Tuesday, 17 June 2008

Dua Sudu Nasi

“... kalau dulu kita makan sepinggan dua nasi, sekarang kita makan dua sudu nasi saja. Makan nasi banyak-banyak pun hanya memudaratkan kesihatan. Begitu juga dengan cara membeli-belah kita. Kurangkanlah membeli barang-barang yang tidak selalu kita guna. Kalau dulu kita membeli dua beg tangan atau dua pasang kasut sebulan, sekarang belilah bila perlu saja. Janganlah kita membazir wang membeli barang-barang berjenama yang diimport. Buatan tempatan juga bermutu tinggi dan kita patut menyokong barangan tempatan. Kalau dulu kita suka bersiar-siar menggunakan kereta tanpa tujuan tertentu, wajarlah sekarang kita kurangkan kegiatan itu. Kalau jaraknya tidak jauh, berjalan kaki sajalah ...”

Demikian sedikit petikan ucapan Yang Berhormat Datuk Wakil Rakyat kepada lebih kurang 100 penduduk kampung yang berpakaian santai ikut suka hati mereka mahu pakai apa di sebuah balai raya yang setengah usang. Saya yang duduk longlai di barisan depan tersenyum kelat di dalam hati.

Ucapan itu membuat lapar saya menjadi-jadi. Pagi tadi jam tujuh hanya bersarapan dua potong ubi kayu dicicah gula dan secangkir milo kosong. Jam sepuluh cuma minum teh-O segelas dan empat keping biskut Marie.

Lalu ketika dijemput makan tengahari yang lewat oleh Pengerusi majlis, saya membubuh sepinggan penuh nasi bukit, dua senduk sayur pucuk peria yang direbus bersama ikan kering, dua senduk sayur betik muda digoreng bersama potongan kecil daging ayam. Kuah kari daging saya bubuh keatas nasi.

Nah, nasi yang membukit begitu menarik perhatian Yang Berhormat lalu menghampiri saya. “Berselera?” Tanya beliau sambil tersenyum. “Alhamdulillah.” Jawab saya. Eh eh, mata saya turut berselera menjeling pinggannya! Ya, kata dikota – nasi beliau lebih kurang dua senduk saja di dalam pinggan dan lauk-pauknya sesudu sana sesudu sini. Sambil makan kami berbual. Petah sungguh beliau bercakap tentang remaja, belia dan penggangguran - maklum, hadirnya juga kerana majlis penutupan bengkel untuk remaja dan belia kampung yang baru berakhir jam sebelas pagi tadi.

Cerita harga minyak juga berarus laju dan beliau meminta pandangan saya tentang itu. Aduuuh, siapalah saya ini bercakap tentang isu sehangat begitu? Oooh, menggeletar sungguh jantung saya dibuatnya! Saya berhenti makan.

Saya kata, saya cuma kasihankan orang kampung kalau disuruh makan hanya dua sudu nasi kerana nasi itu punca tenaga mereka - mana mungkin dapat membanting tulang di kebun dan di sawah kalau tidak bertenaga. Sudahlah tidak punya sumber protin yang bagus dan kekurangan vitamin, nanti membuka mata pun mereka tidak mampu! Juga kata saya orang kampung bersiar-siarnya di kebun dan di sawah, di tepi sungai dan di lereng bukit. Paling-paling pun mereka bermotorsikal ke pekan berhampiran, itu pun kerana terpaksa untuk membawa padi ke kilang atau membawa hasil tanaman kebun ke tamu. Perempuan-perempuan kampung tidak tahu pun apa hebatnya CD, CK, Gucci – buatan siapa, buatan dari apa, dari mana - mereka tidak peduli semua itu. Asal cantik dan murah beg dan kasut itu mereka beli. Kesian penduduk kampung ...

Ooops, sudah terlebih celoteh saya! Saya memohon maaf. Senyuman Yang Berhormat masam-masam manis jadinya. Beliau melihat jam tangannya yang berbatu entah apa pada talinya lalu mengeluh dan sesudah itu menyerahkan pinggan kosong kepada PAnya. Beliau bangkit, menjinjing beg tangan Sembonia nya kemudian melurut-lurut baju kurung suteranya sebelum melangkah pergi.

Sebelum meninggalkan majlis, beliau meminta hadirin supaya jangan malu-malu menambah nasi.

“Terima kasiiiiih Datuk, mana bulih makan dua sudu nasi, mati kami bah!” Jeritan seorang anak muda berkumandang kuat. Yang Berhormat tersenyum lebar.

