Tuesday, 17 June 2008

Dua Sudu Nasi

“... kalau dulu kita makan sepinggan dua nasi, sekarang kita makan dua sudu nasi saja. Makan nasi banyak-banyak pun hanya memudaratkan kesihatan. Begitu juga dengan cara membeli-belah kita. Kurangkanlah membeli barang-barang yang tidak selalu kita guna. Kalau dulu kita membeli dua beg tangan atau dua pasang kasut sebulan, sekarang belilah bila perlu saja. Janganlah kita membazir wang membeli barang-barang berjenama yang diimport. Buatan tempatan juga bermutu tinggi dan kita patut menyokong barangan tempatan. Kalau dulu kita suka bersiar-siar menggunakan kereta tanpa tujuan tertentu, wajarlah sekarang kita kurangkan kegiatan itu. Kalau jaraknya tidak jauh, berjalan kaki sajalah ...”

Demikian sedikit petikan ucapan Yang Berhormat Datuk Wakil Rakyat kepada lebih kurang 100 penduduk kampung yang berpakaian santai ikut suka hati mereka mahu pakai apa di sebuah balai raya yang setengah usang. Saya yang duduk longlai di barisan depan tersenyum kelat di dalam hati.

Ucapan itu membuat lapar saya menjadi-jadi. Pagi tadi jam tujuh hanya bersarapan dua potong ubi kayu dicicah gula dan secangkir milo kosong. Jam sepuluh cuma minum teh-O segelas dan empat keping biskut Marie.

Lalu ketika dijemput makan tengahari yang lewat oleh Pengerusi majlis, saya membubuh sepinggan penuh nasi bukit, dua senduk sayur pucuk peria yang direbus bersama ikan kering, dua senduk sayur betik muda digoreng bersama potongan kecil daging ayam. Kuah kari daging saya bubuh keatas nasi.

Nah, nasi yang membukit begitu menarik perhatian Yang Berhormat lalu menghampiri saya. “Berselera?” Tanya beliau sambil tersenyum. “Alhamdulillah.” Jawab saya. Eh eh, mata saya turut berselera menjeling pinggannya! Ya, kata dikota – nasi beliau lebih kurang dua senduk saja di dalam pinggan dan lauk-pauknya sesudu sana sesudu sini. Sambil makan kami berbual. Petah sungguh beliau bercakap tentang remaja, belia dan penggangguran - maklum, hadirnya juga kerana majlis penutupan bengkel untuk remaja dan belia kampung yang baru berakhir jam sebelas pagi tadi.

Cerita harga minyak juga berarus laju dan beliau meminta pandangan saya tentang itu. Aduuuh, siapalah saya ini bercakap tentang isu sehangat begitu? Oooh, menggeletar sungguh jantung saya dibuatnya! Saya berhenti makan.

Saya kata, saya cuma kasihankan orang kampung kalau disuruh makan hanya dua sudu nasi kerana nasi itu punca tenaga mereka - mana mungkin dapat membanting tulang di kebun dan di sawah kalau tidak bertenaga. Sudahlah tidak punya sumber protin yang bagus dan kekurangan vitamin, nanti membuka mata pun mereka tidak mampu! Juga kata saya orang kampung bersiar-siarnya di kebun dan di sawah, di tepi sungai dan di lereng bukit. Paling-paling pun mereka bermotorsikal ke pekan berhampiran, itu pun kerana terpaksa untuk membawa padi ke kilang atau membawa hasil tanaman kebun ke tamu. Perempuan-perempuan kampung tidak tahu pun apa hebatnya CD, CK, Gucci – buatan siapa, buatan dari apa, dari mana - mereka tidak peduli semua itu. Asal cantik dan murah beg dan kasut itu mereka beli. Kesian penduduk kampung ...

Ooops, sudah terlebih celoteh saya! Saya memohon maaf. Senyuman Yang Berhormat masam-masam manis jadinya. Beliau melihat jam tangannya yang berbatu entah apa pada talinya lalu mengeluh dan sesudah itu menyerahkan pinggan kosong kepada PAnya. Beliau bangkit, menjinjing beg tangan Sembonia nya kemudian melurut-lurut baju kurung suteranya sebelum melangkah pergi.

