Jam 11 pagi. Terasa benar damainya restoran yang belum berpelanggan itu, dan kami berdua berbual seenak rasa sementara menanti ketibaan makanan yang dipesan. Lagu Ketulusan Hati menjadikan suasana bertambah nyaman, “Restoran ini bagaikan milik kita ...” kata kawan saya. Saya bersetuju, namun jauh di dasar hati saya tahu kedamaian itu hanya sementara.
Dari tangga yang menghubungkan tingkat bawah dengan tingkat satu, terdengar suara-suara kecil tapi lantang berkumandang. Semakin lama semakin kuat bunyinya. Sejurus muncullah empunya suara-suara itu - seorang kanak-kanak lelaki berumur 7 tahun pada hemat saya, dan adik perempuannya lebih kurang 5 tahun. Oh, ada seorang lagi rupanya yang baru saya dengar suara gemersiknya merengek-rengek minta dilepaskan daripada dukungan ibunya.
Kanak-kanak lelaki itu berhenti di hadapan meja kami lalu memandang saya. Saya acah-acah membeliakkan mata. Eh eh, dia cuba mengenyitkan mata kanannya tapi tidak menjadi kerana mata kirinya juga terkenyit sama. Saya ketawa kecil. Dia turut ketawa.
“Bu, kita duduk sini boleh?” Mintanya. Ibunya menurut.
Oh oh, mereka di meja sebelah kami!
Mula-mula senyap. Kemudian ... wah, kedua-dua kanak-kanak itu mula mencipta muzik mereka sendiri! Sudu dan garpu menjadi alat muzik. Permukaan meja dijadikan drum. Pinggan dijadikan gitar. Si kecil mula menyanyi-nyanyi dengan nada tangisan yang semakin kuat. Oh bingitnya! Kami hanya mampu tersenyum.
Restoran kini didatangi beberpa orang pelanggan lagi. Kanak-kanak itu semakin rancak bermuzik.
“Zahrah, Hamdi ... manners please ... sudu dan garpu gunanya untuk menyenduk makanan!” Si ibu bersuara keras, tapi mereka terus mencipta irama, berhenti cuma seketika kala pelayan datang menghulur menu.
Pesanan dibuat. Zahrah dan Hamdi juga sibuk membelek-belek menu meminta itu dan ini. Si ibu tidak mengendahkan pilihan mereka. Setelah pesanan dibuat, mereka kembali bermain muzik. Eh eh, si kecik juga tidak mahu ketinggalan, dia mengetuk-ngetuk meja dengan tangannya!
Hamdi dan Zahrah terdiam dan mata mereka membulat apakala melihat makanan kami dihidang. “Bu, ada minta ayam tak?” Tanya Hamdi. “Tak ada,” jawab ibunya. “Alaaa…” Rungut Hamdi. “Bu, ada minta spaghetti kan?” Tanya Zahrah, dan ibunya mengiakan. Hamdi dan Zahrah merenung makanan kami. Saya menghadiahkan senyuman kepada mereka. Oooh, mereka tidak membalas senyuman itu! Keruhnya wajah mereka!
Kasihankan mereka, saya hulurkan dua ketul ayam tapi mereka menolak. “Ibu dan abah kata jangan terima apa-apa dari strangers.” Kata Hamdi. Saya senyum.
Kami mula menjamu selera. Hamdi dan Zahrah menongkat dagu.
Tiba-tiba Hamdi bersuara. “Kakak Aunty, ... ibu kata makan chicken wing tak elok tau, banyak lemak, you will grow fat.”
“Aa’ah kakak Aunty, ibu tak makan chicken wing … ibu slim aje!” Zahrah pula mencelah.
Saya tergamam seketika. Kawan saya menahan gelak.
“Hisy, both of you … tak elok ganggu orang makan!” Tegur ibu mereka. Dia kemudian memohon maaf di atas kenakalan anak-anaknya.
“Mereka anak-anak yang baik dan pintar kak. InsyaAllah.” Saya.
Sejurus makanan mereka tiba. Mereka melupakan kami.
Malamnya kawan saya menghantar sms. “Kakak Aunty, selamat berehat ya!”
Saya tersenyum.
Ya, rehat.
Alhamdulillah.
*31/5/2008
Pizza Hut, Selayang.
Salam.
18 comments:
kakak aunty, maksu gi piza gaks last weekend, malunyer..bawak baby w, tu dia kerja buat bising kat restoren tu, semua org pandang
kakak aunty...kita pun selalu ke pizza hut selayang sebab mak kita suka makan piza, dia feeling-feeling Italiano
"Kakak Aunty, ... ibu kata makan chicken wing tak elok tau, banyak lemak, you will grow fat."
hahaha.. sabar je la.. budak2 skang ni bijak sungguh.. ;p
take care kakak aunty.. salam.. :)
hahahaha
dah dah
jangan makan wing lagiiii. ikut nasihat ye....
kakak aunty ape kabo?hehe
Saya tak makan ayam daging. Alah. Tapi kalau ayam kampung memang saya tak tolak. :D
macam mana agaknya asal usul panggilan kakak aunty tu.
Sebab BR tak nampak macam macam budak-budak muda tapi cantik macam budak-budak muda kot.
Itu yang dipanggil kakak aunty.
Agaknyelah.
saya suka makan chicken wings, tak gemuk gemuk pun. gastrik ada la...
salam kehidupan,
bila nak hasilkan novel sendiri ke dah ada?...nampak memang anda berbakat.
alahaii.. kakak anti weh... hemilten bengap... hahaha....
kaka aunty???
hehhe hehhe
kakak aunty... mimpi yg indah ya
[sambil hulur susu kurang lemak]
jejjeeje
Kakak Aunty, jangan makan sayap ayam, mengikut rumours terbaru, orang makan sayap ayam lengan dia boleh bengkok kat bahagian siku.
Salam.
akak aunty..
sama tak cam panggilan Uncle Atokk..???
salam,
izinkan diri ini untuk menjengah seketika..
Salam semua,
Memang lucu dipanggil Kakak Aunty :)) Saya sendiri tak tahu kenapa budak-budak tu panggil begitu. Apa pun, saya kagum dengan mereka kerana panggilan itu menampakkan ada rasa hormat mereka terhadap orang lain.
Teringin pula nak dengar panggilan Abang Uncle atau Uncle Atok :D
Pizza dan kepak ayam antara makanan kegemaran saya. Susu penuh berkrim juga. Tak apa gemuk - nanti panjat gunung atau redah pantai dan laut, kuruslah balik :D Bengkok bahagian siku pun tak apa - pi jumpa doktor pakar untuk luruskan :D
Adeii, kesian Hamilton dikata bengap! huhuhu ...
Salam kenal kepada Purpleheart :)
Kakak Aunty berehat lagi seketika ...
Kiut nyer dipanggil kakak aunty... memang cerdik budak-budak tu... :)
rehat tok kesehatan gittewww..
Post a Comment