Friday, 16 May 2008

Cinta Mama Tidak Pernah Terlewat

Malam yang penuh cinta walau di luar sana sepi dalam gelita. Tiada suara gemersik dedaun bergeseran diusik Bayu. Sang Katak tidak berlagu-lagu. Tiada syair Cengkerik, dan si Pungguk lenanya kusyuk berbantalkan mimpi rembulan, barangkali. Aah, tidak mengapa andai dingin enggan menyapa hati kerana sebentar saja lagi Embun ‘kan menitis kemudian bersimpuh enak di kelopak sekuntum Bunga Rampai lalu meranum rindu. Aduhai, kepada siapa lagi rindu itu diunjur kalau bukan kepada Mama yang sedia menatang sudi, menghimpun berjuta rindu sekuntum Bunga Rampai. Betapa Mama amat memahami, walau dalam kalis waktu Mama tetap melapang kalbu dan menadah tangan menyambut rumpunan rindu si Bunga Rampai itu.

Mama, lahirnya sekuntum Bunga Rampai adalah atas keredhaan jiwa mulus dan telusmu sebagai seorang ibu. Setiap getar nafas yang menghidupkan kelopak jiwanya adalah kerana kegigihan Mama mengasuh, membimbing dan mendidiknya. Betapa Bunga Rampai disusui dengan susu Mama penuh kasih, didakap mesra, dibuai sayang, didodoi manja, ditateh riang bersama julaian cinta yang tidak pernah putus-putus ... lalu kembang semerbaklah sekuntum Bunga Rampaimu ini.

Hari-hari yang Mama lewati adalah bukti cinta Mama kepada Bunga Rampai. Dalam liku perjalanan yang sering saja mencabar keutuhan hati Mama, walau perit, Mama masih sanggup meredahnya demi yang bernama Bunga Rampai.

Mama, warna-warna kehidupan Bunga Rampaimu ini adalah calitan rona-rona lukisan cintamu yang tidak pernah pudar walau musim silih berganti. Maka itulah Mama, Bunga Rampai akan pulang ke ribaan Mama pada waktu-waktu relung sukma ini memohon restu Mama. Cinta Mama setia menanti.

“Ya Rabb, ampunilah dosa-dosa kedua-dua ibu bapa kami, kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihani kami sewaktu kami kecil, dan tempatkanlah mereka bersama orang-orang yang mulia di sisiMu. Amin.”

Seperti selalunya, sekuntum mawar putih untuk Mama yang tersayang ...


*Kembara Hati.

Salam Hari Ibu.
(yang terlewat)

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Hari ini Hari Guru. Selamat menyambut Hari Guru
kepada semua teman bloggers yang bergelar guru.
Doa saya mengiringi untuk kesejahteraan kalian.


Salam.
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

21/5/2008: Sajak Cinta Mama Yang Tidak Pernah Terlewat oleh Kingbinjai

14 comments:

MYA MARJA said...

Salam buat semua mama. Rindu pada mama, rindu yang tak terubat, apalah daya. Setiap hari mesti berbakti, paling tidak kiriman doa dan fatihah...mudah-mudahan aman. Amiin.

Pegawai Khalwat said...

Selalu kalau cerita pasal ibu, pasti saya akan menitiskan air mata.

Teringatkan ibu di rumah yang dah mula uzur.

Sedangkan saya terkapai dengan hal duniawi.

Terima kasih atas peringatan ini.

Petiais said...

kadang2 panggil ibu..rase erat emak..rase nak mengada2 mother..rase nak main2 bunda..

Pa'chik said...

hikhik... bila pulak bunga rampai jadik sekuntum ni.. ekekek...

amiin...

Bunga Rampai said...

Mya Marja, sayang seorang mama itulah membuat hati sering merindu padanya.

Bro PK, oh ... saya pula sebak membaca kata-kata itu. Selalu-selalulah jengok ibu kalau dekat. Kalau jauh telefon hari-hari.

Petiais, rasa nak menyanyi ... mama :) Anda anak manja!

Pa'chik, bila rindu kat mama jadi sekuntum. Bila rindu kat kawan-kawan jadi berampai-rampai ... hehehe :D

Butaseni@Wan Raja said...

:) trima kasih cik rampai.bertakung air mata saya.
salam hari ibu untuk awak jugak

achik said...

saya x penah rasa rindu kat emak.. err sbb masih duk bawah celak ketiak lagi.. ekekeke.. ;)

salam kak.. dan salam hari ibu buat Mama kak BR.. :D

kingbinjai said...

aduh, indahnya bahasa. minta izin untuk disajakkan... terima kasih.

Bunga Rampai said...

Butaseni, itu air mata kasih untuk ibumu. Sayangi dan rindui ibu.

Achik, wanginya emak Achik!Salam hari ibujuga untuk Emak Achik :)

King, seindah cinta untuk Mama. Atas izinNya jua. Terima kasih menghargainya. Silakan bersajak, saya tumpang baca.

wanie_agk said...

oh ibu...
entri ini mengesankan. :)

Mazarina said...

selamat..biar selamat smuanya..heheh

Ajzie said...

Setuju kata Mya Marja..

Rindu pada mama, rindu yang tak terubat, Hanya doa dan fatihah dapat kami kirim kan...mudah-mudahan aman dan damai serta dikasihi disana.. Amiin.

- G O R O - said...

Salam;

Semoga sihat2 selalu hendaknya.
:)..

Bunga Rampai said...

Wanie, syurga di telapak kaki ibu.

Mazarina, insyaAllah selamat kalau dengar kata nasihat emak.

Ajzie, Amiin.

Goro, salam kembali. Terima kasih :)