Sebelum meninggalkan majlis, beliau meminta hadirin supaya jangan malu-malu menambah nasi.

“Terima kasiiiiih Datuk, mana bulih makan dua sudu nasi, mati kami bah!” Jeritan seorang anak muda berkumandang kuat. Yang Berhormat tersenyum lebar.

Saya kembali makan. Aarrghh, nasi sudah menjadi sejuk!


*06/6/2008
Pedalaman, Bawah Bayu.


Salam.

Sunday, 1 June 2008

Selamat berehat kakak Aunty

Jam 11 pagi. Terasa benar damainya restoran yang belum berpelanggan itu, dan kami berdua berbual seenak rasa sementara menanti ketibaan makanan yang dipesan. Lagu Ketulusan Hati menjadikan suasana bertambah nyaman, “Restoran ini bagaikan milik kita ...” kata kawan saya. Saya bersetuju, namun jauh di dasar hati saya tahu kedamaian itu hanya sementara.

Dari tangga yang menghubungkan tingkat bawah dengan tingkat satu, terdengar suara-suara kecil tapi lantang berkumandang. Semakin lama semakin kuat bunyinya. Sejurus muncullah empunya suara-suara itu - seorang kanak-kanak lelaki berumur 7 tahun pada hemat saya, dan adik perempuannya lebih kurang 5 tahun. Oh, ada seorang lagi rupanya yang baru saya dengar suara gemersiknya merengek-rengek minta dilepaskan daripada dukungan ibunya.

Kanak-kanak lelaki itu berhenti di hadapan meja kami lalu memandang saya. Saya acah-acah membeliakkan mata. Eh eh, dia cuba mengenyitkan mata kanannya tapi tidak menjadi kerana mata kirinya juga terkenyit sama. Saya ketawa kecil. Dia turut ketawa.

“Bu, kita duduk sini boleh?” Mintanya. Ibunya menurut.

Oh oh, mereka di meja sebelah kami!

Mula-mula senyap. Kemudian ... wah, kedua-dua kanak-kanak itu mula mencipta muzik mereka sendiri! Sudu dan garpu menjadi alat muzik. Permukaan meja dijadikan drum. Pinggan dijadikan gitar. Si kecil mula menyanyi-nyanyi dengan nada tangisan yang semakin kuat. Oh bingitnya! Kami hanya mampu tersenyum.

Restoran kini didatangi beberpa orang pelanggan lagi. Kanak-kanak itu semakin rancak bermuzik.

“Zahrah, Hamdi ... manners please ... sudu dan garpu gunanya untuk menyenduk makanan!” Si ibu bersuara keras, tapi mereka terus mencipta irama, berhenti cuma seketika kala pelayan datang menghulur menu.

Pesanan dibuat. Zahrah dan Hamdi juga sibuk membelek-belek menu meminta itu dan ini. Si ibu tidak mengendahkan pilihan mereka. Setelah pesanan dibuat, mereka kembali bermain muzik. Eh eh, si kecik juga tidak mahu ketinggalan, dia mengetuk-ngetuk meja dengan tangannya!

Hamdi dan Zahrah terdiam dan mata mereka membulat apakala melihat makanan kami dihidang. “Bu, ada minta ayam tak?” Tanya Hamdi. “Tak ada,” jawab ibunya. “Alaaa…” Rungut Hamdi. “Bu, ada minta spaghetti kan?” Tanya Zahrah, dan ibunya mengiakan. Hamdi dan Zahrah merenung makanan kami. Saya menghadiahkan senyuman kepada mereka. Oooh, mereka tidak membalas senyuman itu! Keruhnya wajah mereka!

Kasihankan mereka, saya hulurkan dua ketul ayam tapi mereka menolak. “Ibu dan abah kata jangan terima apa-apa dari strangers.” Kata Hamdi. Saya senyum.

Kami mula menjamu selera. Hamdi dan Zahrah menongkat dagu.

Tiba-tiba Hamdi bersuara. “Kakak Aunty, ... ibu kata makan chicken wing tak elok tau, banyak lemak, you will grow fat.”

“Aa’ah kakak Aunty, ibu tak makan chicken wing … ibu slim aje!” Zahrah pula mencelah.

Saya tergamam seketika. Kawan saya menahan gelak.

