, apa salahnya hulurkan secebis sayang kita untuk mereka jiwai. Kongsilah sekelumit masa kita bersama mereka. Kasihani dan sayangi mereka sebagaimana sifat Allah yang Maha Mengasihani dan Maha Menyayangi semua hamba-NYA.

Ya, sambil-sambil makan aiskrim a-la hip-hop Si Cilik Remaja, sedar tidak sedar antara suapan dan ungkapan, barangkali ada ilmu yang terselit. Siapa tahu. Fikir dan renung.

Sesungguhnya zaman berubah, era berbeza namun kita jangan alpa, janji Tuhan tidak pernah berubah walau berapa kurun pun berlalu.

Kalam Allah jelas, dan Sunnah Nabi nyata.
Tugas kita menasihati dan membimbing seadanya, selebihnya DIA uruskan.


Aduhai aiskrim ...

aiskrim sundae McD dengan topping coklat memang sedap!

Aiskrim Malaysia pun sama hebat, itu ... yang ada asam boi ;)


Salam.

Monday, 5 March 2007

Si Cilik Remaja

Remaja-remaja itu, 17 atau 16 tahun barangkali. Cantik dan manis. Gebu dan mulus. Ranggi dan hip-hop. Cuping telinga bersubang tiga empat. Rambut bersinar dwiwarna. Fesyen pakaian yang ala-ala tidak cukup kain.

Gamat sungguh remaja- remaja itu. Ketawa terkekeh-kekeh.

1: "Eh, ngko kawin jelah!"
2: "Aa'aah, dah suka sama suka."
3: "Dah kawin pon, nikah je blom."
4: "Cayalah, gimme faiv!"

Dan mereka ketawa lagi, penuh segerabak. Macam tren itu mereka yang punya.

Dia yang duduk berhadapan mereka mengeluh. Tersimbah jua nestapa pada hati yang sedia duka.

Di luar tren ...

"Adik semua nak ke mana?" Dia bertanya. Senyum.
"Tak tahu!" Mereka terkekeh-kekeh lagi.
"Takkan tak tahu, kat depan tu kan jalan besar?" Dia senyum lagi.
Mereka saling memandang. Pucat lesi.
"Jom, layan aiskrim kat McD, nak?" Dia senyum lebar.

Di restoran McD. Masa sekelumit itu menjadi saksi bisu kepada kisah jiwa remaja yang tidak berakar tunjang, pucuk rapuh di hujung ranting.

Telefon bimbitnya berdering. "Makan aiskrim," ujarnya sambil ketawa kecil kepada insan di hujung talian. Kepada remaja-remaja itu dia mohon berlalu.

"Kak, bila boleh makan aiskrim lagi?" Remaja-remaja itu meminta kepastian.


Salam.

Friday, 2 March 2007

RM200.00 ???

Petang, di sebuah simpang empat. Kereta perempuan itu ditahan Polis Trafik bermotosikal. Perempuan itu menurunkan cermin, "Assalamualaikum."

"Kad Pengenalan dan Lesen." Pinta pegawai itu yang sedang memegang sebuah buku.
Akur, perempuan itu menyerahkan dokumen.

Pegawai itu dengan kumisnya menjunam di tepi bibir meneliti dokumen. Kemudian melihat cukai jalan, kemudian mengelilingi kereta, kemudian memeriksa setiap tayar dengan tangan (sentuh-sentuh) dan kaki (sepak-sepak), kemudian mengintai-ngintai isi kereta, kemudian meminta perempuan itu membuka but kereta. Akur juga.

"Cari pasal." Bisik hati perempuan itu sambil membuka pintu but luas-luas. Mata pegawai itu liar memeriksa kandungan. Ada fail buruk, ada surat khabar lama, ada kasut sukan, ada sekampit kecil Friskies, ada sebuah beg galas kecil ... "Buka," pintanya. Akur lagi.

"Memang cari pasal." Dengus hati perempuan itu sambil mengeluarkan isi kandungan. Ada kemeja T, ada stokin, ada dua buah buku, ada satu bar kecil Cadbury Black Forest.

"Tayar kereta ... bunga dah habis." Pegawai itu.
"Oh?" Perempuan itu kehairanan.
"Merbahaya, boleh menyebabkan kemalangan."
"Terima kasih, nanti saya tukar."
"Saya perlu keluarkan saman sebagai peringatan."
"Eh, itu pun nak saman?"
"RM200.00"
"HAA??"
"Ermm, RM100.00 tanpa bil saman."
"Oh, mesra rakyat?"
"Memudahkan kerja awak dan saya."
"Keluarkan saman 200."
"50 tanpa saman." Pegawai itu. Senyum.
"Keluarkan saman 200." Perempuan itu. Tegas.
"Jangan lupa cek tayar itu." Pegawai itu berlalu pergi tanpa mengeluarkan saman.


Salam.