Saya kembali makan. Aarrghh, nasi sudah menjadi sejuk!


*06/6/2008
Pedalaman, Bawah Bayu.


Salam.

20 comments:

Kaktiny said...

salam..
betul.. mereka2 di atas itu mampu utk makan hanya 2 sudu nasi.. menu lain salad, steak, multi-vitamin itu ini, product kesihatan jenama itu jenama ini..

taukah mereka yang nasi itu penting bagi org yang membanting tulang empat kerat di bawah teriknya mentari..

bukan seperti mereka yang cukup minum segelas oren dan 2 biji pil sblm sambung menarik selimut di bilik berhawa dingin...

Pa'chik said...

dah nasib hamba rakyat... huhuhu...
mereka tak reti bila nak membantah, bila nak meminta... tau nya... ngikut saja.. huhuhuuuuuuu....

Azer Mantessa said...

kurus semangat

ingatkan dua sudu nasi, rupanya 2 senduk nasi

:-)

en_me said...

sib baik nasi tak menjadi bubur.. ekeke

blackpurple @ jowopinter said...

Lalu nanti disuruhnya pula kita makan ubi. Itupun kalau ubi kayu pun tidak naik hargaLah. :)

achik said...

alahai YB!!!!

rakyat disuruh berjimat.. diorang joli sakan.. huhuhu..

Mak Su said...

alahaiiiii YB

ingat org bandar ni semua mampu ker beli kasut 2 kali sebulan? beli selipar jepun pun bajet-bajet, dok ikat perut sepanjang zaman. inflasi ker, tak inflasi ker, corak ku sama saja. corak muflis.

Anonymous said...

salam...

huhu makin kurus dan kecik la kite nihhh... cume makan 2 sudu huhu

Sayuti said...

waktu yang sesuai untuk berdiet dan bersenam.

majulah sukan untuk negara.

huhu.

CerminDiri said...

salam kehidupan,

kenapa lebih ramai dari kita yang banyak bercakap tapi kurang bertindak?...contohnya YB anda itu.

Sastri said...

cakap tak serupa bikin tu yang lemau tu...

Purpleheart said...

Setuju sangat, kesian pak tani memerah keringat. Kalau sesudu dua nasi mana nak dapat tenaga ye?

Mazarina said...

huhuhuhhu...die pun pakei beg sembonia!

Izariza said...

Salam rindu,

Entah kenapa otak beku saja tiba-tiba saja mengalir laju tatkala membaca bingkisan Datuk kali ini.. menarik sekali hujah Datuk pada YB itu. Kalau saya ada di tepi tika itu, entah apa yang saya akan tokok tambah hehe

Datuk, otak ini sesekali membeku. Sesekali pula seperti mati. Hanya doa menjadi kekuatan. Tawakkal menjadi azimat. Doakan sahabatmu ini ..

Zareda Norman said...

dua sudu nasi.. alahai dia bolehlah dua sudu nasik sebab dah makan supplement berjenis jenis..

Bunga Rampai said...

Salam semua,

Saya lupa tanya apakah matlamat hidup YB itu ;)

Salam kenal kepada Kaktiny dan Manje :)

HCI said...

Rampai,

Peria rebus dengan ikan kering, betik muda goreng dengan daging. Menarik ya, boleh cuba buat sendiri nanti.

I think you ni banyak makan carbohydrate. Roti la, biskut la, keledek tu bagus, tapi buat apa cicah gula?

Tapi kalau high metabolism tak ape, takut nya berlipat sana sini. Tapi best juga kalau ada banyak storage, nanti barang-barang mahal, biar badan ambil tenaga dari back up fats tu la. He he jangan marah, saja, dah langsung datang ni, tulis panjang-panjang la.

Bunga Rampai said...

Kak Has, saya tambah sikit senarai tu... coklat dan aiskrim :D

Bukan keledek tapi ubi kayu - orang kat sana makan macam tu, jadi saya ikut cara. Kadang-kadang ubi kayu tu dimakan bersama ikan kering - sedap!

Setakat ni masih flat :D

chinta said...

salam, menyinggah...nice blog!

sedap la menu tuh...rindunya dengan masakan kampung!

dua sudu nasi? baby pon makan lebeh dr tuh....fikir dulu la sebelum berucap...buat lawak pulak Yb nihh..

Bunga Rampai said...

Chinta, salam kembali dan salam kenal. Terima kasih singgah :)

Ramai yb zaman ni pandai melawak :D