“Hisy, both of you … tak elok ganggu orang makan!” Tegur ibu mereka. Dia kemudian memohon maaf di atas kenakalan anak-anaknya.

“Mereka anak-anak yang baik dan pintar kak. InsyaAllah.” Saya.

Sejurus makanan mereka tiba. Mereka melupakan kami.

Malamnya kawan saya menghantar sms. “Kakak Aunty, selamat berehat ya!”

Saya tersenyum.
Ya, rehat.
Alhamdulillah.


*31/5/2008
Pizza Hut, Selayang.


Salam.

Tuesday, 27 May 2008

Pulau Redang atau Gunung Senyum?

Katanya, dia mahu ikut ke mana saja saya pergi. “Ke pulau pun, ke gua gelap juga?” Tanya saya, dan dia mengiakan. Oh oh, saya kurang percaya! Saya bertanya lagi, dan jawapannya sama, “Ya!” Ketegasan suaranya meresahkan saya. Apa tidaknya kerana setahu saya, mendengar guruh berdentum pun dia menggigil ketakutan. Melihat lipas seekor pun dia menjerit. Dia hanya kenal hutan konkrit, dan ke kedai runcit di hujung rumahnya pun dia berkereta! Aduuuh, saya sudah membayangkan teriakannya, loncatannya, dan kerutan wajahnya kala menjadi tetamu alam hutan gunung atau alam pulau nanti.

Alahai, sebenarnya saya cuma acah-acah mengajaknya untuk meredah alam, dan sungguh saya tak sangka cempedak menjadi nangka! Dia bersungguh benar.

So, pi mana? Pulau Redang atau Gunung Senyum?” Dia.

“Pi Gunung Senyum kut ... nanti balik kita akan senyuuuuum memanjang. Hahaha!” Saya.

Please, seriuslah!” Aiseymaaan, dia marah! Mata saya terkebil-kebil.

Ke mana ya? Apa pilihan saya?

Sungguh, kadang sukar membuat pilihan dan keputusan. Namun akur jua, manusia tidak dapat lari dari membuat pilihan dan keputusan dalam hidupnya. Walau apa pun pilihan yang diambil oleh manusia, setiap satu dari pilihan tersebut sudah sedia dengan kesan tertentuNya ke atas diri manusia.

Tuhan Maha Agung, Dia memberikan hak dan peluang untuk manusia membuat pilihan dan manusia dijangka akan membuat keputusan dengan memilih pilihan yang terbaik untuk dirinya kerana logiknya. Tuhan sudah memberikan akal untuk berfikir dan telah menyediakan logik buku manual kehidupan yang sangat lengkap iaitu Al-Quran sebagai rujukan. Pilihan yang baik adalah yang berpandukan kepada panduan yang tersedia dan bermakna baiklah kesannya ke atas manusia, dan sebaliknya. Wallahu'alam.


"Temenung ni apa hal?" Dia mengejutkan saya. "Pilihlah yang mana satu wahai Bunga Rampai, hamba menurut saja!" Amboi, gaya percakapannya persis pelakon teater bangsawan! Mata saya kembali terkebil-kebil.

"Redang atau Gunung Senyum ... lap talilap tam plong je lah!" Kata saya lalu ketawa.

Oh oh, matanya cengil memandang saya!

"Auww! ... aduuuh, sakit ooi!" Saya menjerit. Heh, telinga saya pula dipulasnya!


*25/05/2008
Bukit Jelutong.


Salam.

Wednesday, 21 May 2008

Kalah Congkak

Kononnya saya selalu menang dalam perlawanan congkak. Dalam 3 perlawanan, satu pasti kalah. Boleh tahanlah tuuuu ...

Jadi untuk meraikan kembalinya Nuratiqah dalam kelas bimbingan yang sudah hampir setahun ditinggalkannya, kawan-kawan sekelas meminta saya berlawan congkak dengannya. Oh ya, congkak adalah permainan kegemaran Nuratiqah, dan menurut kawan-kawannya dia memang hebat.

Yeay, set pertama saya menang! Set kedua dia menang. Tak apa kata hati saya, biasanya set ketiga saya akan menang. Aiseymaaan, set ketiga pun dia menang! Huhuhuu ... saya kalah congkak dengan budak kecik tu! Nuratiqah tersenyum lebar. Kawan-kawannya bertepuk girang sambil tersengeh-sengeh memandang saya.

Ya, Nuratiqah menang congkak. Lebih dari itu, dia juga menang melawan malasnya untuk menghadiri kelas. Dia juga menang kerana berdaya menunjukkan kepada ibu dan bapanya bahawa tanpa bimbingan, pelajarannya merosot sebagaimana yang ditunjukkan oleh keputusan peperiksaan UPSRnya yang tidak memuaskan tahun lepas. Alhamdulillah, atas doa berpanjangan dan usaha ibunya, doa Nuratiqah sendiri, doa sanak-saudara dan kawan-kawan, bapanya kini memahami makna kasih sayang untuk keluarga.

Betapa doa memainkan peranan penting dalam kehidupan, namun manusia sering lupa tentang itu. Dalam kuliyah tempoh hari, Ustaz berkata - selain (1) doa lisan yang sering dilafazkan selepas solat atau bila memulakan sesuatu majlis, dan (2) doa fikiran serta gerak hati yakni berdoa mengikut kemahuan hati untuk berdoa dan fikiran memikirkan sesuatu yang kita inginkan, doa yang paling panjang dalam hidup manusia dan paling makbul ialah (3) doa dalam bentuk perbuatan yakni mengamal doa yang diiringi tindakan. Jadi kata beliau, berdoalah memohon ihsanNya.

Allah SWT mentadbir dengan caranya yang amat luar biasa dan di luar jangkaan manusia. FirmanNya: "Doa adalah senjata mukminin", maka pasti DIA akan menyahut doa hambaNya.
Demikian pula kata Guru mengingatkan.


*19/5/2008
Pinggir Kota, KL.


Salam.

Friday, 16 May 2008

Cinta Mama Tidak Pernah Terlewat

Malam yang penuh cinta walau di luar sana sepi dalam gelita. Tiada suara gemersik dedaun bergeseran diusik Bayu. Sang Katak tidak berlagu-lagu. Tiada syair Cengkerik, dan si Pungguk lenanya kusyuk berbantalkan mimpi rembulan, barangkali. Aah, tidak mengapa andai dingin enggan menyapa hati kerana sebentar saja lagi Embun ‘kan menitis kemudian bersimpuh enak di kelopak sekuntum Bunga Rampai lalu meranum rindu. Aduhai, kepada siapa lagi rindu itu diunjur kalau bukan kepada Mama yang sedia menatang sudi, menghimpun berjuta rindu sekuntum Bunga Rampai. Betapa Mama amat memahami, walau dalam kalis waktu Mama tetap melapang kalbu dan menadah tangan menyambut rumpunan rindu si Bunga Rampai itu.

Mama, lahirnya sekuntum Bunga Rampai adalah atas keredhaan jiwa mulus dan telusmu sebagai seorang ibu. Setiap getar nafas yang menghidupkan kelopak jiwanya adalah kerana kegigihan Mama mengasuh, membimbing dan mendidiknya. Betapa Bunga Rampai disusui dengan susu Mama penuh kasih, didakap mesra, dibuai sayang, didodoi manja, ditateh riang bersama julaian cinta yang tidak pernah putus-putus ... lalu kembang semerbaklah sekuntum Bunga Rampaimu ini.

Hari-hari yang Mama lewati adalah bukti cinta Mama kepada Bunga Rampai. Dalam liku perjalanan yang sering saja mencabar keutuhan hati Mama, walau perit, Mama masih sanggup meredahnya demi yang bernama Bunga Rampai.

Mama, warna-warna kehidupan Bunga Rampaimu ini adalah calitan rona-rona lukisan cintamu yang tidak pernah pudar walau musim silih berganti. Maka itulah Mama, Bunga Rampai akan pulang ke ribaan Mama pada waktu-waktu relung sukma ini memohon restu Mama. Cinta Mama setia menanti.

“Ya Rabb, ampunilah dosa-dosa kedua-dua ibu bapa kami, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami sewaktu kami kecil, dan tempatkanlah mereka bersama orang-orang yang mulia di sisiMu. Amin.”

Seperti selalunya, sekuntum mawar putih untuk Mama yang tersayang ...


*Kembara Hati.

Salam Hari Ibu.
(yang terlewat)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Hari ini Hari Guru. Selamat menyambut Hari Guru
kepada semua teman bloggers yang bergelar guru.
Doa saya mengiringi untuk kesejahteraan kalian.


Salam.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

21/5/2008: Sajak Cinta Mama Yang Tidak Pernah Terlewat oleh Kingbinjai

Friday, 25 April 2008

Kanoute


Aku tau semalam hang tak tengok bola ... Arsenal kalah! Hehehehe …

Ooooh, tentu saja saya mengeluh kerana Arsenal kalah lagi, dan teks pesanan ringkas itu menyuramkan sedikit pagi saya yang indah. Namun saya tidaklah menggigit jari atau mahu menjadi Shebby menganalisis kekalahan itu. Paling-paling pun saya tidak mempedulikan Arsenal barang sehari dua.

Ya, bolasepak punya kesaktiannya yang tersendiri. Barangkali magisnya terletak pada bola dan kaki yang menyentuh bola itu. Disepak melambung. Ditendang melantun. Dikejar, digelecek, ditahan, ditampan, ditepis, terlepas dan GOoooL! Hoooreii! Penonton pun bersorak-sorai menggamatkan stadium! Satu kepuasan bagi mereka yang makan tidurnya bola. Lebih dari itu kerana bola sebiji, peminat sanggup berjudi. Kerana sebiji bola pemain menjadi idola. Tak kurang yang besar kepala. Banyak juga yang lupa menjaring pahala.

Fabregas dan Adebayor kena lipat weii! … kah kah kah…
Isy, isy, isy … kawan itu tak habis-habis menghimpit saya! Tapi saya faham keseronokannya kerana Chelsea sekarang ligat mengejar markah.

Tak pa, tak pa … kiter ada hero baru, Kanoute! Saya membalas smsnya. Sape Kanoute? Dia bertanya.

Kanoute, striker kelab Sevilla dalam Liga Sepanyol, dan bergelar African Footballer of the Year 2007. Itu saja yang saya tahu. Namun e-mel daripada seorang yang baik hati dan memahami minat saya telah menyerlahkan keperibadian Kanoute melalui satu pautan. Amat mengkagumkan! Rupa-rupanya beliau bukan saja tangkas di padang bola, malah punya pendirian tegas dan berhati murni di medan kemanusiaan.

"Hang nak tukaq kelab ka? " Tanya kawan itu petang Ahad lalu, sedang kami minum-minum teh. Entah mengapa dia mencemikkan muka. Errr, barangkali cekodok yang saya masak itu tidak seenak bola walau bentuknya bulat ...

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
MADRID - Malian Muslim footballer Frederic Kanoute, the striker of Spain 's Seville FC, has saved the only mosque in the southern Spanish city of Seville from closure.
Kanoute has paid 510,860 euros (some $700,000) so that fellow Muslims in Seville would not find themselves without a mosque, reported Agence France-Presse (AFP).
The privately owned mosque was due to be sold after a contract to use the premises by the local Muslim population had expired. But Kanoute stepped in to purchase the building.

The 30-year-old striker has not made any comment on the matter. But city authorities have confirmed that the property has been registered in Kanoute's name, according to the BBC Sport.

It is estimated that Kanoute has spent almost a year's salary to buy the mosque.
Kanoute, one of the finalists for the 2007 BBC African Footballer of the Year award, moved in 2005 from French champions Lyon to Seville FC, the 2006-07 Spanish league's third and the holder of last season's cup championship.

Grateful Spanish Muslims said they really appreciate Kanoute's moving gesture.
"If it had not been for Kanoute then we would not have had a mosque on Fridays, which is the most holy day of the week for Muslims," a spokesman for the Islamic Community of Spain was quoted as saying by BBC Sport. Kanoute, who has also created a foundation in his motherland Mali to help orphans, reverted to Islam 10 years ago.

Last Ramadan, he impressed Spanish football fans by his unique performance though he was fasting. Kanoute was crowned last year the league's top scorer with 20 goals, out performing football legends such as Brazilian Ronaldinho.

Kanoute, a practicing Muslim who regularly performs his prayers even in the locker room, refused last season to wear a jersey advertising for an inte gambling site, because gambling is forbidden in Islam. His team had to give him a brand-free jersey until he accepted wearing the sponsored jersey in return for money to an Islamic charity.

Source: IslamOnline

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

*14/4/2008
Kembara Hati.


Salam.

Saturday, 5 April 2008

Apam Balik Pak Halim

Kepingin sekali makan apam balik. Aduhai, sudah tiga minggu keinginan itu mengusik-ngusik selera! Nanti aku belikan. Pelawa kawan saya yang dulunya suka minum kopi di Startbucks tapi kini minum di gerai tepi jalan pun tidak apa. Saya menolak kerana mahunya selera itu hanya pada apam balik Pak Halim. Asyik-asyik apam balik Pak Halim ... apa istimewanya ‘ntah, aku rasa sama je macam apam balik yang lain! Ooh, dia merungut!

Keistimewaannya terletak pada Pak Halim. Begitulah. Namun sudah tiga Jumaat Pak Halim tiada di tempatnya. Sungguh, sesekali hilangnya sering membangkit rasa rindu dalam kalut benak yang mencari jawapan kepada ketiadaannya. Rindu itu anugerah Tuhan, diletak bertempat bakal membawa berkat. Demikian madah Guru.

Alhamdulillah, rintik-rintik hujan yang singgah di baju dan muka lewat petang semalam rupa-rupanya membawa rezeki. Hati mewangi jua melihat Pak Halim dari jauh yang sedang sibuk memasak apam baliknya, namun ... alahai, wangi hati itu pantas saja pudar apakala melihat wajahnya yang cengkung ketika menyambut salam yang dihulur. Pak Halim sakit?

“Alhamdulillah isteri dah sihat, bolehlah beliau menjaga anak-anak, dan Pak Halim kembali berniaga. Bukan apa, membantu beliau itu lebih penting kerana sihat ibu sihatlah anak-anak. Bagi Pak Halim, tangan seorang ibu itu membawa rahmat untuk anak-anak. Belaiannya, usapannya, adalah penyejuk hati anak-anak. Air tangannya yang tumpah ke makanan mengalirkan keperibadiannya kepada anak-anak, dan mengucap Ya-Latif ketika menggaul makanan ketika memasak adalah penerang hati anak-anak yang insyaAllah menjadikan anak-anak berakal dan tidak ingkar kepada ibu bapa.”

Saya terkesima.

Sebelum meninggalkannya bersama 5 keping apam balik rangup, Pak Halim berpesan, “Jangan tinggalkan solat Subuh walau terpaksa merangkak melakukannya. Solat Subuh mahal harganya.” Subhanallah, pesan itu sangat menggoda dan saya harus mencari tafsirnya!

Demikianlah, nasihat dan ilmu yang diturunkan oleh Pak Halim menjadikan apam baliknya bertambah enak. Wallahua'lam.


*04/04/2008
Pasar Malam,
Pinggir Kota, KL.


Salam.

Thursday, 3 April 2008

Kawan Baru

Saya terserempak dengannya di tempat letak kereta, dan ketika dia berjalan menuju ke kedai makan itu bersama kumpulannya, dia asyik-asyik menoleh memandang saya yang berjalan tidak berapa jauh di belakang mereka.

Sedang saya enak-enak menikmati Nescafe tarik, dia menghampiri meja saya. “May I sit here?” Dia bertanya penuh sopan sambil tersenyum. Kesopanan dan wajahnya yang manis itu membuat saya tidak teragak-agak mempersilakannya duduk.

Dia merenung. Wajah dan baju merah jambu saya direnung bersilih-ganti, dan renungannya itu diiringi senyuman yang tidak lekang-lekang di bibir. Saya kurang senang sebenarnya direnung begitu tanpa bicara, namun sepasang mata bundarnya yang biru bercahaya bagaikan membujuk saya untuk bersabar. Saya memulakan perbualan. Saya bertanyakan sama ada dia mahu minum. Dia hanya menggeleng-gelengkan kepala.

“I like your dress ... can I touch it?” Tiba-tiba dia bersuara, dan saya tergamam seketika kerana tidak menyangka sama sekali dia akan bertanya begitu. Benak pun pantas mencongak lalu saya membenarkannya. Dia melurut-lurut lengan baju kurung saya. “Wow! so soft.” Ujarnya dengan wajah berseri-seri.

Dia kemudian melihat jam tangannya. “Time to go I guess.” Kata saya. Dia mengerutkan wajah. “Yeaah ...” Air mukanya keruh.

“Can you e-mail me and tell me more about your dress?”

Boleh saja ujar saya, dan kami pun bertukar-tukar alamat e-mel.

Yeay, saya dapat kawan baru hari ini! Namanya Dorien, gadis 15 tahun berasal dari Norway.


*02/04/2008
Bandar Melaka.


Salam.

Monday, 31 March 2008

Dulu dan Sekarang

Kadang-kadang hidup ini memang aneh, namun kata mereka tidak ada anehnya hidup ini kerana begitulah kehendak zaman. Kata mereka lagi, usah samakan dulu dengan sekarang kerana manusia kini ilmunya seluas lautan dan semakin arif dalam pelbagai perkara sehinggakan mampu ke angkasa.

Tentu saja zaman berubah. Dulu-dulu mandi di ruang terbuka dan berkubang di sungai, sekarang mandi di kamar dan berendam di Jacuzzi. Dulu berpelita kecil, sekarang lampu bersuis. Dulu berkereta lembu, sekarang bermotor laju. Sungguh, kemajuan teknologi memakmurkan kehidupan manusia sejagat. Alhamdulillah.

Aneh sekali, perubahan zaman juga telah merubah fi’il manusia. Yang jelik itu bukan lagi sesuatu yang pelik. Dulu-dulu anak-anak bak berlian, sekarang banyak yang tak keruan. Dulu ibu-ibu bertepuk tangan memuji bangga persembahan kreatif anak-anak mereka. Sekarang anak-anak pula bersorak dan menyuntik semangat ibu-ibu mereka yang bangga menggoyang-goyangkan pinggul dan dada di atas pentas.

Saya mahu memanjangkan lagi cerita ini sebenarnya, tapi saya kurang rajin kerana fikiran saya masih lagi terganggu dek terkejut dengan penyertaan seorang ibu dan seorang nenek dalam peraduan nyanyi-nyanyi berjurikan sms itu. Saya juga sedikit sedih kerana belum lagi menemui Marash. Saya mencarinya di Mid Valley petang semalam tapi tiada. Menurut seorang kawan, dulu Marash memang ada di sana tapi sekarang entah ke mana.

Sesungguhnya zaman berubah dan era berbeza, namun janji Khaliq tidak pernah berubah walau berapa kurun pun berlalu. Kalam Allah jelas, Sunnah Nabi nyata.


Salam.

Wednesday, 26 March 2008

Hot pants

Marash yang dicari, hot pants yang ditemui. Alahai!

[fesyen hot pants sangat popular pada tahun 70an, hilang seketika, kemudian muncul semula tahun 90an]

Saya menemui hot pants itu di sebuah restoran, dipakai oleh seorang gadis. Blausnya paras pinggang, senada rona hot pants merahnya itu, dan dia menggalas beg tangan putih yang sepadan warna sandalnya. Banyak mata yang menelitinya kerana dia begitu lain dari yang lain. Saya berdiri dalam barisan betul-betul di belakangnya. Duh!

Saya mengingatkan benak supaya tidak berfikir yang bukan-bukan. Jadi benak pun berkata yang gadis itu peminat Ferrari dan sebentar nanti akan ke litar Sepang untuk menyaksikan aksi-aksi F1. Kalau tidak pun, dia perminat setia Man U.

Sejurus seorang pemuda sebayanya menghampiri sambil tersenyum lebar. Wah, sungguhlah mereka peminat warna merah putih kerana pemuda itu memakai cropped pants putih dan kemeja-T merah!

“Salaaamm. Sorry lambat ... okey, I pula beratur ... you cari meja,” ujar si Pemuda. “Memang lambat pun you ... monkey! kata si Gadis sambil ketawa kecil kemudian berlalu pergi. Eh, eh, menyibuknya mata saya mahu melihat gaya jalannya bagaimana! Oh, kasihan sungguh para pelanggan yang terpaksa berhenti makan seketika kerana menghayati susun langkahnya yang ala-ala kucing 'gitu!

Selera saya tiba-tiba hilang melihat dia yang kini mengoles gincu di bibir, dan temannya yang di depan saya terkinja-kinja menterjemahkan keseronokan mendengar irama yang keluar dari mp3 nya. Saya keluar dari barisan.

Aduhai. Sudahlah Marash tidak ditemui, hot pants itu pula menghangatkan lagi kecewa hati. Sabar ya hati. Semoga masih ada sayangNya untuk dia dan temannya itu.


*23/03/2008
KL Sentral.


*Marash akan tetap dicari.
Salam.

Saturday, 22 March 2008

Mencari Marash


Saya mahu mencari Marash yang berasal dari Turki.

Khabarnya, Marash ada di Sungai Wang Plaza dan Mid-Valley.

Kalau tidak menjumpainya, perlu barangkali menjejaknya di Kahramanmaras.
.
.
.
Saya akan mencari Marash yang entah rupanya bagaimana.

Khabarnya, sedap sekali rasanya.

Marash itu sejenis aiskrim.


*sedang menikmati Cornetto.
Salam.

Kemaskini 25/03/2008:
[gambar Maras Ice-cream: ihsan Ku Keng]

Wednesday, 19 March 2008

Lina

Begini ayat-ayat yang saya baca dengan jelas dan lantang:

Harith, Krishnan, dan Ewe Hock merupakan sahabat karib sejak kecil lagi. Hubungan mereka bertiga bagaikan isi dengan kuku. Kemana-mana sahaja, pasti mereka bersama. Begitulah pada setiap pagi, mereka bertiga akan berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk ke sekolah. Sambil berjalan, mereka mengusik antara satu sama lain. Maka terdengarlah deraian gelak ketawa mereka yang memecah kesunyian pagi.

Lina menulisnya begini:

Harith, Krishnan, dan Ewe Hock mederdan sabahat sahat sejak kecil lagi. Mumkan muketa bertiga-tiga selah telat kuku. Kenan jaya pesti mereka bersama-sama. Betutilah juga pada seperti pagi, mereka bertiga akan berjalan kaki selagi satu kilogram untuk ke sekolah. Selak berjalan, mereka berputis satu sama lain orang, mata terdengarlah dengan kelah togun mereka yang menbeat bersungai pagi.

Barangkali hati Lina sangat kacau, maka itu dia hilang tumpuan.

Lina 11 tahun, dan tidak ada masalah pendengaran. Lina anak sulung. Ayahnya pemandu bas, ibunya pekerja kilang. Lina menjaga adik-adiknya semasa ibu dan ayah keluar bekerja. Adik-adiknya berumur 10 dan 8 tahun.

Renungkan.


*16/03/2008
Pinggir Kota, KL.


Salam Maulidul Rasul.

Saturday, 15 March 2008

Aiskrim, Wayang, dan Coklat

"Strawberi lebih boleh? Pleaaaase, saya bayar lebih," pinta saya dengan wajah memujuk kepada pelayan itu. Dia merenung saya lama-lama kemudian tersenyum manja. Yeay, saya dapat apa yang saya mahu tanpa membayar lebih! Oooh, enaknya makan aiskrim dengan topping strawberi setebal satu inci! Enaknya menjadi-jadi kerana dibelanja oleh si Cilik Remaja.

"Lepas ni tengok wayang kak, Miyah belanja ... popcorn sekali." Miyah pula menghulur rezeki. Err, beratnya hati sebab dah lama tak masuk panggung, dah lupa bagaimana adab-adab panggung. Kerana Miyah, saya bersetuju. Haa, si Cilik melonjak seronok!

Itu tengahari tadi.

Petang-petang begini, ditemani mendung dan guruh sesekali berdentum, sebentar lagi ada coklat bakal dinikmati sambil bersantai di sofa panjang menghayati Anne of Green Gables (L.M. Montgomery) untuk entah kali ke berapa. Oh, saya sangat suka cerita ini!

Demikianlah terjemahan sebuah kegembiraan. Gembira kerana si Cilik berjaya mendapat 6A dalam peperiksaan SPM. Gembira kerana Miyah sudah mahu mendekatkan hati pada Khaliq. Alhamdulillah.

*15/03/2008
OU, KL.


Salam.